Dalam banyak kaedah rawatan alternatif, perubatan fungsional ("functional medicine") mungkin boleh dianggap agak baru dikembangkan, bermula sekitar tahun 1990an. Hingga ke hari ini perubatan fungsional (PF) masih dianggap satu bidang yang kontroversial.
Walaupun ada yang berpendapat idea pendekatan PF ini bermula pada tahun 1900an oleh James Mackenzie, pengasas atau yang mempopularkan perubatan fungsional masakini adalah Dr.Jeffrey Bland, seorang ahli biokimia tetapi bukan seorang doktor perubatan. Beliau mendapat ijazah sarjana dalam bidang kimia dan biologi, kemudian memperolehi PHD di dalam bidang kimia bio-organik dari Universiti of Oregon. Jeffrey juga mempunyai kecenderungan dalam bidang nutrisi klinikal dan perubatan molekular. Pada tahun 1991 beliau dan isteri menubuhkan IFM singkatan kepada Institute For Functional Medicine.
Berbeza dengan pengamal perubatan konvensional (PK), pengamal PF boleh terdiri dari pelbagai latarbelakang kerjaya seperti jururawat, pegawai dietetik, pengamal naturopati, pengamal kiropraktik, pegawai farmasi dan ada juga doktor perubatan, asalkan mereka telah melalui program latihan dan memiliki sijil.
Kita boleh mengenali individu2 yang cenderung kepada PF melalui pendirian mereka terhadap rawatan penyakit khususnya penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain. Mereka seringkali mendakwa ubat2 hospital tidak merawat punca penyakit tetapi hanya melegakan gejala. Ubat hospital juga dianggap merbahaya dan boleh merosakkan organ. Mereka lebih cenderung mengambil pendekatan tanpa ubat, tetapi sanggup melakukan ujian2 canggih yang mahal dan menggantikan ubat dengan rawatan suplemen, herba dan produk kesihatan yang mereka percayai.
Pengamal PF mendakwa memilih pendekatan merawat punca penyakit ("root cause"), tumpuan kepada individu ("personalized care") dan bersifat holistik. Mereka menganggap pendekatan mereka lebih baik dan lebih berkesan dari PK. Persoalannya adakah dakwaan itu benar, jadi rencana ini akan mengupas isu ini dan membuat perbandingan amalan perubatan fungsional dan perubatan konvensional (moden).
MERAWAT PENYAKIT: MENGAPA AMALAN PERUBATAN KONVENSIONAL LEBIH BERKESAN, SELAMAT DAN PRAKTIKAL
Perubatan Konvensional atau moden (PK) telah ujud begitu lama dan melalui fasa perubahan menjadi bertambah baik dari masa ke semasa. Prinsip amalannya adalah berasaskan bukti saintifik ("Evidence based medicine (EBM"), di samping menerima beberapa amalan perubatan komplimentari yang terpilih. Walaupun PK tidak sempurna dan masih perlu penambahbaikan, namun jika dibandingkan dengan pendekatan2 lain ataupun rawatan alternatif yang lain (termasuk PF), pendekatan PK mempunyai lebih banyak kelebihan.
Penyakit kronik berlaku akibat dari banyak faktor melibatkan gayahidup, diet, genetik, alam sekitar, kesan toksin, keradangan kronik, sistem imun, masalah mikrobiom, hormon dan lain2. Apabila seseorang mengidap penyakit kronik, penyakit itu dianggap kekal dan tidak boleh kembali seperti sediakala. Kembali sediakala itu membawa maksud sudah tidak sakit dan tidak memerlukan apa2 intervensi (termasuk kaedah tanpa ubat). Jika penyakit berada di peringkat awal, ia mungkin boleh dikawal dengan kaedah tanpa ubat (untuk penyakit2 tertentu), tetapi jika pesakit kembali dengan tabiat lama atau terdedah kepada punca penyakit, manifestasi penyakit akan kembali. Malahan pesakit yang asalnya dirawat dengan ubat boleh berhenti mengambil ubat jika menjalani kaedah kawalan pemakanan dan ubahsuai gaya hidup yang konsisten. Istilah yang digunakan untuk keadaan ini adalah "remission". Tidak semua pesakit dan penyakit boleh dirawat dengan kaedah tanpa ubat kerana ada penyakit tertentu dan pada tahap2 tertentu, pesakit memerlukan kaedah tambahan yang lebih berkesan iaitu melalui ubat2an ataupun menjalani prosedur.
Tidak tepat kalau mendakwa semua amalan PK tidak merawat punca tetapi hanya mengurangkan gejala. Kajian2 praklinikal dan klinikal yang tidak terkira banyaknya memang mencari punca penyakit dan kaedah rawatan yang berkesan. Ini dibuktikan dengan ujudnya disiplin patologi (kaji penyakit) dan pengimejan diagnostik. Contohnya apabila mereka merawat jangkitan penyakit, mereka melakukan ujian mengesan organisma penyebab dan merawat dengan ubat yang dapat menghapuskan organisma itu.
Walau bagaimanapun, tidak semua penyakit diketahui puncanya. Penyakit kronik adalah kompleks dan sukar untuk mengesan punca2nya dengan tepat. Ada juga faktor2 yang awalnya disangkakan punca penyakit tetapi sebenarnya hanya kaitan tidak langsung ataupun assosiasi dan bukan hubungan sebab-akibat ("causal relationship").
Jadi mereka mengkaji manifestasi penyakit dan mencari petunjuk yang boleh dikaitkan dengan tahap kawalan penyakit dan kesan sampingan ke atas organ badan. Contohnya penyakit diabetes di mana kerosakan organ badan yang berlaku mempunyai hubungan dengan kandungan gula darah yang tidak terkawal. Jadi kaedah mengawal penyakit diabetes adalah memastikan kandungan gula darah sentiasa terkawal pada julat2 yang ditentukan. Melalui kajian klinikal, mereka mengenalpasti petunjuk2 ini dan kaedah2 yang berkesan, selamat, praktikal dan "cost-effective" untuk mengawal gula darah. Di samping perubahan gayahidup dan diet, kaedah yang terbukti berkesan mengawal gula darah adalah ubat seperti insulin dan metformin. Di samping gula darah, mereka juga mengesan lain2 petunjuk yang dijadikan kayu ukur untuk mengesan kerosakan organ badan pada peringkat awal agar boleh digunakan untuk memantau fungsi organ2 tersebut. Begitu juga dengan penyakit darah tinggi yang kadangkala sukar untuk mengesan punca sebenar secara tepat, maka tahap tekanan darah digunakan untuk menilai kawalan penyakit dan ujian fungsi organ2 digunakan untuk memantau penyakit. Ubat darah tinggi diberikan apabila ada alasan yang munasabah berdasarkan kepada garispanduan klinikal.
PK mempunyai rujukan yang standard di dalam amalan mereka iaitu garispanduan amalan klinikal (CPG). CPG dihasilkan oleh Pakar2 menggunakan hasil kajian klinikal yang terbaik di mana protokol penyiasatan dan rawatan akan disediakan. CPG ini akan menjadi rujukan pengamal PK dan dengan pendekatan yang standard, rawatan lebih seragam, sistematik dan mudah untuk dilakukan audit untuk tujuan penambahbaikan.
Ubat2 yang digunakan untuk mengawal penyakit sudah diuji keberkesanan dan keselamatannya. Hasil kajian juga telah mengesahkan dengan kawalan penyakit yang baik melalui ubat2an ini, kerosakan organ dapat dielakkan dan jangkahayat pesakit dapat dipanjangkan. Disamping ubat2 ini sudah terbukti berkesan, pendekatan menggunakan ubat ini juga lebih praktikal dan mendapat hasil yang lebih cepat. Untuk jangkapanjang ianya juga lebih murah dan mudah dipantau berbanding dengan kaedah yang lebih konservatif serta melibatkan ujian2 canggih yang mahal, proses yang lebih rumit dan kos yang lebih tinggil seperti yang dilakukan oleh pengamal PF.
Perubatan konvensional juga sangat berkesan untuk merawat kes2 kecemasan dan akut yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit seperti kes serangan jantung, jangkitan kuman yang serius, kemalangan dan lain2 kecemasan yang mengancam nyawa. Justeru, PK menyediakan perkhidmatan ke atas lebih banyak jenis penyakit dan juga masalah2 kesihatan samada fizikal mahupun mental.
PK juga tidak menolak pendekatan "patient-centred care" yang holistik kerana ini adalah sebahagian dari pakej rawatan yang sudah lama diamalkan. Prinsip merawat pesakit dan bukan penyakit. Pesakit yang berbeza mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza bergantung kepada jenis penyakit, tahap penyakit dan pengaruh dari aspek psikososial. Keputusan untuk merawat dan jenis rawatan juga melibatkan penglibatan pesakit di dalam membuat keputusan. Mungkin kaedah pemilihan dan intervensi ke atas pesakit berbeza dari yang diamalkan oleh pengamal PF
PK bersetuju dengan pendekatan tanpa ubat seperti menjaga makanan, gaya hidup sihat, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi, tidak merokok dan lain2 amalan yang terbukti berkesan dan selamat. Dari aspek ini, ada amalan dari PF yang selari dengan amalan pengamal PK. PK juga tidak menolak menggunakan pendekatan tanpa ubat untuk merawat penyakit kronik yang masih awal dan ringan dengan syarat2 tertentu. Walau bagaimanapun tidak semua pesakit dan penyakit sesuai ataupun mampu untuk dirawat dengan kaedah ini dan mereka memerlukan ikhtiar tambahan iaitu ubat2an ataupun menjalani prosedur rawatan.
MENGAPA AMALAN PERUBATAN FUNGSIONAL KONTROVERSI
Prinsip merawat punca penyakit memang sangat menarik dan alangkah baiknya jika kita dapat mengenalpasti dengan tepat punca semua jenis penyakit. Hakikatnya, semua penyakit2 terutama penyakit kronik berpunca dari interaksi banyak faktor dan banyak juga penyakit yang belum ditemui puncanya. Contohnya penyakit kanser, di mana 30% daripada kanser tidak diketahui puncanya. Tidak kurang juga faktor2 yang asalnya dianggap punca penyakit tetapi kemudiannya didapati tidak ada kaitan sebab dan akibat ("causal relationship"). Jika ditemui punca sekalipun, persoalan kedua adakah kaedah merawat itu benar2 berkesan? Maka prinsip merawat punca penyakit ini hanya sedap didengar tetapi sukar untuk dilaksanakan.
Di antara faktor2 yang dikaitkan dengan punca penyakit yang sering diwar2kan oleh pengamal PF adalah faktor genetik, gaya hidup, pemakanan, tekanan/stres, toksin persekitaran, keradangan, mikrobiom, hormon dan lain2. Jadi mereka melakukan ujian2 untuk mengukur petunjuk2 (markers) kepada punca2 ini. Ujian2 ini mahal dan terdapat isu jika dilakukan semberono kerana masalah ketepatan (sensitiviti, spesifisiti), tidak spesifik, nilai yang normal tidak semestinya petunjuk tidak ada penyakit, nilai yang tinggi pula boleh berlaku di dalam keadaan lain dan boleh menyebabkan tindakan lanjut yang berlebihan. Ada juga ujian2 ini lebih sesuai digunakan di dalam penyelidikan.
Perubatan fungsional mendakwa menggunakan pendekatan merawat punca penyakit tetapi disebabkan oleh limitasi dari segi pengetahuan tentang punca penyakit, maka banyak intervensi ataupun tindakan lanjut tidak berasaskan kepada prinsip EBM. Berlaku amalan2 pseudosains dibawa masuk dan menjadi sebahagian dari remedi untuk merawat penyakit.
Setakat ini WHO, KKM, NHS (UK), NIH (US), NCCIH dan beberapa lagi organisasi kesihatan berwibawa belum mengiktiraf perubatan fungsional secara resmi. Justeru, jika pun ada latihan atau sijil, ianya tidak terpakai untuk digunakan sebagai lesen melakukan amalan di bawah organisasi2 ini, walaupun terdapat amalan tertentu yang tidak ditolak. Di bawah akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM), Malaysia, perubatan fungsional juga tidak tersenarai.
Kontroversi tentang perubatan fungsional memang wujud, dan ia kerap menjadi perdebatan di kalangan penyelidik dan tokoh perubatan. Berikut beberapa isu utama yang sering dibangkitkan:
1. Kurangnya Bukti Klinikal yang Kukuh
Banyak kritikan menyatakan bahawa beberapa pendekatan dan ujian dalam perubatan fungsional masih kurang disokong oleh bukti kajian saintifik berskala besar seperti mana yang dikehendaki oleh amalan berasaskan bukti ("evidence-based medicine" (EBM).
Sesetengah rawatan atau suplemen yang digunakan tidak melalui ujian klinikal terperinci dan saintifik yang cukup. Terdapat produk2 kesihatan yang didakwa untuk merawat punca dan gejala penyakit tidak melalui kajian klinikal sebagaimana ubat2 yang digunakan di dalam perubatan konvensional. Kajian klinikal bukan sahaja penting untuk menentukan keberkesanan tetapi juga keselamatan.
Beberapa istilah perubatan yang tidak diiktiraf oleh pengamal PK digunakan oleh sebahagian pengamal PF seperti suplemen detok, "leaky gut syndrome", adrenal fatique, ujian sensitiviti makanan IgG, "functional testing" dan lain-lain. Istilah2 ini tidak digunakan secara resmi oleh komuniti ahli sains serta penyelidik dari bidang PK.
2. Penggunaan Ujian Diagnostik yang meragukan
Ujian seperti sensitiviti makanan IgG, ujian mikrobiom komersial, ujian alahan, ujian toksikologi, ujian tahap insulin darah, hormon, ujian antioksidan, ujian tinja dan ujian genetik kadang-kadang dianggap kontroversi kerana ketepatan dan relevansinya (aplikasi klinikal) masih dipertikaikan oleh pakar perubatan konvensional. Ada yang menganggap ujian ini boleh menyebabkan diagnosis berlebihan atau rawatan tidak perlu, di samping kos yang tinggi dan membebankan pengguna. Ujian yang dilakukan semberono juga membazirkan wang jika hasil ujian itu tidak mempunyai aplikasi klinikal yang boleh memanfaatkan pesakit.
3. Risiko Overclaim dan Janji Melampau
Sesetengah produk perubatan fungsional didakwa memenuhi kriteria produk tuntutan berlebihan ("overclaim"), seperti menyembuhkan banyak penyakit kronik berat dengan berkesan atau tanpa rawatan konvensional. Meremeh2kan kaedah rawatan PK boleh menjatuhkan reputasi PK. Ini boleh menimbulkan risiko kesihatan jika pesakit meninggalkan rawatan perubatan yang standard. Ada pesakit disarankan untuk berhenti mengambil ubat dan berpindah kepada rawatan perubatan fungsional.
4. Kurangnya Pengiktirafan yang Formal dan Latihan yang standard
Perubatan fungsional belum diiktiraf secara rasmi sebagai satu cabang perubatan di banyak negara, termasuk Malaysia, menyebabkan kekurangan regulasi dan standard profesional. Ini membawa risiko variasi kualiti rawatan dan pengamal yang tidak bertauliah. Di samping itu amalan yang tidak mempunyai standard serta pemantauan ini akan mendedahkan pesakit kepada penipuan dari pengamal yang tidak bertanggungjawab. Berbeza dengan pengamal PK yang menerima latihan secara formal, standard dan sistematik, pengamal PF tidak mempunyai program latihan seumpama itu menyebabkan kaedah rawatan berbeza2. Yang lebih membimbangkan adalah jika ujudnya individu yang mendakwa pakar di dalam bidang perubatan fungsional sedangkan beliau tidak berkelayakan.
5. Isu Kos, Kebolehcapaian dan Praktikaliti
Rawatan perubatan fungsional memerlukan kos dan mungkin tidak ditanggung syarikat insurans, menjadikannya satu perkhidmatan yang mahal dan ramai pesakit yang tidak mampu. Tambahan pula pendekatan mengubah gaya hidup, mengurangkan stres, mengawal makanan dan menjaga kesihatan mental tanpa ubat ini memakan masa yang lebih panjang serta usaha yang lebih keras dan konsisten, maka kemungkinan pesakit tidak dapat meneruskan rawatan lebih tinggi. Pendekatan yang digunakan memerlukan lawatan susulan dan ulangan ujian2 yang lebih kerap. Jadi ujud isu kewangan, praktikaliti dan kebolehcapaian ("assesibility").
6. Terlalu taksub mencari punca penyakit adalah sukar kerana faktor2 yang telah dan akan diterangkan dengan lebih terperinci. Ikuti penerangan di bawah.
MENGAPA PENDEKATAN MERAWAT PUNCA PENYAKIT SUKAR DILAKSANAKAN DAN BUKAN UNTUK SEMUA PESAKIT
Sehingga kita mempunyai maklumat yang lengkap dan tepat tentang punca semua jenis penyakit serta kaedah2 yang berkesan merawatnya, pendekatan merawat punca penyakit, seperti yang dijadikan prinsip dalam perubatan fungsional (functional medicine), sukar dilaksanakan. Berikut adalah hujah-hujah yang melibatkan aspek praktikal, saintifik dan sistem kesihatan.
1. Punca penyakit sering bersifat kompleks, multifaktorial dan pengetahuan tentangnya masih terhad.
Banyak penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kanser atau kemurungan tidak mempunyai satu punca tunggal. Ia biasanya melibatkan gabungan faktor genetik, gaya hidup, pemakanan, tekanan, toksin persekitaran, keradangan, mikrobiom usus, dan faktor sosial. Oleh itu, mencari dan merawat "punca sebenar" seringkali menemui jalan buntu, sehingga "punca2" itu hanya andaian semata2. Banyak faktor2 yang dianggap punca penyakit sebenarnya tidak ada kaitan sebab dan akibat ("causal relationship") dengan penyakit, sebaliknya hanya assosiasi. Akibat dari masalah ini, kaedah2 atau intervensi yang digunakan tidak berkesan dan tidak kena pada sasarannya. Tambahan pula, tidak ada bukti kajian yang kukuh untuk menyokongnya.
Di antara intervensi yang dijalankan adalah melakukan ujian2 canggih (petunjuk keradangan, mikrobiom, ujian alahan, ujian sensitiviti makanan, ujian genetik, ujian tinja, antioksidan dll), dan merawat dengan suplemen, probiotik, vitamin, mineral, herba dan produk2 kesihatan yang dikategorikan sebagai makanan tambahan ataupun ubat tradisional. Produk2 ini tidak menjalani kajian klinikal seperti mana ubat2 yang digunakan oleh pengamal PK. PF juga mengiktiraf beberapa amalan perubatan alternatif seperti chiropraktik, akupunctur, homeopati dan lain2, di mana kewibawaan kaedah2 rawatan ini juga sering dipertikaikan.
2. Kekurangan ujian diagnostik yang tepat, praktikal dan berwibawa
Untuk tujuan diagnostik dan pemantauan, pengamal perubatan fungsional sering menggunakan ujian lanjutan seperti ujian sensitiviti makanan, analisis mikrobiota usus, petunjuk keradangan atau toksin dalam badan, ujian insulin darah, ujian antioksidan, ujian genetik, ujian alahan, ujian tinja, ujian mikronutrien dan lain-lain. Ujian ini mahal, tidak diluluskan secara luas, atau tidak mempunyai sokongan kukuh dari komuniti saintifik kerana limitasi ujian dan aplikasi klinikal. Ini juga sukar untuk digunakan secara meluas dalam sistem kesihatan awam.
3. Perubahan gaya hidup yang menyeluruh sukar dilakukan oleh pesakit
Perubatan fungsional banyak menekankan diet anti-keradangan, senaman berkala, berpuasa, tidur berkualiti dan pengurusan stres. Terlalu bergantung kepada pendekatan ini tanpa menggunakan ubat2an adalah sukar diaplikasikan kepada semua orang kerana ramai yang tidak mampu bertahan akibat kesibukan, kurang berpendidikan, kurang motivasi, kesukaran untuk memantau dan masalah ekonomi serta sosial.
4. Tidak semua punca boleh dikenal pasti atau dirawat
Kajian2 tentang punca penyakit masih terhad dan begitu juga ujian2 pengesanannya. Banyak punca penyakit yang tidak diketahui sepenuhnya, contohnya sebahagian penyakit kanser, penyakit autoimun, penyakit mental atau gangguan neurologi. Kadangkala, merawat simptom adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kualiti hidup sementara punca masih dalam kajian.
Perubatan fungsional menawarkan pendekatan yang nampak menarik dan holistik, tetapi menghadapi cabaran besar untuk dilaksanakan, sukar dibuktikan berkesan secara saintifik dan tidak mendapatkan pengiktirafan arus perdana.
Pesakit perlu berhati-hati dan sentiasa mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba rawatan alternatif yang berbeza dengan perubatan konvensional. Dikhuatiri ada pihak yang menggunakan rawatan alternatif ini untuk tujuan mengaut keuntungan peribadi.
IMPLIKASI TERHADAP PENGAMAL PERUBATAN FUNGSIONAL
Setakat tarikh rencana ini ditulis, bidang perubatan fungsional belum mendapat pengiktirafan secara resmi dari WHO, KKM dan banyak lagi badan kesihatan antarabangsa. Di bawah akta 775 TCM (Traditional dan Complimentary Medicine), bidang perubatan fungsional TIDAK tersenarai di dalam senarai amalan TCM.
Pada pandangan peribadi saya, berdasarkan kepada isu pengiktirafan di atas, terdapat beberapa implikasi yang bakal dihadapi oleh pengamal perubatan fungsional di negara kita melibatkan aspek undang-undang, etika, keselamatan dan profesionalisma. Berikut adalah penjelasan:
1. Tiada pengiktirafan rasmi oleh kerajaan
Pengamal tidak mempunyai lesen atau sijil pengiktirafan rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pengamal TCMP (PT&K). Mereka tidak boleh berdaftar secara sah di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari Malaysia (MPPTKM), yang diperlukan untuk amalan sah dalam bidang TCM.
2. Risiko dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peraturan kesihatan
Jika pengamal PF mengiklankan diri sebagai “doktor” atau membuat diagnosis perubatan secara klinikal, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yakni hanya pengamal perubatan berdaftar boleh memberi diagnosis atau rawatan perubatan. Mereka juga boleh didakwa di bawah Akta 775 TCM, jika seseorang mendakwa dirinya pengamal TCM tanpa pendaftaran, ia boleh dianggap satu kesalahan. Penggunaan ubat, suplemen atau intervensi rawatan dengan membuat tuntutan merawat beberapa jenis penyakit juga melanggar akta ubat (iklan dan penjualan) 1956 di bawah Lembaga Iklan Ubat.
3. Sukar membina kerjaya atau pengiktirafan profesional secara rasmi
Sepatutnya pengamal tidak boleh berkhidmat secara rasmi di klinik atau hospital kerajaan. Pesakit juga sukar mendapat sokongan insurans perubatan, kerana rawatan tidak diiktiraf.
4. Cabaran dari segi kepercayaan awam dan reputasi
Pesakit mungkin mempersoalkan kesahihan kelayakan dan kredibiliti pengamal perubatan fungsional. Tanpa peraturan atau piawaian rasmi, wujud risiko berlaku penyalahgunaan atau tuntutan palsu oleh pengamal tidak beretika.
5. Isu etika, profesionalisma dan salahlaku doktor perubatan yang mengamalkan PF
Jika pengamal PF itu adalah seorang doktor yang berdaftar dan memiliki sijil amalan dari MMC, mereka terikat dengan peraturan2 yang ditetapkan oleh badan tersebut. Mereka boleh diambil tindakan jika amalan mereka bercanggah dengan polisi dan prinsip yang ditetapkan oleh MMC. Mempromosikan satu pendekatan yang jauh berbeza dengan amalan perubatan konvensional adalah satu tindakan yang serius melibatkan isu etika, salahlaku dan profesionalisma. Lebih-lebih lagi jika mereka juga merendah2kan kaedah rawatan PK sehingga mengelirukan orang ramai.
AMALAN PERUBATAN FUNGSIONAL YANG SELARI DENGAN PERUBATAN KONVENSIONAL
Memandangkan PF ini ujud kemudian, terdapat beberapa amalan dari perubatan ini yang diambil dari PK. Malahan Dr. Jeffrey sendiri mengakui tentang kepentingan kaedah rawatan PK terutama untuk kes2 kecemasan dan akut. Terdapat pengamal PF yang lebih terbuka, mengambil sebahagian pendekatan PK , termasuk penggunaan ubat2an dan vaksin. Di antara amalan PF yang selari dengan PK adalah kepentingan prinsip "patient centred approach" di mana dititikberatkan hubungan dan komunikasi yang baik antara perawat dan pesakit, disamping menyesuaikan kaedah rawatan pesakit secara individu. Konsep ini diterima tetapi pendekatan yang diambil dan proses yang dilalui oleh pesakit berbeza. Pengambilan sejarah pesakit dan keluarga yang terperinci juga menjadi amalan pengamal PF yang boleh dicontohi oleh pengamal PK. Amalan diet yang seimbang, diet rendah kalori, mencegah kegemukan, diet Meditaraneun, pengurangan gula, elakkan makanan yang diproses, pengendalian stress, tidur yang cukup dan senaman yang tetap adalah antara amalan yang selari dengan PK. PK juga tidak menolak "intermittent fasting" jika dilakukan dengan alasan dan kaedah yang betul di bawah pengawasan pengamal yang bertauliah.
Dato' Dr.Rushdan Noor
23hb Mei 2025
TULISAN INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 INSTITUSI ATAUPUN ORGANISASI. PENULIS JUGA TIDAK BERNIAT UNTUK MENJATUHKAN REPUTASI MANA2 PIHAK SEBALIKNYA MENYATAKAN KEBENARAN. TULISAN INI TERBUKA KEPADA SEBARANG KRITIKAN DAN PENDAPAT YANG BERBEZA.
TIDAK DIBENARKAN MANA2 PIHAK MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI UNTUK APA2 TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS.
RUJUKAN
No comments:
Post a Comment