BERWASPADA DENGAN DAKYAH PROPAGANDIS PEMECAHBELAH
Di sebalik manfaatnya yang besar media sosial, ia boleh juga digunakan sebagai alat propaganda yang mampu mencetus kebencian dan perpecahan dalam masyarakat. Golongan tertentu, termasuk cybertrooper dan segelintir pempengaruh media sosial ataupun tokoh2 berpengaruh boleh memanipulasi maklumat demi kepentingan sendiri atau pihak yang mereka sokong.
CYBERTROOPER SEBAGAI PROPAGANDIS
Cybertrooper merupakan individu atau kumpulan yang bertindak menyebarkan naratif tertentu di media sosial bagi membentuk persepsi awam. Mereka mungkin diupah dan sering digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menyebarkan maklumat yang berat sebelah, menyerang pihak lawan, atau memesongkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar.
Propagandis yang berjaya menggunakan pelbagai teknik seperti berita palsu, manipulasi emosi, teknik pengulangan, dan penyembunyian fakta untuk mempengaruhi masyarakat supaya mempercayai sesuatu idea tanpa pertimbangan kritis. Umpan mereka adalah orang2 yang kurang teliti, mudah mempercayai dan kuat beremosi. Sentimen berkaitan dengan agama, raja2 melayu dan kaum adalah paling mudah digunakan untuk menjayakan agenda mereka.
PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL DAN SIKAP KEPURA2-PURAAN
Pempengaruh media sosial ataupun tokoh2 berpengaruh pula mampu memainkan peranan yang lebih halus dalam menyebarkan propaganda. Mereka sering berpura-pura bersikap neutral, perihatin dan baik, tetapi sebenarnya memihak kepada parti politik atau NGO tertentu atau yang disokong oleh majoriti, bukan kerana kebenaran tetapi kerana populariti, kepentingan peribadi dan keuntungan. Dengan pengaruh yang besar, mereka mampu membentuk pandangan masyarakat dengan cara yang menguntungkan mereka atau pihak yang mereka sokong.
Sebagai contoh, di dalam beribu2 kebaikan yang dilakukan oleh pihak yang disasarkan, mereka mencari satu atau dua kesilapan atau keburukan untuk ditularkan sehingga menjadi sensasi. Ataupun mereka hanya memilih sisi yang buruk sahaja untuk ditonjolkan. Hasilnya, persepsi negatif berjaya diujudkan hingga menimbulkan perasaan benci dan marah. Segala kebaikan yang dilakukan akan tenggelam begitu sahaja.
Menyebar keburukan lebih mudah dan menyeronokkan. Netizen berpusu2 memenuhi akaun media sosial mereka dan bilangan peminat meningkat dengan mendadak. Mereka akan mengabaikan fakta sebenar dan menggambarkan pandangan yang salah sebagai sesuatu yang benar, selagi ia mendapat sokongan daripada audiens yang besar. Nampaknya golongan ini tidak jauh bezanya dengan cybertrooper dari aspek agen propaganda, walaupun mereka ada sumbangan yang positif kepada masyarakat melalui kerja amal ataupun ilmu yang disampaikan.
KESAN TERHADAP MASYARAKAT
Kesan penggunaan media sosial sebagai alat propaganda seumpama ini sangat membimbangkan. Ia boleh menyebabkan masyarakat menjadi lebih berpecah-belah, saling membenci, dan mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih. Fitnah dan salah faham tersebar luas. Kepercayaan terhadap institusi dan media arus perdana juga semakin terhakis apabila maklumat yang bercanggah tersebar tanpa kawalan. Yang baik nampak buruk dan sebaliknya.
Oleh itu, kesedaran dan pemikiran kritis dalam menilai maklumat di media sosial adalah amat penting. Masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang disebarkan oleh cybertrooper dan pempengaruh yang tidak beretika ini. Hanya dengan sikap yang lebih rasional dan bertanggungjawab, kita dapat memastikan media sosial digunakan untuk manfaat bersama, bukannya sebagai alat untuk menyemai kebencian dan perpecahan. Sikap teliti, kritis dan tidak mudah taksub mampu menjadi benteng yang berkesan kepada orang ramai.
Pihak berkuasa tidak boleh memandang ringan fenomena ini kerana jika lambat bertindak, ianya akan menjadi umpama wabak penyakit yang tidak boleh dikawal lagi. Tindakan tegas dan berkesan perlu diambil ke atas propagandis2 dan pempengaruh media sosial yang tidak bertanggungjawab ini. Alangkah baiknya jika propagandis2 ini beraleh sikap kepada pendokong keamanan dan kasih sayang.
Nota: Tulisan ini bukan tulisan politik atau mewakili mana2 kumpulan, ianya bersifat umum dan juga untuk peringatan kepada penulis.
Dato' Dr.Rushdan Noor
5hb April 2025
No comments:
Post a Comment