Monday, 24 March 2025

MENGAPA IVERMECTIN BELUM BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MERAWAT KANSER

 

PENDAHULUAN

Ivermectin ditemui oleh pakar mikrobiologi Jepun bernama Satoshi Omura dan pakar parasitologi Irish, William C. Campbell pada tahun 1970 an. Kegunaan utama Ivermectin adalah merawat jangkitan parasit dan memang telah membantu ramai orang terutama penduduk2 di negara yang mundur.

Ivermectin diperolehi daipada bakteria dalam tanah yang dikenali sebagai Streptomyces avermitilis. Asalnya digunakan untuk merawat jangkitan parasit yang menjangkiti haiwan dan kemudian digunakan ke atas manusia pada hujung tahun 1980 an. Untuk manusia, ianya pertama kali digunakan untuk merawat onchocerciasis ataupun ”river blindness”, kemudiannya berkembang untuk merawat lebih banyak jenis jangkitan parasit.

Ivermectin diberikan kepada manusia dalam bentuk makan dan kemudiannya dihasilkan dalam bentuk topikal. Hari ini ivermectin digunakan untuk merawat banyak jenis jangkitan nematode ke atas manusia termasuk onchocerciasis, strongylloidiasis, loiasis, filariasis dan lain-lain.

Penggunaan ivermectin berkembang kepada masalah kesihatan lain di mana FDA telah meluluskan penggunaannya untuk merawat rosacea, sejenis penyakit kulit yang tidak diketahui puncanya (kemungkinan gabungan dari faktor genetik, sistem imun dan persekitaran ). Kemudian ianya dikaji untuk merawat jangkitan virus termasuk Covid-19.
Kesimpulannya setakat ini ivermectin diluluskan oleh FDA hanya untuk merawat jangkitan parasit yang menyebabkan Intestinal strongyloidiasis, Onchocerciasis, Lymphatic filariasis dan scabies. Manakala keadaan lain, FDA meluluskan penggunaannya untuk merawat penyakit kulit kronik Rosacea. Sementara itu FDA masih belum meluluskan Ivermectin untuk jangkitan adenovirus, Covid-19, beberapa lagi penyakit autoimun dan kanser kerana bukti klinikal belum mencukupi.

IVERMECTIN DAN RAWATAN KANSER

Puas saya mencari kajian klinikal menggunakan Ivermectin untuk merawat kanser ke atas manusia, tetapi gagal. Hanya satu sahaja kajian klinikal fasa 1/2 yang sedang berjalan menggabungkan pembrolizumab atau balstillimab (terapi imun) dan Ivermectin untuk kes kanser payudara jenis TNBC yang merebak (metastatik). Tetapi tumpuan kajian ini hanya untuk menentukan aspek keselamatan dan dos ke atas manusia. Kajian ini dijangka selesai pada bulan oktober 2026. (https://clinicaltrials.gov/study/NCT05318469).
Kesemua kertas kajian yang disiarkan di dalam jurnal (selepas pencarian menggunakan injin Pubmed dan ScienceDirect) adalah kajian makmal ataupun praklinikal yang dilakukan ke atas kultur sel (in-vitro) ataupun haiwan (in-vivo). Melalui kajian2 ini, ahli sains memberi pendapat tentang ciri-ciri antikanser yang dimiliki oleh Ivermectin. Antara jenis2 kanser yang dikaji adalah kanser payudara, kanser perut, kanser hati, kanser buah pinggang , kanser prostat, leukemia, kanser serviks, kanser ovari, glioblastoma dan melanoma. Kajian2 ini menunjukkan Ivermectin bertindak melalui beberapa mekanisma seperti merencat Akt/mTOR pathway yang meransang autophagy (makan diri sendiri) ke atas lapisan sel kanser payudara, kesan keatas PAK1 (p-21 activated kinase), merencat angiogenesis, mengganggu fungsi mitokondria dan meransang apoptosis ke atas sel kanser glioblastoma serta merencat pembiakan sel melalui halangan ke atas Akt/mTOR pathway.

Selebihnya adalah laporan kes ("case reports") dan di dalam setiap laporan kes tersebut kemoterapi dan kaedah2 lain rawatan kanser diberikan bersama ivermectin. Begitulah juga laporan kes oleh seorang doktor yang bernama Dr. William Makis, saya hanya menemui protokol rawatan kanser yang mungkin beliau sendiri yang cadangkan menggunakan Ivermectin, Mebendazole (ubat cacing), kunyit dan minyak CBD. Vitamin C , D dan diet juga dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam protokol tersebut.
( https://eyesonbrasil.com/dr-makis-revolutionary.../amp/ ). Tidak ditemui laporan kes secara lengkap ataupun kajian klinikal ke atas protokol tersebut di mana-mana jurnal. Ianya hanya dakwaan di dalam portal. Dari perspektif perubatan moden, laporan kes ini statusnya sama seperti testimoni, tidak boleh dijadikan rujukan yang berwibawa untuk diamalkan di luar konteks penyelidikan.
Cerita tentang Dr. Makis ada di pautan ini : https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10226899278295816

MENGAPA IVERMECTIN BELUM DIANGGAP UBAT ANTIKANSER YANG BERKESAN KEPADA MANUSIA

Setelah membuat pencarian maklumat dan berdasarkan kepada perbincangan di atas, boleh dirumuskan bahawa Ivermectin belum boleh diiktiraf sebagai ubat antikanser ke atas manusia. Berikut adalah alasan-alasan yang lebih terperinci:

1. BUKTI KLINIKAL YANG SANGAT TERHAD.
Walaupun kajian makmal ke atas lapisan sel ataupun haiwan mendapati ivermectin mungkin mempunyai ciri2 antikanser, belum ada kajian klinikal ke atas manusia. Kajian ke atas lapisan sel dan haiwan di dalam makmal adalah kajian praklinikal yang masih terlalu awal. Kajian ini tidak semestinya akan diterjemahkan kepada hasil yang sama apabila dilakukan ke atas manusia.

2. TIDAK ADA KAJIAN KLINIKAL KE ATAS MANUSIA
Setakat ini belum ada kajian klinikal yang besar dijalankan ke atas manusia. Melalui pencarian injin Pubmed dan DirectScience yang saya lakukan, kesemua kertas2 kajian yang disiarkan adalah kajian praklinikal yakni kajian ke atas kultur sel (in vitro) ataupun kajian ke atas haiwan (in-vivo). Saya hanya menemui satu kajian fasa 1/2 yang sedang berjalan menggabungkan terapi imun ("immunotherapy") bernama pembrolizumab dengan Ivermectin, peserta kajian ini adalah pesakit kanser payudara yang sudah mengalami kanser merebak (metastasis). Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan keselamatan ivermectin dan dos ke atas manusia. Kajian ini dijangka akan tamat pada bulan oktober 2026 nanti.

3.BELUM DIKETAHUI DOS OPTIMUM DAN KESELAMATANNYA ('SAFETY")
Disebabkan belum ada lagi kajian klinikal keatas manusia yang menentukan dos dan keselamatan, maka setakat ini kita belum lagi mengetahui dos optimum dan juga samada ivermectin ini mempunyai kesan sampingan termasuk kesan ke atas anak yang dikandung. Jika dikaji dos yang diberikan ke atas haiwan di dalam makmal, jika diterjemahkan kepada manusia, ianya akan melepasi dos selamat. Dos Ivermectin untuk merawat jangkitan parasit adalah 150-200 mcg/kg/hari. Manakala untuk kanser, dos yang digunakan di dalam kajian ke atas haiwan adalah dari 400 mcg/kg/hari sehingga 20 kali ganda lebih tinggi iaitu 4 mg/kg/hari. Terdapat perbezaan dos yang digunakan dalam setiap kajian praklinikal, jadi sukar untuk menetapkan dos optima. Tidak ada jaminan keselamatan ubat ivermectin yang diberikan melepasi dos 0.4 mg/kg. Di antara kesan sampingan dos yang berlebihan (dos > 2 mg/kg) adalah kerosakan saraf (keliru, sawan), kerosakan hati, tekanan darah yang rendah, denyut jantung yang tidak tetap dan gejala usus seperti muntah. Ubat ini tidak boleh diambil oleh wanita hamil, kanak-kanak, penghidap penyakit hati dan individu yang mengambil ubat pelali.

4. TIDAK DISOKONG OLEH MANA-MANA PERTUBUHAN KESIHATAN DAN KANSER ANTARABANGSA .
Contohnya WHO, National Cancer Institute dan American Cancer Society tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat kanser manusia. Badan-badan regulasi ubat seperti FDA (US Food and Drug Administration) dan EMA (European Medicines Agency) tidak meluluskan ivermectin untuk tujuan merawat kanser.

5. SUDAH ADA KAEDAH2 RAWATAN KANSER YANG LEBIH BERKESAN dan telah dibuktikan melalui kajian klinikal yang besar ke atas manusia. Kaedah2 rawatan tersebut adalah kemoterapi, radioterapi, terapi sasaran dan immunotherapy. Menggantikan kaedah2 rawatan ini dengan ubat yang belum terbukti berkesan boleh menyebabkan rawatan yang betul lambat dimulakan dan menjejaskan peluang untuk sembuh ataupun menurunkan kadar survival. Ia hanya boleh digunakan dalam konteks kajian klinikal di bawah penyeliaan penyelidik yang layak ataupun pakar kanser.

Ubat-ubat cacing/anti parasit lain seperti Mebendazole and Fenbendazole juga ditemui mempunyai ciri-ciri antikanser di dalam kajian makmal tetapi jika ivermectin sendiri masih jauh lagi untuk diiktiraf, apatah lagi kedua2 ubat tersebut.

KESIMPULAN

Kanser adalah penyakit kronik yang sangat kompleks dan begitu juga kaedah2 rawatan yang diberikan. Kaedah rawatan kanser hendaklah sudah terbukti berkesan melalui kajian klinikal ke atas manusia. Ivermectin mungkin didapati mempunyai ciri2 antikanser tetapi semuanya ditemui dalam kajian makmal ataupun praklinikal. Belum ada kajian klinikal yang besar ke atas manusia untuk membolehkan ivermectin digunakan sebagai pilihan kepada rawatan kanser yang sedia ada. Ivermectin hanya boleh digunakan dalam konteks penyelidikan dan tidak boleh digunakan untuk merawat pesakit kanser di lapangan. Walaupun boleh digunakan di dalam penyelidikan, ia tidak boleh diberikan bersendirian ("stand alone") tetapi perlu digabungkan dengan ubat2 antikanser yang sudah diiktiraf. Pihak yang menggunakan Ivermectin untuk merawat kanser di luar konteks penyelidikan boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Merawat kanser dengan ivermectin boleh menyebabkan kaedah rawatan yang betul akan dilambat2kan ataupun tidak langsung dapat dimulakan, ini boleh menjejaskan peluang untuk sembuh, di samping kesan sampingan ivermectin yang diberikan pada dos yang terlalu tinggi. Saya menyeru kepada pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan kanser dari pakar kanser yang bertauliah.


DDr.Rushdan Noor

24hb Mac 2024


RUJUKAN

https://www.theguardian.com/world/2021/sep/24/ivermectin-covid-peru-misinformation

https://science.feedback.org/review/preclinical-studies-cannot-provide-sufficient-evidence-ivermectin-helps-treat-cancer-people/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7505114/

https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1043661820315152

https://www.cancer.gov/research/participate/clinical-trials-search/v?id=NCI-2022-02421

https://www.poynter.org/fact-checking/2025/ivermectin-cure-cancer-parasite/

https://www.aap.com.au/factcheck/claims-ivermectin-is-a-proven-cancer-treatment-are-premature/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11008553/#:~:text=One%20study%20revealed%20that%20after,lines%20%5B26%2C%2067%5D.

https://www.mskcc.org/podcasts/cancer-straight-talk/alternative-cancer-treatments-science-vs-hype?fbclid=IwY2xjawJIkj9leHRuA2FlbQIxMQABHUkSfPtahu9AYTg2CpxZmHCAC50mNqKqpjtGI7RG8hQJKdXvUOzqsCL5LQ_aem_UnzgX7JhUTECmXOBl1CMGg

https://www.intechopen.com/chapters/78376

https://www.mdpi.com/2072-6694/14/18/4357

https://science.feedback.org/review/preclinical-studies-cannot-provide-sufficient-evidence-ivermectin-helps-treat-cancer-people/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11008553/?fbclid=IwY2xjawJImNtleHRuA2FlbQIxMAABHXsTdJoPqJM33f6YyzYwIDxqVxo3ipBUx-9aZxgOV33aBYI0DqdoHBiktg_aem_0zJvADPQ1un1z29D-668rQ#:~:text=Ivermectin%20inhibits%20angiogenesis%20by%20inducing,could%20be%20valuable%20anticancer%20effects

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7505114/

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6982461/

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/34218593/

A Phase I/II Study Evaluating the Safety and Efficacy of Ivermectin in Combination with Balstilimab in Patients with Metastatic Triple Negative Breast Cancer with Expansion Cohort in PD-L1 Negative TNBC (https://clinicaltrials.gov/study/NCT05318469)

https://www.cancer.news/2024-10-16-study-anti-cancer-ivermectin-mebendazole-fenbendazole.html?utm_source=chatgpt.com

https://holistichealthonline.info/ivermectin-for-cancer/?utm_source=chatgpt.com




No comments:

Post a Comment