Saya sempat berbual dengan beberapa orang petugas Pengelola Jemaah Haji. Salah satu isu yang disentuh adalah keengganan bakal jemaah untuk ambil vaksin. Saya tak pasti kadar penolakkan vaksin dan juga berapa ramai yang memutuskan tidak mahu mengerjakan haji kerana takut ambil vaksin. Mereka salah faham dan dikelirukan oleh golongan antivaksin ataupun rakan2 mereka yang terjebak.
Saya tidak pasti samada ujud ataupun tidak, satu lagi golongan yang tidak ambil vaksin tapi terlepas dari radar pengesanan kerana di buku vaksin mereka tercatat vaksin telah diberikan. Jadi mereka pergi juga mengerjakan haji dengan risiko jangkitan yang lebih tinggi dari jemaah2 lain yang mengambil vaksin.
Golongan2 yang terlepas dari radar ini , sebenarnya telah melanggar peraturan pihak berkuasa haji dan juga meletakkan diri mereka serta orang2 di sekeliling mereka berisiko lebih tinggi mendapat jangkitan. Jangkitan2 yang dicegah oleh vaksin2 ini pula bukan jangkitan ringan. Mereka juga telah menipu dan bersubahat dengan pegawai2 yang memalsukan kad vaksin.
Katakan dengan takdir Allah, asbab dari mereka melanggar peraturan dan tidak berikhtiar dengan vaksin, mereka dijangkiti oleh penyakit yang serius hingga merosakkan organ badan ataupun mati.
Kemudian mereka menjangkiti pula jemaah2 lain yang juga seperti mereka ataupun peratusan kecil jemaah yang vaksin itu kurang berkesan. Mereka bukan sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi juga orang lain serta mengganggu kerja haji jemaah lain. Mungkin ada jemaah lain yang tidak sempurna kerja hajinya ataupun lebih parah, mati akibat jangkitan yang disebarkan. Dalam keadaan ini, berapa ramai pihak yang bersubahat dan akan menanggung dosa dari mudarat yang menimpa jemaah ini dan orang lain.
Analogi mudah untuk kita faham adalah memandu kereta tanpa memakai tali pinggang keledar dengan betul. Tali pinggang itu hanya ditarik sedikit ke bahu untuk mengelirukan pihak berkuasa, seolah2 dia sedang memakainya. Dipandunya kereta dengan laju, dilanggarnya lampu merah, kemudian bertembung dengan sepasang suami isteri yang menunggang motosikal, mati kedua2 pasangan suami isteri dan yatim piatu anak2 mereka. Kereta itu pula terbabas melanggar pokok dan akibat hentakan kuat tanpa bantuan dari tali pinggang keledar, kepalanya pecah terhentak di cermin hadapan, organ2 dalamnya juga cedera teruk.
Mungkin analogi ini tidak sama sepenuhnya dengan kes vaksin, tetapi dapat diambil pengajaran bahawa kita bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ataupun tindakan yang diambil. Tindakan yang kita pilih itu kadangkala memberi impak yang besar bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi orang lain. Manakala undang2 ataupun peraturan yang sudah dikuatkuasakan seperti mengambil vaksin, memakai tali pinggang keledar, tidak memandu laju dan tidak melanggar lampu merah, walaupun ciptaan manusia, ianya tentu bersebab dan patut dipatuhi.
Memang memakai tali pinggang keledar itu ada juga risikonya ("seat belt injuries"). Apatah lagi risiko memandu kereta. Sebenarnya risiko untuk mati akibat memandu kereta jauh lebih besar daripada risiko mati akibat suntikan vaksin.
Risiko untuk mati akibat kemalangan kereta adalah 1 kes dalam 8000 orang/tahun berbanding dengan risiko mati akibat vaksin yang kurang dari 1 kes dalam 1 juta per dos/tahun. Dengan kata lain, lebih munasabah menyuruh orang jangan memandu kereta daripada jangan mengambil vaksin.
Apa sahaja yang kita lakukan pasti ada manfaat dan mudaratnya. Kita perlu bijak membuat pertimbangan manfaat dan mudarat, kemudian memilih tindakan yang membawa lebih manfaat dari mudarat ataupun yang kurang mudarat dari dua kemudaratan. Pertimbangan yang tepat dipandu oleh ilmu yang betul. Ilmu yang betul hanya boleh diperolehi daripada sumber dan guru yang betul.
Kepada semua bakal jemaah haji, percayalah bahawa peraturan2 yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa haji, samada di Malaysia ataupun di Arab Saudi itu adalah bersebab dan munasabah.
Kepada pihak yang menyebarkan salah faham dan bersubahat memalsukan kad vaksin, tindakan anda akan dipertanggungjawabkan.
"Orang yang bijak bukanlah orang yang tahu mana yang baik dari yang buruk. Akan tetapi, orang yang bijak adalah orang yang tahu mana yang terbaik dari dua kebaikan dan mana yang lebih buruk dari dua keburukan" (Ibn Taimiyah)
Daripada Abi Sai’d al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Daruqutni dan Imam Malik dalam al-Muwatta’.)
Maklumat tambahan:
Risiko mati tercekik semasa makan adalah 1 per 100,000 orang/tahun berbanding dengan mati akibat vaksin 1 per 1 juta orang per dos/tahun (Statistik USA).
Dato' Dr.Rushdan Noor
11hb March 2025
JENIS-JENIS VAKSIN UNTUK MUSIM HAJI 2025
No comments:
Post a Comment