ANALISA KERTAS KAJIAN MULTINATIONAL GVDN COHORT STUDY OF 99 MILLION VACCINATED INDIVIDUALS : KESAN SAMPINGAN VAKSIN COVID-19
Saya terpanggil untuk menulis tentang kajian ini apabila mendapati ada pihak tertentu menggunakan hasil kajian ini untuk menakutkan orang ramai tentang bahaya vaksin Covid-19. Saya akan jelaskan mengapa hasil kajian ini tidak memberi apa2 perubahan kepada pendirian kita bahawa vaksin covid-19 membawa lebih manfaat dari mudarat.
RINGKASAN KAJIAN
1. Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana hubungan antara Vaksin Covid-19 dengan peningkatan penyakit2 yang mungkin disebabkan oleh vaksin tersebut.
2. Kajian ini adalah dari jenis "Observational Cohort" melibatkan 99 juta individu yang telah diberikan vaksin Covid-19 di 10 tempat dalam 8 negara. Jumlah dos yang diberikan adalah lebih kurang 240 juta dos.
3. Penyelidik mengumpulkan kadar kes yang mungkin kesan sampingan dalam masa 42 hari selepas suntikan ("observed rate"). Kemudian mereka bandingkan dengan kadar masalah kesihatan yang sama sebelum pandemik Covid-19 ("expected rate"). Kemudian mereka dapatkan Observed-to-Expected ratio (kadar OE ataupun OE ratio).
4. Sebanyak 13 jenis penyakit (menggunakan istilah AESI : Adverse events of special interest) telah dianalisa termasuk ke atas sistem saraf, darah dan jantung. Lima penyakit yang menjadi tumpuan utama adalah Guillain-Barre syndrome, cerebral venous sinus thrombosis, acute disseminated encephalomyelitis, myocarditis dan pericarditis.
5. Semua penyakit2 dipantau itu boleh berlaku tanpa suntikan vaksin. Jadi mereka membandingkan adakah terdapat peningkatan kadar penyakit tersebut selepas vaksin diberikan.
6. Tiga jenis vaksin Covid-19 terlibat dalam kajian ini iaitu vaksin mRNA (BNT162b2) dan mRNA-1273) dan vaksin adenovirus-vector (ChAdOx1).
PENEMUAN UTAMA DARI KAJIAN INI
Selepas membandingkan bilangan kes (penyakit) sebelum pandemik dan selepas vaksin Covid-19 diberikan, berikut adalah kadar peningkatan kes2 yang tersebut (OE ratio (Observed-to-Expected Ratio):
1. Kes Guillain-Barre Syndrome (GBS) meningkat selepas dos pertama vaksin ChAdOx1 pada kadar (OE ratio) 2.49.
2. Kes Cerebral Venous Sinus Thrombosis (CVST) meningkat selepas dos pertama vaksin ChAdOx1 pada kadar 3.23.
3. Acute Disseminated Encephalomyelitis (ADEM) meningkat selepas dos pertama vaksin mRNA-1273 pada kadar 3.78.
4. Myocarditis dan Pericarditis meningkat selepas suntikan semua jenis vaksin pada LBCI lebih dari 1.5 (LBCI: Lower bound CI)
5. Penyelidik membuat kesimpulan bahawa risiko untuk mendapat komplikasi yang sama selepas jangkitan Covid-19 jauh lebih tinggi dari akibat suntikan vaksin. Contohnya risiko mendapat GBS akibat jangkitan Covid 19 adalah 617 kali lebih tinggi dari akibat suntikan vaksin.
Komen: Walaupun peningkatan kadar kes kelihatan besar, disebabkan keempat2 penyakit ini sangat jarang berlaku, apabila diterjemahkan kepada bilangan kes, ianya sangat kecil jika dinisbahkan dengan jumlah dos vaksin. Contohnya kes GBS, peningkatan kadar GBS selepas suntikan vaksin adalah 2.49 kali ataupun 249% berbanding dengan sebelum pandemik. Jika diterjemahkan kepada bilangan kes, kadar kes GBS sebelum pandemik adalah 1 kes dalam 100,000 ("background rate"). Selepas suntikan vaksin, bilangan kes meningkat kepada 2.49 kes untuk setiap 100,000 dos, yakni peningkatan sebanyak 1.49 kes untuk setiap 100,000 dos ataupun tambahan 14.9 kes untuk 1 juta dos vaksin. Jadi bilangan sebenar kes2 tersebut masih sangat kecil.Itupun belum diambil kira kemungkinan kes2 itu bukan disebabkan oleh vaksin kerana kajian ini tidak dapat mengesahkan hubungan antara sebab dan akibat.
KELEMAHAN KAJIAN
1. Kajian observational seperti ini tidak dapat mengesahkan ujudnya kaitan antara sebab dan akibat. Masalah kesihatan yang dikenalpasti boleh berlaku tanpa suntikan vaksin.
2. Data2 kesihatan yang pelbagai dan rencam dari begitu banyak pusat termasuk isu pengesahan penyakit (diagnosis), ketepatan laporan dan lain2.
3. Tempoh pemantauan yang pendek
4. Pemilihan sampel yang bias
5.Potensi "over diagnosis" yakni kes yang dilaporkan bukan akibat vaksin Covid-19.
6. Perbandingan secara retrospektif seperti ini tidak mempunyai kumpulan control yang baik, di samping kadar sebenar penyakit2 yang dianalisa tidak diketahui dengan tepat kerana ia mungkin berbeza2 mengikut tempat dan masa.
KESIMPULAN
Kesan sampingan daripada suntikan vaksin Covid-19 yang tersenarai bukanlah baru dan sudah diketahui sebelum kajian ini dijalankan. Penyakit2 yang dianalisa adalah sangat jarang berlaku dan boleh berlaku tanpa kaitan dengan vaksin. Jika berlaku dengan vaksin sekalipun, ia masih dianggap kesan sampingan yang amat jarang berlaku.
Walaupun kadar peningkatan kes selepas suntikan vaksin seakan2 besar, sebenarnya ia tidak melibatkan bilangan kes yang tinggi jika dinisbahkan dengan jumlah suntikan vaksin. Itupun belum diambil kira kemungkinan kes2 itu bukan disebabkan oleh vaksin.
Disebabkan kajian ini adalah kajian pemerhatian ("observational") dan membandingkan kes secara retrospektif (bukan kajian prospective RCT), kita tidak dapat mengesahkan ujudnya hubungan antara sebab dan akibat (berkemungkinan masalah kesihatan tersebut bukan diakibatkan oleh vaksin). Kajian lanjut yang lebih berkualiti perlu dijalankan.
Hasil kajian ini tidak menafikan besarnya manfaat suntikan vaksin Covid-19 di dalam mencegah jangkitan, mengurangkan kematian, mengurangkan jangkitan serius dan mengurangkan komplikasi jangkitan termasuk long Covid-19. Myocarditis (radang otot jantung), GBS dan ADEM adalah juga komplikasi jangkitan Covid-19 dan suntikan vaksin dapat menurunkan risiko komplikasi2 ini. Salah satu kesimpulan yang dibuat oleh penyelidik adalah bahawa risiko untuk mendapat GBS selepas jangkitan Covid 19 ialah 617 kali lebih tinggi dari GBS yang diakibatkan oleh suntikan vaksin. Pendirian bahawa manfaat vaksin Covid-19 yang jauh lebih besar daripada kesan sampingan vaksin tetap tidak berubah.
Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Mac 2025
Faksova K, Walsh D, Jiang J, et al. COVID-19 vaccines and adverse events of special interest : A multinational Glibal Vaccine Data Network (GVDN) cohort study of 99 million vaccinated individuals. Vaccine, April 2024, 42(9):2200-2211.
https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0264410X24001270?fbclid=IwY2xjawJKIUdleHRuA2FlbQIxMAABHSCZycG-tp64Ss7iygVkUBMtyDpgHtoMvf3uq7tx8OIhDxEwmVi32b-Ojg_aem_-RWd16lwU8v8v4oHDmhpDw
No comments:
Post a Comment