Agama Islam sangat menitikberatkan kepentingan menjaga keamanan dan hubungan antara manusia. Di dalam negara yang berbilang kaum dan agama, usaha untuk mengekalkan keharmonian bukanlah satu kerja yang mudah.
Resepi untuk terus hidup dengan aman bersama2 adalah menghormati antara satu sama lain dan menerima kepelbagaian dengan hati terbuka. Jadi, sikap sambil lewa dan memperlekehkan agama lain samada dari aspek theologinya ataupun Tuhan, tokoh2 serta kitab suci mereka boleh mencetus ketegangan dan suasana tidak aman.
Setiap penganut agama perlu tahu batas dan perkara2 yang tidak boleh mereka langkau sehingga mengguris perasaan penganut agama lain. Walaupun wujud disiplin perbandingan agama, ianya hendaklah digunakan untuk tujuan akademik dan jika hendak dipraktikkan digunakan dalam ruang tertutup untuk menguatkan keyakinan diri terhadap agama yang dianuti dan bukan didedahkan secara terbuka kepada umum.
Pada masa tulisan ini dihasilkan, sedang ujud suasana panas apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap beberapa orang Islam yang dituduh menghina ajaran agama lain. Maka terdapat golongan yang seagama dengan tertuduh yang marah kerana kononnya pihak berkuasa bertindak secara berat sebelah ataupun "double standard".
Ketidakpuasan ini disemarakkan lagi oleh kenyataan beberapa orang tokoh agama, ahli akademik dan pempengaruh. Seperti biasa, ramai yang terpengaruh dan menelan bulat2 apa yang diperkatakan, sedangkan realitinya berbeza. Jika diselidiki kes2 penghinaan agama yang berlaku di negara kita, memang kita dapati pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas ke atas setiap laporan polis dan juga Jabatan Agama. Menurut Menteri Agama, semenjak tahun 2020 hingga 2024, sebanyak 61 kes2 menghina agama Islam yang dilakukan oleh orang Islam telah dilaporkan dan 57 kes sudah didakwa. Pada tahun ini juga semua kes2 menghina agama Islam telah diambil tindakan termasuk ke atas seorang pelawak dan wanita tionghua. Pendek kata, tuduhan mengatakan pihak berkuasa "double standard" terhadap kes-kes penghinaan agama Islam adalah tidak betul. Tambahan pula setiap kes itu mungkin berbeza daripada segi tahap kesalahan, akta yang terlibat dan proses undang-undang yang perlu dilalui. Lambat ataupun cepatnya proses2 ini berjalan mungkin berbeza tetapi yang penting tidak ada yang terlepas.
Seperti biasa, segala isu yang boleh digunakan sebagai senjata politik akan dimanipulasikan oleh pihak2 tertentu untuk laba politik mereka. Kenyataan2 yang tidak bertanggungjawab ditulis di dalam media sosial untuk tujuan memburuk2kan pihak berkuasa dan kerajaan. Peluang ini juga diambil oleh pempengaruh media sosial untuk dijadikan konten bagi menarik lebih ramai peminat semata2 untuk matlamat peribadi mereka. Mereka tidak sedar yang tulisan mereka itu berpotensi menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang. Penganut agama dari kedua2 pihak yang akan bertelagah sesama sendiri dan saling cabar mencabar hingga berlaku kebencian dan permusuhan. Di samping itu, di dalam kalangan penganut sesama agama juga ujud kumpulan2 berbeza yang bertelagah dan meletakkan berbagai label serta tuduhan ke atas sahabat seagama mereka.
Sepatutnya, setiap pihak membuat kenyataan yang adil, bertanggungjawab dan tidak mencetuskan lebih ketegangan, umpama menyimbah minyak ke dalam api. Pengaruhnya lebih besar jika yang menulis itu adalah tokoh2 agama dan akademik. Dalam suasana tegang ini, sepatutnya kita mengajak kepada pendamaian dan bukan menunding jari kepada mana2 pihak. Jika tidak mampu melakukannya, berdiam diri itu adalah lebih baik.
Berbalik kepada kes-kes penghinaan terhadap agama, kita dapati banyak penghinaan ini dilakukan oleh umat Islam sendiri ke atas agama mereka. Walaupun ada kes-kes penghinaan penganut agama lain ke atas agama Islam, bilangannya lebih rendah. Apakah ini satu petunjuk yang amalan dan pengetahuan penganut agama Islam sendiri sedang mengalami masalah? Persoalan ini patut ditujukan kepada tokoh2 agama dan pemimpin2 agama di negara kita kerana mereka sepatutnya bertanggungjawab mendidik masyarakat dan umat Islam.
Pada pendapat peribadi saya, menghina dan memperlekahkan agama tidak hanya merujuk kepada penghinaan ke atas Nabi, Allah dan Al-Quran sahaja. Seseorang ataupun sekumpulan umat Islam yang melanggar perintah Allah dan Rasul secara terang2an, dilakukan pula berulangkali, boleh dianggap sebagai menghina atau memperlekehkan agama Islam. Menukar hukum hakam agama dan menafsir ayat suci serta hadith mengikut selera mereka untuk mencapai cita2 keduniaan sepatutnya juga dianggap menghina agama Islam. Menunggang agama untuk kepentingan peribadi dan ideologi tertentu di mana kedudukan agama diletakkan di bawah dari matlamat perjuangan juga boleh dianggap menghina agama Islam. Pembaca boleh membaca tulisan saya tentang MENUNGGANG AGAMA UNTUK HABUAN DUNIA di sini.
Tafsiran menghina dan memperlekehkan agama sebenarnya lebih luas. Menghina Nabi, Allah dan Al-Quran boleh dianggap kemuncak penghinaan agama. Terdapat tindakan2 lain seperti yang dinyatakan di atas juga tergolong di dalam maksud menghina ataupun memperlekehkan agama, walaupun mungkin tahap nya lebih rendah. Masyarakat mungkin terlepas pandang bahawa penghinaan agama di bawah kategori kedua itu sedang berlaku secara berleluasa di mana2 dalam masyarakat Islam dan yang sedihnya dilakukan oleh orang Islam sendiri.
Sesuatu yang tegas dan berkesan perlu dilakukan segera bagi membendong masalah ketegangan akibat daripada tindakan menghina agama ini. Setiap individu perlu berhati2 apabila memperkatakan tentang agama lain dan sentiasa peka terhadap sensitiviti penganut agama lain. Undang2 yang lebih tegas perlu dikuatkuasakan terhadap mana2 penghina agama dan tidak ada pilih kasih ataupun berat sebelah. Di samping pesalah, tindakan tegas sepatutnya juga diambil ke atas mana2 pihak yang mengapi2kan sentimen yakni yang mencurahkan minyak ke dalam api. Mereka ini mungkin lebih merbahaya daripada pesalah kerana akibat daripada sikap mereka itu boleh mencetuskan gelombang kebencian dan perpecahan yang jauh lebih besar.
Untuk kes penghinaan terhadap agama, akta yang terpakai sekarang termasuk Akta Hasutan 1948, akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta kanun keseksaan. Ada pihak yang mencadangkan diujudkan akta 3R ( kaum, agama dan institusi raja) yang lebih luas termasuk pendakwaan kes pesalah yang berada di luar negara ataupun bukan warga negara.
Negara kita adalah negara berbilang kaum dan agama, kita sudah begitu lama hidup aman damai. Walaupun sekali sekala berlaku ketegangan, kita dapat mengharunginya dengan baik, umpama biduk lalu kiambang bertaut. Kita tidak mahu keharmonian dan keamanan ini dinodai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab meniup api kebencian dan perpecahan.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
8hb Mach 2025
https://www.utusan.com.my/nasional/2025/02/61-tangkapan-babitkan-hina-agama-islam-mohd-naim/?utm_source=chatgpt.com
https://www.facebook.com/share/p/1XvSHHTSWr/
https://www.facebook.com/share/p/15Xh25MMpE/
https://www.facebook.com/share/p/1YhvQFVnNL/
No comments:
Post a Comment