Saturday, 22 March 2025

MENGAPA DIET KURANG GULA (LESS SUGAR) LEBIH BAIK DARI DIET TANPA GULA (NO SUGAR)

 



Mengambil gula yang berlebihan memang sudah diketahui sebagai punca kepada banyak masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, gula juga diperlukan oleh badan terutamanya sebagai sumber tenaga. Maka, ujudlah dua pihak yang mempunyai pendapat berbeza samada lebih baik mengurangkan pengambilan gula ataupun menghentikan sepenuhnya gula di dalam diet. Saya lebih cenderung untuk memilih diet rendah gula daripada diet tanpa gula. Ikuti penjelasan saya di bawah.

ALASAN MENGAPA DIET KURANG GULA LEBIH BAIK DARI DIET TANPA GULA

Terdapat beberapa alasan mengapa diet kurang gula lebih baik daripada diet tanpa gula, 5 alasan utama adalah seperti berikut:

1. Kajian-kajian klinikal ke atas kesan diet kurang gula lebih banyak dijalankan dan menunjukkan bahawa pengurangan gula di dalam makanan dapat meningkatkan mutu kesihatan jangka panjang. Di antara manfaat mengurangkan gula di dalam diet adalah mengawal berat badan, kesihatan jantung, mengurangkan risiko penyakit diabetes, mengurangkan masalah gigi , kesihatan kulit, kesihatan mental, hati dan lain-lain. Tidak hairanlah mengapa diet kurang gula ini disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (gula bebas <10% dari jumlah kalori). NHS UK pula mengesyorkan gula bebas kurang dari 5%.

2. Kajian2 klinikal ke atas amalan diet tanpa gula pula sedikit dan hampir tidak ada kajian kesan jangkapanjang ke atas pengamalnya. Terdapat kajian yang rendah kualiti seperti kajian pemerhatian (observational study) dan kajian ke atas haiwan. Kebanyakan dakwaan manfaat daripada diet tanpa gula ini dibuat berdasarkan teori dan kajian2 kecil. Ada sebab mengapa kajian klinikal diet tanpa gula ini lebih rendah bilangannya, ikuti penerangan di bawah.

3. Diet kurang gula lebih mudah diamalkan dan lebih praktikal. Ianya lebih serasi dengan naluri manusia, tidak perlu melalui peraturan yang terlalu ketat dan menyusahkan. Apabila lebih mudah dilakukan, amalan ini dapat dipertahankan dalam masa yang lebih panjang.

4. Mengamalkan diet tanpa gula lebih sukar dan memerlukan disiplin yang ketat menyebabkan ramai tidak dapat meneruskan amalan ini dalam masa yang lebih panjang. Mereka juga berhadapan dengan gejala gian gula ("sugar withdrawal"), kekurangan tenaga, ancaman kekurangan nutrin, kesan ke atas mental apabila gula dihentikan secara mendadak, masalah hormon dan juga kesan psiko-sosial. Kesan ini lebih ketara jika amalan diet itu tidak diselia oleh pakar ataupun petugas yang terlatih. Gejala2 ini boleh berlaku pada peringkat awal sebelum seseorang itu dapat menyesuaikan diri. Pengurangan gula dengan cara yang salah secara keterlaluan (contohnya menghentikan pengambilan gula semulajadi di dalam buah, susu, madu dll) boleh menyebabkan kekurangan vitamin, mineral dan serat yang ujud bersama sumber makanan tersebut. Kita juga tidak tahu kesan jangka panjang ke atas kesihatan.

5. Amalan mengambil diet kurang gula lebih selamat kerana dianggap kaedah yang lebih sederhana. Ia memberi peluang yang lebih baik untuk mendapat nutrisi yang seimbang, mencegah kehilangan tenaga yang mendadak dan menggalakkan hubungan yang sihat antara pengamal dengan makanan (mengurangkan risiko obses kepada makanan dan kelainan tabiat makan).

MENGAPA KAJIAN TENTANG DIET TANPA GULA TIDAK BANYAK DILAKUKAN

Umum mengetahui bahawa walaupun terdapat banyak jenis program diet tanpa gula, tidak ada kajian besar yang berkualiti dilakukan, lebih2 lagi kajian mengenai kesan kesihatan jangka panjang. Di antara sebab mengapa kajian2 ini sangat terhad adalah:

1. Kesukaran untuk mendapatkan peserta kajian yang mampu mengamalkan diet tanpa gula kerana masalah disiplin. Akibatnya, peserta akan berhenti separuh jalan. Kadar ketidakpatuhan melaksanakan diet ini boleh mencapai sehingga 80%. Jenis diet yang berbeza2 mengikut tempat, kesediaan sumber makanan ("food availability") dan kebudayaan, mengujudkan kepelbagaian jenis diet, jadi sukar untuk menetapkan satu diet yang sesuai untuk semua.

2. Ketulinan diet tanpa gula ini sukar untuk disahkan memandangkan banyak makanan mengandungi gula samada gula semulajadi ataupun gula tambahan. Untuk mengeluarkan gula sepenuhnya dari makanan mungkin sangat sukar dan jika kajian dilakukan, sukar untuk memastikan diet itu benar2 bebas dari gula. Berkemungkinan diet tanpa gula yang diamalkan itu sebenarnya sudah jatuh di bawah kategori diet kurang gula.

3. Isu etika dan kos melaksanakan kajian. Mendesak peserta untuk mengikuti diet yang ektrem untuk bertahun2 boleh membawa implikasi etika perubatan kerana kita tidak tahu kesan jangka panjang. Kos untuk menjalankan kajian ini juga sangat besar.

4. Kesukaran untuk mendapatkan penaja bagi menjalankan kajian ini. Syarikat2 makanan tentu ragu2 untuk menaja kerana kajian itu nanti dibimbangi boleh berlawanan dengan hala tuju perniagaan mereka yang menjual produk makanan bergula. Jika ada pun syarikat yang ingin menaja, adalah syarikat yang sememangnya mempunyai produk yang selari dengan konsep bebas gula, tetapi dibimbangi pula kajian ini berat sebelah.

5. Konsep diet tanpa gula ini dianggap trend baru. Berbeza dengan konsep diet kurang gula seperti diet Mediterranean, diet berasaskan tumbuhan dan diet rendah lemak yang sudah lama ujud. Maka kajian2 tentang diet kurang gula jauh lebih banyak dan lebih besar.

MENGAPA DIET TANPA GULA INI BEGITU DIWAR-WARKAN

Terdapat beberapa sebab mengapa diet tanpa gula ini diwar2kan, di antaranya adalah:

1. Kesan pengurangan berat badan boleh diperolehi dalam masa yang lebih singkat dan manfaat lain untuk jangkamasa pendek. Walaupun kesan ke atas kesihatan jangkamasa panjang belum diketahui sepenuhnya. Manusia memang suka sesuatu yang memberi kesan yang cepat.

2. Kepentingan perniagaan (rujuk maklumat lanjut di bawah)

PERNIAGAAN BERASASKAN DIET TANPA GULA (SUGAR FREE DIET)

Salah satu sebab mengapa begitu banyak iklan dan promosi diet tanpa gula ataupun maklumat2 yang berat sebelah tentang gula di media-media adalah kerana ada kepentingan perniagaan. Untuk meningkatkan kepercayaan pengguna, kempen memburuk2kan gula secara berlebihan seperti "sugar is poison", "the silent killer" dan lain-lain dilakukan. Perniagaan yang berasaskan kepada diet tanpa gula ini sememangnya luas.

Berikut adalah beberapa model perniagaan yang berasaskan kepada diet tanpa gula:

1. Bimbingan ("coaching") dan keahlian termasuk secara atas talian. Ini boleh menjana pendapatan yang lumayan.

2. E-book dan kursus-kursus tentang diet tanpa gula

3. Buku masakan dan resepi makanan tanpa gula. Termasuk menjual ataupun rujukan kedai2 yang menjual ramuan2 untuk menghasilkan masakan tersebut.

4. Penghasilan dan penjualan produk suplemen dan pemanis tiruan.

5. Aplikasi mobile ("mobile App") dan alat "tracking" diet tanpa gula.

Golongan yang akan mendapat keuntungan daripada program2 dan model2 perniagaan di atas adalah pakar nutrisi ataupun dietetik yang terlibat, jurulatih kecergasan, pempengaruh kesihatan, syarikat makanan serta pengeluar bahan makanan tanpa gula dan juga syarikat teknologi yang membangunkan aplikasi mobile.

KESIMPULAN

Diet kurang gula boleh dianggap pendekatan yang lebih sederhana dan tidak keterlaluan seperti diet tanpa gula. Jika kita kembali kepada prinsip perubatan berasaskan kepada bukti, maka jelas bahawa diet kurang gula mempunyai asas yang lebih kukuh. Berdasarkan kepada perbincangan di atas, diet kurang gula lebih praktikal, bertahan lebih lama dan disokong oleh bukti2 kajian yang jauh lebih besar. Sementara menunggu hasil2 kajian yang lebih besar tentang diet tanpa gula, diet kurang gula sepatutnya menjadi pilihan, yakni menghadkan gula kepada 5-10% daripada jumlah kalori sehari. Di antara jenis-jenis diet kurang gula yang boleh diamalkan adalah Diet Mediterranean, DASH diet, Diet berasaskan tumbuhan (plant-based diet) dan Diet rendah karbohidrat. Penjagaan makanan yang lebih ketat perlu diamalkan oleh pesakit kronik seperti diabetes, sakit jantung dan lain-lain. Maka untuk golongan ini, mereka perlu bertemu dengan doktor dan pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat tentang diet, lebih-lebih lagi jika ingin mengamalkan sesuatu program diet yang tidak diketahui kesan jangka panjang. Bagi orang awam yang sihat, tidak ada keperluan untuk mengamalkan diet tanpa gula. Amalan sihat bukan hanya bergantung kepada banyaknya gula yang diambil tetapi ianya datang dengan pakej lengkap meliputi makanan yang seimbang, banyakkan makanan berserat, tidak mengambil makanan yang diproses secara ultra, aktiviti fizikal yang tetap, tidak merokok dan lain-lain gaya hidup sihat.

Dato' Dr. Rushdan Noor
21hb Mach 2025

https://www.healthline.com/nutrition/30-days-no-sugar#benefits

https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-effects-cut-added-sugar

https://www.news-medical.net/news/20241101/Low-sugar-diet-in-early-life-reduces-risk-of-chronic-diseases-in-adulthood.aspx

https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/how-to-eat-a-balanced-diet/how-to-cut-down-on-sugar-in-your-diet/

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22655451/

https://journals.lww.com/joms/fulltext/2022/42030/nonadherence_to_dietary_activities_and_its.2.aspx

https://cdn.nutrition.org/article/S2475-2991%2824%2901199-5/fulltext

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/nejmoa1203034

https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC9966020/#sec5-nutrients-15-00889

https://www.emro.who.int/noncommunicable-diseases/publications/questions-and-answers-on-reducing-sugar-consumption-to-prevent-and-control-noncommunicable-diseases.html

No comments:

Post a Comment