Belajar di sekolah berasrama adalah idaman ramai anak2 dan begitu juga harapan ibubapa. Anak-anak yang belajar di sekolah berasrama seringkali dikatakan lebih berdisiplin, berdikari dan mencapai prestasi akademik yang lebih baik. Walau bagaimanapun, kajian2 yang dilakukan memberi keputusan yang pelbagai dan tidak konsisten. Contohnya, pencapaian akademik yang lebih baik mungkin disebabkan oleh pelajar2 yang terpilih ke asrama penuh adalah pelajar2 yang sudah cerdik. Tidak ada hasil kajian kukuh yang mengaitkan hubungan antara bersekolah di asrama penuh dengan kejayaan hidup masa depan.
Kebelakangan ini, terdapat bukti-bukti kajian yang semakin jelas tentang ujudnya cabaran psikologi ke atas anak-anak yang masuk ke sekolah berasrama penuh terutamanya pada usia yang masih muda. Salah satu cabaran psikologi tersebut dikenali sebagai "Boarding school syndrome".
"Boarding School Syndrome" adalah istilah yang merujuk kepada kesan psikologi dan emosi jangka panjang yang dialami oleh individu yang dihantar ke sekolah berasrama penuh pada usia muda, terutama jika mereka mengalami kesunyian, tekanan emosi, atau kekurangan sokongan emosi semasa di asrama. Istilah ini diperkenalkan oleh psikoterapis Joy Schaverien dalam bukunya "Boarding School Syndrome: The Psychological Trauma of the Privileged Child."
PUNCA DAN FAKTOR PENYUMBANG
Punca berlakunya sindrom ini adalah kompleks dan melibatkan banyak faktor. Ianya melibatkan persekitaran dan pengalaman unik yang dialami oleh pelajar2 di sekolah berasrama. Beberapa faktor penyumbang yang dipercayai terlibat adalah:
1. Perpisahan dengan keluarga pada usia terlalu awal. Perpisahan yang berlaku pada usia awal ini menyebabkan ujud perasaan diabaikan, kehilangan dan keliru.
2. Supresi emosi ("emotional suppression"). Sekolah berasrama menekannya disiplin dan kepatuhan secara rigid. Anak2 ini mungkin tidak ada kesempatan atau berani untuk meluahkan perasaan dan ketidakpuasan. Mereka sudah terbiasa untuk menyimpan perasaan dan memendam rasa.
3. Terputus pergantungan secara mendadak. Anak-anak yang masih rapat dan bergantung kepada keluarga mereka tiba-tiba dipisahkan secara mengejut. Dipercayai bahawa perpisahan secara mendadak semasa anak-anak itu dalam proses awal perkembangan akan merencat pembentukan hubungan rapat yang sangat penting untuk kesejahteraan emosi.
Kebergantungan anak di peringkat awal hidup mereka mempunyai kesan jangka-panjang terhadap kesihatan mental mereka. Ini adalah asas kepada perkembangan emosi, sosial dan kognitif mereka yang mempengaruhi bagaimana hubungan kekeluargaan diujudkan dan dipertahankan sehingga peringkat dewasa.
4. Sokongan emosi yang terhad. Sekolah berasrama mungkin menyediakan persekitaran dan sumber akademik yang baik tetapi ianya mungkin tidak mencukupi dari segi sokongan emosi untuk menangani masalah kesunyian/keseorangan ("loneliness"), rindukan rumah ("homesick") dan tekanan emosi.
5. Pemisahan sosial ("social isolation"). Walaupun ujud persekitaran sokong menyokong dengan rakan dan senior, ketiadaan ikatan kekeluargaan yang konsisten dan hubungan sosial luar boleh berpotensi menyumbang kepada perasaan terasing ("isolation").
TANDA DAN KESAN "BOARDING SCHOOL SYNDROME"
Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar yang bersekolah di asrama mengalami sindrom ini, tetapi bagi yang mengalaminya, kesannya boleh termasuk:
1. Kesukaran Mengekspresikan Emosi
Sudah terbiasa memyimpan perasaan kerana diajar untuk berdikari sejak kecil.
Sukar untuk berkongsi emosi sebenar dengan orang lain.
2. Masalah Hubungan dan Kepercayaan
Sukar membina hubungan rapat dengan orang lain kerana pernah mengalami perpisahan emosi dari keluarga pada usia muda.
Takut bergantung kepada orang lain atau takut ditinggalkan.
3. Tindak Balas "Survival Mode"
Terbiasa hidup dalam peraturan ketat dan kurang kebebasan emosi, menyebabkan individu menjadi terlalu berdikari atau tidak selesa dalam situasi santai.
Ada yang menjadi terlalu patuh kepada peraturan atau sebaliknya memberontak.
4. Rasa Ditinggalkan atau Terabai
Walaupun ibu bapa menghantar anak ke asrama dengan niat baik, sesetengah anak mungkin merasakan mereka "dibuang" atau kurang disayangi.
Boleh membawa kepada masalah harga diri rendah dan rasa tidak selamat dalam hubungan sosial.
5. Tekanan Akademik dan Perfeksionisma
Rasa perlu sentiasa berprestasi tinggi kerana biasa dengan budaya persaingan dan tekanan di sekolah asrama.
Boleh menyebabkan kecenderungan untuk mengalami tekanan atau keresahan.
KESAN JANGKA-PANJANG
Pakar psikologi percaya bahawa 'boarding school syndrrome" boleh memberi kesan ke atas seseorang dan mempengaruhi kehidupan peribadi dan profesional mereka. Sebahagian dari kesan jangka-panjang yang boleh berlaku adalah:
1. Hubungan yang bermasalah. Mereka akan bergelut dengan masalah untuk membentuk hubungan dan kesukaran untuk mengekalkan keintiman hubungan.
2. Kesukaran dalam mengawal emosi dan keintiman boleh membawa kepada keterpisahan emosi, menghalang keupayaan untuk mempunyai hubungan dengan orang lain dan kesukaran untuk menjalin ikatan emosi yang mendalam.
3.Pengalaman terpisah pada usia muda dan penindasan emosi ("emotional suppression") boleh menyumbang kepada harga diri yang rendah ("low self esteem"), keraguan diri ("self-doubt") dan perasaan ketidakcukupan ("feeling of inadequacy").
4.Menghadapi masalah identiti, merasakan seperti terpisah dari diri yang sebenar dan berusaha untuk "reconcile" pengalaman mereka di sekolah berasrama dengan nilai serta kepercayaan peribadi.
BAGAIMANA MENGURANGKAN RISIKO "BOARDING SCHOOL SYNDROME"
1. Sokongan Emosi yang Konsisten: Ibu bapa perlu berhubung secara berkala, mendengar perasaan anak, dan memberi jaminan kasih sayang.
2. Beri ruang untuk meluahkan perasaan: Anak perlu diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka tanpa takut dihakimi.
3. Seimbangkan akademik dan kesihatan mental: Jangan hanya fokus pada pencapaian akademik, tetapi juga pastikan anak menikmati kehidupan sosial dan rehat yang mencukupi.
4. Pilih sekolah dengan persekitaran yang menyokong: Sekolah asrama yang menyediakan kaunseling, sistem mentor, dan program kesejahteraan mental dapat membantu pelajar menyesuaikan diri dengan lebih baik.
KESIMPULAN
Sekolah berasrama penuh mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi penting bagi ibu bapa dan pihak sekolah untuk memastikan kesejahteraan emosi dan psikologi pelajar. Tidak semua kanak-kanak akan mengalami "Boarding School Syndrome", tetapi bagi yang mengalaminya, kesannya boleh berpanjangan sehingga dewasa. Oleh itu, keputusan menghantar anak ke asrama penuh perlu dibuat dengan pertimbangan yang teliti berdasarkan kesediaan emosi dan keperluan individu anak tersebut. Setiap kanak2 itu berbeza dari segi kemampuan, emosi dan tahap kebergantungan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
2hb Mach 2025
RUJUKAN
https://www.counselling-directory.org.uk/articles/boarding-school-syndrome-a-psychological-perspective
https://brightontherapypartnership.org.uk/impact-of-boarding-school/
https://thewaveclinic.com/blog/boarding-school-syndrome-how-to-help-your-child-navigate-mental-wellness-at-school/
https://brightontherapypartnership.org.uk/impact-of-boarding-school/?fbclid=IwY2xjawI3H1FleHRuA2FlbQIxMAABHcUlScCJkeCTKZ3VvtYUJ1PyT4CxdyGXeuFQBDQLER1235la_j6AbXkNHw_aem_Rnvgg1PYkjm5-QyPtb0Wjg
https://neurolaunch.com/boarding-school-syndrome/
No comments:
Post a Comment