PERLUKAH BUAT UJIAN "FOOD INTOLERANCE TEST" ?
APAKAH "FOOD INTOLERANCE TEST" (FIT)
"Food Intolerance test" ataupun ujian toleransi makanan adalah kaedah yang digunakan untuk mengenalpasti makanan yang menyebabkan ketidakselesaan perut dan lain2 gejala apabila makanan itu diambil. Ia berbeza dengan ujian alahan makanan ("food allergy test") kerana mekanisma berbeza, alahan kepada makanan melibatkan sistem imun (IgE) dan histamin, ianya lebih serius jika pesakit mengalami kejutan anafilaksis. Gejala2 alahan makanan adalah bengkak bibir, mata, ruam badan dan kesukaran bernafas. FIT menguji ke atas makanan yang menyebabkan terutamanya gejala2 perut selepas makanan itu diambil, jenis2 "intolerance" ini adalah kepada laktosa, kafein, gluten, MSG dan lain2.
JENIS-JENIS FIT
Terdapat beberapa jenis FIT, tetapi tidak semuanya diiktiraf secara saintifik. Berikut adalah sebahagian dari beberapa jenis FIT:
1. Eliminasi/Penghindaran Diet ("Elimination Diet")
Kaedah ini dianggap paling berwibawa. Kaedahnya adalah dengan tidak mengambil makanan yang disyakki selama 2-6 minggu dan kemudian perlahan2 mengambilnya semula untuk melihat tindakbalas badan. Kaedah ini paling sesuai ke atas individu yang mengalami gejala apabila mengambil produk tenusu, gluten atau FODMAPs**. Ujian ini dianggap paling berwibawa jika dilakukan bawah pengawasan perubatan.
2. Hydrogen Breath Test (Ujian Pernafasan Hidrogen)
Ujian ini mengukur kandungan hidrogen di dalam nafas selepas mengambil gula tertentu seperti laktosa atau fruktosa. Ujian ini sesuai dijalankan untuk mengesan "lactose intolerance", gangguan pencernaan fruktosa dan berlebihan bakteria dalam usus kecil. Tahap kewibawaan ujian ini adalah sederhana.
3. Ujian Darah Antibodi IgG
Ujian ini tidak sesuai dilakukan untuk kes intolerances. Ia adalah ujian darah untuk mengukur kandungan antibodi IgG terhadap makanan2 tertentu. Ujian ini tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh dan jika ada kajian saintifik pun dianggap sudah ketinggalan zaman. Kehadiran antibodi IgG boleh berlaku untuk kes2 bukan intolerance kerana ianya boleh merupakan reaksi normal badan. Tidak hairanlah mengapa banyak organisasi termasuk American Academy of Allergy, Asthma & Immunology dan Canadian Society of Allergy and Clinical Immunology TIDAK mengesyorkan dilakukan ujian IgG untuk mengesan alahan makanan ataupun intolerance/sensitif kepada makanan.
4. Ujian Tinja
Ujian ini menganalisa bakteria usus dan petunjuk penghadaman ("digestive marker") untuk mengesan ketidakimbangan. Mungkin boleh digunakan untuk mengesan ketidakseimbangan bakteria baik ("gut flora") dan tidak baik di dalam usus. Kewibawaan ujian ini berbeza-beza. Ia bukan untuk ujian intolerance kepada makanan tertentu.
5. Ujian Otot ("Applied Kinesiology") dan lain2
Ujian ini mengukur kekuatan otot apabila terdedah kepada makanan tertentu. Walau bagaimanapun, ujian ini tidak ada asas saintifik yang bermakna dan dianggap pseudosains, jadi ianya adalah satu ujian yang tidak berwibawa. Banyak lagi ujian2 yang terdapat di pasaran seperti cytotoxicity test, ALCAT test, Vega testing, Bioscreening, Dria test, hair follicle test dan banyak lagi yang kewibawaannya sangat terhad serta diragui.
UJIAN MANA YANG TERBAIK
Apabila mengalami gejala2 selepas mengambil makanan2 tertentu, berjumpa lah dahulu doktor atau pakar dietetik untuk pemeriksaan dan ujian. Doktor yang paling layak berkenaan dengan gejala usus adalah doktor gastroenterologi. Manakala pakar2 yang paling layak untuk menginterpretasi keputusan ujian ini adalah pakar alergik dan pakar imunologi. Dapatkan nasihat doktor yang berkelayakkan terlebih dahulu jika ingin melakukan ujian FIT. Banyak ujian2 FIT ini tidak diperakui oleh pakar2 perubatan dan boleh menyebabkan pembaziran wang dan menghadkan diet yang sebenarnya boleh diambil ("unnecessary dietary restriction").
Ujian FIT ini bukan untuk semua orang, ianya hanya untuk individu2 tertentu sahaja yang mengalami gejala selepas mengambil makanan tertentu ataupun mengesyakki masalah intolerence. Di antara gejala2 tersebut adalah kembung perut, angin yang banyak dalam usus, sakit perut, cirit birit, kelesuan, loya, sakit kepala dan muntah apabila mengambil makanan2 tertentu yang berlaku berulang2 kali.
Jika anda tidak mengalami gejala2 tersebut, tak perlu lakukan ujian FIT. Banyak ujian2 FIT ini termasuklah mengukur kandungan antibodi IgG yang tidak tepat dan boleh mengelirukan. Lebih2 lagi ujian2 yang berasaskan pseudosains.
Kaedah yang paling berwibawa dan murah adalah Ujian Eliminasi dan merekodkan dalam "food diary" jenis2 makanan serta gejala2 yang dialami untuk mengaitkan makanan itu dengan gejala. Jumpa perawat yang betul dan lakukan ujian2 yang disyorkan untuk penyakit2 tertentu apabila diperlukan.
KELEMAHAN FIT
1. Banyak jenis FIT tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh serta mempunyai ketepatan yang rendah.
2. Ada ujian yang memberi keputusan positif tetapi tidak betul ataupun "false positive" yang menyebabkan anda risau dan tidak mengambil makanan yang sebenarnya anda boleh makan.
3. Membazir masa dan wang. Ujian2 ini ada yang mahal dan tidak dilindungi oleh insuran. Melakukan ujian semberono menyebabkan anda keliru dan perawat2 profesional perlu melakukan pemeriksaan lanjut.
4. Melambat2kan masa untuk mengesan penyakit sebenar. Terlalu bergantung kepada keputusan ujian ini boleh menyebabkan anda terlepas pandang untuk bertemu dengan doktor yang betul ke atas penyakit yang betul. Anda mungkin mengalami penyakit Celiac, Alahan makanan, Irritable Bowel Syndrome dan lain2 penyakit usus atau penghadaman.
5. Kerisauan melampau ("Anxiety") dan takut/fobia kepada makanan tertentu
Keputusan ujian yang dilakukan semberono dan ujian yang tidak berwibawa menyebabkan anda merasa resah, risau dan fobia kepada makanan tertentu. Pengurangan mengambil makanan yang keterlaluan boleh memudaratkan kesihatan dan anda mungkin mengalami kekurangan zat makanan.
KESIMPULAN
Terdapat banyak jenis ujian "Food Intolerance Test" dan banyak di antaranya tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh. Hanya beberapa ujian sahaja dianggap berwibawa dan itupun untuk golongan tertentu. Melakukan ujian secara semberono tanpa nasihat dari pakar boleh membawa lebih banyak masalah dan membazirkan wang. Jika anda mengalami masalah perut dan mengesyakki mengalami intolerance ataupun sensitif kepada makanan tertentu ataupun lain-lain penyakit usus, berjumpalah dengan doktor yang betul terlebih dahulu untuk menjalani pemeriksaan.
DDr Rushdan Noor
25hb Feb 2025
@highlight
** FODMAPs adalah karbohidrat yang boleh meransang masalah usus dalam kalangan pesakit "Irritable Bowel Syndrome" (IBS). FODMAP adalah singkatan untuk " fermentable oligosaccharides, disaccharides, monosaccharides, and polyols".
RUJUKAN
National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases (NIDDK) – Elimination diets and digestive disorders https://www.niddk.nih.gov
Mayo Clinic – Lactose Intolerance Diagnosis & Tests
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lactose-intolerance/diagnosis-treatment
American College of Gastroenterology – Hydrogen breath testing for lactose and fructose intolerance
https://gi.org/topics/lactose-intolerance
American Academy of Allergy, Asthma & Immunology (AAAAI) – Position Statement on Food Intolerance Testing
https://www.aaaai.org
https://www.aaaai.org/tools-for-the-public/conditions-library/allergies/igg-food-test
European Academy of Allergy and Clinical Immunology (EAACI) – IgG testing is not recommended for food intolerance diagnosis
https://www.eaaci.org
American Gastroenterological Association (AGA) – Gut microbiome testing limitations
https://www.gastro.org
National Center for Complementary and Integrative Health (NCCIH) – Kinesiology and alternative health practices
https://nccih.nih.gov
https://medlineplus.gov/lab-tests/food-allergy-testing/
https://www.topdoctors.co.uk/medical-dictionary/food-intolerance-test
No comments:
Post a Comment