Saturday, 8 February 2025

BESARNYA TANGGUNGJAWAB PEMBERI TESTIMONI

 


Testimoni bukan sahaja digunakan untuk produk2 kesihatan tetapi boleh kata hampir semua jenis2 produk jualan dan promosi perkhidmatan menggunakan testimoni untuk menarik pelanggan. Saya telah menulis tentang kelemahan testimoni untuk dijadikan bukti keberkesanan sesuatu produk kesihatan. Adakah prinsip testimoni ini juga terpakai untuk produk2 lain. Jawapannya, Ya.

Seorang peserta program motivasi atau latihan usahawan memberi testimoni yang beliau berjaya dalam perniagaan kerana menghadiri program oleh Si-Fulan. Si-Fulan pula mengumpulkan semua peserta2 beliau yang berjaya untuk berkongsi testimoni. Orang ramai nampak seolah2 semua yang hadir berjaya, sedangkan yang memberi testimoni itu mewakili 2% sahaja dari jumlah keseluruhan yang hadir. Pendek kata 98% dari peserta tidak berjaya. Dua peratus yang berjaya itupun kita tidak pasti samada mereka bercakap benar, ataupun ada faktor2 lain yang menyumbang. Berapa lama pula kejayaan mereka itu boleh bertahan?

Seorang pempengaruh yang mencari makan melalui "review" makanan ("food reviewer") atau masakan di kedai2 makan. Setiap sesi "review" yang beliau kendalikan akan dibayar. Beliau akan pergi ke kedai makan dan sambil makan, merakamkan video penilaian beliau tentang makanan. Nampaknya pada beliau, makanan itu sangat sedap sehingga menjilat jari. Hasil dari pengaruh beliau, berpusu2 orang datang ke kedai hingga menjadi viral. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh pempengaruh ini juga satu bentuk testimoni. Persoalannya, adakah penilaian beliau itu jujur? Adakah beliau layak untuk menilai kualiti sesuatu masakan? Adakah tekak dan citarasa lidah beliau itu boleh mewakili majoriti orang2 lain? Banyak lagi persoalan yang tidak ada jawapan.


Bagi orang awam, mereka kurang kisah dengan dua contoh kes testimoni di atas kerana bagi mereka jika terpengaruh, paling teruk, wang akan melayang. Kalau makanan tidak sedap, itulah kali terakhir mereka pergi. Jadi ramai di antara mereka akan mengambil risiko untuk hadir walaupun memang ada terdetik keraguan di hati.

Tidak kira apa bentuk produk dan perniagaan, tanggungjawab seorang yang memberi testimoni adalah sangat besar. Jika mereka memberi maklumat yang salah, ramai yang akan terpedaya dan menanggung kerugian. Apatah lagi jika mereka membuat testimoni yang palsu dengan sengaja. Mereka sudah boleh dikategorikan sebagai seorang penipu ataupun scammer.

Testimoni untuk produk kesihatan membawa implikasi yang jauh lebih besar, berbeza dengan 2 contoh testimoni di atas. Pesakit yang terdesak akan melakukan apa sahaja, membeli produk tersebut dan mencubanya walaupun harga yang mahal. Tidak terhenti setakat itu, ada yang bergolok bergadai membayar pengamal perubatan ataupun produk yang diwar2kan. Ada yang berhenti rawatan doktor dan tidak meneruskan rawatan susulan. Ada yang mengalami kesan sampingan produk "overclaim" ataupun produk itu berinteraksi dengan ubat hospital yang mereka ambil. Belum lagi sentuh kesan produk yang dicampur-palsu. Manakala yang berhenti mengambil ubat hospital pula mengalami kerosakan organ yang kekal akibat penyakit yang tidak terkawal. Kemuncaknya, pesakit boleh kehilangan nyawa. Semuanya akibat terpengaruh dengan pemberi testimoni. Maka jelaslah, seorang pemberi testimoni untuk produk kesihatan ataupun apa2 rawatan perubatan mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Anda boleh menjadi asbab kemudaratan kepada orang lain, di mana magnitudnya mungkin tidak terlintas di fikiran anda. Maka, jawablah anda di sana nanti.


Dato' Dr. Rushdan Noor
9hb Feb 2025

No comments:

Post a Comment