Thursday 30 July 2020

MENUNGGANG AGAMA UNTUK HABUAN DUNIA




Pada hari ini kita lihat ramai dalam kalangan umat Islam yang menunjukkan kecintaan mereka kepada agama dan berlumba-lumba untuk mengamalkan  suruhan Allah dan Rasul. Tidak kurang juga usaha pihak-pihak yang cintakan agama memperjuangkan dasar-dasar dan amalan-amalan yang selari dengan kehendak agama Islam. Ini adalah perkembangan yang baik dan semoga bertambah subur di masa hadapan. 

Di sebalik keghairahan umat Islam mencari keredhaan Allah ini, wujud kelompok tertentu di dalam masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas mereka dengan menggunakan elemen agama sebagai umpan untuk mengaut keuntungan kepada diri sendiri. Kepentingan ini boleh bersifat individu ataupun berkumpulan, impaknya tentu lebih besar jika melibatkan kepentingan kepada kumpulan tertentu. Samada kepentingan itu bersifat individu ataupun berkumpulan, modus operandi dan matlamatnya lebih kurang sama sahaja. 

DEFINISI MENUNGGANG AGAMA

Perkataan "menunggang" itu merujuk kepada tindakan seseorang ataupun kumpulan yang mahu agama itu mengikut kehendak mereka dan bukan sebaliknya. Di dalam keadaan ini, agama ini semata2 digunakan untuk tujuan kepentingan diri ataupun kumpulan mereka. Matlamat mereka mungkin wang, harta, wanita, kuasa ataupun populariti.

Menurut Datuk Dr. Zulkifli Al Bakri, Mantan Mufti Wilayah dan juga bekas Menteri Agama, Penunggang agama adalah: 

1. Individu atau kelompok yang menyalahgunakan agama atau keyakinan agama untuk mencapai tujuan politik, sosial, atau peribadi. Mereka sering menggunakan retorik agama atau pemahaman agama yang sempit untuk mengambil keuntungan atau mendapatkan pengaruh dalam masyarakat.

2. Merujuk kepada orang yang mengeksploitasi agama untuk mendapatkan kekuasaan, wang, atau pengaruh tanpa memiliki niat tulus untuk mematuhi prinsip-prinsip moral yang sebenarnya dipegang oleh agama tersebut.

3. Mereka yang sanggup menggadai dan menjual agamanya dengan harta benda dunia yang sedikit.

4. Mereka sanggup melakukan yang haram serta melanggar perintah Tuhan semata-mata meraih kehendak nafsu syahwat dan laba di dunia.

5. Mereka menjadikan agama mengikut kehendak mereka bukan mereka mengikut kehendak agama. Justeru, mereka takwilkan ayat-ayat atau nas jika bertentangan dengan kehendak mereka. Sebaliknya, mereka menerima ayat al-Quran dan hadith apabila berbetulan dengan kehendak mereka.

6. Mereka beriman dengan sebahagian ayat al-Quran dan mereka kufur dengan sebahagian yang lain.

7. Orang yang menggunakan agama untuk tujuan duniawi tanpa memikirkan kesannya pada hari akhirat.


HAJI DAN UMRAH

Haji dan umrah adalah salah satu ibadah yang seringkali dijadikan sasaran oleh golongan penunggang agama untuk menipu umat Islam. Terlalu banyak bentuk exploitasi amalan ini untuk mengaut keuntungan seperti caj perkhidmatan yang keterlaluan, caj penginapan / makanan, janji palsu, pakej korban, air zam-zam yang ditipu dan lain-lain lagi. Semenjak tahun 2012, lebih 3800 kes penipuan pakej umrah telah dilapurkan dengan kerugian lebih RM13 juta ringgit. Pengendali pakej umrah dan haji yang sebenarnya tidak mampu ataupun tidak layak untuk melakukan tugas sanggup mengambil kesempatan daripada umat Islam yang ingin mengerjakannya. Ada syarikat yang tidak berdaftar mengendalikan umrah. Apabila mereka tidak dapat memenuhi apa yang dijanjikan, mereka sangat mudah menggunakan agama sebagai alasan seperti kata-kata "kena terima ujian dari Allah dan memang bila pergi umrah akan dikenakan banyak ujian". Padahal kekurangan tersebut adalah berpunca daripada kelemahan mereka sendiri, mereka menyalahkan takdir untuk menutup ikhtiar mereka yang tidak dirancang dengan teliti. Lebih mendukacitakan lagi, ada jemaah yang tidak langsung dapat pergi mengerjakan haji dan umrah seperti yang dijanjikan kerana pihak pengendali gagal menguruskan visa, tempahan tiket dan lain-lain. Jika alasan kegagalan ini adalah faktor yang tidak dapat dielakkan ia boleh dimaafkan tetapi jika puncanya adalah kelalaian ataupun wujud unsur-unsur penipuan, maka ini tidak boleh diterima. Ada juga pihak yang menjual air beralkali dan mendakwa khasiatnya sama dengan air zam-zam, "air zam-zam" sudah boleh diperolehi di Malaysia, kata mereka. Penipuan air paip dilabelkan air zam-zam telah dilapurkan dan saya percaya ini hanyalah sebahagian kecil daripada lebih banyak penipuan yang berlaku.




DERMA DAN SUMBANGAN

Umat Islam sangat pemurah apabila ada pihak yang meminta derma ataupun sedekah di atas sebab-sebab berkaitan dengan agama. Mereka jarang berfikir panjang dan menolak permintaan. Kita sering melihat bagaimana dana dikumpulkan atas nama sedekah, infak, jihad, wakaf dan lain-lain, malangnya sumbangan pergi entah ke mana. Orang yang tidak bertanggungjawab ini sanggup menggunakan apa sahaja bentuk tipu daya seperti menggunakan anak-anak kecil, orang cacat, anak yatim dan mangsa-mangsa bencana alam untuk dijadikan umpan, sedangkan derma itu masuk ke dalam akaun peribadinya. Peminta derma selalunya akan berpakaian islamik, membaca ayat Al-quran dan membawa dokumen atau sijil palsu. Ada pihak yang mencari jalan pintas untuk memulakan perniagaan dan membina institusi melalui tabung derma. Akhirnya perniagaan tidak ke mana dan institusi pula terbengkalai. Ada juga institusi yang ditubuhkan itu tidak melalui proses pendaftaran dan kelulusan yang betul di samping mengabaikan faktor keselamatan. Itu belum lagi menyentuh kelayakan tenaga kerja dan pengajar yang mengendalikannya. Lebih parah lagi jika kutipan derma dilakukan untuk sesuatu yang tidak wujud. Apabila penipuan dilakukan melalui kutipan derma untuk tujuan selain dari yang didakwa maka ianya boleh dianggap sebagai scam kebajikan ataupun "charity scam". Agama digunakan sebagai alat untuk menjayakan scam. Saya telah menulis panjang lebar tentang tajuk DERMA ATAU SCAM KEBAJIKAN ("CHARITY SCAM") dan APABILA KERJA AMAL MENJADI SATU BENTUK PERNIAGAAN.


PRODUK KESIHATAN

Produk-produk kesihatan seringkali dilabelkan dengan perkataan sunnah dan ada yang kononnya mujarab sebab dibacakan ayat suci al-quran untuk melariskan jualan sedangkan kualiti produk itu tidak langsung mematuhi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bukan sahaja produk itu tidak berkualiti dan tidak dijamin selamat, kaedah pemasarannya pula penuh tipu daya dan jauh sekali daripada adab dan pekerti Islam. Terdapat produk kesihatan yang dilabelkan sunnah didapati mengandungi ubat terlarang seperti steroid dan ini memudaratkan kesihatan. Perkataan “insyallah” dan “kita hanya ikhtiar, Allah yang sembuhkan” diulang berkali-kali semasa mempromosi produk bagi menampakkan si penjual seorang yang islamik supaya pengguna termakan umpan. Jika yang terlibat itu seorang guru agama ataupun selebriti agama, maka digunakan populariti dan kepetahan bercakap serta membaca ayat2 suci al-quran untuk memancing pembeli. Penyalahgunaan istilah perubatan Islam juga berlaku sehingga ada yang beranggapan bahawa perubatan moden bukan perubatan Islam. Tidak kurang juga yang menggunakan alasan agama untuk menyebarkan ideologi antivaksin dan anti-perubatan moden. Akibatnya ramai pesakit yang terpengaruh dan tidak mendapatkan rawatan yang betul daripada pakar di dalam bidang perubatan. Tarikan terhadap produk-produk “sampah” ini juga dilakukan melalui program agama di dalam TV dan radio di mana tarikan kuat program ini kepada penonton digunakan untuk mempromosi produk melalui iklan dan penajaan. Saya bersyukur kerana pihak JAKIM telah mengeluarkan arahan kepada pengeluar produk untuk tidak dimasukkan perkataan "makanan/minuman sunnah" dan "ayat ruqyah" ke dalam label produk mereka. Walau bagaimanapun disebabkan oleh masalah penguatkuasaan dan bidang kuasa yang terhad, fenomena ini terus berlaku hingga ke hari ini.






SELEBRITI DAN POPULARITI

Ramai yang mencari populariti dengan menyertai pertandingan realiti TV untuk menjadi juara pertandingan selebriti agama. Individu yang menyertai pertandingan ini memang mempunyai latarbelakang pengajian agama. Dengan menampilkan diri di dalam program realiti, mereka dapat meraih populariti. Tidak kurang juga ustaz-ustaz yang menjadi selebriti melalui penampilan diri di dalam program TV dan radio. Mereka dianggap hebat kerana petah bercakap tentang agama dan menarik penyampaiannya. Tidak dapat dinafikan ramai diantara mereka yang menggunakan populariti ini untuk berkhidmat kepada masyarakat, malangnya segelintir daripada mereka menyalahgunakan populariti itu untuk tujuan peribadi ataupun dijadikan alat oleh golongan yang berkepentingan. Ada kalanya menyampaikan ilmu agama dijadikan komoditi sehingga ada yang mengenakan caj yang tinggi. Mungkin harga yang mahal itu akibat daripada perbuatan orang tengah, namun apa sahaja alasan, eksploitasi telah berlaku atas nama agama. Maka selebriti agama yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengekploitasi pihak lain ataupun melakukan perkara-perkara yang negatif untuk memenuhi nafsu sendiri perlu dianggap termasuk di dalam golongan yang menunggang agama. Gelaran yang mereka perolehi itu sebenarnya membawa imej agama Islam, buruk perangai mereka, buruklah juga imej Islam.


POLITIK


Politik di Malaysia sangat menarik tetapi penuh kontroversi. Terdapat banyak parti politik di Malaysia dan setiap satunya mempunyai prinsip dan matlamat yang tersendiri. Terdapat parti politik yang bersifat multi-ethnik dan ada yang berasaskan satu ethnik sahaja. Parti politik yang berasaskan agama mempunyai sejarah yang panjang dan memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, maka parti yang berjenamakan Islam boleh menarik ramai penyokong. Prinsip perjuangan semua parti-parti politik di Malaysia adalah baik dan tidak bertentangan dengan perlembagaan negara, sebab itu mereka tidak diharamkan. Walau bagaimana pun, prinsip perjuangan yang termaktub dalam perlembagaan parti masing2 tidak semestinya dapat direalisasikan seperti yang diharapkan. Parti politik sangat bergantung kepada kualiti dan kredibiliti pemimpin serta ahli yang memperjuangkannya. Malangnya di Malaysia samada sedar ataupun tidak, terdapat pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik.  Sepatutnya politik digunakan untuk mengangkat martabat agama, tetapi sebaliknya pula agama digunakan untuk kuasa dan kepentingan politik sehingga matlamat menghalalkan cara. Apabila politik diletakkan di atas agama, maka wujudlah hukum hakam yang berubah-ubah mengikut iklim politik. Istilah mudarat ringan dan mudarat berat sewenang-wenangnya ditafsir mengikut selera untuk menjustifikasikan pendirian serta menghalalkan perbuatan. Golongan yang berbeza pendapat dan tidak sealiran dengan ideologi politik mereka dianggap sesat atau kurang islamik. Inilah akibatnya bila parti politik disamakan tarafnya dengan agama. Sedangkan politik hanyalah salah satu pendekatan daripada banyak lagi pendekatan untuk berjuang di jalan Allah. Semua ini berlaku bukan kerana ajaran Islam, tetapi kelemahan, ilmu dan akhlak penganutnya. Ianya  melibatkan segelintir kecil pengikut dan pemimpin mereka tetapi kesannya besar. Imej mereka dan parti mereka menjadi liabiliti kepada imej agama Islam. Apabila masalah akhlak dan kredibiliti merentasi semua latarbelakang, kesan penyakit moral ini akan wujud dalam semua organisasi termasuk yang berasaskan agama. Baca tulisan saya bertajuk SCAMMER DI DALAM POLITIK.  


MENGAKU KETURUNAN NABI

Di dalam Islam, keturunan Nabi memang mempunyai kedudukan yang istimewa selagi mereka tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Persoalan utama yang perlu dijawab oleh orang ramai adalah status keturunan Nabi itu. Adakah individu tersebut mempunyai salasilah Nabi yang meyakinkan. Pada hari ini ramai yang mengaku keturunan Nabi tetapi sejauh mana kebenaran tersebut sukar dipastikan. Kebanyakan mereka adalah baik dan menyampaikan ajaran Nabi kepada orang ramai tetapi terdapat segelintir individu yang mengaku keturuan Nabi tetapi tidak menunjukkan ciri-ciri seorang Muslim yang baik. Mereka menggunakan status keturunan Nabi itu untuk mengumpul pengikut dan pentaksub, pada waktu yang sama mereka mengaut keuntungan peribadi, mereka menjadi seperti selebriti dan hidup mewah. Ada di antara mereka menggunakan status keturunan Nabi dengan memiliki wajah yang menarik serta pakaian yang kemas untuk tujuan yang sama. Pihak JAKIM sendiri sedar tentang fenomena ini dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati. Mufti Pulau Pinang sendiri dalam kenyataan akhbarnya menasihati orang ramai untuk tidak mudah percaya bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. Nasihat yang sama diberikan oleh Menteri Agama. Kemurahan hati umat Islam negara ini dan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad dan keturunan Baginda dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab. 



KULTUS AGAMA

Kultus atau dalam bahasa inggeris "cult" adalah satu organisasi atau kumpulan yang mengikat atau mendominasi ahli2nya melalui manipulasi psikologi dan strategi menindas/menekan ("pressure strategy"). Kultus selalunya diketuai oleh seorang pemimpin yang sangat berkuasa di mana ahli2 di bawahnya akan memberi ketaatan yang mutlak kepadanya. Ahli-ahli di dalam kultus ini pula akan terpisah dari masyarakat luar.

Seorang individu yang menyertai kultus akan menjadi ahli seumur hidup. Pengikut2 akan dikuasai dan di "brainwashed" oleh pemimpinnya sehingga mereka mendewa2kan pemimpin ini dan sangat taksub kepadanya. Maklumat tentang kultus ini selalunya diperolehi dari ahli2 yang berjaya keluar dari kumpulan ini disebabkan mereka sedar ataupun sudah tidak tahan dengan kehidupan di dalam kultus.

Terdapat pelbagai asas kepada keujudan sesuatu kultus, di antaranya adalah kepercayaan karut, fahaman sesat, kultus agama, kultus politik, teori konspirasi dan lain-lain.

Kultus boleh juga diujudkan atas nama agama dan dalam kes ini, pemimpin Kultus dianggap menunggang agama untuk mencapai cita2 mereka. Terdapat banyak contoh kultus yang wujud di dalam dan di luar negara. Di luar negara, antara nama2 ketua atau pemimpin yang mengasaskan kultus agama adalah David Koresh, Bhagwan Shree Rajneesh, Shoko Asahara dan ramai lagi. Di negara kita juga terdapat individu yang mengasaskan kultus dan anda boleh mencarinya sendiri.

Jika fahaman atau ideologi yang dibawa oleh sesebuah kultus itu sesat, maka kesesatan ini akan berkembang di dalam masyarakat dan akan menjadi satu ancaman serius apabila ianya tersebar luas dalam masyarakat ataupun negara. Pengikut2 kultus yang menyertai kultus ini sebenarnya adalah mangsa manipulasi psikologi dan apabila mereka terjebak, sukar untuk keluar dari kultus tersebut. Terdapat banyak kes-kes penderaan dikesan ke atas pengikut-pengikut kultus. Akibat dari brainwashed, mereka boleh jadi sangat taksub. Dari pengalaman yang lalu, pengikut-pengikut kultus sanggup melakukan keganasan dan mencetuskan huru hara dan ketidaktenteraman. Boleh baca tulisan saya tentang Kultus dan ancamannya ke atas masyarakat di sini.

PETANDA AKHIR ZAMAN

Mari kita hayati beberapa peringatan yang dibuat oleh Nabi junjungan kita mengenai salah satu petanda akhir zaman:

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah saw bersabda" Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat)".

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)

Cinta dunia membuatkan ulamak dan pemimpin agama takut untuk menyatakan kebenaran. Tidak mahu menegur kemungkaran kerana takut kepentingan dunianya terjejas. Lebih parah lagi jika mereka bersekongkol dengan pihak yang melakukan kemungkaran. Maka orang ramai jadi keliru sehingga menggangap kemungkaran itu sebagai perkara kecil dan satu kebiasaan. Akibat daripada keadaan ini akan wujudlah sebuah masyarakat yang caca merba dan tunggang langgang. Sukar untuk membezakan antara pihak yang jujur amanah dengan yang khianat, yang bodoh dikatakan pandai dan sebaliknya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara." Ada orang bertanya: "Siapa Ruwaibidhah itu?" Nabi menjawab, "Orang bodoh yang menguruskan urusan umum" (HR Ibnu Majjah). Ramai ilmuan agama berpendapat golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah "yang menguruskan urusan umum"  ini merujuk kepada pemimpin.


Penyalahgunaan agama yang saya nyatakan di atas tentu telah menjejaskan imej Islam. Semuanya bukan kerana agama Islam tetapi kerana sikap dan akhlak penganutnya. Agama dijadikan alat dan bukan matlamat. Sementara pihak lain maju ke hadapan meninggalkan kita jauh ke belakang, kita masih berpecah, bercakaran sesama sendiri tentang isu ranting dan asyik bersaing siapakah yang lebih betul dan siapakah yang lebih hebat. Sangat bertepatan sekali dengan amaran-amaran yang dinyatakan oleh Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu tentang petanda akhir zaman yang tersebut di atas.

Tulisan ini bukan berniat untuk meremeh-remehkan apatah lagi memandang rendah pihak-pihak yang ikhlas berjuang di jalan Allah tetapi sebagai peringatan kepada semua supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan golongan-golongan yang menipu atas nama agama. Ramai pemimpin beragama Islam dan alim ulamak yang berjuang ikhlas untuk Islam dan memberi sumbangan yang besar. Mungkin ada juga dalam kalangan mereka yang tidak berniat untuk menunggang agama tetapi terjebak secara tidak sengaja ataupun diperdaya oleh pihak lain. Saya memohon maaf jika ada tulisan saya yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Bacalah dengan hati yang terbuka.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
30hb Julai 2020

TULISAN INI HANYA PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 ORGANISASI DAN INSTITUSI. TIDAK JUGA DITUJUKAN KEPADA MANA-MANA PIHAK ATAU INDIVIDU SECARA SPESIFIK.







No comments:

Post a Comment