Tuesday 21 April 2020

APABILA KERJA AMAL MENJADI SATU BENTUK PERNIAGAAN




Bersedekah, menderma dan kerja amal adalah amalan yang sangat terpuji kerana kita meringankan beban orang lain dan melaksanakan tuntutan agama. Walaupun pemberian itu sedikit tetapi kepada penerima mungkin besar ertinya. Memang ramai anggota masyarakat terlibat di dalam aktiviti memberi derma, sumbangan dan kerja amal menolong orang lain, satu petunjuk bahawa masyarakat kita sangat pemurah dan berbudi. 

Tidak dapat dinafikan negara kita mempunyai ramai individu dan pertubuhan yang memberi sumbangan serta kerja amal kepada golongan yang memerlukan. Mereka yang ikhlas ini mungkin berbuat begitu untuk memberi kembali kekayaan yang mereka perolehi atau ramai juga yang melakukanya secara sukarela sebagai saham akhirat. Walau bagaimanapun terdapat golongan yang melakukan kerja amal untuk kepentingan diri sendiri, pendek kata mereka tidak melakukanya secara percuma. Inilah yang dinamakan kerja amal menjadi satu perniagaan. Kebajikan yang disumbangkan kepada orang lain itu mungkin besar tetapi keuntungan untuk diri sendiri juga besar. Di sebaliknya ada juga kebajikan yang diberikan itu sebenarnya kecil tetapi keuntungan untuk diri sendiri sangat besar. Tentulah kerja amal yang paling tinggi darjatnya adalah yang memberi banyak manfaat kepada orang lain tanpa ada kepentingan untuk diri sendiri selain dari ganjaran akhirat.

Penilaian sesuatu kebajikan atau kerja amal terletak kepada keikhlasan pemberi dan juga sejauh mana sumbangan itu memberi manfaat kepada orang lain. Lebih ramai orang mendapat manfaat, maka lebih besarlah nilai kerja amal tersebut. Lebih ikhlas kerja amal dilakukan maka lebih besarlah nilainya di sisi Allah swt. Walau bagaimanapun, tidak ada sesiapa pun yang dapat menilai keikhlasan orang lain selain dari Allah swt. Maka dalam keadaan ini kita janganlah mudah menilai orang lain sebaliknya berbaik sangka kepada sesiapa pun yang membuat kerja amal. Walaupun jika benar niat mereka tidak ikhlas, sekurang2nya kerja amal yang dilakukan itu dapat memanfaatkan orang yang menerima. Samada penyumbang mendapat dosa ataupun pahala, itu adalah antara dia dengan Allah. 

Di dalam rencana ini saya akan menumpukan perbincangan kepada satu fenomena menarik di dalam masyarakat kita di mana kerja amal boleh bertukar kepada satu bentuk perniagaan ataupun sumber pendapatan yang lumayan.

Dengan kemudahan media masa dan tenologi komunikasi yang lebih baik pada hari ini, perkara kecil boleh dijadikan besar dan perkara besar boleh dijadikan kecil. Seseorang yang melakukan sedikit kerja amal boleh digambarkan sebagai seorang yang sangat hebat dan pemurah jika media2 digunakan untuk memaparkan semua gerak geri beliau semasa membuat kebajikan. Apabila gambar-gambar dan video-video disiarkan berkali-kali, ia boleh sampai kepada ribuan malahan jutaan pengguna, dalam masa yang singkat, penyumbang yang hanya melakukan perkara kecil, nampak sangat besar dan hebat. Di sebaliknya pula, orang yang banyak melakukan kerja amal tetapi tidak pernah mempamirkan perbuatan baiknya tidak akan mendapat perhatian, malangnya jika satu sahaja kesilapan yang dilakukan dan disiarkan di dalam media masa cukup untuk menjatuhkan reputasi beliau dan dipandang hina. Sedangkan kerja amal dan sumbangan orang kedua ini jauh lebih besar daripada orang pertama tadi. Inilah kuasa media masa dan media sosial yang ada pada hari ini di mana jatuh bangun, hebat atau tidak seseorang itu dapat dicipta melalui persepsi. Ramai yang jatuh tersungkur atau menjadi terkenal hanya dengan persepsi semata-mata.

Ada beberapa kaedah bagaimana kerja amal boleh dijadikan satu sumber pendapatan. Mempopularkan diri sendiri adalah salah satu langkah permulaan yang baik untuk mencari pengaruh dan peminat. Berbagai kaedah boleh dilakukan untuk menjadi popular di mana matlamatnya untuk menjadi seorang selebriti. Di antara kaedah2nya adalah melalui bakat atau kemahiran yang dimiliki contohnya menjadi pelakun, pelawak, pengacara, penceramah, penulis dan juga pakar motivasi. Memanglah tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk menjadi selebriti kerana ia memerlukan bakat dan kerja keras. Seorang selebriti tentu akan mempunyai ramai peminat dan pengikut yang mengkagumi mereka.

Satu lagi kaedah menjadi selebriti yang tidak disebutkan di atas adalah melalui kerja amal yang terancang dan melakukannya secara terbuka supaya dapat ditularkan kepada ramai orang. Secara fitrahnya manusia mudah tertarik kepada orang2 yang bersifat baik dan pemurah. Tidak hairanlah mengapa sikap pemurah dan baik yang ditonjolkan secara meluas itu akan menarik ramai pemuja dan peminat. 

Dengan kedudukan selebriti yang dimiliki, peluang untuk mendapatkan keuntungan sampingan tentu lebih mudah. Mereka hanya perlu mencari jenis produk yang boleh dipasarkan. Di antara produk2 yang sering dijadikan sumber pendapatan oleh selebriti2 ini adalah produk kosmetik, ubat, suplemen, pakaian, perkhidmatan dan lain-lain lagi. Ada juga yang menggunakan platform media sosial dan youtube untuk mendapat keuntungsn daripada video2 yang dihasilkan. Mereka juga boleh membuka satu perniagaan dan menggunakan populariti untuk menarik pelanggan. Pada ketika ini isu pelanggan bukan lagi masalah kerana pengikut dan peminat sudah ramai. Status selebriti juga memberi peluang untuk masuk dalam program realiti station TV dan mengikat kontrak banyak syarikat sebagai duta. Mereka juga akan menjadi tumpuan ahli perniagaan dan orang2 berpengaruh untuk menjalin hubungan agar dapat berkongsi kepentingan dan keuntungan. 

Status selebriti juga memberi peluang untuk memohon derma dan sumbangan daripada orang ramai yang kononnya akan digunakan bagi  tujuan kebajikan sedangkan wang tersebut mungkin akan membeli produk sendiri ataupun menggunakan khidmat syarikat sendiri bagi membekalkan barangan ataupun sumbangan kepada penerima. Walaupun hasil wang derma sampai kepada penerima, namun selebriti ini seolah2 menjadi orang tengah di dalam perniagaan di mana keuntungan diperolehi kerana barangan ataupun perkhidmatan yang hendak disalurkan itu adalah daripada syarikat beliau sendiri. 

Derma juga boleh diperolehi melalui pertubuhan dan sebahagian dari wang derma tersebut akan digunakan untuk kerja dan aktiviti yang dijalankan. Sebahagian dari wang derma yang diperolehi itu digunakan untuk membeli peralatan dan kemudahan yang dikaitkan dengan kebajikan ke atas penerima derma. Ini termasuk infrastruktur, kenderaan, peralatan pejabat dan juga kerja kakitangan. 

Wang derma yang diterima boleh juga dimasukkan ke dalam amanah saham ataupun pelaburan di atas akaun sendiri dan hasil keuntungan atau dividen ini akan menjadi wang atas angin. Banyak lagi kaedah2 bagaimana pihak yang mrnerima derma boleh menjadikan wang derma itu sebagai sumber kewangan atau harta untuk diri sendiri.  Apa yang dipaparkan ini hanya sebahagian kecil sahaja. Inilah yang dikatakan kerja amal ataupun charity menjadi komoditi/perniagaan. Lagi banyak derma yang dikumpulkan, maka lebih banyak keuntungan yang diperolehi. 

Kaedah mengutip derma pula menjadi semakin canggih di mana semuanya dapat dilakukan di atas talian. Kecanggihan ini juga bermaksud wang2 derma ini dapat disalurkan kepada banyak cabang2 perniagaan dan operasi yang boleh menjana keuntungan segera tanpa menjejaskan jumlah wang derma yang diterima. 

Persoalannya apakah sikap kita apabila berdepan dengan golongan yang menjadikan kerja amal ini sebagai perniagaan. Saya berpendapat kita patut menyokong kerja-kerja amal dan kebajikan yang mereka lakukan selagi apa yang mereka lakukan itu sampai kepada kumpulan sasaran dan tidak berlaku penyalahgunaan, penganiayaan ke atas mana2 pihak dan tidak melanggar undang2.  Dengan kata lain, ianya dilakukan dengan betul, ikhlas, beretika dan mengikut lunas undang2. Di sebaliknya pula, kita perlu menolak sebarang bentuk penyelewengan dan scam yang membawa mudarat kepada masyarakat. 

Apa2 pun, kerja amal yang terbaik adalah kerja yang memanfaatkan orang lain yang dilakukan dengan ikhlas tanpa ada udang di sebalik batu.

Semoga Allah melindungi diri kita daripada tergolong di dalam golongan yang walaupun kaya di dunia tetapi muflis di Akhirat. Biarlah kita tidak kaya di dunia tetapi tidak muflis di Akhirat.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud " Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat, maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun, dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk ditimbang dan dihitung, dan cukuplah Kami sebagai Penghitung"
(Surah Al-Anbiya, ayat 47)

Sabda Nabi SAW "Tahukah anda siapa sebenarnya muflis ? Sabahat sabahat menjawab: "muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta. Nabi SAW bersabda "Bukan muflis harta yang aku maksudkan tetapi muflis pahala pada hari kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat. Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberikan kepada orang yang dizaliminya. Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa orang yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka"
(HR Muslim no 2581 dpd Abu Hurairah RA)


Bacaan tambahan tentang isu yang sama di bawah, klik tajuk di bawah:





RENCANA INI ADALAH UMUM DAN TIDAK DITUJUKAN KEPADA MANA2 KUMPULAN ATAUPUN INDIVIDU SAMADA YANG MASIH HIDUP ATAUPUN YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
22hb April 2020

No comments:

Post a Comment