Monday, 20 April 2020

UBAT-UBAT YANG BERPOTENSI MERAWAT COVID-19




Setakat ini kita belum lagi menemui ubat yang benar-benar berkesan merawat Covid-19 kerana penyakit dan virus ini masih baru. Mencari ubat yang berkesan adalah sangat penting bagi tujuan mengurangkan gejala dan menurunkan kadar kematian. Penemuan ubat yang berkesan juga bermaksud kita mempunyai senjata tambahan  untuk melawan wabak Covid-19. Rencana ini akan menerangkan mengenai bagaimana virus Covid-19 menyerang sel manusia dan apakah ubat-ubat yang dipercayai berkesan merawat penyakit ini. Ubat-ubat yang sedang dikaji ini mempunyai tindakan yang berbeza. Untuk memahami bagaimana ubat-ubat ini bertindak saya akan menerangkan langkah demi langkah serangan virus Covid-19. Tindakan ubat-ubat ini bergantung kepada peringkat serangan virus Covid-19 ke atas sel manusia. Seperti yang saya nyatakan di atas, kesemua ubat-ubat ini belum lagi disahkan berkesan dan masih menjalani kajian. WHO telah melancarkan kajian yang dinamakan “SOLIDARITY TRIAL” melibatkan 5 jenis ubat iaitu REMDESIVIR, LOPINAVIR/RITONAVIR, INTERFERONE-BETA, CHLOROQUINE dan HYDROXYCHLOROQUINE. Malaysia adalah di antara negara yang terpilih untuk menyumbang kepada kajian ini. Di dalam tulisan saya ini juga akan  menerangkan berkenaan dengan semua jenis ubat ini dan bagaimana mereka bertindak melawan Covid-19.

Apabila virus Covid-12 berjaya masuk ke dalam sel paru2 mangsa ia akan menjadikan sel itu sebagai kilang pembiakan virus. Satu sel yang diserang boleh menghasilkan berjuta2 virus baru. Berikut adalah beberapa langkah serangan virus Covid-19 dan ubat-ubat yang berpotensi bertindak bagi menyekat serangan virus ini.

1. Peringkat pertama (lihat rajah di bawah), virus dengan protein S (kunci) akan bercantum dengan reseptor ACE 2 (mangga) untuk masuk ke dalam sel. Ubat CHLOROQUINE dan HYDROXYCHLOROQUINE bertindak menghalang kemasukan virus ke dalam sel melalui tindakan ke atas protein S. Ia juga dipercayai mengurangkan keradangan. Ubat Hydroxychloroquine pada asalnya digunakan untuk merawat demam malaria. Kajian sedang dijalankan dengan menggabungkan HYDROXYCHLOROQUINE dengan sejenis antibiotik dinamakan AZITHROMYCIN. Azithromycin didapati mempunyai ciri-ciri antivirus dan gabungan kedua ubat ini mungkin boleh meningkatkan keberkesanan.

2. Selepas memasuki sel, virus akan melepaskan RNA yakni molekul yang mengandungi maklumat genomik ataupun susunan gene. Mula2 RNA ini akan menggunakan satu struktur ("mesin") yang bernama Ribosom untuk menghasilkan protein. Proses penghasilan protein ini dinamakan translasi (translation). Protein pertama dihasilkan adalah untuk tujuan membuat salinan RNA (mcm mesin fotostat). Protein penyalin RNA ini pada asalnya besar dan dikenali sebagai Polyprotein. Ia perlu dipecahkan kepada protein2 kecil yang akan menjadi penyalin sebenar untuk menghasilkan banyak RNA yang baru. Proses pemecahan polyprotein kepada protein2 yang lebih kecil ini dikenali sebagai Proteolysis dengan menggunakan enzim Protease. Salah satu ubat yang boleh merencat enzim Protease ini adalah LOPINAVIR dan RITONAVIR. Ubat ini digunakan untuk merawat AIDs dan sekarang sedang diuji untuk merawat Covid-19.

3. Salinan RNA yang sudah dihasilkan tadi akan dibahagi2kan pula kepada beberapa segmen di mana setiap segmen ini akan menghasilkan protein virus iaitu protein S,M,E dan N. Protein2 ini adalah komponen yang membina selaput ataupun kulit luar virus (kecuali Protein N yang menyelaputi RNA). Proses pembahagian (pemotongan) RNA ini akan menggunakan sejenis enzim yang dikenali sebagai RNA Polymerase. Setiap segment RNA yang terhasil ini akan menggunakan Ribosom untuk menghasilkan protein2 tersebut. REMDESIVIR adalah salah satu jenis ubat yang diuji untuk merawat Covid-19. Remdesivir boleh menyekat tindakan enzim RNA polymerase dan menganggu proses salinan RNA. Dengan kaedah ini ia merencat pembahagian dan pembiakan virus. Ubat ini telah digunakan ke atas lain2 jangkitan virus RNA seperti Ebola. Setakat ini kajian ubat ini ke atas SARS dan MERS hanya berkesan ke atas haiwan. Lain-lain ubat yang mempunyai tindakan yang sama adalah RIVABIRIN dan FAVIPIRAVIR

3. Penghasilan protein2 virus (S,M,E,N) yang membentuk selaput/kulit luar tadi berlaku di satu tempat yang dikenali sebagai Retikular Endothelial. Protein2 ini akan menyusun diri mereka untuk membentuk kulit luar virus. Kulit luar yang terhasil tadi akan meliputi setiap RNA yang telah disalin untuk membentuk virus2 baru yang dikenali sebagai virion. Proses gabungan antara kulit luar dan RNA ini berlaku di satu lagi struktur yang dinamakan Golgi Aparatus. Virus2 baru ini kemudiannya akan dilepaskan ke bahagian luar sel untuk menyerang sel2 yang lain.

4. Sel-sel yang diserang akan meransang sistem pertahanan dan mengeluarkan sekumpulan protein yang dinamakan Cytokine. Cytokine adalah umpama isyarat atau arahan ke atas lain2 komponen sistem pertahanan untuk menyerang balas virus termasuk penghasilan antibodi. Disebabkan oleh penghasilan cytokine yang tinggi, berlaku apa yang dinamakan ribut cytocine ("cytokine storm") yang menyebabkan kerosakan kepada paru2 dan lain2 organ badan. Salah satu serangan cytokine adalah melalui proses keradangan dan menyebabkan salur darah bocor dan air keluar ke dalam paru2 dan juga ruang antara sel. Inilah proses yang menyebabkan pesakit mengalami gejala dan kerosakan organ. Di antara cytokine yang dihasilkan dan mempunyai impak yang besar adalah Interleukin 6 (IL-6). Kajian mendapati pesakit yang mengalami gejala serius mempunyai kandungan IL-6 hampir 3 kali lebih tinggi dari pesakit dengan gejala ringan. Satu lagi ubat yang sedang dikaji adalah TOCILIZUMAB merupakan perencat IL-6 ataupun IL-6 inhibitor. Jika IL-6 dapat direncat, mungkin gejala akibat keradangan dapat dikurangkan.

Satu lagi ubat yang tersenarai dalam 5 jenis ubat di dalam kajian Solidarity Trial adalah INTERFERON 1. Interferon adalah sejenis cytokine yang dihasilkan oleh sel darah putih dan sel dendritik. Interferon adalah di antara cytokine yang pertama dilepaskan apabila virus menyerang manusia. Ia boleh merencat pembiakan dan penyebaran virus di dalam badan. Ia selalunya diberikan dalam bentuk gabungan dengan ubat antiviral yang lain seperti lopinavir dan remdesivir. Terdapat kajian dilakukan ke atas SARS dan MERS tetapi kurang berkesan ke atas manusia walaupun berjaya ke atas haiwan. Lain jenis ubat yang digunakan adalah STEROID ataupun CORTICOSTEROID yang bertindak sebagai antikeradangan. Penggunaan ubat ini masih di dalam penilaian. Ubat-ubat antikeradangan seperti NSAIDS dan COLCHICINE juga termasuk ubat-ubat yang sedang dikaji untuk mengurangkan kesan jangkitan Covid-19.

Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada berubat, maka selain daripada ubat, vaksin adalah senjata mencegah jangkitan yang paling berkesan. Kajian yang intensif sedang dijalankan untuk mencari vaksin yang berkesan dan selamat.Salah satu komponen vaksin yang sedang menjalani kajian adalah berkaitan dengan protein S, samada protein ini dihasilkan dalam makmal ataupun antibodi ke atas protein ini dihasilkan. Apabila menggunakan antibodi, ia dikenali sebagai imuniti pasif, manakala jika menggunakan protein ataupun sebahagian daripada virus yang sudah dinyahaktif ia dikenali sebagai imuniti aktif. Banyak lagi komponen virus Covid-19 yang menjadi sasaran penyelidikan vaksin termasuk RNA dan lain-lain lagi.Walau bagaimanapun pakar meramalkan vaksin yang berkesan hanya akan dapat dihasilkan pada hujung tahun 2020 ataupun 2021.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
20hb April 2020










RUJUKAN

https://microbenotes.com/remdesivir/

https://www.medicinet.com/lopinavir_and_ritonavir/

https://www.medpagetoday.com/infectiousdisease/covid19/85934?fbclid=IwAR0sTdXkAvAFs39AMaKXU8iMeLG86Ku1b_sJElXCK6jpZ3aQz86sjxugHwQ
https://jamanetwork.com/journals/jama/fullarticle/2764727

https://emedicine.medscape.com/article/2500114-treatment#d10

https://www.who.int/malaysia/news/detail/05-04-2020-malaysia-starts-global-solidarity-trial---a-research-effort-to-test-possible-treatments-for-covid-19

Sallard E, Lescure FX, Yazdanpanah Y, et al. Type 1 interferons as a potential treatment against Covid-19. Antiviral Res, 2020;178:104791

https://www.foxnews.com/science/at-home-study-to-test-if-common-drug-prevents-covid-19-complications


No comments:

Post a Comment