Salah satu kumpulan pesakit Covid-19 yang menjadi tumpuan penyelidik
pada hari ini adalah pembawa virus Covid-19 yang tidak mengalami gejala ataupun
“asymptomatic carrier”. Memandangkan tidak ada negara yang melakukan ujian
pengesahan Covid-19 secara meluas dan tidak ada kaedah ujian yang mempunyai
ketepatan 100%, maka kumpulan pesakit yang tidak mempunyai gejala ini
sebenarnya sangat relevan. Walaupun mereka tidak mempunyai gejala, tidak
bermaksud mereka tidak mampu untuk menyebarkan virus kepada orang lain walaupun
terdapat pakar yang berpendapat kuantiti virus (“viral load”) yang mereka
miliki itu tidak setinggi pesakit yang bergejala.
Satu kajian saringan ujian Covid-19 telah dilakukan di Hulu Langat di
mana daerah ini dikenalpasti sebagai zon merah Covid-19, di mana seramai 5
orang didapati positif dan 4 daripada mereka tidak mempunyai gejala. Ini
bermaksud jika ujian meluas dijalankan ke atas penduduk, 80% (4 dari 5)
daripada yang positif tidak mempunyai gejala. Walaupun kajian ini melibatkan
kawasan kecil dan bilangan penduduk yang terhad tetapi ini menggambarkan bahawa
lebih ramai pembawa virus tidak mempunyai gejala. Kajian yang lebih besar
dilakukan di luar negara mendapati 28-47% daripada kes-kes positif Covid-19
tidak mempunyai gejala.
Terdapat beberapa kategori pembawa virus yang tidak mempunyai gejala
tetapi berpotensi untuk menyebarkan virus kepada orang lain. Berikut adalah
beberapa kategori pembawa virus yang meliputi peratusan yang agak besar di
dalam masyarakat kita:
1. KANAK-KANAK. Kajian dilakukan di negara China terhadap 36
orang kanak2 berusia 0-16 tahun (purata usia 8.3 tahun) di Zhejiang. Kajian ini
mendapati 28% daripada mereka tidak mempunyai gejala dan 19% mengalami gejala
ringan seperti demam selesema. Kajian ini menunjukkan 47% daripada kanak2 ini
samada tidak ada gejala ataupun mempunyai gejala ringan yang mudah terlepas
daripada saringan. Jika sekolah dibuka secara tergesa2 sebelum wabak dapat
dikawal dengan sempurna, kanak2 pembawa virus yang tidak bergejala dan
mempunyai gejala ringan ini berpotensi untuk menjangkiti rakan2 serta guru2 di
sekolah.
2. GOLONGAN PRA-GEJALA (“PRE-SYMPTOMATIC”). Ini adalah golongan yang dijangkiti tetapi disebabkan mereka masih di
dalam tempoh mengeram (“incubation period”), maka mereka belum mengalami gejala
sedangkan virus sudah berada di dalam diri mereka. Tempoh mengeram boleh
mengambil masa 2 hingga 14 hari dengan median masa 5 hari. Selepas dijangkiti,
bilangan virus akan meningkat sehingga mengalami gejala, mungkin pada peringkat
awal jangkitan, bilangan virus yang dihasilkan tidak cukup banyak untuk
menjangkiti tetapi apabila menghampiri di hujung tempoh mengeram, bilangan
virus yang terhasil sudah cukup tinggi untuk menjangkiti orang lain. Kemampuan
golongan pra-gejala untuk menjangkiti orang lain ditemui di dalam catatan
lapuran kes yang berlaku di Singapura. Kajian di negara China ke atas 55
pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai gejala dikesan melalui saringan kontak.
Kajian itu mendapati 31% adalah dalam lingkungan usia 30-49 tahun. Daripada
55 orang yang asalnya tidak bergejala, 70% mengalami gejala Covid-19
kemudiannya dan ini adalah kumpulan yang mewakili pra-gejala. Dengan kata lain
30% daripada pesakit ini kekal tidak mempunyai gejala. Ada juga kajian yang
menunjukkan bahawa terdapat petunjuk bahawa 44% daripada jangkitan Covid-19
boleh berlaku ketika fasa pra-gejala.
3. GOLONGAN YANG MENGALAMI GEJALA UMUM DAN TIDAK KHUSUS. Ini adalah golongan yang mempunyai gejala tetapi diletakkan di bawah
kategori tidak bergejala kerana gejala yang mereka alami tidak tipikal. Gejala
khusus yang dialami oleh pesakit Covid-19 adalah demam, batuk, sesak nafas dan
lemah badan. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian pesakit Covid-19 yang
mengalami gejala umum dan tidak khusus seperti yang diwar-warkan. Akibat
daripada gejala yang tidak khusus, pesakit ataupun petugas perubatan tidak
mengesyakki mereka ini mengalami Covid-19 jadi mereka tidak menjalani ujian.
Lapuran2 kes Covid-19 mendapati di antara gejala-gejala yang tidak khusus ini
adalah apabila pesakit ini mengalami satu saja gejala seperti sakit kepala,
letih, gejala usus (muntah, cirit, sakit perut), menggigil dan hilang deria
bau. Golongan ini boleh terlepas daripada perhatian petugas perubatan dan
tindakan lanjut tidak dilakukan. Walau bagaimanapun memang sangat sukar bagi
petugas perubatan untuk melayan semua jenis gejala sehingga beban tugas yang
terlalu tinggi dan menjejaskan bekalan peralatan kerana golongan ini meliputi
peratusan yang kecil.
4. PESAKIT YANG SUDAH SEMBUH TETAPI MASIH MEMBAWA VIRUS. Kajian di Korea dan China mendapati terdapat pesakit-pesakit yang
sudah disahkan sembuh tetapi apabila rawatan susulan dilakukan mendapati mereka
masih menunjukkan tanda membawa virus. Contohnya penyelidik di Korea Selatan
menemui 91 orang pesakit Covid-19 yang telah dikatakan sembuh tetapi
kemudiannya didapati positif oleh ujian Covid-19. Implikasi ataupun akibat yang
dibawa oleh golongan ini belum dapat dipastikan. Persoalan samada mereka boleh
menjangkiti orang lain ataupun tidak bergantung kepada apakah punca ujian
Covid-19 menjadi positif selepas ujian awalnya negatif. Terdapat beberapa
kemungkinan mengapa ujian Covid-19 ini kembali positif. Di antara sebabnya
adalah kelemahan ujian Covid-19 di mana keputusan negatif yang diberikan itu
tidak tepat akibat daripada “false negative” (keputusan negatif tetapi
jangkitan masih wujud). Perkara ini sememangnya boleh berlaku kerana ujian RT
PCR yang walaupun paling tepat tetapi tidak 100%, kurang daripada 5% pesakit
akan mendapat ujian negatif sedangkan mereka masih dijangkiti. Sebab itu ada
pusat rawatan yang melakukan 2 kali ujian untuk mengesahkan sembuh. Sebab kedua
adalah akibat “false positive” semasa ujian ulangan selepas pesakit disahkan
sembuh.Kadangkala saki baki RNA virus yang tertinggal akan memberi ujian
positif walaupun hakikatnya virus-virus hidup sudah dihapuskan oleh sistem
pertahanan badan. Terdapat juga pakar yang berpendapat keadaan ini berlaku jika
sistem imun pesakit tidak cukup kuat (tidak kebal) untuk mencegah jangkitan
kali kedua akibatnya mereka dijangkiti semula oleh virus Covid-19 apabila
terdedah dengan pesakit lain. Akhir sekali, ada pakar yang membuat andaian
bahawa virus Covid-19 boleh tersembunyi dan tidak dapat dikesan oleh ujian
Covid-19 yang asal, kemudian virus ini menjalani mutasi dan menjadi aktif
semula ("reactivation"). Apabila ujian semula dilakukan, keputusannya
menjadi positif.
5. PENGESAHAN SEMBUH TERLALU AWAL. Tidak
dapat dinafikan mungkin berlaku keadaan di mana pesakit yang belum sembuh
sepenuhnya dibenarkan keluar wad ataupun bebas daripada kuarantin apabila
mereka sudah tidak mempunyai gejala. Kebetulan ujian Covid-19 yang dilakukan adalah
negatif tetapi disebabkan ujian ini tidak diulang bagi kali kedua, maka ujian
pertama yang negatif berkemungkinan tidak tepat dan pesakit ini dianggap sudah
sembuh. Ini bertitik tolak daripada isu ketepatan ujian Covid-19 yang sukar
dielak.
Kewujudan pembawa virus Covid-19 yang tidak mempunyai gejala ataupun
mengalami gejala-gejala yang tidak khusus ini ada baik dan ada buruknya.
Kebaikannya adalah mereka ini akan menyumbang kepada "herd immunity"
ataupun imuniti berkelompok yakni di samping mereka tidak mempunyai gejala,
mereka juga akan termasuk di dalam kalangan orang yang tidak akan dijangkiti
semula. Dengan nombor reproduksi virus Covid-19 (R0) 2-3, kita memerlukan
liputan sekurang-kurangnya 60-70% orang yang kebal untuk mencapai imuniti berkelompok.
Apabila mereka tidak mempunyai gejala, mereka tidak memerlukan rawatan khusus,
tidak perlu diberikan ubat khusus dan penggunaan peralatan perubatan juga dapat
dikurangkan. Ini akan mengurangkan beban ke atas sistem perkhidmatan kesihatan
sesebuah negara.
Walau bagaimanapun di samping kebaikan, jangan lupa keburukan yang boleh
dibawa oleh golongan yang tidak mempunyai gejala ini. Jika ujian Covid-19 tidak
dilakukan secara menyeluruh, kita tidak tahu berapa ramaikah ahli masyarakat
yang membawa virus tetapi tidak mempunyai gejala. Apa yang pasti, bilangan
mereka memang besar, jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan.
Peratusan golongan tanpa gejala yang diperolehi daripada kajian tidak
menggambarkan angka sebenar dan berkemungkinan hanya "tips of
iceberg". Pembawa2 virus tanpa gejala ini boleh menjangkiti orang lain
terutama daripada kategori pra-gejala (“pre-symptomatic”). Maka daripada
kesedaran ini, semua pihak perlu mengambil langkah pencegahan yang berkesan
sepanjang masa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah ditarik-balik. Inilah
yang ditekankan oleh KKM tentang pentingnya proses keluar (“exit process”) dari
PKP yang perlu dilakukan secara bijak, berhati-hati dan mengikut
langkah-langkah yang disarankan oleh WHO. Selagi ubat dan vaksin ke atas
Covid-19 ini tidak ditemui, selagi itulah ancaman Covid-19 ini akan berterusan
di dalam masyarakat kita dan kita wajib mengubah banyak amalan di dalam hidup
supaya ianya tidak menjadi punca jangkitan virus Covid-19. Kita perlu menerima
satu kebiasaan baru (new normal) dalam hidup untuk kekal selamat daripada
jangkitan virus Covid-19.
BOLEHKAH DIHENTIKAN WABAK COVID-19 DENGAN MEMBIARKAN JANGKITAN MENULAR
TANPA IKHTIAR ?
Saya memasukkan isu ini di sini kerana terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan mengapa kerajaan perlu melaksanakan PKP dan menjejaskan kehidupan dan ekonomi rakyat. Mereka berhujah mengapa tidak dibiarkan jangkitan menular sendiri sehingga mencapai herd immunity ataupun imuniti berkelompok. Berikut adalah jawapan saya:
Langkah-langkah pencegahan dan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah selari dengan pendapat pakar2 epidemiologi dan virologi di seluruh dunia. Ianya juga adalah saranan WHO dan banyak lagi pertubuhan kesihatan dunia berdasarkan kajian dan pengalaman yang lalu. Mengharapkan imuniti berkelompok tercapai sendiri tanpa ikhtiar adalah langkah yang sangat merbahaya kerana virus Covid-19 (SARS-CoV 2) adalah virus yang baru dan pakar belum dapat memastikan sejauh mana kekebalan yang akan dimiliki oleh orang yang dijangkiti. Faktor kedua adalah jika langkah PKP tidak dikuatkuasakan dan langkah2 pencegahan lain tidak dilakukan, bilangan kematian yang sepatutnya dapat dielakkan akan meningkat pada bilangan yang tidak dapat dibayangkan kerana kadar jangkitan Covid-19 adalah 10 kali lebih cepat daripada jangkitan virus influenza(demam selesema). Itu belum lagi mengambil kira kes-kes yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan unit rawatan rapi.
Dengan nombor reproduksi 2.7-3.0, pakar epidemiologi menganggarkan
sejumlah 70% daripada populasi perlu menjadi kebal kepada virus Covid-19
sebelum mencapai imuniti berkelompok (tanpa menggunakan vaksin).Jika ini cuba
dicapai melalui kaedah semulajadi yakni membiarkan jangkitan tersebar sendiri
tanpa melakukan sebarang ikhtiar termasuk PKP, maka kita boleh mengira beban
penyakit yang perlu ditanggung. Jumlah penduduk Malaysia adalah 33 juta orang,
70% daripada angka ini adalah 23 juta orang. Dengan kata lain, kita perlu
membiarkan 23 juta orang penduduk Malaysia dijangkiti sebelum boleh mencapai
imuniti berkelompok. Jika kadar kematian Covid-19 adalah 1% , maka ini
bermaksud kita perlu kehilangan 230,000 nyawa rakyat Malaysia. Memang kita
telah berjaya menyekat wabak Covid-19 tetapi dengan kos yang terlalu tinggi.
Mahukah kita mengambil risiko tersebut ? Takut pada ketika itu, perkhidmatan
kesihatan dan ekonomi negara kita runtuh. Di sini jelas bahawa membiarkan wabak
ini menular tanpa ikhtiar boleh membawa risiko yang jauh lebih besar.
Pendekatan yang lebih waras adalah melalui kaedah yang pro-aktif seperti mana
yang dilaksanakan sekarang dan pada waktu yang sama mengharapkan terhasilnya
ubat yang berkesan dan vaksin yang akan menyumbang kepada imuniti berkelompok
di masa hadapan.
Nota: Covid-19
adalah nama penyakit, virus yang menyebabkan Covid-19 adalah SARS-CoV 2.
Perkataan "virus Covid-19" merujuk kepada SARS CoV 2.
Dato'Dr.Mohd
Rushdan Md Noor
19hb April 2020
Qiu H, Wu
J, Hong L, et al. Clinical and epidemiological features of 36 children with
coronavirus disease 2019 in Zhejiang, China: an observational cohort study. The
Lancet , march 25, 2020;
Wang Y, Liu Y, Liu L, et al. Clinical Outcomes in 55 patients with SARS-CoV 2 who were asymptomatic at Hospital Admission in Shenzhen, China. The Journal of Infectious Diseases, 17 March 2020, https://doi.org/10.1093/infdis/jiaa119
https://codeblue.galencentre.org/2020/04/17/saringan-komuniti-kesan-kes-covid-19-tidak-bergejala-di-hulu-langat/?fbclid=IwAR1uPvqJNRxtzoHkGjy_Cak2Ym-HElqZmnAVbTR8AeoCPEB1-VEAM_UtlTQ
Wang Y, Liu Y, Liu L, et al. Clinical Outcomes in 55 patients with SARS-CoV 2 who were asymptomatic at Hospital Admission in Shenzhen, China. The Journal of Infectious Diseases, 17 March 2020, https://doi.org/10.1093/infdis/jiaa119
https://codeblue.galencentre.org/2020/04/17/saringan-komuniti-kesan-kes-covid-19-tidak-bergejala-di-hulu-langat/?fbclid=IwAR1uPvqJNRxtzoHkGjy_Cak2Ym-HElqZmnAVbTR8AeoCPEB1-VEAM_UtlTQ
He Xi, Lau EH, Wu P, et al. Temporal dynamics in viral shedding and transmissibility of COVID 19 https://www.medrxiv.org/content/10.1101/2020.03.15.20036707v2.full.pdf+html
No comments:
Post a Comment