Tuesday 21 April 2020

KADAR KEMATIAN COVID-19



Purata kadar kematian Covid-19 di seluruh dunia adalah 6.9% pada 20hb April 2020. Kadar kematian Covid-19 di negara kita pada 21hb April 2020 adalah 1.7% (92÷.5482 X 100). Kadar kematian boleh berubah2 mengikut masa dan banyak faktor ("co-founding factors") yang mempengaruhinya. Disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi maka memang sukar untuk membuat kesimpulan berdasarkan perbandingan kadar kematian satu negara dengan negara yang lain. Kadar kematian yang dipaparkan mungkin lebih rendah ataupun lebih tinggi daripada kadar sebenar.

Ada negara yang kadar kematiannya kelihatan tinggi kerana masalah pengesanan kes dan ketepatan ujian. Jumlah bilangan kes keseluruhan (denominator) yang dikumpulkan lebih rendah dari nilai sebenar jika aktiviti saringan dan pengesanan kes tidak cekap ataupun ujian tidak dilakukan menyeluruh. Ujian yang tidak tepat dengan kadar "false negative" yang tinggi juga boleh menyebabkan bilangan kes positif lebih rendah dari angka sebenar. Definasi kematian Covid juga perlu seragam kerana ada perbezaan seperti yang berlaku di Itali di mana selagi seseorang dijangkiti Covid-19, walaupun punca kematiannya disebabkan oleh masalah kesihatan lain, ia tetap dimasukkan ke dalam data kematian Covid. Ini boleh menjadi punca kadar kematian yang lebih tinggi dari negara2 yang hanya mengambil kematian berpunca dari komplikasi Covid-19 sahaja.

Kemampuan dan kecekapan perkhidmatan kesihatan sesebuah negara memainkan peranan yang besar di dalam menentukan kadar kematian. Kadar kematian yang tinggi boleh disebabkan oleh peratusan warga tua di negara tersebut yang lebih tinggi. Kadar penyakit kronik yang tinggi, kadar penyakit paru2 dan kadar merokok yang tinggi juga menyumbang kepada kadar kematian yang lebih tinggi. Di samping kecekapan saringan dan pengesanan kes, faktor yang sangat penting adalah kejayaan PKP yang melibatkan penguatkuasaan dan kepatuhan rakyat. Sikap rakyat yang tidak kisah, tidak mematuhi PKP, tidak mengamalkan kaedah pencegahan dan penjarakkan sosial akan menyebabkan beban kes meningkat terlalu tinggi sehingga melebihi kemampuan sesebuah negara, akhirnya kualiti penjagaan pesakit terjejas dan kadar kematian meningkat.

Kadar kematian yang dicatitkan rendah tidak semestinya benar2 rendah. Jumlah bilangan kes kematian yang dikumpulkan mungkin lebih rendah dari bilangan sebenar jika terdapat kes kematian Covid yang tidak dikesan atau terlepas dari "radar" pengesan contohnya pesakit yang disangkakan mati akibat penyakit lain. Kadar kematian yang rendah boleh juga disebabkan oleh jumlah bilangan kes positif yang dilapurkan lebih tinggi daripada angka yang sebenar, antaranya disebabkan oleh duplikasi data ataupun masalah ketepatan ujian (tinggi false positif).

Kalau kita hendak mengetahui kadar kematian akibat Covid-19 yang boleh dijadikan standard ataupun kayu ukur adalah berdasarkan kepada data yang diambil dari kapal Diamond Princess. Covid-19 telah menyerang penumpang kapal layar ini. Data dari kapal ini dianggap lebih tepat kerana kesemua penumpang menjalani ujian dan tidak timbul isu ketepatan jumlah kes Covid-19. Tidak pula wujud masalah pendatang dan faktor orang keluar masuk kerana kesemua penumpangnya telah dikuarantin. Pendek kata faktor2 "cofounding" dapat diminimakan. Tujuh orang mati daripada 705 orang penumpang yang didapati positif Covid-19, ini memberikan kadar kematian 0.99%. Kadar itu boleh menjadi lebih rendah jika lebih ramai penumpang dari kalangan yang sihat dan muda.

Kadar kematian Covid-19 ini lebih rendah dari SARs (9.5%) dan MERS (34.4%). Tetapi kadar kematian Covid-19 (0.99%) ini jauh lebih tinggi (10X) dari demam selsema Influenza (0.1%). Kadar kematian Covid-19 ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan kadar jangkitan (Ro) yang tinggi. Apabila jumlah orang yang dijangkiti sangat tinggi, dengan kadar kematian 1% pun sudah boleh mengakibatkan beribu2 malah boleh mencapai berjuta2 kematian jika jangkitan tidak dikawal dengan baik.

Dato'Dr Rushdan Noor
21hb April 2020




https://www.thelancet.com/journals/laninf/article/PIIS1473-3099(20)30244-9/fulltext

https://www.cebm.net/covid-19/global-covid-19-case-fatality-rates/

https://i.stuff.co.nz/national/health/coronavirus/120443722/coronavirus-is-covid19-really-the-cause-of-all-the-fatalities-in-italy

https://www.worldometers.info/coronavirus/

https://www.npr.org/sections/coronavirus-live-updates/2020/03/30/824127807/if-most-of-your-coronavirus-tests-come-back-positive-youre-not-testing-enough

No comments:

Post a Comment