Saturday 11 April 2020

BAGAIMANA VIRUS COVID-19 BOLEH BERUBAH MELALUI MUTASI



Kali ini saya menulis mengenai satu lagi ciri virus Covid-19 (SARS-CoV 2) yang boleh berubah sehingga boleh berpindah daripada haiwan kepada manusia.Saya harap anda sudah membaca tulisan saya tentang bagaimana virus Covid-19 menyerang manusia di pautan ini.



RNA yang terletak di tengah virus Covid-19 adalah molekul yang sangat penting kerana di situlah tersimpan kod genetik (genetic code). Kod genetik inilah yang akan bertanggungjawab menentukan sifat dan struktur fizikal virus tersebut. Kod genetik ini umpama pelan rekacipta sesebuah kereta dan dengan pelan inilah pakar kejuruteraan akan gunakan untuk menghasilkan kereta.Di dalam pelan rekacipta inilah terdapat segala maklumat tentang apakah bahan2 dan kaedah2 untuk menghasilkan kereta. Maklumat2 di dalam kod genetik ini akan menghasilkan komponen2 virus Covid-19 seperti protein, lemak dan lain2 yang membina virus ini. Disebabkan virus ini sangat ringkas, mereka perlu menggunakan sel perumah untuk menghasilkan komponen2 ini.

Salah satu kod genetik yang penting dalam RNA ini adalah "pelan" untuk menghasilkan kunci ataupun Protein S (baca tulisan saya yang lalu tentang kunci ini). Pada asalnya virus Covid-19 ini hanya boleh merebak dalam kalangan haiwan perumah sahaja. Salah satu haiwan yang dipercayai perumah asal virus ini adalah kelawar. Mengapa virus ini boleh tinggal dalam kelawar? Sebab kunci yang ada pada virus tersebut memang sesuai dengan mangga sel kelawar. Kunci asal virus ini tak sesuai dengan mangga yang ada pada sel manusia iaitu reseptor ACE2. Itulah sebabnya pada asalnya virus ini tidak boleh menjangkiti manusia. Kalau dengan bahasa pasar kita kata kunci dan mangga tidak "ngam".

Semasa proses pembiakan virus di dalam perumah asal (kelawar atau tenggiling), salinan RNA perlu dilakukan (macam fotostat) untuk menghasilkan lebih banyak virus. Semasa proses salinan yang bejumlah berjuta2 ini tentu akan berlaku kesilapan ataupun kerosakan sehingga susunan kod genetik ataupun "pelan" asal telah berubah. Kesilapan atau kerosakan kod genetik ini dikenali sebagai mutasi. Kadang2 kesilapan "pelan" ini terlalu serius sehingga kereta yg dihasilkan tidak boleh berjalan, dengan kata lain virus yang terhasil tidak boleh hidup. Tetapi adakalanya kesilapan "pelan" tersebut menghasilkan kereta yang lebih baik tanpa diduga sehingga kereta menjadi lebih tahan lasak dan laju.

Kesilapan boleh berlaku ke atas kod genetik yang menghasilkan kunci ataupun Protein S sehingga ia menjadi lebih baik. Kunci yang asalnya hanya boleh membuka mangga sel kelawar sekarang sudah boleh membuka mangga sel manusia. Apabila berlaku interaksi yang kerap di antara manusia dengan haiwan2 ini, tiba satu masa virus Covid-19 yang sudah berubah ini akan sampai kepada sel2 manusia. Dengan kunci yang lebih baik dan secocok,ia mampu membuka mangga sel2 manusia dan berjaya masuk ke dalam sel untuk membiak. Maka berlakulah perpindahan perumah daripada haiwan kepada manusia. Begitulah cerita bagaimana virus boleh berpindah daripada satu spesis kepada spesis yang lain.

Mutasi ke atas kod genetik ini boleh berlaku dari masa ke semasa jadi ia dapat mengubah sifat virus mengikut keadaan. Susunan kod genetik virus Covid-19 di negara asalnya di China mungkin sudah sedikit berbeza dengan virus yang sampai ke Malaysia dan negara2 lain. Begitu juga di negara2 Eropah dan Amerika. Ahli2 Sains mampu untuk mengkaji susunan kod genetik ini ataupun susunan gene (gene sequencing) dalam RNA tadi dan daripada maklumat ini mereka dapat memetakan asal usul virus Covid-19. Contohnya mereka boleh meramal virus Covid-19 yang menyerang Amerika adakah berasal terus dari negara China ataupun datang melalui negara Eropah seperti Itali. Kaedah yang sama juga dilakukan oleh ahli Sains untuk mencari perumah asal virus Covid-19 iaitu dari kelawar kepada tenggiling sebelum berpindah kepada manusia (Zoonotik). Pemetaan kod genetik dan hubungkaitnya dengan virus2 dari kumpulan yang sama tetapi di dalam perumah yang berbeza dikenali sebagai "Phylogenetic trees". Seperti salasilah satu keluarga yang besar. 

Walaubagaimanapun jangan risau, walaupun Ahli Sains mendapati sudah berlaku kelainan pada susunan kod genetik, setakat ini ianya belum cukup besar untuk mengubah ciri2 virus ini dan masih boleh dirawat dengan ubat yang sama.

Nota tambahan: Covid-19 adalah nama penyakit dan virus yang menyebabkan penyakit ini dinamakan SARS-CoV 2. Apabila saya menulis "virus Covid-19" ianya bermaksud SARS-CoV 2.

Dato' Dr Rushdan Noor
11hb April 2020






RUJUKAN

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10215969601340723&id=1468333443

https://www.npr.org/sections/goatsandsoda/2020/03/25/820998549/the-coronavirus-is-mutating-but-that-may-not-be-a-problem-for-humans

https://www.cam.ac.uk/research/news/covid-19-genetic-network-analysis-provides-snapshot-of-pandemic-origins

https://www.google.com/amp/s/theconversation.com/amp/how-do-viruses-mutate-and-jump-species-and-why-are-spillovers-becoming-more-common-134656

https://www.google.com/amp/s/amp.cnn.com/cnn/2020/03/07/health/coronavirus-mutations-analysis/index.html

https://www.google.com/amp/s/www.livescience.com/amp/coronavirus-mutations.html

https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1684118220300827

http://www.financetwitter.com/2020/04/three-coronavirus-variants-discovered-surprisingly-type-a-found-in-americans-wuhans-type-b-and-type-c-in-europe.html?fbclid=IwAR2iZH8TZ2Jkko8GWYqr-gOctw4XD1BzBvD-R9e_q2GxH98HbYaUsh0TU6A

No comments:

Post a Comment