Monday, 20 April 2020

BENARKAH WABAK COVID 19 BOLEH DIKAWAL TANPA PKP ATAUPUN “LOCK DOWN” ?



Wabak Covid-19 sedang melanda seluruh dunia dengan jumlah kes melebihi 2.4 juta orang dan membunuh ribuan manusia (165,273 orang setakat 20hb April 2020). Bilangan yang mengalami kecacatan dan kesan samping selepas jangkitan tidak terkira ramainya. Virus Covid-19 yang dinamakan SARS-CoV2 ini adalah virus yang baru jadi kajian tentang sifat virus ini masih terhad walaupun maklumat tentangnya sedang dikumpulkan. Kajian-kajian juga sedang dilakukan untuk melihat kesan jangkitan ini ke atas manusia. Apa yang merisaukan pakar2 adalah tentang kadar jangkitan yang cepat dari SARS dan MERS, manakala kadar kematian pula 10 kali lebih tinggi daripada jangkitan influenza (demam selesema). Malahan ada yang berpendapat R0 sebenar virus ini mungkin mencapai angka 5. Walaupun kadar kematiannya rendah iaitu lebih kurang 1% (berdasarkan data dari penumpang kapal layar Diamond Princess yang dikuarantin akibat serangan Covid-19), namun dengan kadar jangkitan yang tinggi ia mampu untuk menjangkiti ramai orang dan bilangan kematian boleh meningkat dengan tinggi.

Pada umumnya pakar-pakar epidemiologi dan pakar virologi berpendapat pengasingan ataupun menghadkan pergerakan orang ramai adalah kaedah yang berkesan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Walau bagaimanapun terdapat juga pakar epidemiologi yang mempunyai pendapat yang berbeza di mana mereka menganggap kaedah menghadkan pergerakan ataupun lockdown ini bukan tindakan yang betul kerana ada cara lain yang boleh dilakukan. Menghadkan pergerakan boleh menyebabkan gangguan ke atas kehidupan orang ramai termasuk terjejasnya perniagaan dan pendapatan. Persoalannya apakah kaedah lain yang boleh dijadikan alternatif daripada PKP. Di antara kaedah lain yang dikatakan boleh digunakan adalah dengan melakukan isolasi golongan2 berisiko tinggi daripada mempunyai kontak dengan orang ramai supaya jangkitan hanya menular dalam kalangan orang2 yang berisiko rendah. Apabila mereka berisiko rendah, walaupun dijangkiti, kadar kematian adalah rendah. Dengan harapan setelah ramai yang dijangkiti dan menjadi kebal ke atas Covid-19, imuniti berkelompok ("herd immunity") boleh tercapai secara semulajadi. Persoalannya adakah kaedah ini selamat digunakan. Saya akan mengupas isu ini berdasarkan pembacaan dan juga perbincangan oleh pakar-pakar.. Pendapat ini bukan pendapat peribadi saya sebaliknya saya berkongsi pendapat pakar yang layak. Saya bukan pakar di dalam bidang epidemiologi atau apa2 yang berkaitan.

Semasa wabak Covid-19 melanda Eropah, negara Great Britain telah mencuba untuk tidak melakukan "lockdown" untuk membiarkan jangkitan Covid 19 merebak tetapi terpaksa menarik balik rancangan tersebut disebabkan oleh bilangan kes dan kematian yang meningkat dengan mendadak. Negara Sweden adalah contoh negara yang sehingga kini mengambil pendekatan berbeza di mana lockdown tidak dilakukan seperti mana negara2 lain. Mereka melakukan beberapa langkah seperti tidak membenarkan sebarang perkumpulan/perjumpaan melebih 50 orang dan menutup sekolah menengah. Lain-lain aktiviti dibenarkan berjalan dan amalan penjarakkan sosial digalakkan. Walau bagaimanapun kita perlu menyedari bahawa Sweden mempunyai jumlah penduduk 10.3 juta orang sahaja dan kepadatan penduduk di negara mereka adalah sangat rendah iaitu 25 orang untuk setiap km persegi, jadi penjarakan fizikal dapat dilakukan dengan mudah, malahan ianya seolah2 sudah berlaku secara semulajadi. Sweden juga mempunyai penduduk yang kadar bekerja dari rumah yang tinggi iaitu 50% dan kajian mendapati 50% penduduknya adalah bujang. Dengan mempunyai ciri2 seperti yang dinyatakan di atas, negara ini mudah untuk mengawal rakyatnya dan pendekatan berani yang diambil mungkin ada asasnya. Walau bagaimanapun, setakat 20hb April 2020 (jadual bawah), jumlah kes Covid 19 di Sweden adalah 14,385 dan kadar kematian yang tinggi iaitu 10.7%. Kadar kematian ini jauh lebih tinggi daripada negara2 jirannya yang mengamalkan lockdown contohnya Denmark (4.5%), Norway (2.2%) dan Finland (2.2%). Kadar kematian yang tinggi ini tentu sekali membimbangkan. Kesimpulannya, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan kaedah menangani wabak Covid 19 oleh negara Sweden yang tidak mengamalkan lockdown. Masa yang akan menentukan dan menarik untuk kita mengikuti perkembangan ini.

Apakah akibatnya jika pendekatan negara Sweden ini diambil oleh negara2 lain yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan ciri-ciri penduduk yang berbeza. Kita perlu faham bahawa apabila jangkitan Covid-19 merebak ke dalam sesebuah negara, ia akan menyebabkan kerosakan dan gangguan kepada banyak aspek kehidupan manusia. Walaupun 80% daripada jangkitan adalah ringan dan tidak bergejala, namun 14.5% pesakit perlu dimasukkan ke wad kerana mengalami gejala yang agak serius dan 5% lagi memerlukan rawatan rapi termasuk bantuan pernafasan. Jika bilangan kes jangkitan meningkat mendadak, beban kepada perkhidmatan Perubatan adalah sangat tinggi dan berkemungkinan melebihi kemampuan sesebuah negara.


Dalam perbincangan ini saya suka mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh negara kita di dalam menangani wabak Covid-19. Di negara kita perkataan lockdown yang digunakan di negara lain digantikan dengan PKP ataupun Perintah Kawalan Pergerakan ataupun MCO ("movement control order"). Memang terdapat beberapa bentuk menghadkan pergerakan contohnya seperti "total lockdown" di mana orang ramai tidak langsung dibenarkan keluar rumah seperti penguatkuasaan darurat. Ada juga lockdown yang bersifat separa ataupun partial lockdown di mana pergerakan tidak disekat sepenuhnya, orang ramai masih boleh bergerak dengan syarat2 tertentu. PKP yang diamalkan di Malaysia adalah dalam bentuk partial lockdown di mana orang ramai diarahkan untuk tinggal di rumah tetapi masih boleh pergi ke tempat tertentu untuk tujuan2 yang dibenarkan sahaja dan mesti berseorangan. Sekolah dan hampir semua pejabat telah ditutup. Hanya beberapa jenis perniagaan sahaja yang dibenarkan beroperasi tetapi perlu mematuhi syarat2 yang ketat. Mengapa negara kita mengambil langkah ini, berikut adalah penjelasan saya.

Langkah-langkah pencegahan dan PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah selari dengan pendapat pakar2 epidemiologi dan virologi di seluruh dunia. Ianya juga adalah saranan WHO dan banyak lagi pertubuhan kesihatan dunia berdasarkan kajian dan pengalaman yang lalu (rujuk 2 graf terakhir di bawah yang menunjukkan kesan penjarakkan keatas wabak Spanish Flu pada tahun 1918). Mengharapkan imuniti berkelompok tercapai sendiri tanpa ikhtiar yang proaktif adalah langkah yang sangat merbahaya kerana virus Covid-19 (SARS-CoV 2) adalah sejenis virus yang baru dan pakar belum dapat memastikan sejauh mana kekebalan yang akan dimiliki oleh orang yang dijangkiti. WHO baru sahaja mengeluarkan kenyataan tentang kebimbangan mereka tentang kemungkinan imuniti yang terhad oleh bekas pesakit Covid-19 di mana peratusan yang mempunyai antibodi adalah rendah.  Adakah ini bermaksud pesakit masih boleh dijangkiti selepas sembuh? Faktor kedua adalah jika langkah PKP tidak dikuatkuasakan dan langkah2 pencegahan lain tidak dilakukan, bilangan kematian yang sepatutnya dapat dielakkan akan meningkat pada bilangan yang tidak dapat dibayangkan kerana kadar kematian Covid-19 adalah 10 kali lebih tinggi daripada jangkitan virus influenza (demam selesema). Itu belum lagi mengambil kira kes-kes yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan unit rawatan rapi.

Dengan nombor reproduksi 2.7-3.0, pakar epidemiologi menganggarkan sejumlah 50-60% daripada populasi perlu menjadi kebal kepada virus Covid-19 sebelum mencapai imuniti berkelompok (tanpa menggunakan vaksin).Jika ini cuba dicapai melalui kaedah semulajadi yakni membiarkan jangkitan tersebar sendiri tanpa melakukan sebarang ikhtiar termasuk PKP, maka kita boleh mengira beban penyakit yang perlu ditanggung. Jumlah penduduk Malaysia adalah 33 juta orang, 60% daripada angka ini adalah 19.8 juta orang. Dengan kata lain, kita perlu membiarkan 19.8 juta orang penduduk Malaysia dijangkiti sebelum boleh mencapai imuniti berkelompok. Jika kadar kematian Covid-19 adalah 1% , maka ini bermaksud kita perlu kehilangan  198,000 nyawa rakyat Malaysia. Itu belum mengambil kira berapa ramai yang perlu dimasukkan ke dalam wad dan memerlukan bantuan pernafasan. Jika kita ambil kadar kematian yang lebih rendah, contohnya 0.5% sekalipun ini sudah melibatkan jumlah kematian 99,000 orang. Kita tidak tahu untuk berapa lama pesakit2 ini perlu berada di wad dan ICU. Memang kita mungkin telah berjaya menyekat wabak Covid-19 tetapi dengan kos yang terlalu tinggi. Itupun jika semua orang yang dijangkiti boleh menjadi kebal daripada jangkitan virus ini. Mahukah kita mengambil risiko tersebut? Takut pada ketika itu, perkhidmatan kesihatan dan ekonomi negara kita runtuh. Di sini jelas bahawa membiarkan wabak ini menular tanpa dilakukan PKP boleh membawa risiko yang jauh lebih besar. Memang PKP tidak boleh berterusan sebaliknya perlu ada had dan proses melonggarkan PKP sehingga ditarikbalik dilakukan secara berhati2 serta berperingkat. 

Kesimpulannya pendekatan yang lebih selamat adalah melalui kaedah yang pro-aktif menghadkan pergerakan orang ramai seperti mana yang dilaksanakan sekarang, melakukan "exit process" yang berhati2 apabila wabak dapat ditangani, menanamkan amalan kebersihan, penjarakkan fizikal sepanjang masa dan pada waktu yang sama mengharapkan terhasilnya ubat yang berkesan serta vaksin yang akan menyumbang kepada imuniti berkelompok di masa hadapan. Negara2 yang ingin mengambil pendekatan berbeza mestilah mampu untuk melakukan ujian Covid 19 secara meluas, kemampuan mengesan kontak yang berkesan, mempunyai keupayaan perkhidmatan kesihatan yang tinggi, berupaya mengisolasikan kumpulan berisiko dengan berkesan, mempunyai kepadatan penduduk yang rendah serta sikap penduduk yang berdisiplin dan mengamalkan langkah2 pencegahan. Itupun mestilah disertakan dengan perintah menghadkan bilangan orang yang boleh berkumpul dan menutup sekolah untuk mengurangkan kesesakan. Tidak ada negara yang sanggup mengambil risiko untuk tidak melakukan sebarang bentuk kawalan pergerakan kerana ini akan mengundang kemudaratan yang besar.

Nota: Covid-19 adalah nama penyakit, virus yang menyebabkan Covid-19 adalah SARS-CoV 2. Perkataan "virus Covid-19" merujuk kepada SARS CoV 2.

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor






No comments:

Post a Comment