Tuesday 14 July 2020

PENGAMBILAN BUAH2AN DAN SAYURAN SERTA MAKANAN BERASASKAN WHOLE GRAIN MENGURANGKAN RISIKO KENCING MANIS (DIABETES TYPE 2)


Satu kajian yang dinamakan EPIC-InterAct study (EPIC: European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition) telah dijalankan. Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam British Medical Journal terbitan tahun 2020 (1). Ini adalah kajian prospektif cohort di 8 buah negara Eropah. Kajian ini ingin melihat kaitan antara pengambilan buah2an dan sayur2an dengan risiko menghidap diabetes jenis 2. Kajian prospektif ini melibatkan 340,000 orang daripada tahun 1991 hingga 2007. Tidak seperti kajian-kajian sebelum ini yang maklumat tentang makanan diperolehi secara subjektif melalui soalselidik, kali ini penyelidik menggunakan kaedah yang lebih objektif iaitu mengukur kandungan biomarker (kandungan darah vitamin C dan carotenoid) sebagai petunjuk kepada kuantiti buah2an dan sayur2an yang diambil. Pengesahan penyakit diabetes juga dilakukan dengan lebih tepat.


Kajian ini mengesahkan terdapat kaitan antara kuantiti pengambilan buah2an dan sayur2an dengan skor biomarker yang diukur. Apabila dilakukan perbandingan dengan kuantiti buah2an dan sayur2an yang diambil sehari dengan risiko menghidap diabetes, di dapati semakin tinggi pengambilan buah2an dan sayur2an, semakin rendah kadar menghidap diabetes. Tambahan sebanyak 66 gram buah2an dan sayur2an dalam makanan dapat mengurangkan risiko diabetes sebanyak 25%.


Sebelum ini terdapat kajian mengenai kaitan antara pengambilan suplemen vitamin C, vitamin E dan beta karoten dengan risiko menghidap diabetes tetapi ke semua kajian yang besar tersebut menunjukkan pengambilan suplemen secara individu ini TIDAK mengurangkan kadar menghidap diabetes. Dengan hasil kajian EPIC-InterACT ini, penyelidik percaya bahawa kesan pengurangan risiko menghidap diabetes ini hanya dapat diperolehi dengan mengambil nutrient di dalam bentuk asal iaitu buah2an dan sayur2an kerana wujudnya serat dan nutrient2 (fitokemikal seperti flavonoids dan lain-lain antioksidan) yang lain di dalamnya.

Penyelidik berpendapat risiko menghidap diabetes yang lebih rendah adalah kerana pengambilan buah2an dan sayuran membantu mengawal berat badan dan kandungan lemak serta membantu regulasi glukos-insulin serta status keradangan. Nampaknya untuk sihat tidak ada pengganti kepada buah2an dan sayur2an.

Satu lagi kajian menunjukkan pengambilan makanan yang tinggi whole grain (bijirin penuh) seperti nasi perang, oatmeal, cereal dan lain-lain juga mengurangkan risiko diabetes sebanyak 29%.(2)

Kesimpulannya amalan mengambil buah2an dan sayuran serta makanan yang diperbuat dari whole grain (bijirin penuh) mengurangkan risiko menghidap kencing manis (diabetes type 2). Hasil kajian ini juga menguatkan lagi hujah bahawa kesan manfaat pengambilan buah2an dan sayuran dalam bentuk asal tidak akan diperolehi dengan mengambil suplemen yang berbentuk nutrient yang terpisah/bersendirian.

Dato' Dr Rushdan Noor
14hb Julai 2020


RUJUKAN


1. Zheng JS, Sharp SJ, Imamura F, et al. Association of plasma biomarkers of fruit and vegetable intake with incident type 2 diabetes: EPIC-InterACT case-cohort study in eight European countries. BMJ, 2020;370:m2194


2. Hu Y, Ding M, Sampson L, et al. Intake of whole grain foods and risk of type 2 diabetes: results from three prospective cohort studies. BMJ 2020;370:m2206





No comments:

Post a Comment