Saturday, 4 July 2020

KESAN PLASEBO


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor 
MD, MOG (UKM),FGO (S'pore),AM 
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi 
Hospital Sultanah Bahiyah 

Kesan placebo adalah pengurangan gejala yang boleh diukur selepas terdedah kepada satu intervensi yang tidak ada kaitan dengan kesan biologi yang hendak disasarkan. Kesan plasebo adalah perasaan kelegaan yang bersifat psikologikal melalui interaksi di antara minda dan fizikal seseorang. Kesan plasebo adalah tindakbalas badan selepas terdedah kepada plasebo. Placebo adalah sesuatu yang tidak mempunyai bahan aktif dan tidak ada kaitan dengan penyakit ataupun keadaan yang hendak dipulihkan. Di dalam kajian saintifik, bahan placebo yang sering digunakan adalah pil glukos jika ujian itu dilakukan untuk menguji ubat dalam bentuk pil. Jika ubat yang diuji itu di dalam bentuk cecair maka bahan placebo yang digunakan mungkin air kosong ataupun larutan saline. Jika ujian ke atas alat, maka alat yang menjadi placebo akan menyerupai alat yang hendak diuji tetapi tidak berfungsi. Plasebo juga boleh diberikan dalam bentuk lain termasuk apa sahaja jenis kaedah rawatan yang direka-reka oleh pengamal seperti menggunakan alat tertentu untuk diaplikasikan kepada pesakit. Kesan placebo sebenarnya lebih kepada mengubah persepsi seseorang terhadap gejala yang dihadapi, plasebo tidak mengubah patofisiologi penyakit. Gejala yang paling sering dirawat adalah sakit dan loya. 

Persepsi terhadap sakit kadangkala dapat dikurangkan hanya dengan mengubah mood dan perasaan pesakit tanpa melegakan punca sakit tersebut. Pesakit yang merasa yakin, tenang dan kurang stress mempunyai hormon endorphin yang lebih tinggi dan hormon ini dapat mengurangkan tekanan dan persepsi sakit. Senaman juga boleh meningkatkan rembesan hormone endorphin dan boleh mengurangkan persepsi sakit. Kesan placebo ini digunakan oleh pengamal perubatan alternatif seperti bomoh, tukang urut dan juga “Healer”. 

Seseorang yang mengambil placebo juga boleh mengalami kesan negatif seperti juga kesan sampingan ubat yang sebenar seperti loya, sakit kepala, cirit dan sembelit. Kesan sampingan placebo ini juga dinamakan kesan nocebo. 

Melalui kesan placebo ini, pengamal boleh mengurangkan gejala dengan apa sahaja cara dengan syarat pelanggan atau pesakit mereka yakin cara tersebut dapat memberi kesan. Hatta jika yakin dengan air kosong dan pil glukos sekalipun dapat mengurangkan sakit melalui kesan plasebo. Pendek kata placebo adalah “ubat tipu” yang dapat memberi kesan ke atas pengurangan gejala walaupun ianya tidak ada kaitan dengan penyakit yang hendak ditangani. Jadi placebo tidak merawat punca penyakit tetapi hanya mengurangkan gejala melalui kesan psikologi dan manipulasi minda seseorang. 

Walaupun pesakit merasa lega semasa mengambil placebo, kelegaan itu hanya persepsi semata-mata dan apabila ahli sains mengukur keadaan penyakit, mereka dapati penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut sebenarnya masih kekal sama. Contohnya pesakit asthma yang diberi ubat sedutan, salah satu daripadanya adalah ubat sedutan sebenar dan satu lagi ubat sedutan yang hanya placebo, selepas mengambil kedua-duanya pesakit mengadu kedua-duanya memberi kelegaan yang hampir sama. Tetapi apabila ahli sains membuat penilaian keberkesanan melalui ujian pernafasan secara objektif, didapati kesan penyembuhan hanya diperolehi jika mengambil ubat sedutan yang sebenar, manakala sedutan placebo tidak menunjukkan keputusan yang lebih baik. Jadi kelegaan yang dirasai oleh pesakit terhadap placebo hanya pada peringkat minda semata-mata.

Terdapat hubungan di antara minda dan tubuh badan manusia yang saling berinteraksi sehingga kedua-duanya boleh mempengaruhi antara satu sama lain. Terdapat ahli sains yang percaya bahawa kesan plasebo boleh memberi kesan ke atas parameter fizikal yang boleh diukur (contoh: tahap kesakitan, tekanan darah, dan lain-lain) walaupun bukan untuk semua jenis penyakit. Ini mengesahkan hubungan di antara minda dan fizikal seseorang. Kesan perubahan parameter fizikal ini tidak sebesar kesan yang diberikan oleh ubat sebenar. Walau bagaimanapun plasebo mempunyai kesan yang minima ke atas biokimia (contoh: gula darah, tahap insulin, kolesterol di dalam darah dan lain-lain) tubuh badan. Apabila ahli sains mengukur perubahan biokimia ini melalui ujian darah, mereka dapati kesan perubahan biokimia tidak berlaku akibat daripada kesan plasebo berbanding dengan rawatan menggunakan ubat sebenar. Ini disebabkan minda seseorang boleh memanipulasi tindakbalas fizikal (bersifat luaran) mereka tetapi tidak mampu untuk mengubah proses biokimia di dalam badan yang berkaitan dengan penyakit yang hendak dirawat. 

Di dalam satu semakan kajian yang berkaitan dengan kesan plasebo, pengkaji mendapati 50% daripada kertas-kertas kajian melapurkan perubahan kesan fizikal yang positif manakala hanya 6% sahaja kertas-kertas kajian yang melapurkan ada perubahan biokimia. (Meisnerr K, Distel H, Mitzdorf). Perlu saya tekankan sekali lagi bahawa kesan fizikal yang boleh diubah ini hanya merangkumi gejala ataupun kesan sekunder yang disebabkan oleh penyakit yang dihidapi, plasebo tidak menyembuhkan penyakit. Plasebo tidak mengecutkan saiz ketumbuhan kanser, tidak memulihkan fungsi buah pinggang, tidak memulihkan saluran darah yang tersumbat di jantung ataupun otak dan lain-lain. 

Di dalam kajian keberkesanan sesuatu jenis produk kesihatan, salah satu kaedah penyelidikan yang paling berkualiti adalah kajian yang melibatkan perbandingan di antara kesan sebenar produk tersebut ke atas kesihatan dan kesan placebo. Jadi di dalam kajian seumpama ini ahli sains hanya akan menerima bukti keberkesanan sesuatu jenis produk tersebut jika kesan positif yang diberikan oleh produk tersebut bukan kesan placebo. Ahli sains akan membandingkan dua kumpulan individu iaitu satu kumpulan diberikan produk kesihatan yang dikaji dan satu kumpulan lagi diberikan placebo yang rupa fizikalnya sama dengan produk yang dikaji tetapi tidak mempunyai bahan aktif. Semua ahli di dalam kumpulan ini tidak mengetahui samada mereka mengambil produk sebenar ataupun placebo. Kajian seumpama ini dikenali sebagai “Double blind Placebo controlled trial”. Jika kajian seumpama ini dijalankan dengan baik dan menggunakan bilangan sampel yang mencukupi, hasil kajian ini adalah yang paling kukuh untuk membuktikan keberkesanan sesuatu jenis ubat ataupun produk kesihatan. Inilah sebenarnya yang dicari oleh pengamal perubatan moden iaitu sesuatu yang boleh memberi kelegaan dan penyembuhan bukan sahaja kepada gejala tetapi yang lebih penting adalah memulihkan punca gejala tersebut. 

Rajah di atas menunjukkan kesan plasebo yang menggunakan inhaler kosong untuk rawatan pesakit asma berbanding dengan inhaler yang mengandungi ubat Albuteral dan tiada rawatan. Walaupun pesakit yang mengambil inhaler plasebo merasa lega tetapi apabila diukur kesan sebenar ke atas paru-paru (graf kanan), tidak ada perbezaan antara inhaler plasebo dengan tanpa rawatan (no treatment). Ini membuktikan inhaler Albuteral memang berkesan merawat asma.

KESAN NEGATIF DAN PENYALAHGUNAAN KESAN PLASEBO 

Pada hari ini kesan plasebo telah disalahgunakan oleh ramai pengamal perubatan alternatif sehingga pesakit terpedaya dan percaya bahawa penyakit yang mereka hidapi telah sembuh. Apa yang membimbangkan pengamal perubatan moden adalah jika pesakit beraleh kepada kaedah rawatan alternatif hanya untuk mendapatkan kesan plasebo dan akibatnya penyakit yang dihidapi sukar ataupun lambat untuk disembuhkan. Banyak contoh-contoh rawatan ataupun amalan-amalan yang sebenarnya hanya kesan plasebo umpamanya memakai gelang magnetik (rujuk di sini). Pengamal gelang magnetik percaya bahawa gelang ini mempunyai kuasa untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit melalui tindakan gelombang elektromagnetik bagi menyeimbangkan ion positif dan negatif di dalam badan. Walau bagaimanapun gelang magnetik ini telah terbukti hanya memberi kesan plasebo apabila kajian saintifik dilakukan ke atasnya. Rencana mengenai gelang magnetik ini dibincangkan degnan lebih mendalam di dalam tulisan saya yang lain. Banyak lagi amalan perubatan alternatif yang berasaskan kepada kesan plasebo seperti air mineral yang dijampi, mengaitkan penyakit dengan jin dan saka (sedangkan ianya jelas penyakit fizikal), menipu melakukan pembedahan batin sedangkan hanya silapmata, urutan, berbekam, aromaterapi, menggunakan alat-alat ganjil untuk mengurut serta menoreh pesakit dan banyak lagi amalan yang jika disenaraikan di sini pasti tidak cukup ruang untuk ditulis. Terdapat juga individu yang mengambil kesempatan daripada kemahiran menghasilkan kesan plasebo ini dengan menganjurkan kursus ataupun latihan berbayar untuk melatih kemahiran memberi kesan plasebo. Sudahlah produk plasebo tersebut mahal, ceramah dan yuran kursus untuk melatih kemahiran ini juga dikenakan bayaran yang tinggi. 

Perubatan homeopati juga adalah diantara kaedah rawatan alternatif yang dipercayai menggunakan kesan plasebo sehingga ada negara-negara yang membuat kenyataan tegas mengenai hakikat ini (sila semak Rujukan di bawah). Pendek kata, kesan plasebo boleh digunakan untuk mengaut keuntungan. Adalah tidak munasabah mengenakan bayaran ataupun harga yang tinggi untuk sesuatu yang memberi kesan plasebo semata-mata. Pengguna yang tahu tentang hak mereka tentu akan memandang perkara ini dengan serius. Syarikat yang mengeluarkan gelang magnetik yang bernama Q-Ray contohnya telah disaman oleh pengguna kerana meletakkan harga yang mahal iaitu sehingga $200 dolar Amerika dan ianya hanya memberikan kesan plasebo semata-mata. Membuat dakwaan sesuatu produk kesihatan sebagai berkesan merawat penyakit sedangkan ianya hanya memberi kesan plasebo adalah sikap tidak jujur dan tidak beretika, lebih-lebih lagi jika ianya untuk tujuan mengaut keuntungan wang ringgit. 

Plasebo tidak memberi kesan untuk jangkamasa panjang dan terdapat kemungkinan yang ianya boleh memberi tanggapan salah kepada pesakit bahawa penyakit mereka sembuh sedangkan proses patofisiologi penyakit terus berjalan serta menjadi lebih serius. Apabila sampai kepada satu tahap kesan plasebo sudah tidak mampu untuk menutup hakikat ini dan pada ketika ini, pesakit mungkin sudah terlewat untuk mendapatkan rawatan sebenar penyakit yang mereka hidapi. Jadi pesakit yang terpengaruh dengan kesan plasebo berpotensi menafikan rawatan sebenar, lewat mendapatkan rawatan yang terbukti berkesan serta tidak mematuhi nasihat yang diberikan oleh pengamal perubatan moden. Ini memberi impak yang negatif ke atas peluang mereka untuk sembuh. 

MANFAAT KESAN PLASEBO 

Walaupun kesan plasebo hanya melibatkan persepsi semata-mata tanpa memberi kesan ke atas patofisiologi penyakit, kelegaan yang dibawa oleh kesan plasebo ini tetap memanfaatkan pesakit. Sekurang-kurangnya kualiti hidup pesakit ini dapat diperbaiki walaupun hanya sementara. Jadi kesan plasebo boleh dimanfaatkan oleh pesakit yang penyakitnya sudah tidak mempunyai kaedah rawatan ataupun ubat-ubatan moden sudah tidak berkesan. Kesan plasebo juga bermanfaat kepada seseorang yang sudah berputus asa mencari punca gejala yang mereka alami (selalunya pesakit akan kaitkan gejala ini dengan buatan makhluk halus). 

Kesan plasebo juga dapat dimanfaatkan oleh pesakit kemurungan ataupun penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh masalah mental. Ahli sains juga percaya bahawa kesan mengurangkan gejala yang diberikan oleh ubat-ubatan moden sebenarnya ditingkatkan dengan adanya kesan plasebo yang dibawa bersama oleh rawatan tersebut. Jadi pengamal perubatan moden tidak menolak begitu saja kesan plasebo di dalam amalan perubatan mereka, sebab itulah wujudnya kaedah rawatan integratif yang menggabungkan rawatan moden dengan rawatan komplementari. Di samping mengamalkan kaedah rawatan moden, rawatan komplementari juga diterima bagi tujuan mengurangkan tekanan perasaan dan juga gejala yang disebabkan oleh kesan psikologi. 

Kebanyakan kaedah rawatan komplementari yang diberikan bertindak melalui kesan plasebo. Contohnya rawatan kanser di mana walaupun plasebo tidak dapat merawat kanser tetapi kesan plasebo dapat digunakan untuk mengurangkan gejala-gejala akibat daripada kanser tersebut seperti keletihan, loya dan kesakitan. Kesan plasebo adalah gambaran ataupun manifestasi hubungan dan interaksi yang berkesan di antara pengamal perubatan dan pesakit. Pengamal perubatan moden yang dapat menghasilkan kesan plasebo ke atas pesakit mereka tentu dikatakan seorang pengamal yang baik kerana di samping mereka dapat merawat penyakit, mereka mampu untuk meningkatkan keberkesanan merawat gejala dan kepuasan pesakit. Ini juga adalah salah satu sebab mengapa komunikasi yang berkesan di antara pengamal perubatan dan pesakit adalah sangat penting. 

Seperti yang diterangkan di awal rencana ini, kesan plasebo juga digunakan di dalam kajian saintifik untuk tujuan menentukan keberkesanan ubat-ubat di dalam merawat penyakit. Ubat-ubat ataupun produk-produk kesihatan dikatakan berkesan jika kesan yang diberikan itu bukan semata-mata kesan plasebo. Dengan menilai kesan plasebo ini juga ahli sains yang melakukan penyelidikan dapat menentukan tahap kelegaan yang diberikan oleh produk kesihatan tertentu dan melalui maklumat ini mereka dapat menilai mudarat-manfaat menggunakan rawatan tersebut. 

KESIMPULAN 

Perubatan moden mengiktiraf sesuatu kaedah rawatan sebagai berkesan merawat penyakit jika kaedah tersebut dapat mengurangkan ataupun menyembuh penyakit dan bukan gejala semata-mata yang diukur melalui kesan ke atas fizikal dan biokemikal. Kesan plasebo adalah kesan pengurangan gejala yang hanya bersifat persepsi semata-mata, manakala proses kejadian penyakit tersebut tidak diubah ataupun dipulihkan. Jadi kesan plasebo tidak merawat penyakit tetapi mungkin boleh mengurangkan gejala. Kesan plasebo ada baik dan buruknya tetapi di dalam masyarakat kita, kesan plasebo digunakan secara meluas melalui amalan-amalan pengubatan alternatif sehingga ramai pesakit yang enggan ataupun lambat mendapatkan rawatan yang betul untuk penyakit mereka. Plasebo juga boleh membawa kesan sampingan yang dikenali sebagai nosebo dan ini menolak dakwaan bahawa kesan plasebo tidak memudaratkan. Setiap ahli masyarakat hendaklah bijak memilih kaedah-kaedah rawatan supaya tidak terjebak dengan penipuan ataupun dakwaan palsu oleh pengamal rawatan alternatif ataupun penjual-penjual produk kesihatan dengan harga yang mahal semata-mata menggunakan kesan plasebo, tetapi mendakwa boleh menyembuhkan penyakit. Pengamal perubatan moden tidak menolak kepentingan kesan plasebo di dalam membantu ataupun menjadi komplemen dengan kaedah rawatan moden selagi ahli masyarakat faham dan sedar peranan kesan plasebo. Ahli masyarakat juga dinasihati supaya mendapatkan nasihat pakar jika berhajat untuk mengamalkan kaedah rawatan alternatif ini kerana ada amalannya yang boleh memudaratkan dan ada juga yang boleh mengganggu proses rawatan sebenar. Pada waktu yang sama, setiap umat Islam perlu berpegang dengan prinsip bahawa hanya Allah sahaja yang menyembuhkan dan sejauh mana sekalipun kebijaksanaan manusia tidak mungkin dapat menandingi ilmu yang ada pada Allah swt. Walau bagaimanapun Allah menyuruh kita untuk berikhtiar dengan sebaik mungkin, mengamalkan ubat yang terbukti berkesan adalah contoh ikhtiar yang betul. Nabi Muhammad saw bersabda di dalam hadith saheh riwayat Muslim, "Setiap penyakit ada ubatnya, apabila betul ubatnya , maka sembuhlah ia dengan Izin Allah swt". Ikhtiar akan lebih berhasil jika ianya betul untuk menjadi sebab musabah penyembuhan penyakit. Pada hari ini ubat yang betul tersebut adalah ubat yang terbukti berkesan melalui hasil kajian saintifik kerana inilah kaedah terbaik yang mampu difikirkan oleh manusia pada hari ini khususnya berkaitan dengan penyakit-penyakit fizikal yang jelas daripada kacamata perubatan moden. Analogi yang mudah adalah jika kita menanam pokok buah, Allah boleh sahaja menghasilkan buah tanpa pokok, tetapi manusia disuruh berikhtiar dengan cara terbaik menanam dan membesarkan pokok untuk mendapatkan buah yang lebat, besar dan manis. Ikhtiar bermaksud mencari benih yang baik, tanah yang subur, baja serta kaedah penjagaan yang terbukti berkesan untuk menghasilkan pokok yang sihat dan produktif. Kaedah dan ilmu ini perlu diperolehi daripada pakar di dalam bidangnya. Jika pokok pun perlukan penjagaan sedemikian, apatah lagi kesihatan manusia yang lebih kompleks. 

RUJUKAN

https://www.cancer.org/treatment/treatments-and-side-effects/clinical-trials/placebo-effect.html

https://sciencebasedmedicine.org/placebos-as-medicine-the-ethics-of-homeopathy/ Meisnerr K, Distel

H, Mitzdorf. Evidence for placebo effects on physical but not on biochemical outcome parameters: a review of clinical trials. BMC Medicine20075:3 DOI: 10.1186/1741-7015-5-3

https://www.theguardian.com/commentisfree/2015/mar/12/no-scientific-case-homeopathy-remedies-pharmacists-placebos

https://www.theguardian.com/lifeandstyle/2015/mar/11/homeopathy-not-effective-for-treating-any-condition-australian-report-finds

http://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMp1504023#t=article

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. TIDAK DIBENARKAN SESIAPA UNTUK MENGAMBIL BAHAN DI DALAM RENCANA INI UNTUK APA TUJUAN MELAINKAN MENDAPAT KEBENARAN DARIPADA PENULIS.

No comments:

Post a Comment