Thursday, 16 July 2020

TEH DAN RAWATAN DIABETES (KENCING MANIS): FAKTA ATAU AUTA

Teh adalah minuman kedua paling popular di dunia selepas air kosong. Teh dikesan mengandungi banyak unsur-unsur aktif untuk kesihatan seperti antioksidan, antikanser, melindungi hati, melindungi jantung, memperbaiki bakteria usus, mengurangkan berat badan dan anti-diabetes. Salah satu kumpulan bahan bioaktif yang dikaitkan dengan kesan antioksidan dan antikeradangan adalah kumpulan polyphenol seperti catechin, flavonols, theaflavins dan thearubigins. Walau bagaimanapun wujudnya bioaktif-bioaktif yang tersebut di atas bukan bermaksud penyakit-penyakit yang tersenarai di atas boleh dipulihkan dengan meminum teh. Kebanyakan tumbuhan dan buah-buahan yang wujud di dunia ini jika dikaji dengan mendalam sememangnya mengandungi banyak bahan-bahan bioaktif. Di sinilah peranan ahli sains dan pakar perubatan untuk menjalankan kajian untuk mengenalpasti secara spesifik apakah bahan bioaktif tersebut. Bahan bioaktif itu akan diuji di dalam makmal dan kemudiannya ke atas manusia di dalam kajian klinikal. Keberkesanan ujian ke atas haiwan di dalam makmal tidak semestinya sama dengan kesannya ke atas manusia.

Tumpuan rencana ini adalah teh di dalam bentuk minuman dan kesannya ke atas penyakit diabetes. Terdapat banyak jenis teh bergantung kepada kaedah pemprosesan; teh hijau dihasilkan dari daun yang segar untuk mengekalkan warna dan kandungan antioksidan. Teh oolong pula menjalani sedikit penapaian manakala teh hitam pula menjalani penapaian sepenuhnya. Teh putih pula dihasilkan daripada pucuk daun teh yang belum lagi kembang. Teh-teh ini berasal daripada daun pokok Camellia sinensis. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, teh hijau lebih pahit berbanding dengan dua lagi teh. Teh oolong dan teh hitam mengandungi kurang antioksidan tetapi lebih tinggi kandungan kafein. Teh herba pula adalah gabungan teh dengan pelbagai jenis herba dan ubat tradisional dan ini juga salah satu bentuk teh yang semakin popular. Saya memilih tajuk ini kerana dua factor utama iaitu diabetes adalah penyakit kronik yang menyerang ramai orang dan factor kedua adalah kerana terdapat banyak produk teh yang dijual untuk mengawal gula darah. Persoalannya adakah produk teh ini telah terbukti berkesan untuk merawat diabetes, untuk tujuan tersebut, saya membuat pencarian maklumat daripada jurnal-jurnal dan garispanduan rawatan diabetes yang disediakan oleh autoriti kesihatan negara kita dan juga antarabangsa.

GARISPANDUAN PENCEGAHAN DAN RAWATAN DIABETES KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA

Garispanduan rawatan diabetes samada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa adalah berasaskan kepada konsensus ataupun persetujuan pakar-pakar di dalam bidang ini setelah membuat pencarian maklumat yang terperinci dan terkini. Jadi garispanduan ataupun CPG ini bolehlah dianggap seperti rujukan terbaik untuk mendapatkan maklumat yang paling tepat dan selari dengan prinsip “evidence based medicine” yang diamalkan oleh pengamal perubatan di seluruh dunia.

Garispanduan rawatan diabetes kebangsaan yang terbaru adalah keluaran tahun 2015 dan di dalam bahagian pencegahan, tidak dinyatakan langsung tentang meminum teh sebagai salah satu kaedah mencegah diabetes (rujuk mukasurat 15). Manakala pada bahagian rawatan diabetes, saya juga tidak menemui sebarang kenyataan tentang meminum teh sebagai salah satu kaedah merawat penyakit diabetes. Di bawah tajuk life style modification, mukasurat 14 ada disentuh tentang pengambilan suplemen di mana dinyatakan bahawa “patients with diabetes have the same vitamin dan mineral requirements as the general population. There is no clear evidence of benefit from the use of antioxidant vitamin A, C, E, selenium, herbs and omega-3 fatty acids in diabetes management”. Di dalam mukasurat 88, dengan jelas menyatakan bahawa setakat ini tidak ada kaedah perubatan komplementari dan tradisional yang boleh disyorkan untuk merawat diabetes. Walaupun terdapat kajian tetapi kajian tersebut adalah kajian makmal, kajian kecil ke atas manusia dan memberi keputusan yang bercanggahan. Risiko berlakunya interaksi ubat dan juga kesan ke atas buah pinggang boleh berlaku. Garispanduan itu membuat rumusan bahawa rawatan alternatif dan TCMs (tradisional and complementary medicines) tidak disyorkan untuk tujuan mengawal gula darah ke atas pesakit diabetes kerana tidak cukup bukti tentang keberkesanan dan keselamatan kaedah-kaedah ini. (1). Rujukan saya terhadap garispanduan yang dikemaskinikan pada tahun 2019 (belum diterbitkan lagi) juga tidak ada perbezaan dengan pendirian garispanduan 2015.

Pertubuhan Diabetes Amerika di dalam garispanduan rawatan 2015 juga menjelaskan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk mengesyorkan penggambilan suplemen seperti kromium, magnesium, vitamin D, cinnamon ataupun herba/suplemen. Merujuk kepada Standards of Medical Care in Diabetes oleh Pertubuhan Diabetes Amerika tahun 2019, mereka juga tidak menyatakan tentang meminum teh di dalam mencegah dan merawat penyakit diabetes. Saya juga mendapati tidak dinyatakan tentang minuman teh samada untuk mencegah ataupun merawat penyakit diabetes di dalam NICE guideline (UK) 2015, kemaskini 28hb Ogos 2019. Kesimpulannya tidak ada dinyatakan peranan meminum teh sebagai kaedah yang terbukti berkesan mencegah dan merawat penyakit diabetes. Malahan, tidak ada juga bukti kajian yang mencukupi untuk mengesyorkan sebarang bentuk suplemen, herba dan ubat tradisional untuk tujuan yang sama.(2,3)



KAJIAN MINUM TEH DAN DIABETES

Walaupun terdapat kajian-kajian ke atas tikus yang menunjukkan teh dapat mengurangkan kandungan gula darah, namun kajian ke atas manusia memberi keputusan yang tidak konsisten. Kajian ke atas tikus lebih banyak menggunakan ekstrak teh, sedangkan kajian ke atas manusia banyak menggunakan teh di dalam daun yang diproses. Di samping itu kualiti kajian juga tidak meyakinkan di mana kebanyakan kajian adalah kajian epidemiologi, kajian pemerhatian (observational studies) dan kajian cohort. Saya merujuk kepada satu penilaian ke atas kajian-kajian yang telah dijalankan di mana penyelidik telah melakukan systematic review and metaanalysis diterbitkan oleh British Medical Journal terbitan tahun 2014. Kertas-kertas kajian cohort berbahasa China dan Inggeris tentang teh dan diabetes telah dikumpulkan melalui pencarian di dalam Pubmed. Sejumlah 519 kajian telah ditemui tetapi hanya 20 sahaja yang disenaraipendek berdasarkan kepada kualiti. Daripada 20 kajian tersebut, hanya 12 kajian prospektif cohort yang terpilih. Ini memberi gambaran bahawa terdapat banyak kajian tetapi sangat sedikit yang berkualiti. Enam daripadanya dijalankan di USA, 3 di Asia dan 3 lagi di Eropah. Daripada penilaian 12 kajian tersebut, keseluruhannya tidak ada hubungan yang bermakna di antara pengambilan teh dengan risiko menghidap diabetes. Tetapi apabila difokus kepada jumlah pengambilan teh sehari, didapati pengambilan teh melebihi 3 cawan sehari dikaitkan dengan kadar penyakit diabetes yang lebih rendah. Kesan positif ini hanya ditemui dalam kajian ke atas penduduk Asia sahaja, mungkin dikaitkan dengan jenis teh yang diambil iaitu teh hijau berbanding dengan di Amerika dan Eropah. Apabila setiap kajian dinilai secara sendirian didapati menunjukkan keputusan yang tidak konsisten, malahan ada kajian yang menunjukkan teh menyebabkan peningkatan gula darah. Ini mungkin disebabkan kebetulan individu yang mempunyai risiko menghidap diabetes dan pesakit diabetes lebih banyak mengambil minuman teh. Sebab kedua mungkin disebabkan oleh kehadiran saki baki (residue) racun serangga (p,p’DDT) yang dikesan wujud di dalam daun teh dan racun serangga ini telah didapati mempunyai kaitan dengan risiko menghidap diabetes. (4). Penilaian yang sama dilakukan oleh Yang WS et al terhadap kajian yang mengaitkan pengambilan teh dengan diabetes jenis 2 di mana 16 kajian cohort telah ditemui yang melibatkan lebih 500 ribu peserta dan lebih 37 ribu kes diabetes. Walaupun penyelidik menemui terdapatnya kaitan antara pengambilan teh dan risiko menghidap diabetes, terdapat banyak kelemahan di dalam kajian tersebut seperti jenis teh yang berbeza, kaedah penyediaan dan perbezaan kepekatan teh. Kajian lanjut perlu yang lebih berkualiti perlu dijalankan untuk mendapat maklumat yang lebih tepat. (5)

Kajian ke atas kesan meminum teh dengan kawalan gula darah menunjukkan keputusan yang berbeza-beza. Terdapat kajian yang menunjukkan kesan positif, negatif dan ada juga yang tidak ada kesan. Kesan positif mengawal gula darah dipercayai akibat dari tindakan antioksidan di dalam teh seperti polyphenol terutamanya cathecin. Kajian meta-analisis ke atas 17 kajian “randomized controlled” (daripada 225 kertas kajian) melibatkan 1133 subjek menunjukkan pengambilan teh hijau mengurangkan tahap gula darah semasa berpuasa dan HbA1c. Walau bagaimanapun pengurangannya sangat minima iaitu 0.09 mmol/L gula darah dan 0.3% tahap HbA1c. Tahap insulin semasa berpuasa juga menunjukkan penurunan tetapi pada tahap 1.16 uII/mL. Memandangkan ini adalah penilaian ke atas banyak kajian (setiap kajian mempunyai perbezaan dari segi metodologi dan sampel yang kecil), adalah sukar untuk membuat kesimpulan yang menyakinkan tentang manfaat teh hijau melainkan jika kajian perbandingan berkualiti tinggi dilakukan dengan membandingkan teh hijau dengan ubat antidiabetic yang konvensional. Tahap pengurangan yang minima ini tidak cukup untuk menjadikannya pilihan ubat diabetes berbanding dengan ubat antidiabetik yang digunakan oleh pengamal perubatan. Penyelidik juga mendapati kesan pengurangan gula hanya diperolehi jika komponen kafein di dalam teh dikeluarkan dan jika subjek mempunyai risiko mengalami sindrom metabolik. Tambahan pula di dalam kajian-kajian yang terpilih ini, ekstrak teh digunakan (catechins dan caffein) untuk dibandingkan dengan teh dalam bentuk minuman. Kandungan ekstrak juga berbeza-beza dan dos sebenar bioaktif di dalam minuman teh tidak dapat ditentukan. Perbandingan tidak dilakukan dengan subjek yang tidak mengambil teh/ekstrak teh ataupun yang mengambil ubat antidiabetik yang diiktiraf oleh pengamal perubatan moden. Daripada 17 kajian yang terpilih, hanya 7 sahaja yang berkualiti. Kajian ini juga tidak dapat menentukan dos teh yang sesuai diambil untuk mendapat kesan positif(6). Satu lagi kajian “systematic review and meta-analysis” mengenai kesan teh herba dan kawalan gula darah dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 telah dirangka pada hujung tahun 2019 dan ianya masih berjalan. Teh herba  adalah kombinasi teh biasa dengan herba atau ubat tradisional. Setakat ini belum ada kajian meta-analisis seumpama ini dijalankan. Walaupun terdapat kajian tentang teh herba tetapi kajian tersebut tidak cukup berkualiti untuk menentukan keberkesanan teh herba di dalam mengawal gula darah. Tambahan pula kandungan herba di dalam teh itu pula berbeza-beza seperti ginseng, aloe vera, berberine, pati halia, minya pudina, daun rooibos dan lain-lain.Terdapat beratus-ratus jenis teh herba di pasaran pada hari ini. Setakat ini teh herba tidak boleh dianggap kaedah yang terbukti berkesan untuk mengawal gula darah selagi kajian berkualiti tinggi dapat dilakukan. (7).

Terdapat kajian prospektif kohot yang menunjukkan pengambilan teh tidak mempunyai kaitan dengan diabetes (8). Teh hijau juga didapati tidak mempunyai kesan positif keatas pesakit diabetes jenis 2 di dalam dua kajian meta-analisis.(9,10). Di samping itu tidak terdapat kajian yang berkualiti untuk mengukur kesan pengambilan teh ke atas komplikasi penyakit diabetes.

Merawat penyakit diabetes bukan sekadar menurunkan gula darah daripada satu nilai kepada nilai yang lebih rendah tetapi matlamatnya jauh lebih luas. Sasaran nilai gula darah hanya salah satu matlamat rawatan tetapi itupun perlu memenuhi syarat yang ketat dan nilai gula serta HBA1c yang ditetapkan. Rawatan diabetes termasuk pemantauan yang rapi dan pengesanan awal komplikasi diabetes ke atas banyak organ badan (komplikasi mata, saraf, jantung, buah pinggang, jangkitan dan lain-lain). Rawatan yang disyorkan juga perlu mampu untuk mencegah berlakunya komplikasi tersebut, meningkatkan mutu kehidupan dan memanjangkan hayat pesakit. Penjual produk alternatif termasuk teh herba menggunakan kaedah mengukur gula darah untuk menarik pelanggan sedangkan terlalu banyak perkara yang boleh dipersoalkan tentang kaedah yang mereka lakukan ini.

KESAN BURUK MINUM TEH

Seperti juga dengan lain-lain minuman, jika diambil berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan. Di dalam teh terdapat banyak jenis sebatian kimia dan setiap satu daripadanya boleh membawa mudarat jika diambil secara berlebihan. Hatta sebatian kimia yang bermanfaat seperti antioksidan, mineral dan vitamin sekalipun jika diambil berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. Apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah berapa banyakkah bahan-bahan ini di dalam teh yang diminum kerana kandungannya bergantung kepada jenis teh, kaedah pemprosesan dan terdapat juga teh yang dihasilkan daripada daun yang tercemar. Teh herba yang mengandungi campuran bermacam-macam jenis herba boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk berlakunya interaksi ubat dan gangguan kepada hati serta buah pinggang. Umumnya, teh adalah selamat diminum jika diambil dalam kuantiti yang sederhana dan tidak dimasukkan gula ataupun bahan-bahan perasa yang meningkatkan jumlah kalori di dalamnya. Jadi paling baik teh diambil tanpa gula ataupun teh kosong. Had sebenar pengambilan teh dalam sehari tidak dapat dipastikan tetapi kebanyakan berpendapat tidak melebihi 3-4 cawan sehari (700-950 mls).

Pengambilan teh yang berlebihan boleh menyebabkan masalah berikut:

1. Mengurangkan penyerapan zat besi. Teh mengandungi sejenis kompoun bernama tannins. Tannin boleh mengikat zat besi di dalam makanan (terutama makanan yang berasaskan tumbuhan) dan menyebabkan ianya sukar diserap di dalam usus. (11)

2.  Meningkatkan perasaan risau, stress dan gelisah. Daun teh mengandungi kafein. Setiap cawan teh (240 mls) mengandungi di antara 11-61 mg kafein bergantung kepada kaedah pemprosesan. Dos kafein yang melebihi 200 mg boleh menyebabkan perasaan risau dan gementar. (12)

3. Gangguan tidur. Kafein di dalam teh juga boleh mengganggu tidur. Kafein merencat penghasilan melatonin yang penting untuk kualiti tidur yang baik. (13)

4.  Loya. Terdapat kompoun di dalam teh seperti tannin yang boleh menyebabkan loya dan sakit perut. (14)

5.  Sakit/pedih ulu hati (heartburn). Kafein di dalam teh boleh menyebabkan pedih uluhati ataupun dada dan menambah masalah sindrom refluk asid (acid reflux syndrome). Kafein boleh mengendurkan injap/sphincter di antara esofagus dengan perut. Kafein juga boleh meningkatkan kandungan asid di dalam perut (15).

6.Komplikasi kehamilan. ACOG mengesyorkan wanita yang hamil tidak mengambil kafein melebihi 200 mg sehari. Pengambilan kafein yang berlebihan dikaitkan dengan risiko keguguran dan bayi tidak cukup berat badan, walaupun bukti ini belum dapat disahkan. (16)

7.   Sakit kepala. Pengambilan kafein sekali sekala boleh mengurangkan sakit kepala tetapi jika diambil secara tetap dan dalam jangkamasa panjang boleh memberi kesan disebaliknya. Sakit kepala yang berulang-ulang boleh disebabkan oleh pengambilan kafein yang berpanjangan (17) 

8. Kesan sampingan yang berkaitan dengan jenis herba dan ubat tradisional yang dicampur di dalam teh herba. Kes radang hati (hepatitis) dilapurkan akibat penggambilan teh Artemisia annua (18). Teh herba yang mengandungi chamomile boleh menyebabkan risiko pendarahan, mengantuk dan bahaya kepada ibu yang hamil. Kandungan teh herba juga boleh berinteraksi dengan ubat pencair darah dan aspirin juga boleh berlaku dan menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.(19). Pengambilan ekstrak teh hijau dan teh comfrey berlebihan boleh menyebabkan kecederaan pada hati. Mengikut American College of Gastroenterology, kes kerosakan hati telah meningkat disebabkan peningkatan amalan mengambil herba dan suplemen. Lapuran dari World Journal of Hepatology menyatakan peratusan kerosakan hati akibat herba dan suplemen telah meningkat daripada 7% pada tahun 2004 kepada 20% pada tahun 2013 (20).

9. Pencemaran bahan toksik dan mikroorganisma di dalam teh. Analisa terhadap jenis pencemaran terhadap teh telah dijalankan oleh penyelidik ke atas sampel teh. Di antara pencemar yang ditemui adalah logam berat seperti plumbum (lead), kandungan manganese dan aluminium yang berlebihan. Kajian juga mendapati kehadiran banyak jenis mineral dan logam seperti arsenik, cadmium, barium, antimony, thallium dan lain-lain. (21). Pencemaran bakteria dan kulat juga telah dikesan (31% daripada sampel) di dalam sampel herba termasuk teh herba, di antara bakteria yang ditemui adalah staph aureus dan salmonella (22). Banyak lagi bahan pencemar (contoh: residue racun serangga) dan kemungkinan ubat-ubat terlarang yang mungkin dicampurkan ke dalam teh herba tanpa pengetahuan pengguna. Jadi pencemaran teh sebenarnya jauh lebih besar daripada yang dibincangkan.

KESIMPULAN

Analisa makmal terhadap daun teh menunjukkan ianya mengandungi banyak bahan bioaktif yang boleh memberi manfaat ke atas kesihatan manusia. Salah satu komponen bioaktif tersebut adalah polyphenol yang mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antikeradangan. Kajian ke atas ekstrak teh yang dilakukan ke atas haiwan di dalam makmal menunjukkan ianya mempunyai manfaat di dalam mengawal gula darah, mengurangkan kesan rintangan insulin dan boleh melindungi jantung serta berpotensi mencegah kanser. Walaupun teh mengandungi bahan-bahan yang bermanfaat namun bukanlah bermaksud manfaat tersebut boleh diperolehi dengan mengambil teh di dalam bentuk mentah ataupun dibuat minuman. Tidak hairanlah mengapa kajian ke atas manusia tidak menunjukkan kesan yang sama dengan kajian makmal ke atas haiwan. Kebanyakan kajian-kajian ke atas manusia adalah kajian epidemiologi, pemerhatian dan kajian kohort yang bukan kajian yang paling berkualiti. Manakala jika metodologi kajian itu berkualiti, bilangan sampelnya pula tidak mencukupi. Penilaian ke atas beratas-ratus kajian yang dijalankan ke atas manusia menunjukkan bahawa teh mungkin boleh mengurangkan kadar penyakit diabetes dan mengawal gula darah tetapi terhad kepada teh tertentu, melebihi 3-4 cawan sehari dan hanya untuk golongan manusia tertentu sahaja. Kajian-kajian ini pula kebanyakannya lemah dan berkualiti rendah. Di samping itu manfaat penurunan gula darah dan HBA1c adalah kecil. Bukti yang tidak konsisten terhadap manfaat teh ke atas penyakit diabetes menyebabkan ianya tidak boleh disyorkan untuk tujuan merawat penyakit diabetes. Penyelidik juga menghadapi kesukaran untuk menentukan berapakah dos ataupun kuantiti teh yang optima untuk kesihatan. Kesan sampingan meminum teh boleh berlaku jika diambil berlebihan melebihi 3-4 cawan sehari sedangkan manfaat teh hanya kelihatan jika diambil melebihi 3-4 cawan. Terdapat beberapa kesan sampingan teh yang boleh berlaku akibat daripada kandungan kafein, tannin dan lain-lain bahan di dalamnya. Kandungan kafein bergantung kepada jumlah teh yang diambil dan kaedah memproses teh. Pencemaran logam dan racun serangga boleh berlaku ke atas daun teh. Mengikut garispanduan rawatan diabetes jenis 2 di Malaysia dan antarabangsa (Amerika dan UK), teh tidak termasuk di dalam mana-mana bahagian samada untuk tujuan pencegahan mahupun rawatan. Jadi ini jelas menunjukkan bahawa meminum teh tidak boleh disyorkan untuk menggantikan kaedah rawatan diabetes. Teh yang dijual untuk tujuan mengawal gula darah ataupun untuk tujuan merawat diabetes boleh mengandungi herba-herba ataupun bahan-bahan yang terlarang dan boleh memudaratkan kesihatan. Mengiklankan produk untuk merawat penyakit diabetes juga melanggar peraturan iklan ubat KKM dan boleh diambil tindakan undang-undang. Sila dapatkan rawatan diabetes daripada pengamal perubatan yang bertauliah kerana kerosakan organ yang kekal boleh berlaku akibat daripada merawat sendiri, melengah-lengahkan rawatan, tidak mengambil ubat yang betul dan tidak memantau penyakit yang dihidapi.


Penulis: Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

Penyemak: Dr. Nor Shaffinaz bt Yusoff Azmi

                   Pakar Perunding Endokrinologi

                   Hospital Sultanah Bahiyah


RUJUKAN

1. Clinical Practice Guidelines: Management of type 2 diabetes mellitus 5th Edition, December 2015, MOH/P/PAK/303.15 (GU)

2.American Diabetes Association. Standards of Medical Care in Diabetes, 2019.

3. NICE Guideline (NG28). Type 2 diabetes in adults: management. Published date 2nd December 2015, updated 28th August 2019.

4. Yang J, Mao QX, Xu HX, Zeng CY. Tea consumption and risk of type 2 diabetes mellitus: a systematic review and meta-analysis update. BMJ Open, 2014, ;4:e005632. doi:10.1136/bmjopen-2014- 005632

5. Jin Y, et al. Tea consumption and risk of type 2 diabetes:A meta-analysis of cohort studies. J Gen Intern Med, 2009;24(5):557-62

6. Liu K, Zhou R, Wang B, et al. Effect of Green Tea on Glucose Control and Insulin Sensitivity: A Meta-Analysis of 17 Randomized Controlled Trials. Am J Clin Nutr, 2013;98(2):340-8).

7.Zhang Boxun, et al. Effect of herbal tea on glycaemic control in patients with type 2 diabetes Protocol for systematic review and meta-analysis. Medicine: December 2019 - Volume 98 - Issue 50 - p e18346

doi: 10.1097/MD.0000000000018346

8. Coffee, tea, and alcohol intake in relation to risk of type 2 diabetes in African American women.Boggs DA, Rosenberg L, Ruiz-Narvaez EA, Palmer JR. Am J Clin Nutr. 2010 Oct; 92(4):960-6

9.   Wang X, Tian J, Jiang J, Li L, Ying X, Tian H, Nie M. Effects of green tea or green tea extract on insulin sensitivity and glycaemic control in populations at risk of type 2 diabetes mellitus: a systematic review and meta-analysis of randomised controlled trials.,J Hum Nutr Diet. 2014 Oct; 27(5):501-12

10.The Effectiveness of Green Tea or Green Tea Extract on Insulin Resistance and Glycemic Control in Type 2 Diabetes Mellitus: A Meta-Analysis.Yu J, Song P, Perry R, Penfold C, Cooper AR Diabetes Metab J. 2017 Aug; 41(4):251-262

11.Delimont NM, Haub MD, Lindshield BL. The impact of tannin consumption on iron bioavailability and status: A narrative review. Curr Dev Nutr Jan 19; (2):1-12

12.Temple JL, Bernard C, Lipshultz SE, et al. The safety of ingested caffeine: A comprehensive review. Front Psychiatry, 2017;8:80

13.Collaghan F, Muurlink O, Reid N. Effects of caffeine on sleep quality and daytime functioning. Risk Manag Healthc Policy, 2018;11:263-271

14.Hussain G, Huang J, Rasul A. Putative roles of plant-derived tannins in neurodegenerative and neuropsychiatry disorders: An updated review. Molecules, 2019;13:24(12)

15.Lohsiriwat S, Puengna N, Leelakusolvong S. Effects of caffeine on lower esophageal sphincter pressure in Thai healthy volunteers. Dis Esophagus, 2006;19(3):183-8

16.Lyngso J, Ramlau Hansen CH, Bay B, et al. Association between coffee or caffeine consumption and fecundity and fertility: Systematic Review and dose-response meta-analysis. Clin Epidemiol, 2017;9:699-719

17.Shapiro RE, Caffeine and Headache. Curr Pain Headache Rep, 2008;12(4):311-5

18.Ruperti-Repilado FJ, Haefliger S, Rehm S, et al. Danger of herbal tea: A case of acute cholestatic hepatitis due to artemisia annua tea. Front Med (Lausanne); 2019;6:221

19.Cupp MJ. Herbal Remedies: Adverse Effects and Drug interaction. Am Fam Physician,1999 Mar 1;59(5):1239-1244.

20.Raschi E, De Ponti F. Drug and herb-induced liver injury: Progress, current challenges and emerging signals of post-marketing risk. World J Hepatol, 2015 Jul 8;7(13):1761-1771

21.Schwalfenberg G, Genius SJ, Rodushkin I. The benefits and Risks of consuming brewed tea: Beware of toxic element contamination. Journal of Toxicology. 2013; Article ID 370460. https://doi.org/10.1155/2013/370460

22. de Sausa Lima CM, Teles Fujishima MA, Paula Lima BD, et al. Microbial contamination in herbal medicines: A serious hazard in elderly consumers. BMC Complementary Therapies, 2020;20(17):1-9

23.Iso H, Date C, Wakai K, et al. The Relationship between green tea and total caffein intake and risk of self-reported type 2 diabetes among Japanese adults. Ann Intern Med, 2006 April 18;144(8):554-62t. 

24.Butacnum A, Chongsuwat R, Bumrungper A, Glycemic control in normal and prediabetic subjects: A randomized , double blinded placebo controlled crossover study. Asia Pac J Clin Nutr, 2017; Jan; 26(1):59-64

25.https://www.everydayhealth.com/type-2-diabetes/diet/green-tea-good-type-2-diabetes/d

26.https://www.diabetes.co.uk/food/tea-and-diabetes.html

27.https://www.healthline.com/health/diabetes/green-tea-and-diabetes#1

28.https://www.healthline.com/nutrition/side-effects-of-tea

   TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL ISI RENCANA INI SAMADA KESELURUHAN ATAUPUN SEBAHAGIAN UNTUK APA SAHAJA TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS. INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI.



No comments:

Post a Comment