Monday 6 July 2020

PESANAN KEPADA IBU-IBU YANG AKAN MELAHIRKAN ANAK




Faktor paling utama di dalam proses kelahiran anak adalah KESELAMATAN. Kelahiran yang selamat adalah kelahiran yang dikendalikan oleh petugas yang terlatih di dalam persekitaran yang sesuai dan tempat yang mempunyai akses kepada rawatan kecemasan jika berlaku komplikasi.

Daola mempunyai peranan di dalam membantu melancarkan proses kelahiran dan mengurangkan tekanan ibu. Perubatan moden tidak menolak peranan mereka. Tetapi daola perlu tahu batas tugas mereka. Daola bukan bidan yang terlatih jadi mereka tidak layak memberi nasihat rawatan dan mengendalikan kelahiran. Kehadiran daola bukan bermaksud kelahiran selamat.

KKM sedar tentang pentingnya konsep kelahiran mesra ibu dan sedang melaksanakannya secara berperingkat. Konsep ini jika hendak dilaksanakan secara lengkap melibatkan pengubahsuaian infrastruktur, peralatan, latihan kakitangan dan juga kefahaman masyarakat. Jadi ia memerlukan masa dan persediaan yang banyak. Posisi melahirkan anak ("birthing position") dan "waterbirth" tidak boleh dilakukan sewenang2nya kerana faktor yang saya sebutkan di atas. Tanpa latihan kakitangan, tanpa fasiliti yang lengkap, tanpa kefahaman ibu2 dan tanpa kehadiran petugas yang terlatih, konsep ini akan menjadi senjata makan tuan atau serampang dua mata. Di dalam situasi memilih antara dua, keselamatan wajib dijadikan keutamaan. Tak kisahlah tak dapat lahirkan anak sambil mencangkung atau tak dapat lahir anak dalam air asalkan keselamatan ibu dan anak lebih terjamin.

Kelahiran kurang intervensi dan tanpa intervensi ("gentlebirth") pula adalah konsep yang tidak bertentangan dengan amalan perubatan moden tetapi hanya sesuai dilaksanakan ke atas ibu-ibu yang terpilih. Tidak semua proses semulajadi boleh dibiarkan tanpa intervensi kerana ianya tidak sempurna. Seperti mana cuaca alam semulajadi seperti hujan, panas dan sejuk yang boleh mengganas tanpa diduga. Perlu ada intervensi untuk mencegah banjir, kejutan panas dan hipotermia yang boleh mencedera dan membunuh manusia. Begitu juga proses kelahiran anak yang kadangkala perlu intervensi seperti amniotomi, augmentasi, suntikan ubat, pembedahan dan lain-lain bantuan bertujuan untuk mencegah kecederaan dan kematian 2 nyawa yang sangat berharga. Ini sudah terbukti, hasil daripada kepakaran, kadar kelahiran selamat yang lebih tinggi dan intervensi2 yang saya sebutkan tadi, kadar kematian ibu di negara kita telah menurun daripada 540 per 100,000 lahir hidup pada tahun 1950 an kepada 28 per 100,000 lahir hidup pada hari ini.

Tidak kisahlah apa sahaja bentuk proses kelahiran yang diingini ("birthplan") oleh anda, apa yang paling penting pilihlah orang yang layak untuk meneliti serta menilai "birthplan" anda, layak memberi nasihat kesihatan dan layak mengendalikan kelahiran anda. Dengar nasihat mereka dan utamakan keselamatan. Pastikan kelahiran anda berlaku di tempat yang sesuai dan dikendalikan oleh petugas yang terlatih. Jangan terpengaruh dengan golongan yang mengambil kesempatan demi keuntungan peribadi dengan memperjudikan nyawa ibu dan anak, sedangkan mereka bukan petugas kelahiran yang terlatih.



DDr Rushdan Noor 
Pakar Perunding Kanan O&G
6 hb Julai 2020

BACAAN TAMBAHAN :

https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10213061609322740

https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10213061645443643

https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10212819610792928

No comments:

Post a Comment