Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD, MOG(UKM),FGO(S’pore),AM
GULA DAN RASA MANIS
Rasa manis adalah satu nikmat yang paling diminati oleh manusia. Boleh dikatakan hampir semua jenis makanan perlu kepada rasa manis samada sedikit ataupun lebih. Tanpa rasa manis, minuman dan makanan akan menjadi tawar dan tidak menyelerakan. Apa sebenarnya yang menyebabkan anda rasa manis ? Anda merasa manis kerana otak anda menerima maklumat dari reseptor rasa di lidah yang diransang oleh molekul gula terutamanya gula dari kumpulan monosakarida seperti glukos dan fruktos. Monosakarida dan disakarida (sukros, dalam gula pasir) juga dikenali sebagai free sugar digunakan untuk tujuan memaniskan minuman dan makanan. Gula boleh juga diperolehi secara semulajadi dari madu, sirap dan jus buah. Walau bagaimanapun pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan terutamanya diabetes ,kegemukan dan kerosakan gigi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan pengambilan gula (free sugar) tidak lebih dari 5% dari jumlah kalori yang diambil di dalam satu hari, iaitu sebanyak 25 gram ataupun 6 camca teh (rujukan). Walau bagaimanapun, WHO tidak menghadkan pengambilan gula semulajadi dari sumber buah-buahan segar, sayuran dan juga susu. Perlu diingat bahawa sebenarnya banyak gula (free sugar) tersembunyi di dalam makanan-makanan lain contohnya 1 sudu teh kicap mengandungi 4 gram free sugar. Kajian saintifik menunjukkan bahawa pengambilan gula kurang dari 5% dari jumlah kalori di dalam sehari mengurangkan kadar kegemukan dan kepada kanak-kanak ianya juga mengurangkan kadar kerosakan gigi. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan gula tersebut ditukarkan kepada lemak. Terdapat banyak lagi masalah pengambilan gula yang berlebihan seperti kerosakan hati (terutamanya fruktos), sindrom metabolic (obesity, tinggi kolesterol, tinggi kandungan gula, trigliserid dan tekanan darah tinggi), kandungan asid urik yang tinggi. Gula boleh difermentasi (oleh bakteria) menjadi gas karbon dioksida, asid dan alcohol. Jadi fermentasi gula menyebabkan penghasilan asid yang boleh menyebabkan pembentukan plag dan kerosakan gigi.
Apabila anda mengambil karbohidrat, kandungan karbohidrat akan dipecahkan kepada gula sebelum diserap masuk ke dalam aliran darah. Indek Glisemik (Glycemix Index) adalah ukuran sejauh mana kesan makanan berkarbohidrat tersebut ke atas kandungan gula darah. Index Glisemik yang rendah bermaksud makanan tersebut menyebabkan peningkatan gula darah yang perlahan dan rendah. Pengambilan makanan yang mempunyai Indek Glisemik yang rendah dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk mengalami diabetes jenis 2, penyakit jantung, sindrom metabolic, strok dan banyak lagi manfaat kesihatan. Indek Glisemik diukur dengan cara memberi makan karbohidrat berkenaan sebanyak 50 gram dan mengukur kandungan gula darah selepas 2 jam. Kemudian untuk perbandingan, 50 gram gula tulin diberikan dan gula darah diukur selepas 2 jam. Graf kedua-dua bacaan akan dibuat dan perbandingan dilakukan dengan mengukur keluasan di bawah graf (Area under the curve, AUC). Nilai AUC untuk gula tulin tadi dianggap 100% dan jika AUC makanan karbohidrat tadi 48% dari AUC gula tulin , maka Indek Glisemik makanan tersebut dikatakan 48. Makanan yang mempunyai Indek Glisemik 0-55 dikatakan rendah, 56-69, sederhana dan lebih dari 70 dikatakan Indek Glisemik yang tinggi. Untuk melihat senarai makanan dan nilai Indek Glisemik mereka, sila rujuk di sini .Contohnya nasi putih mempunyai Indek Glisemik 89, tetapi nasi perang (brown rice) pula hanya 50. Buah apel mempunyai Indek Glisemik 39, pisang 62, kurma kering 42, anggur 25, orange 40, buah pear 38, buah prun 29 dan buah tembikai 72.
APAKAH PEMANIS (SWEETENERS)
Pemanis adalah perkataan umum merujuk kepada apa sahaja bahan-bahan yang digunakan untuk tujuan memaniskan minuman ataupun makanan. Selalunya kita menggunakan gula sebagai pemanis. Masalah yang dibawa oleh gula jika digunakan sebagai pemanis adalah ianya adalah karbohidrat dan boleh meningkatkan kandungan gula di dalam darah. Tetapi pada hari ini semakin ramai pengguna menggunakan pengganti gula (“sugar substitute”) untuk memaniskan makanan dan minuman mereka. Pengganti gula dianggap bahan perasa makan(food addictive) yang menggantikan gula untuk rasa manis tetapi tidak mengandungi kalori ataupun kandungan kalorinya rendah, jadi ia tidak menyebabkan peningkatan gula darah. Di samping ianya memberi rasa yang sangat manis ia tidak ada kalori ataupun hanya sedikit kandungan kalori, pemanis tidak boleh difermentasikan oleh bakteria, jadi ianya lebih baik kepada kesihatan gigi.
Secara umumnya pemanis terdiri dari gula pasir (sukros) dan pengganti gula (sugar substitutes). Pangganti gula pula kadangkalanya diklasifikasikan kepada 4 kumpulan iaitu: 1. Pemanis tiruan ataupun sintetik (artificial sweeteners), 2. Gula alcohol, 3. Pemanis Novel (Novel sweeteners) dan 4. Pemanis semulajadi (Natural sweeteners). Rujuk jadual 1 untuk melihat klasifikasi pengganti gula dan jenis-jenisnya.
Jadual 1 : Klasifikasi Pengganti Gula (sugar substitutes).
Terminologi pengganti gula ini selalu diperdebatkan kerana ada yang mendakwa bahawa stevia adalah pemanis semulajadi walaupun ianya telah diproses. Begitu juga dengan ada sebahagian pemanis tiruan diperbuat dari bahan semulajadi contohnya sukralos (sucralose) diperbuat dari gula. FDA mengawal pengganti gula dan memerlukan kelulusan FDA sebelum dapat digunakan untuk tujuan pemanis. Mana-mana pengganti gula yang diluluskan oleh FDA akan dikategorikan sebagai “Generally Recognized as Safe” (GRAS). Di antara pangganti gula yang diluluskan oleh FDA adalah saccharin, aspartame, sucralose, neotame dan acesulfame potassium.
PEMANIS TIRUAN/SINTETIK
Pemanis tiruan adalah penganti gula yang dihasilkan melalui sintetik, tetapi ianya boleh dihasilkan dari sumber semulajadi seperti gula dan herba. Pemanis tiruan selalunya mempunyai kemanisan yang sangat tinggi berbanding dengan gula biasa, sebab itu ianya kadangkala dikenali sebagai “intense sweeteners”. Pemanis tiruan hampir tidak ada kalori dan anda hanya perlukan sedikit untuk menghasilkan rasa manis. Ianya seringkali digunakan di dalam makanan yang diproses, minuman ringan, pudding, jem, jeli dan lain-lain. Disebabkan ia tidak menyumbang kepada kalori dan gula darah, maka ia ada membawa beberapa manfaat di antaranya : 1. Membantu mengurangkan berat badan (sebab tidak ada kalori, 1 gram gula ada 4 kalori, satu sudu teh bersamaan dengan 4 gram gula ataupun 16 kalori), 2. Boleh menggantikan gula kepada pesakit diabetes, disebabkan ia bukan karbohidrat, ia tidak meningkatkan gula darah. Dakwaan pemanis tiruan dengan risiko menghidap kanser (dikaitkan dengan saccharin) telah ditangkis oleh NCI, walau bagaimanapun pemanis tiruan dikawal oleh FDA. Di antara pemanis tiruan yang ada di pasaran, aspartame didapati mempunyai rasa yang hampir dengan gula, tetapi mempunyai kekuatan rasa manis sebanyak 200 kali gula sukros.Pemanis tiruan tidak boleh diambil berlebihan dan FDA telah menetapkan had pengambilan hariannya.
GULA ALKOHOL
Gula alcohol adalah karbohidrat yang diperolehi secara semulajadi dari beberapa jenis buah dan sayuran. Ia juga boleh dihasilkan oleh kilang. Walau bagaimanapun selalunya ia tidak semanis gula. Berbeza dengan pemanis tiruan, gula alcohol mempunyai kalori tetapi lebih rendah dari gula (1 gram mengandungi 2 kalori). Walaupun namanya gula alcohol, ia bukan sebenarnya alcohol, tidak mengandungi etanol seperti yang terdapat di dalam minuman keras. Ianya didapati digunakan di dalam makanan yang diproses, cokelat, ubat gigi, pembasuh mulut dan chewing gum. Jika diambil di dalam kuantiti yang agak banyak, boleh menyebabkan cirit, kembung perut dan angin di dalam usus. Status halal gula alkohol banyak dibincangkan disebabkan oleh perkataan alkohol walaupun tidak terdapat ethanol di dalamnya. Ianya juga dihasilkan dengan cara yang berbeza dengan arak. Negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatal menghalalkan produk gula alkohol (rujukan 1, rujukan 2)
PEMANIS NOVEL (STEVIA, TAGATOSE, TREHALOSE)
Pemanis-pemanis di dalam kategori ini agak unik kerana ianya agak sukar dikategorikan di mana-mana pengganti gula disebabkan oleh ciri-ciri yang ada pada mereka dan juga bagaimana mereka dihasilkan. Tagatose dan trehalose dikategorikan oleh FDA sebagai bahan yang “generally recognized as safe” (GRAS). Tagatose mempunyai karbohidrat pada kuantiti yang rendah seperti fruktos, manakala Trehalose pula ditemui dari madu dan cendawan. Mengenai Stevia pula, FDA hanya meluluskannya di dalam bentuk yang diproses sebagai pemanis tetapi tidak meluluskannya yang di dalam bentuk daun ataupun ekstrak secara kasar. Stevia tidak mempunyai kalori sama seperti pemanis tiruan.
Nama Stevia diperolehi dari sejenis pokok belukar yang dinamakan Stevia rebaudiana, banyak ditemui di Amerika Selatan, boleh ditanam dengan suburnya di Malaysia. Ia telah digunakan sebagai pemanis semenjak lebih seabad oleh orang asli Paraguay. Bahan yang menyebabkan kemanisan pada stevia dikenali sebagai Steviol Glycosides. Terdapat banyak jenis steviol glycoside (7 jenis) dan dua daripadanya adalah Rebaudioside A dan Stevioside. Rebaudioside A mempunyai tahap pemanis yang paling tinggi (240 kali dari gula). Rebaudioside A juga mempunyai rasa yang paling kurang pahit berbanding dengan steviol yang lain, jadi ianya dianggap ingredient yang paling utama di dalam stevia. Ia mempunyai kekuatan rasa manis 240 kali lebih tinggi dari gula dan tidak mempunyai nilai kalori. Stevia didapati selamat diambil oleh orang ramai dari semua golongan usia termasuk pesakit diabetes dan darah tinggi. Acceptable daily intake (ADI) ataupun kuantiti pengambilan stevia setiap hari adalah 4 mg/kg berat badan.
Tagatose pula adalah pengganti gula yang dikategorikan bersama dengan stevia sebagai pemanis novel. Kadangkala ianya juga dikategorikan sebagai pemanis semulajadi kerana tagatose adalah monosakarida semulajadi yang dikenali sebagai hexose. Tagatose sering digunakan di dalam produk tenusu dan mempunyai persamaan dengan gula pasir (sukros) di mana hampir sama manis (92%) dengan gula tetapi mempunyai kandungan kalori yang lebih rendah (38% dari gula). Indek Glisemik tagatose adalah 3. Ia telah diluluskan sebagai bahan perasa makanan (food addictive) di bawah kategori pemanis berkalori rendah (low calorie sweetener) oleh FDA dan WHO. Ia juga diluluskan oleh Pentadbiran Ubatan Negara Korea (KFDA) dan negara Eropah. Malah KFDA telah meluluskan penggunaan tagatose sebagai ubat mengawal gula darah selepas sarapan (postpandrial blood glucose level). Tagatose boleh dihasilkan dari galaktos melalui tindakan enzim.
PEMANIS SEMULAJADI
Pemanis semulajadi seringkali dianggap yang paling sihat berbanding dengan lain-lain pengganti gula, tetapi walaupun dikenali sebagai pemanis semulajadi, ia seringkali menjalani proses dan pengubahsuaian. Di antara pemanis semulajadi yang diluluskan oleh FDA dan dianggap selamat untuk diminum/makan adalah nectars (dihasilkan dari sejenis pokok yang tumbuh di Mexico selatan, Agave nectar, juga dikenali sebagai Sirap Agaves), madu, dan sirap maple. Pemanis semulajadi boleh digunakan di rumah dan juga di dalam makanan yang diproses. Ia kadangkala digunakan sebagai gula tambahan (added sugar) dan ada juga digunakan di dalam teh, cocktails, dalam pembasuh mulut, pancake, waffle topping, cereal dan kek. Walaupun pemanis semulajadi ini mungkin pemanis yang lebih baik dari gula tetapi vitamin dan mineral yang terkandung di dalamnya hampir sama seperti gula.Mereka masih mempunyai kalori dan jika diambil secara berlebihan, boleh memudaratkan.
ADAKAH PENGGANTI GULA TERMASUK STEVIA BOLEH MERAWAT PENYAKIT DIABETES, LAIN-LAIN PENYAKIT DAN MENURUNKAN BERAT BADAN?
Semua pengganti gula ini boleh diambil untuk tujuan menggantikan gula kerana ianya tidak ada karbohidrat ataupun kalori. Jikapun ada karbohidrat, kandungannya lebih rendah dari gula. Jadi pada asasnya pengganti gula memang boleh membantu mengurangkan pengambilan gula dan kalori oleh seseorang jika ianya diamalkan dengan betul. Walau bagaimanapun setiap pengguna harus faham tentang perkara-perkara berikut sebelum mengamalkan pengambilan pengganti gula:
1. Pemanis-pemanis ini hanya menyediakan rasa manis tanpa kalori
2. Pemanis-pemanis ini bukan ubat untuk merawat kerana peranannya hanya sebagai bahan alternatif gula dan hanya memberi kesan tidak langsung di dalam mengurangkan kandungan kalori di dalam makanan dan minuman. Jika anda mengambil lain-lain nutrin dalam kandungan kalori yang tinggi, anda tetap akan menghadapi masalah kesihatan kerana sumber kalori bukan sahaja dari gula tetapi juga dari makanan seperti nasi, lauk, sos, buah-buahan dan sayuran. Jika anda menghidap diabetes, anda tetap perlu mengambil ubat diabetes untuk mengawal gula kerana peranan pemanis-pemanis ini sangat terhad. Tetapi dengan adanya pemanis, pesakit diabetes mungkin boleh menikmati makanan dan minuman yang sebelum ini perlu mereka jauhi disebabkan oleh tinggi kandungan kalori.
3.Pemanis-pemanis ini hanya membantu anda mengurangkan berat badan dan mencegah penyakit-penyakit lain yang ada kaitan dengan pengambilan kalori yang berlebihan. Ianya tidak akan membantu jika anda tidak melakukan langkah-langkah mengurangkan makanan berkalori tinggi, tidak mengurangkan pengambilan lemak, tidak melakukan senaman dan tidak menjalani gaya hidup sihat. Ianya akan bermanfaat jika pemanis ini digunakan di dalam kebanyakan makanan dan minuman anda disamping anda mengambil makanan yang seimbang dan jumlah kalori yang optimum. Malahan ada beberapa kajian yang menunjukkan bahawa amalan menggunakan pengganti gula ini tidak berkesan menurunkan berat badan jika tidak digabungkan dengan kaedah-kaedah mengurangkan berat badan yang lain.(rujukan). Malah ada juga kajian yang lebih kontroversi menunjukkan pengambilan pengganti gula boleh meningkatkan berat badan dan bukan menurunkan berat badan. (rujukan)
4.Pemanis-pemanis ini dihasilkan melalui proses dan pengawetan, jadi ianya tidak terlepas dari mempunyai bahan pengawet, dan bahan-bahan kimia yang lain. Ianya juga boleh terdedah kepada pencemaran bakteria, kulat dan organisma-organisma lain yang boleh memudaratkan. Anda juga boleh tertipu dengan pengeluar-pengeluar produk pemanis ini yang mungkin memasukkan bahan lain selain dari bahan yang didakwa. Anda tidak mungkin dapat mengesahkannya.
5.Pemanis-pemanis ini tidak sekali-kali boleh menggantikan ubat dan rawatan penyakit kronik yang lain.
6.Penggunaan pemanis boleh menjadi senjata makan tuan jika pengamalnya merasa terlalu selamat menggunakan pemanis tanpa kalori, disebabkan oleh perasaan selamat, mereka mungkin tanpa sedari mengambil makanan berkalori tinggi secara berlebihan sehingga berat badan meningkat (kerana menyangka yang mereka sudah mengamalkan pengambilan gula yang terhad).
7. Pemanis-pemanis ini apabila diambil akan melalui proses metabolism dan pemecahan kepada by-product dan ada di antaranya berpotensi untuk menyebabkan masalah kesihatan jika pemanis ini diambil secara berlebihan. Contoh: By-product kepada Aspartame iaitu asid aspartic, phenylalanine dan methanol. Pemanis dan by-product yang dihasilkan juga kadangkalanya boleh menyebabkan alahan kepada pengguna walaupun risiko alahan adalah rendah.
8.Interaksi pemanis-pemanis ini dengan ubat-ubat seperti antifungus, antibiotic, ubat darah tinggi dan beberapa lagi jenis ubatan telah dilapurkan walaupun ianya hanya peringkat lapuran kes. Jadi kemungkinan berlakunya interaksi ubat ini tidak boleh ditolak begitu sahaja.
9.Kepada orang Islam, sila pastikan bahawa produk pemanis ini adalah halal. Terdapat produk pemanis ini menggunakan alkohol semasa proses pengekstraktan bahan pemanis dari sumber asal. Untuk mengetahui mengenai perkara ini produk tersebut tentukan samada terdapat label halal.
ADAKAH PENGGANTI GULA SELAMAT DIAMBIL?
Penggunaan pengganti gula merupakan salah satu tajuk perdebatan semenjak beberapa tahun dahulu dan pelbagai pendapat dikeluarkan mengenainya. Banyak kajian dijalankan dan menghasilkan pelbagai keputusan. Ada kajian ke atas haiwan yang menunjukkan kaitan pengambilan pemanis dengan peningkatan nafsu makan kerana pemanis yang diambil tetap meransang reseptor di lidah dan otak menyangka tahap gula darah yang tinggi, akibatnya badan mengeluarkan insulin dan menyebabkan gula darah menurun (hipoglisemia) sehingga haiwan merasa lapar dan kemudian mengambil makanan yang banyak dan menyebabkan kegemukan. Walau bagaimanapun ini adalah hasil kajian ini diperolehi dari kajian ke atas haiwan. Terdapat juga pendapat berdasarkan kepada kajian ke atas manusia bahawa pengambilan pengganti gula ini disebabkan ianya manis, menyebabkan pengguna ketagihan gula (sugar craving) dan bergantung kepada gula (sugar dependence) (rujukan 1, rujukan 2). Adakah ini akan dimanifestasikan dengan tabiat makanan yang lebih banyak?
Aspartame mungkin merupakan pemanis yang paling banyak menjalani kajian tetapi kebanyakan kajian ini dilakukan ke atas haiwan jadi sukar untuk mengesahkan sebarang kesan manfaat pengubatan ke atas tubuh badan manusia. Salah satu aspek kajian yang pernah dijalankan adalah melihat potensi kesan sampingan akibat dari by-product hasil dari pemecahan Aspartame iaitu asid aspartic, phenylalanine dan methanol kepada kesihatan. Walaupun kajian awal ke atas haiwan menunjukkan ada kaitan dengan risiko menghidap beberapa jenis kanser tetapi penilaian semula mendapati bahawa ianya tidak benar. Kesimpulannya, hingga setakat ini pengambilan Aspartame pada kadar yang disyorkan adalah selamat.
Saccharin pula mungkin pemanis tiruan yang paling lama dihasilkan dan mempunyai kemanisan 300-500 kali ganda lebih dari gula. Saccharin pernah dilapurkan boleh menyebabkan kanser pundi kencing melalui kajian ke atas haiwan pada tahun 1960 an dan 1970 an, tetapi pada hari ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan juga IARC telah menarik balik dakwaan tersebut dan Saccharin sudah tidak dianggap sebagai bahan karsinogen. Kebanyakan negara membenarkan penggunaan Saccharin dalam kuantiti yang disyorkan.
Sucralose ditemui pada tahun 1976 dan yang uniknya, sucralose merupakan satu-satunya pemanis yang dibuat dari gula tetapi dianggap Zero-Calorie pengganti gula (“zero-calorie sugar substitute”). Ia adalah gula yang menjalani proses klorinisasi (memasukkan atom klorin ke dalam molekul sukros) dan mempunyai kemanisan 600 kali ganda berbanding dengan gula. Ia digunakan di dalam banyak makanan dan minuman sebagai pemanis (lebih 4000 jenis produk makanan). Apa yang menarik adalah ianya tidak mudah dipecahkan oleh haba jadi sesuai digunakan untuk membuat makanan yang perlu dimasak di bawah suhu tinggi seperti roti,kek dan lain-lain. Di samping itu, kebanyakan dari sucralose yang diambil tidak akan diserap ke dalam aliran darah sebaliknya akan dibuang dalam bentuk asal melalui usus. Tidak ada kesan sampingan yang serius dikaitkan dengan sucralose. Umumnya sucralose adalah pemanis yang selamat diambil termasuk oleh pesakit diabetes.
Acesulfame dan Neotame adalah pemanis tiruan yang juga diluluskan penggunaannya oleh FDA dan dianggap selamat digunakan. Neotame mempunyai struktur yang hampir sama dengan Aspartame tetapi lebih stabil dan mempunyai kemanisan 8000 kali lebih dari gula.
Bagaimana pula dengan Stevia. Setakat ini tidak ada kesan alahan yang dilapurkan akibat pengambilan stevia. FDA telah mengkategorikan ingredient yang terdapat di dalam stevia sebagai bahan perasa makanan (food addictive) jadi kehadirannya di dalam apa-apa produk perlu dinyatakan di dalam label. Walaupun ianya dianggap selamat tetapi kesan sampingan jangkamasa panjang belum dapat disahkan lebih-lebih lagi jika ianya diambil di dalam kuantiti yang berlebihan. Terdapat kajian kecil ke atas haiwan yang menunjukkan apabila tikus diberi stevia pada kuantiti yang tinggi, kandungan sperma tikus menurun dan di dalam makmal, steviol glycosides boleh ditukarkan kepada bahan penyebab mutasi DNA (Mutagenic substance). Di antara kesan sampingan yang pernah dilapurkan (jika mengambil dalam kuantiti yang tinggi) adalah loya, perut kembung, pening, sakit kepala, tekanan darah rendah dan kandungan gula darah yang rendah) (rujukan). Terdapat juga lapuran mengenai kesan interaksi stevia dengan ubat-ubatan seperti ubat psikiatri (litium), ubat antidiabetes (stevia boleh menurunkan kandungan gula darah jika diambil bersama dengan ubat diabetes), beberapa ubat tekanan darah tinggi dan beberapa lagi jenis ubat (rujukan).Stevia diluluskan kegunaannya di Amerika dan negara-negara Eropah. Seperti yang disebutkan di dalam perbincangan di atas, FDA hanya meluluskan stevia sebagai bahan perasa makanan ataupun pengganti gula jika bahan pemanisnya diekstrak dengan betul(kaedah pengekstraktan sama seperti mendapatkan gula dari tebu, contohnya produk Truvi. FDA tidak meluluskan penggunaan stevia dalam bentuk daun ataupun “crude stevia extracts” sebagai bahan perasa(rujukan), jadi dalam bentuk ini, ia tidak boleh dimasukkan ke dalam makanan atau minuman. Penggunaan stevia ketika hamil dan menyusukan anak tidak dapat disahkan dari segi keselamatannya kerana kekurangan bukti kerana sukar untuk membuat kajian kesan ke atas anak di dalam kandungan dan juga kuantiti produk di dalam susu ibu, jadi pada pandangan peribadi saya, mungkin lebih elok dielakkan.
KESIMPULAN
Pengganti gula terdiri dari 4 jenis iaitu pemanis tiruan, gula alcohol, pemanis novel dan juga pemanis semulajadi. Tujuan pemanis ini digunakan adalah untuk menggantikan gula supaya dapat mengurangkan jumlah kalori yang diambil setiap hari. Semua pemanis bukan sejenis ubat dan tidak boleh digunakan untuk menyembuhkan apa-apa jenis penyakit. Ianya berperanan untuk membantu mengurangkan jumlah kalori yang diambil setiap hari untuk tujuan mengurangkan berat badan, mengurangkan kerosakan gigi, dan mungkin dengan pengurangan berat badan, anda akan bebas dari penyakit-penyakit kronik yang dikaitkan dengan kegemukan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa amalan menggunakan pangganti gula untuk tujuan menurunkan berat badan hanya berhasil jika digabungkan dengan program aktiviti fizikal, ia tidak berkesan jika diamalkan bersendirian, malah ada juga kajian yang menunjukkan amalan bahan perasa ini meningkatkan berat badan. Manakala kepada pesakit-pesakit diabetes, darah tinggi dan lain-lain yang berkaitan, amalan pengambilan pengganti gula ini hanya mungkin dapat membantu mengawal penyakit tersebut di samping ubat-ubatan yang diberikan oleh pihak hospital. Pemanis-pemanis ini (termasuk stevia) tidak akan berkesan ataupun kurang keberkesanannya jika anda tidak mengawal jumlah pengambilan makanan yang lain dan pengamalnya tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak ada mana-mana pemanis yang telah disahkan melalui bukti kajian saintifik, mempunyai kesan pengubatan ke atas penyakit-penyakit, jadi ia tidak boleh menggantikan ubat-ubatan moden untuk merawat penyakit. Walau bagaimanapun kesemua jenis pemanis yang dibincangkan di dalam rencana ini telah didapati selamat digunakan oleh manusia pada kuantiti yang disyorkan. Kesan-kesan negatif ditemui hanya pada kajian ke atas haiwan serta bilangan sampel yang kecil dan di dalam kajian-kajian ini responden diberikan pengganti gula ataupun pemanis di dalam kuantiti yang tinggi. Kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengkaji manfaat dan mudarat penggunaan pemanis di dalam makanan dan minuman, terutamanya kesan jangkapanjang. Jadi kesederhanaan di dalam pengambilan pemanis dan memastikan pemanis tersebut tulin di samping mengamalkan gaya hidup sihat adalah kunci supaya anda mendapat manfaat dari pengambilan pengganti gula ini.
RUJUKAN
http://articles.mercola.com/sugar-side-effects.aspx
Tandel KR, Sugar substitutes: Health controversy over perceived benefits. J Pharmacol Pharmacother. 2011:2(4):236-243
www.drugsdb.com/cib/stevia/
https://en.wikipedia.org/wiki/Trehalose
www.eathalal.ca/2009/01/sugar-alcohols-contain-alcohol-wrong.html), http://islamqa.org/hanafi/darulihsan/76521).
www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2892765/
www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2892765/
www.fda.gov/AboutFDA/Transparency/Basics/ucm214864.htm
http://articles.mercola.com/sites/articles/archive/2012/12/04/saccharin-aspartame-dangers.aspx
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana pertubuhan ataupun institusi.
No comments:
Post a Comment