Sunday 19 July 2020

JANGAN TINGGAL SARAPAN PAGI


Ramai yang tidak mengambil sarapan pagi kerana faktor tidak sempat, sibuk, bangun lewat dan bukan rutin hidup. Mulai sekarang anda perlu mempertimbangkan semula tabiat anda ini dan mula mengamalkan sarapan pagi ataupun " breakfast" ini. Berikut adalah beberapa manfaat mengambil sarapan pagi:


1. Perkataan "breakfast" bermaksud berbuka puasa, jadi anda makan setelah berpuasa semalaman kerana tidur. Jadi sarapan pagi adalah bekalan tenaga dan nutrient untuk memulihkan badan anda semasa bekerja.


2. Sarapan pagi meransang otak khususnya kanak2. Beberapa kajian menunjukkan sarapan pagi mungkin dapat meningkatkan pencapaian anak2 di sekolah melalui ingatan yang lebih baik, tumpuan lebih tajam, menyelesaikan masalah, kadar kehadiran ke sekolah yang lebih tinggi dan mood yang lebih baik. Kesan ini juga dialami oleh orang dewasa.


3. Sarapan pagi yang baik akan membekalkan sumber serat, mineral, vitamin dan makronutient yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak mengambil sarapan pagi.Orang yang tidak mengambil sarapan pagi lebih kerap mengalami masalah kekurangan nutrient, mungkin dikaitkan dengan disiplin dan tabiat makan.


4. Kajian juga menunjukkan orang yang mengambil sarapan pagi lebih mudah mengawal berat badan. Orang yang selalu terlepas dari mengambil sarapan pagi mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi kerana mereka mengambil makanan yang banyak kemudiannya. Kanak2 yang mengambil sarapan pagi kurang risiko kegemukan. Mengikut lapuran National Weight Control Registry, hampir 80% daripada yang dapat mempertahankan pengurangan berat badan lebih dari 13kg dalam setahun adalah individu yang mengambil sarapan pagi secara rutin.


5. Individu yang mengambil sarapan pagi dengan makanan yang sihat juga didapati mempunyai kadar sakit jantung dan tahap kolesterol darah yang lebih rendah. Mereka juga mempunyai sistem penghadaman dan kesihatan tulang yang lebih baik. Di antara makanan yang sihat adalah susu rendah lemak, bijirin whole grain, roti whole grain, telur dan buah2an.


6. Amalan mengambil sarapan pagi dengan makanan berkhasiat dan berserat juga mengawal tahap hormon insulin dan menurunkan risiko menghidap sindrom metabolik. Pertubuhan Diabetes Amerika mengesyorkan mengambil serat sebanyak 7-10 gram dan jumlah kalori 400-500 kalori semasa sarapan pagi.


Manfaat mengambil sarapan pagi secara tetap ini akan lebih besar jika amalan ini disertakan dengan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak minum arak, melakukan senaman, mengambil makanan yang seimbang dan kurang stres.


Dato' Dr Rushdan Noor
20hb Julai 2020

No comments:

Post a Comment