Tuesday 14 July 2020

TEH : MUDARAT YANG TERSEMBUNYI



Teh adalah minuman kedua paling popular selepas air kosong. Hari ini teh bukan sahaja dijadikan sekadar minuman tetapi sudah "dinaiktaraf" menjadi ubat merawat banyak jenis penyakit. Teh herba adalah satu bentuk produk kesihatan yang dijual kepada orang ramai. Di dalam teh ini dicampurkan pelbagai jenis herba dan bahan tradisional. Di dalam tulisan ini saya tidak akan menyentuh tentang keberkesanan produk teh untuk dijadikan ubat tetapi ingin berkongsi beberapa maklumat tentang bahaya meminum teh secara berlebihan.

Seperti juga dengan lain-lain minuman, jika diambil berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan. Di dalam teh terdapat banyak jenis sebatian kimia dan setiap satu daripadanya boleh membawa mudarat jika diambil secara berlebihan. Hatta sebatian kimia yang bermanfaat seperti antioksidan, mineral dan vitamin sekalipun jika diambil berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. Apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah berapa banyakkah bahan-bahan ini di dalam teh yang diminum kerana kandungannya bergantung kepada jenis teh, kaedah pemprosesan dan terdapat juga teh yang dihasilkan daripada daun yang tercemar. 

Umumnya, teh adalah selamat diminum jika diambil dalam kuantiti yang sederhana dan tidak dimasukkan gula ataupun bahan-bahan perasa yang meningkatkan jumlah kalori di dalamnya. Menambah lain2 bahan seperti herba dan ubat tradisional akan meningkatkan risiko kesihatan. Had sebenar pengambilan teh dalam sehari tidak dapat dipastikan tetapi kebanyakan pakar pemakanan berpendapat tidak melebihi 3-4 cawan sehari (700-950 mls).

Pengambilan teh yang berlebihan boleh menyebabkan masalah berikut:

1. Mengurangkan penyerapan zat besi. Teh mengandungi sejenis kompoun bernama tannins. Tannin boleh mengikat zat besi di dalam makanan (terutama makanan yang berasaskan tumbuhan) dan menyebabkan ianya sukar diserap di dalam usus. (1)

2.  Meningkatkan perasaan risau, stress dan gelisah. Daun teh mengandungi kafein. Setiap cawan teh (240 mls) mengandungi di antara 11-61 mg kafein bergantung kepada kaedah pemprosesan. Dos kafein yang melebihi 200 mg boleh menyebabkan perasaan risau dan gementar. (2)

3. Gangguan tidur. Kafein di dalam teh juga boleh mengganggu tidur. Kafein merencat penghasilan melatonin yang penting untuk kualiti tidur yang baik. (3)

4.  Loya. Terdapat kompoun di dalam teh seperti tannin yang boleh menyebabkan loya dan sakit perut. (4)

5.  Sakit/pedih ulu hati (heartburn). Kafein di dalam teh boleh menyebabkan pedih uluhati ataupun dada dan menambah masalah sindrom refluk asid (acid reflux syndrome). Kafein boleh mengendurkan injap/sphincter di antara esofagus dengan perut. Kafein juga boleh meningkatkan kandungan asid di dalam perut (5)

6.Komplikasi kehamilan. ACOG mengesyorkan wanita yang hamil tidak mengambil kafein melebihi 200 mg sehari. Pengambilan kafein yang berlebihan dikaitkan dengan risiko keguguran dan bayi tidak cukup berat badan, walaupun bukti ini belum dapat disahkan. (6)

7.   Sakit kepala. Pengambilan kafein sekali sekala boleh mengurangkan sakit kepala tetapi jika diambil secara tetap dan dalam jangkamasa panjang boleh memberi kesan disebaliknya. Sakit kepala yang berulang-ulang boleh disebabkan oleh pengambilan kafein yang berpanjangan (7)

8. Kesan sampingan yang berkaitan dengan jenis herba dan ubat tradisional yang dicampur di dalam teh herba. Kes radang hati (hepatitis) dilapurkan akibat penggambilan teh Artemisia annua (8). Teh herba yang mengandungi chamomile boleh menyebabkan risiko pendarahan, mengantuk dan bahaya kepada ibu yang hamil. Kandungan teh herba juga boleh berinteraksi dengan ubat pencair darah dan aspirin dan menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.(9). Pengambilan ekstrak teh hijau dan teh comfrey berlebihan boleh menyebabkan kecederaan pada hati. Mengikut American College of Gastroenterology, kes kerosakan hati telah meningkat disebabkan peningkatan amalan mengambil herba dan suplemen. Lapuran dari World Journal of Hepatology menyatakan peratusan kerosakan hati akibat herba dan suplemen telah meningkat daripada 7% pada tahun 2004 kepada 20% pada tahun 2013 (10).

9. Pencemaran bahan toksik dan mikroorganisma di dalam teh. Analisa terhadap jenis pencemaran terhadap teh telah dijalankan oleh penyelidik ke atas sampel teh. Di antara pencemar yang ditemui adalah logam berat seperti plumbum (lead), kandungan manganese dan aluminium yang berlebihan. Kajian juga mendapati kehadiran banyak jenis mineral dan logam seperti arsenik, cadmium, barium, antimony, thallium dan lain-lain. (11). Pencemaran bakteria dan kulat juga telah dikesan (31% daripada sampel) di dalam sampel herba termasuk teh herba, di antara bakteria yang ditemui adalah staph aureus dan salmonella (12). Banyak lagi bahan pencemar (cth: racun serangga) dan kemungkinan ubat-ubat terlarang yang mungkin dicampurkan ke dalam teh herba tanpa pengetahuan pengguna. Jadi pencemaran teh sebenarnya jauh lebih besar daripada yang dibincangkan.

Saya akan menulis tentang adakah benar teh boleh mengawal gula darah dan merawat kencing manis di dalam posting yang akan datang. Jadi jika anda menghidap kencing manis, baca dahulu rencana tersebut sebelum membuat keputusan untuk mengamalkan teh yang didakwa ubat kencing manis.

DDr Rushdan Noor 
Medical Mythbusters Malaysia
12hb Julai 2020

RUJUKAN

1.Delimont NM, Haub MD, Lindshield BL. The impact of tannin consumption on iron bioavailability and status: A narrative review. Curr Dev Nutr Jan 19; (2):1-12

2.Temple JL, Bernard C, Lipshultz SE, et al. The safety of ingested caffeine: A comprehensive review. Front Psychiatry, 2017;8:80

3.Collaghan F, Muurlink O, Reid N. Effects of caffeine on sleep quality and daytime functioning. Risk Manag Healthc Policy, 2018;11:263-271

4.Hussain G, Huang J, Rasul A. Putative roles of plant-derived tannins in neurodegenerative and neuropsychiatry disorders: An updated review. Molecules, 2019;13:24(12)

5.Lohsiriwat S, Puengna N, Leelakusolvong S. Effects of caffeine on lower esophageal sphincter pressure in Thai healthy volunteers. Dis Esophagus, 2006;19(3):183-8

6.Lyngso J, Ramlau Hansen CH, Bay B, et al. Association between coffee or caffeine consumption and fecundity and fertility: Systematic Review and dose-response meta-analysis. Clin Epidemiol, 2017;9:699-719

7.Shapiro RE, Caffeine and Headache. Curr Pain Headache Rep, 2008;12(4):311-5

8.Ruperti-Repilado FJ, Haefliger S, Rehm S, et al. Danger of herbal tea: A case of acute cholestatic hepatitis due to artemisia annua tea. Front Med (Lausanne); 2019;6:221

9.Cupp MJ. Herbal Remedies: Adverse Effects and Drug interaction. Am Fam Physician,1999 Mar 1;59(5):1239-1244.

10.Raschi E, De Ponti F. Drug and herb-induced liver injury: Progress, current challenges and emerging signals of post-marketing risk. World J Hepatol, 2015 Jul 8;7(13):1761-1771

11.Schwalfenberg G, Genius SJ, Rodushkin I. The benefits and Risks of consuming brewed tea: Beware of toxic element contamination. Journal of Toxicology. 2013; Article ID 370460. https://doi.org/10.1155/2013/370460

12. de Sausa Lima CM, Teles Fujishima MA, Paula Lima BD, et al. Microbial contamination in herbal medicines: A serious hazard in elderly consumers. BMC Complementary Therapies, 2020;20(17):1-9

No comments:

Post a Comment