Medical Mythbusters Malaysia
KESAN PLASEBO
Kesan
placebo adalah kesan ke atas kesihatan yang boleh diukur selepas terdedah
kepada satu intervensi yang bukan merupakan tindakbalas fisiologi ke atas kesan biologi yang hendak disasarkan. Placebo
adalah sesuatu yang tidak mempunyai bahan aktif dan tidak ada kaitan dengan
penyakit ataupun keadaan yang hendak dipulihkan. Bahan placebo yang sering
digunakan jika ujian itu dilakukan menggunakan ubat adalah pil glukos. Jika
ubat yang diuji itu di dalam bentuk cecair maka bahan placebo yang digunakan
mungkin air kosong ataupun larutan saline. Jika ujian ke atas alat, maka alat
yang menjadi placebo akan menyerupai alat yang hendak diuji tetapi tidak berfungsi.
Plasebo juga boleh diberikan dalam bentuk lain termasuk apa sahaja jenis kaedah
rawatan yang direka-reka oleh pengamal seperti menggunakan alat tertentu untuk
diaplikasikan kepada pesakit. Kesan placebo sebenarnya lebih kepada mengubah
persepsi seseorang terhadap gejala yang dihadapi. Gejala yang paling sering
dirawat adalah sakit. Persepsi terhadap sakit kadangkala dapat dikurangkan
hanya dengan mengubah mood dan perasaan pesakit tanpa melegakan punca sakit
tersebut. Pesakit yang merasa yakin, tenang dan kurang stress mengandungi
hormone endorphin yang lebih tinggi dan hormone ini dapat mengurangkan tekanan
dan persepsi sakit. Senaman juga boleh
meningkatkan rembesan hormone endorphin dan boleh mengurangkan persepsi sakit.
Kesan placebo ini digunakan oleh pengamal perubatan alternative seperti bomoh,
tukang urut dan juga “Healer”. Seseorang yang mengambil placebo juga boleh
mengalami kesan negative seperti juga kesan sampingan ubat yang sebenar seperti
loya, cirit dan sembelit. Kesan sampingan placebo ini juga dinamakan kesan
nocebo. Melalui kesan placebo ini seseorang yang mengalami sakit boleh
dikurangkan gejala sakitnya dengan apa sahaja cara dengan syarat mereka yakin
cara tersebut dapat memberi kesan. Hatta jika yakin dengan air kosong dan pil
glukos sekalipun dapat mengurangkan sakit melalui kesan plasebo. Pendek kata
placebo adalah “ubat tipu” yang dapat memberi kesan ke atas pengurangan gejala
walaupun ianya tidak ada kaitan dengan penyakit yang hendak ditangani. Jadi
placebo tidak merawat punca penyakit tetapi hanya mengurangkan gejala melalui
kesan psikologi. Walaupun pesakit merasa lega semasa mengambil placebo,
kelegaan itu hanya persepsi semata-mata dan apabila ahli sains mengukur keadaan
penyakit, mereka dapati penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut sebenarnya
masih kekal sama. Contohnya pesakit asthma yang diberi ubat sedutan, salah satu
daripadanya adalah ubat sedutan sebenar dan satu lagi ubat sedutan yang hanya placebo,
selepas mengambil kedua-duanya pesakit mengadu kedua-duanya memberi kelegaan
yang sama. Tetapi apabila ahli sains membuat penilaian keberkesanan melalui ujian
pernafasan secara objektif, didapati kesan penyembuhan hanya diperolehi jika
mengambil ubat sedutan yang sebenar, manakala
sedutan placebo tidak menunjukkan keputusan yang lebih baik. Jadi
kelegaan yang dirasai oleh pesakit terhadap placebo hanya pada peringkat minda
ataupun persepsi semata-mata. Kadangkala kesan placebo boleh juga dialami oleh
pesakit hanya dengan interaksi yang baik dengan perawat.
Di
dalam kajian keberkesanan sesuatu jenis produk kesihatan, salah satu kaedah
penyelidikan yang paling berkualiti adalah kajian yang melibatkan perbandingan
di antara kesan sebenar produk tersebut ke atas kesihatan dan kesan placebo.
Jadi di dalam kajian seumpama ini ahli sains hanya akan menerima bukti
keberkesanan sesuatu jenis produk tersebut jika kesan positif yang diberikan
oleh produk tersebut bukan kesan placebo. Ahli sains akan membandingkan dua
kumpulan individu iaitu satu kumpulan diberikan produk kesihatan yang dikaji
dan satu kumpulan lagi diberikan placebo yang rupa fizikalnya sama dengan
produk yang dikaji tetapi tidak mempunyai bahan aktif. Semua ahli di dalam
kumpulan ini tidak mengetahui samada mereka mengambil produk sebenar ataupun placebo.
Kajian seumpama ini dikenali sebagai “Double blind Placebo controlled trial”. Jika kajian seumpama ini dijalankan dengan baik
dan menggunakan bilangan sampel yang mencukupi, hasil kajian ini adalah yang
paling kukuh untuk membuktikan keberkesanan sesuatu jenis ubat ataupun produk
kesihatan. Inilah sebenarnya yang dicari oleh pengamal perubatan moden iaitu
sesuatu yang boleh memberi kelegaan dan penyembuhan bukan sahaja kepada gejala
tetapi yang lebih penting adalah memulihkan punca gejala tersebut.
GELANG MAGNETIK
Terdapat
terlalu banyak amalan masyarakat kita yang dilakukan untuk tujuan memulihkan
kesihatan. Banyak amalan-amalan ini tidak diketahui asal usulnya dan tidak
kurang yang dibawa turun menurun daripada nenek moyang. Terdapat juga amalan
yang diperkenalkan oleh pengamal perubatan alternatif. Pada satu ketika dahulu
terdapat ramai ahli masyarakat, lelaki dan wanita yang mengamalkan pemakaian
gelang tangan yang diperbuat daripada logam. Gelang ini juga menjadi produk
yang hangat di pasaran sehingga ada yang menjualnya melalui kaedah pemasaran
pelbagai peringkat (MLM). Gelang ini didakwa telah menjalani ionisasi dan mampu
memberi manfaat kepada pemakainya melalui pengstabilan aliran tenaga
elektromagnetik. Salah satu jenis gelang ini dinamakan gelang Q-Ray. Ia
dikatakan telah dicipta oleh Manuel L Polo, seorang pengamal chiropractic dalam
tahun 1973. Perniagaan gelang ini menjadi tular dengan kewujudan kemudahan
laman web semenjak tahun 1997-98. Kepercayaan kesan gelang kepada pemakainya
ini bukanlah berdasarkan kepada ilmu sains moden sebaliknya adalah kepercayaan
pengamal rawatan alternatif yang kebanyakan mereka tidak mempunyai latar
belakang sains moden. Pencipta gelang ini percaya bahawa di dalam badan kita
terdapat keseimbangan di antara ion positive dan negative. Badan menjadi sakit
jika berlaku ketidakseimbangan kedua-dua caj ini. Terdapat juga gelombang
biomagnetik alfa dan beta yang mengalir di dalam badan melalui pusat-pusat
badan utama dan jika gelombang ini dipisahkan, akan berlaku perubahan aliran
gelombang di mana ada tempat-tempat tertentu
gelombang ini akan terhenti. Gangguan aliran gelombang biomagnetik dan
ketidakseimbangan ion negative dan positif inilah yang menyebabkan penyakit.
Untuk menyeimbangkan kembali ion ini, arus elektrik yang berlebihan perlu
dikeluarkan dan di sinilah letaknya fungsi gelang yang kononnya pada hujung
bulat gelang itu adalah kawasan yang mempunyai rintangan rendah. Hujung bulat
ini akan menjadi tempat mengeluarkan caj positif yang berlebihan. Kelebihan ion
positif dikaitkan dengan tahap nutrisi yang rendah, pernafasan yang tidak
stabil dan kehidupan yang tidak aktif. Manakala kekurangan ion negative pula
dikaitkan dengan gejala kerisauan, stress, takut, benci dan keletihan. Ada juga
pengeluar gelang magnetik yang mendakwa bahawa aliran magnet yang dihasilkan
oleh gelang ini dapat memisahkan kelompok sel-sel darah merah dan menyebabkan
sel-sel dapat mengambil lebih oksigen dan mengeluarkan lebih tenaga. Bertahun-tahun
gelang ini dikatakan mampu untuk mengembalikan kesihatan, mengurangkan sakit
akibat kanser, memperbaiki pergerakan otot, memperbaiki kemampuan bersukan,
menyimpan tenaga dan lain-lain. Banyak lagi dakwaan manfaat yang dibawa oleh
pemakaian gelang ini.
Pada
pandangan sains moden, konsep tenaga elektromagnetik dan ion-ion bercaj
yang
dinyatakan di atas adalah palsu dan tidak menepati fisiologi badan yang
sebenar. Tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa penyakit
disebabkan
oleh ketidakseimbangan caj positif dan negatif. Sains moden tidak dapat
menerangkan
secara objektif bagaimana boleh adanya kaitan antara ketidakseimbangan
caj ini
dengan kejadian penyakit. Malahan dakwaan yang mengatakan gelang besi
itu
bercaj pun disanggah oleh ahli sains kerana objek yang pejal seperti
gelang
tersebut sebenarnya tidak boleh diionkan (ionized). Ujian mikroskopik
elektron yang dijalankan dimakmal juga mengesahkan bahawa ianya tidak
bercaj.
Golongan
yang mempercayai gelang Q ray ini seringkali menggunakan testimony dan ujian
kekuatan jari yang dinamakan Omura test ataupun O-Ring test. Di dalam ujian
ini, individu yang diuji akan menjalani ujian kekuatan sebelum dan selepas
memakai gelang. Kekuatan itu diuji dengan rakan lain cuba memisahkan jari
telunjuk dan ibu jari yang ditemukan bersama. Walaupun kadangkala ujian ini
didapati berjaya tetapi dari sudut pengetahuan ilmu psikologi, fenomena ini
dapat diterangkan melalui mekanisma yang
dinamakan “suggestion”. Apa yang berlaku adalah disebabkan oleh kekuatan yang sengaja
diubahsuai samada daripada rakan yang menguji ataupun individu yang memakai
gelang, sehingga mereka yang melakukan ujian Omura ini dapat bekerjasama hingga
berjaya meyakinkan pemerhati.
KAJIAN SAINTIFIK
MENGENAI KEBERKESANAN GELANG MAGNETIK
Kajian
saintifik telah dijalankan ke atas gelang magnetik dan disiarkan di dalam Jurnal
Mayo Clinic Proceeding. Kajian ini adalah kajian “Randomized, double-blind,
placebo-controlled trial” yang dijalankan oleh Bratton RL dan rakan-rakan, di
mana matlamat kajian ini dijalankan adalah untuk menguji samada gelang yang
didakwa bercaj ini boleh merawat sakit otot dan sendi. Di dalam kajian ini
seramai 305 orang memakai gelang berion, manakala 305 orang lagi memakai gelang
placebo selama 4 minggu. Individu di dalam kedua-dua kumpulan ini tidak
mengetahui samada mereka memakai gelang bercaj ataupun gelang placebo. Hasil
kajian ini menunjukkan bahawa terdapat
pengurangan dari segi gejala sakit yang dialami oleh kedua-dua kumpulan. Tidak
ada perbezaan yang bermakna daripada segi pengurangan sakit di antara kumpulan
yang memakai gelang bercaj dan gelang placebo. Jadi ini menunjukkan bahawa
sebenarnya gelang bercaj ataupun gelang magnetik (termasuk Q-ray) ini memberi kesan positif hanya melalui
kesan placebo dan bukan disebabkan oleh apa yang didakwa oleh penciptanya (1).
Keputusan yang sama juga telah diperolehi oleh kajian yang dijalankan oleh
Richmond SJ dan rakan-rakan. Mereka menggunakan beberapa jenis gelang di
antaranya gelang magnetic dan gelang tembaga yang dipakai selama 16 minggu dan
pemakai bertukar gelang (Crossover trial) selepas beberapa lama dan mereka
sendiri tidak tahu apakah jenisnya. Kajian ini adalah untuk melihat kesan
pemakaian gelang ini ke atas sakit radang sendi (osteoarthritis). Hasil kajian
ini menunjukkan bahawa pemakaian gelang-gelang ini tidak mengurangkan kesakitan,
tidak melonggarkan sendi yang keras dan tidak ada manfaat ke atas fungsi
fizikal sendi yang terlibat. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa pemakaian
gelang-gelang ini jikapun berkesan adalah disebabkan oleh kesan placebo. (2)
Syarikat
yang mengeluarkan gelang ini telah disaman beberapa kali oleh beberapa badan
yang melindungi pengguna di Amerika pada tahun 2000-2004 dan dikehendaki
membayar sejumlah wang tertentu kepada pihak
yang menyaman sebagai ganti rugi kerana membuat dakwaan palsu mengenai
kemujaraban gelang ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Di samping
dakwaan palsu, pihak mahkamah juga menganggap ianya satu penipuan dari sudut
perniagaan di mana harga sebiji gelang magnetik tersebut terlalu mahal (ada
yang dijual dengan harga $200 USD sebiji) sedangkan ianya hanyalah placebo.
FATWA HUKUM MEMAKAI
GELANG BESI MAGNETIK BAGI LELAKI UNTUK TUJUAN KESIHATAN
Fatwa
di atas telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang
semasa persidangan untuk mengeluarkan fatwa ini, mereka telah menjemput pakar
perubatan untuk memberi pendapat. Menurut pakar perubatan yang dijemput, beliau
menjelaskan bahawa daripada sudut kesihatan tidak ada bukti bahawa gelang
magnetic memberi kesan positif kepada kesihatan manusia. Apa yang ada hanyalah
testimony iaitu pengakuan perseorangan tentang kesannya dan ianya tidak
diterima sebagai bukti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mempunyai
unsur placebo. Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga tidak membuat kenyataan
mengenai keberkesanan menggunakan gelang ini walaupun ianya selamat diamalkan.
Majlis fatwa membuat rumusan bahawa bagi lelaki yang memakai gelang sebagai
perhiasan diri menurut hukum syara’ adalah haram berdasarkan hadith daripada
Ibnu Abbas r.s katanya : Rasullullah saw melaknat lelaki yang meniru-niru gaya
perempuan, dan perempuan yang meniru-niru gaya lelaki. Pemakaian gelang
magnetic ini hukumnya harus hanya jika terbukti berkesan melalui kajian
saintifik sains perubatan. Sekiranya pemakaian gelang magnetic tidak memberi
faedah daripada segi kesihatan, maka perlu ditinggalkan. Keputusan akhir
daripada Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah HARAM bagi lelaki
memakai gelang magnetic kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada
menyerupai wanita di samping tidak ada bukti saintifik yang ianya berkesan. Amalan
ini adalah satu kaedah yang boleh merosakkan orang Islam (3).
KESIMPULAN
Penjelasan
mengenai bagaimana system badan berfungsi yang digunakan oleh pencipta gelang
Q-Ray ataupun gelang-gelang magnetik yang lain
tidak menepati ilmu sains perubatan moden. Begitu jugalah penerangan
mengenai bagaimana gelang ini dapat menyembuhkan penyakit, menyimpang daripada
ilmu sains perubatan moden. Pemakaian gelang samada gelang magnetic ataupun
gelang-gelang lain tidak mempunyai kaitan dengan pengubatan penyakit ataupun
memulihkan kesihatan fizikal ke atas manusia. Ini adalah hasil daripada kajian
saintifik yang dilakukan ke atas penggunaan gelang ini di mana didapati kesan pengurangan sakit yang dibawa oleh pemakaian
gelang ini adalah kesan placebo iaitu kesan palsu. Dari sudut hukum agama Islam
pula, disebabkan tidak ada bukti bahawa gelang magnetik ini boleh mengubati
penyakit melalui kajian sainfitik oleh pakar-pakar, maka mengikut majlis fatwa kerajaan Negeri Sembilan, hukum memakai gelang
ini adalah haram.
RUJUKAN
1. Bratton RL, Montero DP, Adams KS, et
al. Effects of “ionized” wrist bracelets on musculoskeletal pain : a randomized
, double-blind, placebo-controlled trial. Mayo Clin Proc, 2002;77(11):1164-8)
2. Richmond SJ, Brown SR, Campion PD,
et al. Therapeutic effects of magnetic and copper bracelets in osteoarthritis:
a randomized placebo-controlled crossover trial. Complement Ther Med, 2009 17(5-6):249-56.
doi: 10.1016/j.ctim.2009.07.002. Epub 2009 Aug 28
7. Consumer Justice Center v Q.T., Inc.,
Andrew Park, Jung Joo Park, Que Te Park, Lizz Ciprian, and Does 1-100.
8. Superior Court of the State of
California for the County of Orange, Central Justice Center, Case No.
00CC14710, Filed Dec 7, 2000.
9.
John
Gardner v QT Inc. and Does 1-50. Superior Court of the State of California,
County of San Diego, North County Branch. Case No. GIN026037. Amended complaint
filed Jan 13, 2003.
10.
https://www.psychologytoday.com/blog/homo-consumericus/200911/does-the-q-ray-bracelet-really-work
11.
http://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/PhonyAds/qray.html
12. http://www.cbc.ca/news/q-ray-makers-ordered-to-pay-16m-in-refunds-to-consumers-1.711955
No comments:
Post a Comment