Thursday 27 June 2019

KANSER CHRIS DISEMBUHKAN OLEH PEMBEDAHAN BUKAN DIET DAN JUS BUAH

Seorang sahabat bertanya kepada saya mengenai satu laman facebook CHRIS BEAT CANCER yang dikendalikan oleh seorang bekas pesakit kanser bernama Chris Wark. Katanya laman ini mendapat liputan hangat. Apabila saya meneliti laman facebook beliau dan membaca tentang beliau, saya berkata dalam hati, posting saya yang lalu mengenai scam perubatan, quackery dan Dr.Quack memang mengena dan rupa2nya memang wujud di mana2.
Berikut adalah komen saya secara ringkas mengenai Chris Wark dan agenda beliau:
1. Chris Wark adalah bekas pesakit kanser usus besar yang dikesan pada tahun 2003 ketika beliau berusia 26 tahun.
2. Chris Wark menjalani PEMBEDAHAN mengeluarkan kanser dan sebahagian dari usus beliau. Pendek kata beliau menjalani rawatan bedah yang merupakan kaedah RAWATAN UTAMA penyakitkanser usus besar.
3. Beliau mendakwa kanser itu berada peringkat 3 yakni melibatkan nodus limpa di bahagian usus tetapi belum merebak ke lain2 bahagian badan. Maka, memang ada kemungkinan kanser dapatsembuh hanya dengan rawatan bedah walaupun pada kadar yang lebih rendah.
4. Disebabkan oleh kanser peringkat 3, beliau disyorkan untuk mendapat rawatan kemoterapi bagi meningkatkan peluang beliau untuk sembuh dan mengurangkan kadar kejadian kanser berulang. Rawatan kemoterapi bukan rawatan utama tetapi rawatan adjuvan, bermaksud rawatan tambahan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan utama. Contoh kadar hidup 5 tahun peringkat 3B kanser usus besar dengan pembedahan sahaja adalah 63.5%, manakala jika diberi adjuvan kemoterapi, kadar hidup ini meningkat kepada 79.1%.
5. Chris Wark enggan menerima rawatan kemoterapi dan mengamalkan kaedah alternatif melalui diet yang kononnya untuk meningkatkan kemampuan badan untuk melawan penyakit kanser. Ideologi ini sama seperti yang diperjuangkan oleh golongan Naturopathi. Hakikatnya, Chris adalah salah seorang yang bernasib baik di mana rawatan pembedahan sahaja sudah mencukupi. Beliau tersilap dengan menganggap kemoterapi sebagai rawatan utama sedangkan rawatan bedah yang telah beliau lalui itulah rawatan utama kanser usus.
6. Daripada sinilah Chris mempromosi kaedah diet yang beliau amalkan dan mendakwa diet inilah yang menyembuhkan beliau sedangkan pada hakikatnya beliau sudah menjalani pembedahan. Ibarat pepatah melayu "Lembu punya susu, Sapi dapat nama".
7. Dengan kaedah TESTIMONI ini beliau menyebarkan pengaruh menarik pelanggan untuk mencuba cara beliau mengamalkan diet, meminum jus buah dan kaedah memasak makanan untuk mencegah dan merawat kanser. Apa yang mendukacitakan adalah beliau menyebarkan salah faham tentang kanser dan memburuk2kan semua kaedah rawatan kanser moden.
8. Daripada testimoni dan promosi yang beliau lakukan, beliau dapat menarik ramai pengikut dan dengan peluang keemasan ini beliau menjual ebook dan menjual khidmat coaching/bimbingan mencegah dan merawat kanser untuk semua orang. Program coaching beliau dinamakan Square One dan kosnya bergantung kepada jenis pakej samada digital ataupun fizikal berharga dari USD147 hingga USD197. Inilah sebenarnya pulangan yang menjadi tumpuan utama Chris Wark. Nampaknya sasaran Chris bukan sahaja pesakit kanser tetapi kepada semua orang termasuk orang sihat yang ingin mencegah kanser.
Kesimpulannya Chris Wart adalah salah seorang daripada ramai lagi individu yang mendapatkan keuntungan peribadi melalui satu bentuk scam perubatan ataupun quackery menggunakan testimoni yakni pengalaman diri sendiri. Semoga maklumat mengenai modus operandi beliau ini dapat dijadikan panduan kepada orang ramai khususnya pesakit kanser supaya tidak terjebak dengan individu lain yang menggunakan kaedah yang sama di masa hadapan.
Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor 
27hb Jun 2019






No comments:

Post a Comment