Monday 17 June 2019

PENDAPAT PERIBADI DAN PENGALAMAN : SEJAUH MANA KEWIBAWAANNYA DI DALAM PERUBATAN



Saya pernah menyebut bahawa setakat ini belum ada lagi kaedah rawatan alternatif yang boleh diterima sebagai rawatan utama merawat penyakit, contohnya ubat herba A boleh digunakan sebagai ganti buaguanide dan insulin untuk merawat penyakit diabetes. Pengubatan alternatif hanya boleh dipertimbangkan jika pesakit sudah kehabisan ikhtiar dengan perubatan moden dan doktor memberi izin untuk mencuba pilihan lain. Walau bagaimanapun, pengamal perubatan moden tidak menolak peranan perubatan komplementari yang digabungkan dengan perubatan moden, di dalam apa yang dinamakan PERUBATAN INTEGRATIF. Contohnya rawatan komplementari B diberikan kepada pesakit kanser yang sedang menerima rawatan kemoterapi untuk mengurangkan gejala loya dan muntah. Saya telah menulis tentang perbezaan di antara perubatan moden, komplementari dan alternatif dengan panjang lebar. Sila rujuk pautan ini: https://ddrrushdan.blogspot.com/2019/05/dato-dr.html



Terdapat banyak perbezaan antara prinsip rawatan perubatan moden dengan perubatan alternatif. Salah satu daripadanya, di dalam hampir semua keadaan, pengamal perubatan moden beramal dengan kaedah yang sudah terbukti berkesan. Manakala di dalam banyak keadaan, pengamal perubatan alternatif seringkali mengenepikan kepentingan bukti dan menggunakan prinsip yang bertentangan iaitu beramal dulu, bukti kemudian. Supaya kelihatan saintifik, mereka berhujah dengan istilah2 sains tetapi dicampur-adukkan dengan pseudosains. Adakalanya mereka menggunakan hujah tenaga dalam, medan magnetik dan tenaga elektrik yang tidak boleh dilihat secara objektif dan tidak boleh pula dibuktikan kesan kewujudannya. Konsep ini mudah untuk meyakinkan orang awam yang tidak mempunyai latarbelakang ilmu perubatan. Disebabkan tidak ada bukti yang kukuh,TESTIMONI seringkali digunakan. Jika pun ada kajian yang dijalankan, kebanyakannya adalah kajian prakilinikal yang dilakukan dalam makmal. 

Pengamal perubatan alternatif dan juga individu yang menyokong produk mereka juga seringkali menggunakan PENDAPAT PERIBADI contohnya "saya sudah berpengalaman selama berpuluh tahun di dalam bidang ini, berdasarkan pengalaman saya, pengambilan suplemen A ini memang patut diamalkan". Dakwaan seumpama ini dinamakan PENDAPAT PERIBADI (PERSONAL OPINION) dan jika kebetulan beliau seorang yang mempunyai kepakaran di dalam bidang tersebut pendapat ini bolehlah dikategorikan sebagai PENDAPAT PAKAR (EXPERT OPINION). Walaupun pendapat itu diberikan oleh Pakar, ia masih dianggap pendapat peribadi jika kenyataan yang dibuat itu tidak disokong oleh bukti yang kukuh. Apatah lagi jika pendapat itu dikeluarkan oleh seseorang yang ada kepentingan ("conflict of interest"). Di manakah letaknya kedudukan Pendapat Peribadi ataupun Pendapat Pakar di dalam hirarki kewibawaan bukti ("levels of evidence").

Di dalam disiplin perubatan moden, TESTIMONI tidak boleh dijadikan bukti yang berwibawa untuk mendakwa keberkesanan sesuatu jenis ubat ataupun khidmat kesihatan. Pengalaman diri sendiri boleh juga dianggap sebagai satu bentuk testimoni. Jika testimonipun tidak diterima, apatah lagi PENDAPAT PERIBADI, malahan PENDAPAT PAKAR sekalipun, kerana kewibawaan ataupun hirarki PENDAPAT sebenarnya LEBIH RENDAH daripada TESTIMONI (rujuk rajah di bawah). Bayangkan jika yang memberi pendapat itu seorang yang bukan pakar ataupun orang awam biasa. Prinsip "evidence based medicine" penting dipertahankan memandangkan kesan buruk yang diakibatkan oleh dakwaan palsu ataupun "overclaim" ke atas kesihatan pengguna. Apabila keberkesanan tidak dibuktikan, maka begitulah juga aspek keselamatannya. Walau bagaimanapun pengalaman penting dalam menentukan kemahiran dan kewibawaan seorang Pengamal selagi ia mematuhi prinsip yang dinyatakan di atas.

Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor
18hb Jun 2019
14 Syawal 1440 Hijrah

No comments:

Post a Comment