Trend makanan generasi sekarang sangat membimbangkan. Orang2 dahulu walaupun mereka mungkin makan lebih, namun jenis makanan tidak sebanyak hari ini dan mereka lebih aktif bekerja. Masyarakat kita hari ini lebih kreatif dalam serba serbi. Makanan dan minuman hari ini mengandungi lebih banyak gula dan lemak tetapi masyarakat kurang aktif. Daging yang diproses seperti sosaj, bebola daging dan lain-lain dijadikan lauk dan ramuan dalam makanan. Kalori dan lemak lebih banyak disimpan daripada dibakar. Sebab itu kadar obesiti sangat tinggi. Kita boleh lihat trend jenis makanan ini apabila meninjau di pasar Ramadan. Air minuman juga mengandungi banyak kalori dan kurang nutrien. Air jus yang disediakan dimasukkan air gula supaya manis sedangkan jus sebenarnya sangat sedikit, seratnya sangat minima. Trending Bubble Tea menjadi fenomena pada hari ini dan kajian daripada sebuah makmal di Singapura menunjukkan satu gelas besar Bubble Tea mengandungi lebih kurang 100 gram gula ataupun 400 kkalori.
Masyarakat Melayu kita sangat pemurah dengan budaya menganjurkan pelbagai jenis
kenduri. Kenduri itu bagus sebab salah satu bentuk aktiviti
kemasyarakatan dan berkumpul untuk mengeratkan hubungan. Tetapi jenis
makanan yang disediakan tidak banyak berubah. Nasi adalah menu wajib
tidak kira apa jenis kenduri. Gulai, rendang, nasi minyak, nasi beriani,
nasi kandar, dalca dan lain-lain mengandungi tinggi karbohidrat dan
lemak. Itu belum lagi pencuci mulut. Setiap kali kenduri, mesti dijemput
tok imam untuk mengepalai majlis bertahlil dan jarang tuan rumah
menyediakan makanan khusus untuk tok imam. Seorang tok imam kadangkala
mungkin perlu menghadiri 2-3 kenduri dalam satu hari. Jadi nampaknya tok
imam mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengambil kalori dan lemak
berlebihan. Tuan rumah tolong tanya tok imam jika ada penyakit darah tinggi atau
diabetes supaya makanan yang sesuai dapat disediakan untuknya. Saya tidak pasti bilakah menu makanan yang menjadi tradisi ini akan ditukar kepada yang lebih ringan dan lebih sihat.
Trending makan
di luar juga nampaknya semakin hebat walaupun ramai yang merungut tentang kenaikan harga barang dan masalah ekonomi. Restoran makanan segera dan restoran mamak
menjadi tumpuan semua generasi. Kedai mamak dibuka 24 jam, memberi
peluang yang lebih luas untuk makan tidak kira masa. Semasa meninjau
pasaraya besar dalam bulan Ramadan yang lepas, saya terkejut apabila
mendapati restoran2 makanan segera penuh sesak dengan orang ramai yang
hendak berbuka puasa. Tidak hairan mengapa restoran makanan segera
tumbuh macam cendawan.
Trend tabiat makan yang tidak sihat ini
sangat membimbangkan kerana apabila berlaku kepada ibubapa, anak2 yang
dibawa bersama akan menjadikan tabiat ini sebagai trending mereka pula
apabila dewasa. Kita bakal melihat lebih ramai ahli masyarakat mengalami
masalah obesiti dan penyakit-penyakit yang dikaitkan dengannya. Cabaran
masa depan KKM untuk menangani masalah penyakit tidak berjangkit
(Non-Communicable Disease) nampaknya semakin mencabar.
DDr Rushdan Noor
8hb Jun 2019
4 Syawal 1440
No comments:
Post a Comment