Saturday, 8 June 2019

PENDAPAT PERIBADI LEBIH RENDAH STATUS KEWIBAWAANNYA DARIPADA TESTIMONI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Saya pernah menyebut bahawa setakat ini belum ada lagi kaedah rawatan alternatif yang boleh diterima sebagai rawatan utama merawat penyakit, contohnya ubat herba A boleh digunakan sebagai ganti metformin untuk merawat penyakit diabetes jenis II. Pengubatan alternatif hanya boleh dipertimbangkan jika pesakit sudah kehabisan ikhtiar dengan perubatan moden dan doktor memberi izin untuk mencuba pilihan lain. Walau bagaimanapun, pengamal perubatan moden tidak menolak peranan rawatan komplementari yang digabungkan dengan perubatan moden, di dalam apa yang dinamakan PERUBATAN INTEGRATIF. Ada alasan yang kuat mengapa pendirian ini diambil. Saya telah menulis tentang perbezaan di antara perubatan moden, komplementari dan alternatif dengan panjang lebar. Sila rujuk pautan ini: https://ddrrushdan.blogspot.com/2019/05/dato-dr.html

Terdapat banyak perbezaan antara prinsip rawatan perubatan moden dengan perubatan alternatif. Salah satu daripadanya, dalam perubatan moden, kami beramal dengan kaedah yang sudah terbukti berkesan. Malangnya pengamal perubatan alternatif menggunakan prinsip yang bertentangan iaitu beramal dulu, bukti kemudian. Di sebabkan tidak ada bukti yang kukuh,TESTIMONI seringkali digunakan. Jika pun ada kajian yang dijalankan, kebanyakannya adalah kajian prakilinikal yang dilakukan dalam makmal. Ada juga yang memberi pendapat peribadi contohnya "saya sudah berpengalaman selama berpuluh tahun di dalam bidang ini, saya tahu berdasarkan pengalaman saya, pengambilan suplemen A ini memang patut diamalkan". Dakwaan seumpama ini dinamakan PENDAPAT PERIBADI (PERSONAL OPINION) dan jika kebetulan beliau seorang yang mempunyai kepakaran di dalam bidang tersebut pendapat ini bolehlah dikategorikan sebagai PENDAPAT PAKAR (EXPERT OPINION). Di manakah letaknya kedudukan Pendapat Pakar di dalam hirarki kewibawaan bukti ("levels of evidence"), jika ianya tidak disertakan dengan bukti kajian klinikal.

Di dalam disiplin perubatan moden, testimoni tidak boleh dijadikan bukti yang berwibawa untuk mendakwa keberkesanan produk kesihatan dan suplemen. Jika testimonipun tidak diterima, apatah lagi PENDAPAT PERIBADI, malahan PENDAPAT PAKAR sekalipun, kerana kewibawaan ataupun hirarki PENDAPAT sebenarnya LEBIH RENDAH daripada TESTIMONI (rujuk rajah di bawah). Bayangkan jika yang memberi pendapat itu seorang yang bukan pakar ataupun orang awam biasa. Prinsip ini penting dipertahankan memandangkan kesan buruk yang diakibatkan oleh dakwaan palsu ataupun "overclaim" ke atas kesihatan pengguna.

Dato' Dr Mohd Rushdan Md Noor
9hb Jun 2019

No comments:

Post a Comment