Friday 21 June 2019

MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN : JIKA ADA KEMAHUAN PASTI ADA JALAN

Samada sedar ataupun tidak, bahasa kebangsaan sebenarnya telah lama terpinggir dari hati rakyat negara kita, mungkin lebih daripada 20 tahun.Merudumnya keyakinan rakyat Malaysia kepada bahasa kebangsaan sudah lama berlaku akibat daripada beberapa faktor.

Dua faktor penting mengapa wujudnya keadaan ini adalah tidak ada komitmen yang serius daripada semua pihak termasuk pihak pemerintah dan rakyat jelata untuk meletakkan bahasa ini pada kedudukannya. Faktor kedua adalah ketaksuban rakyat terhadap bahasa inggeris. Inilah punca asal mengapa wujudnya persepsi bahawa hanya dengan menguasai bahasa inggeris, peluang pekerjaan lebih baik, kerjaya lebih cemerlang dan masa depan lebih cerah. Penguasaan bahasa inggeris dijadikan petunjuk keintelektualan seseorang sehingga rakyat merasa lebih bangga menulis dan bertutur di dalam bahasa inggeris. Sebaliknya rasa malu untuk menggunakan bahasa kebangsaan. Pada peringkat permulaannya hanya persepsi tetapi hari ini ia telah menjadi satu realiti kerana tidak ada langkah2 yang berkesan untuk mengubah persepsi tersebut. Ini mungkin disebabkan langkah-langkah memartabatkan bahasa kebangsaan yang dilakukan selama ini tidak berkesan. Malahan ada rakyat Malaysia yang langsung tidak memerlukan bahasa kebangsaan untuk berjaya. Persoalannya adakah kita sudah terlewat dan nasi sudah menjadi bubur.

Kerajaan dan rakyat boleh mengubah keadaan ini jika langkah-langkah memartabatkan bahasa kebangsaan dilakukan dengan serius dan terancang dari sekarang. Kita mahu setiap rakyat merasai betapa pentingnya bahasa ini. Di antara langkah-langkah yang boleh dilakukan adalah :

1. Menguatkuasa peraturan penggunaan bahasa kebangsaan di dalam semua majlis rasmi samada lisan ataupun tulisan secara menyeluruh. Begitu juga dengan dokumen, surat perjanjian, papan iklan dan sebagainya. Jangan hanya ada peraturan tetapi tidak dilaksanakan. 

2. Meningkatkan pengistilahan matapelajaran sains,matematik, perubatan dan juga perundangan. Apabila sudah lengkap pengistilahan ini, maka buku-buku rujukan boleh dihasilkan dan pembelajaran boleh dilaksanakan sepenuhnya.

3. Menghasilkan lebih banyak buku-buku rujukan sains dan perundangan di dalam bahasa kebangsaan. Diberikan insentif yang besar kepada penulis.

4. Menguatkuasakan peraturan menguasai bahasa kebangsaan sebagai syarat wajib untuk memohon pekerjaan (termasuk sebagai pensyarah), kenaikan pangkat ,memulakan perniagaan dan juga lantikan jawatan-jawatan tertinggi di dalam kerajaan serta syarikat swasta.

5. Dalam kalangan pensyarah pula diwajibkan untuk menghasilkan buku akademik dan hasil kajian yang ditulis di dalam bahasa kebangsaan sebagai prasyarat untuk kenaikan pangkat. Keutamaan kenaikan pangkat diberikan kepada pensyarah yang menghasilkan penerbitan di dalam bahasa kebangsaan berbanding dengan bahasa lain.

6. Menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar di semua peringkat pengajian daripada sekolah rendah, menengah sehinggalah ke universiti (dilakukan berperingkat). Dengan adanya istilah yang lengkap dan buku-buku rujukan di dalam bahasa kebangsaan, maka penggunaan bahasa kebangsaan di semua peringkat samada peringkat pengajian mahupun pekerjaan akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dasar ini perlu diperjuangkan secara konsisten.

Pendek kata usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan memerlukan perancangan dan perlaksanaan yang teliti. Ianya tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat. Kita sudah banyak membazirkan masa dengan sistem pendidikan yang berubah-ubah tanpa halatuju yang jelas. 

Persoalannya adakah kita sudah terlewat? Adakah masih ada peluang untuk kembali ke pangkal jalan? Semuanya bergantung kepada kemahuan dan pendirian kerajaan serta rakyat keseluruhannya. Jika tidak ada usaha-usaha seperti yang saya sebutkan di atas dan tidak ada desakan rakyat yang berkesan, kedudukan bahasa kebangsaan akan kekal seperti hari ini dan mungkin lebih serius di masa hadapan. Kita akan menjadi sebahagian daripada kegagalannya. 

Memartabatkan bahasa kebangsaan bukan bermaksud menafikan kepentingan bahasa inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Usaha meningkatkan kemahiran berkomunikasi di dalam bahasa inggeris perlu diteruskan juga. Ianya juga bukan bermaksud menafikan kepentingan bahasa ibunda bangsa Cina dan India, bahasa2 ini perlu digalakkan dan dibenarkan wujud di sekolah2. Apa yang paling penting adalah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya dan menyusun keutamaan pada kedudukan yang betul sejajar dengan kehendak perlembagaan negara.

Dato'Dr Mohd Rushdan Md Noor
23hb Jun 2019

No comments:

Post a Comment