Thursday 20 June 2019

BENARKAH NASI LEBIH MERBAHAYA DARIPADA MINUMAN BERSODA/BERGULA



Sedang tular lapuran daripada media sosial bahawa semangkuk nasi lebih merbahaya daripada satu tin minuman bersoda. Jika dibaca rencana yang ditulis tentu ramai akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik minum 1-2 tin atau botol minuman soda manis daripada semangkuk nasi. Tentu ramai pembaca tergamam sebab nasi adakah makanan ruji mereka.

Saya telah membuat beberapa rujukan termasuk meneliti hasil kajian yang ditularkan tersebut. Hasil kajian itu disiarkan oleh British Medical Journal pada tahun 2012 . Kajian metanalisis dan systematic review itu melibatkan lebih 350,000 peserta yang disusuli selama 4-22 tahun. Ia melibatkan 4 kajian prospektif kohort yang melibatkan beberapa negara Asia dan negara Barat. Empat negara terlibat iaitu Amerika, Australia, China dan Jepun.

Berikut adalah beberapa komen saya tentang hasil kajian tersebut:

1. Daripada segi kualiti kajian, kajian prospektif kohort bukan yang paling atas sebaliknya pada tahap 3.

2. Jenis nasi yang menjadi tumpuan di dalam kajian ini adalah nasi putih. Maklumat tentang kuantiti nasi yang diambil adalah berdasarkan kepada soal selidik secara subjektif dan sukar untuk mendapat nilai yang tepat.

3. Diagnosis diabetes diperolehi melalui aduan oleh peserta (self report) dan ini juga memberi gambaran bahawa data tentang bilangan yang menghidap diabetes ini tidak tepat.

4. Terdapat banyak lagi faktor yang meningkatkan risiko penyakit diabetes seperti pengambilan makanan dan minuman bergula yang lain, berat badan dan juga aktiviti fizikal. Data yang tepat mengenai semua perkara ini sangat sukar diperolehi.

5. Kajian ini menunjukkan pengambilan nasi putih yang berlebihan meningkatkan risiko diabetes jenis 2 terutama ke atas peduduk Asia.

6. Bagi penduduk Asia, risiko relatif (“relative risk’) mendapat diabetes untuk setiap TAMBAHAN hidangan nasi putih sehari adalah 1.11. Relative Risk 1.0 bermaksud tidak ada risiko, jadi 1.11 adalah penambahan 0.11 kali risiko ataupun 11%. Maka untuk menghilangkan risiko ini, jangan ambil nasi berlebihan.

7. Kajian ini TIDAK membandingkan mudarat kesihatan antara pengambilan nasi putih dan minuman bersoda/bergula.

Berdasarkan kepada analisa kajian yang dijalankan tersebut jelas menunjukkan terdapat banyak kelemahan. Walaupun memang terdapat petanda menunjukkan pengambilan nasi putih yang berlebihan meningkatkan risiko diabetes tetapi penyelidik tidak dapat menolak kemungkinan peningkatan ini juga disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti kurang melakukan senaman dan pengambilan makanan dan minuman lain yang tinggi kandungan gula.

Berita yang ditularkan mengenai nasi lebih merbahaya daripada minuman bersoda manis adalah lebih kepada untuk tujuan sensasi kerana ianya hanya berdasarkan kepada kajian perbandingan nilai indek glisemik yang lebih rendah di dalam air gula bersoda berbanding dengan nasi putih. Ramai penganalisa berpendapat bahawa ada agenda pihak yang berkepentingan di dalam perniagaan minuman manis bersoda dengan menularkan satu rencana yang berat sebelah. Mungkin bagi melegakan perasaan pelanggan tetap mereka ataupun memaparkan imej yang baik terhadap produk mereka. Tidak ada kajian perbandingan daripada segi kesan ke atas kesihatan di antara kedua-duanya. Malahan terdapat banyak kajian dan rencana yang menunjukkan bahawa pengambilan air soda manis meningkatkan risiko masalah kesihatan. Di antaranya adalah pengkaji Harvard telah mendapati pengambilan air manis bersoda termasuk minuman sukan (sport drink) meningkatkan risiko kematian daripada penyakit jantung, risiko kanser payudara dan kanser usus besar. Pengkaji mendapati bahawa setiap penambahan minuman bergula meningkatkan risiko kematian akibat sakit jantung sebanyak 10%. Minuman bersoda manis juga meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

KESIMPULAN

Anda boleh terus mengambil nasi jika nasi adalah makanan ruji anda setiap hari tetapi hendaklah mengambilnya dalam kuantiti yang disarankan mengikut tahap kesihatan anda. Nasi mempunyai banyak manfaat terutamanya nasi perang yang tinggi serat dan mikronutrien seperti zat besi, kalsium, mangenese dan vitamin B. Di samping sumber karbohidrat, nasi juga membekalkan lemak dan protein. Amalan pemakanan yang baik adalah seperti yang disyorkan oleh WHO iaitu makanan seimbang mengikut prinsip "healthy plate" yakni sumber karbohidrat termasuk nasi hendaklah hanya merangkumi satu perempat daripada hidangan, manakala 50% daripada makanan hendaklah daripada sayuran dan buah-buahan. Satu perempat lagi adalah daging dan sumber protein yang lain. Menghadkan tidak lebih dari dua cawan nasi sehari adalah satu cadangan yang baik. Kepada yang berkemampuan, nasi perang lebih baik daripada nasi putih.Menukar 20% nasi putih kepada nasi perang mengurangkan risiko diabetes sebanyak 16%.Kandungan karbohidrat dalam nasi putih dan perang lebih kurang sama (1 cawan = 35-50 gm Karbohidrat) tetapi kandungan serat dalam nasi perang lebih tinggi sebab itu indek glisemik beras perang lebih rendah. Anda perlu tahu berapa banyak kalori yang perlu di ambil dalam sehari dan daripada nilai tersebut berapa peratus sepatutnya datang dari karbohidrat. Terdapat pertubuhan diabetik yang mengesyorkan 50% sumber karbohidrat diambil dari whole grain dan nasi perang adalah salah satu darinya. Jadi tidak perlu untuk berhenti makan nasi jika anda memantau berapa banyak karbohidrat yang diambil dalam sehari.

Untuk mencapai kesihatan yang optima, banyak lagi faktor gayahidup sihat yang perlu diamalkan seperti mengambil cukup air (amalkan air kosong), mengurangkan pengambilan makanan serta minuman yang mengandungi gula tersembunyi, melakukan senaman yang tetap, tidur yang mencukupi, mengurangkan stress, tidak merokok, tidak minum alkohol dan lain-lain lagi. Kita mungkin patut mencontohi amalan gayahidup sihat orang Jepun di mana walaupun makanan ruji mereka juga nasi seperti kita tetapi penduduk mereka adalah di antara yang paling sihat dan mempunyai jangkahayat yang paling panjang di dunia.

Nota: Pertubuhan Diabetes Amerika mengesyorkan pesakit diabetes mendapatkan 44-46% daripada jumlah keperluan kalori daripada karbohidrat. Ini bersamaan dengan 200 gram karbohidrat jika jumlah pengambilan kalori sehari adalah 1800 kkalori. Separuh daripadanya datang dari produk whole grain. Karbohidrat ini seelok2nya diambil secara sedikit2 dalam beberapa hidangan daripada diambil sekali gus.


DDr Rushdan Noor
20hb Jun 2019







RUJUKAN

Emily A Hu, An Pan, Vasanti malik, Wi Sun. White rice consumption and risk of type 2 diabetes: Meta-analysis and systematic review. BMJ 2012;344 doi: https://doi.org/10.1136/bmj.e1454

Vasanti S. Malik, Yanping Li, An Pan, et al. Long-term consumption of sugar-sweetened and artificially sweetened beverages and risk of mortality in US adults. Circulation, 2019; DOI:10.1161/CIRCULATIONAHA.118.037401


https://www.livescience.com/50461-brown-rice-health-benefits-nutrition-facts.html
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27577106/
https://www.bmj.com/content/344/bmj.e1454
https://www.cambridge.org/core/journals/public-health-nutrition/article/rice-consumption-incidence-of-chronic-diseases-and-risk-of-mortality-metaanalysis-of-cohort-studies/A3745E58C7475450432D260A06C00EF4
https://www.ahajournals.org/doi/abs/10.1161/circ.132.suppl_3.17006
https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/food-features/rice/
https://www.asianscientist.com/2012/03/health/white-rice-associated-with-type-2-diabetes-risk-in-asian-populations-2012/
https://www.hsph.harvard.edu/news/hsph-in-the-news/eating-white-rice-regularly-may-raise-type-2-diabetes-risk/
https://www.cnbc.com/2019/03/18/harvard-researchers-say-soda-sports-drinks-increase-risk-of-dying.html


No comments:

Post a Comment