Tuesday, 22 June 2021

KEROSAKAN OTAK AKIBAT EVIRMECTIN

Ubat Evirmectin mendapat perhatian yang besar semasa pandemik Covid-19 kerana terdapat negara2 yang menggunakan ubat ini untuk merawat Covid-19. 

Setakat tulisan ini, Evirmectin masih belum diluluskan lagi penggunaannya untuk tujuan mencegah ataupun merawat Covid-19 oleh badan-badan kesihatan dan autoriti ubat2an antarabangsa seperti WHO, CDC, FDA, EMA dan lain-lain. WHO hanya membenarkannya digunakan dalam konteks kajian klinikal. Ini disebabkan bukti kajian klinikal belum lagi mencukupi untuk ianya dijadikan rawatan standard. Anda boleh membaca tulisan saya di pautan ini dan kenyataan Profesor dalam bidang Epidemiologi di sini.

Di samping bukti keberkesanan, persoalan kedua adalah benarkah Ivermectin ini selamat diambil? Ivermectin lebih banyak digunakan ke atas haiwan. Pengalaman ke atas manusia adalah di dalam merawat jangkitan parasit (Onchocerciasis volvulus dan Strongyloides stercoralis) dan kutu di beberapa buah negara seperti di Afrika. Di beberapa buah negara Eropah ianya digunakan untuk merawat kutu tetapi dalam bentuk topikal. Dalam konteks Covid-19, dos yang betul belum diketahui dengan tepat kerana di dalam kajian-kajian yang telah dilakukan, protokol rawatan dan dos ubat yang digunakan adalah berbeza-beza. Kajian yang dilakukan ke atas haiwan menunjukkan Evimectin ini perlu diberikan dalam dos yang tinggi jika hendak diberikan kepada manusia untuk kes Covid-19.

Salah satu kesan sampingan yang dilapurkan berlaku ke atas manusia adalah kerosakan saraf. 

Saya sempat merujuk satu kertas lapuran tentang kesan sampingan yang serius ini berdasarkan kepada lapuran Pharmacovigilance Centre di bawah program pemantauan ubat Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kajian ini mendapati terdapat 1,668 lapuran kesan sampingan akibat pengambilan Ivermectin. Tiga kesan sampingan yang utama adalah gatal, sakit kepala dan pening. Daripada angka itu, 426 lapuran adalah termasuk di dalam kategori kerosakan saraf ("neurological disorders") di mana 156 daripadanya dikategorikan sebagai serius. Pesakit yang mengalami kerosakan saraf ini mengambil Ivermectin untuk pelbagai sebab di mana 60 kes adalah untuk rawatan parasit.

Terdapat 28 kes mengalami kerosakan saraf yang teruk di mana Ivermectin digunakan untuk merawat penyakit selain daripada jangkitan parasit onchocerciasis. 

Di antara gejala-gejala kerosakan saraf yang dialami adalah sakit kepala, pening, keliru, hilang ingatan, tidak boleh berjalan, lemah badan, tidak sedarkan diri, sawan, tidak boleh bercakap, mengeletar, hilang keseimbangan badan, stupor, buta, koma dan kematian.

Salah satu komplikasi Ivermectin adalah kerosakan otak yang dikenali sebagai Encephalopathy. Seseorang yang mengalami encephalopathy boleh mengalami pelbagai gejala saraf seperti yang tersebut di atas dan salah satu gejala yang paling kerap adalah "altered mental state". "Altered mental state" adalah perubahan status mental yang  berlaku secara perlahan-lahan. Mudah lupa, nyanyok, emosi tak stabil kadang2 seronok/sedih/marah tanpa sebab, tak tahu waktu siang, malam, masa dan tidak kenal orang (disorientasi), hilang koordinasi pergerakan anggota badan dan tidak mampu membuat pertimbangan (judgement). Gejala-gajala ni berlaku perlahan-lahan, mungkin individu yang berkenaan tidak perasan. Jika kerosakan besar berlaku ke atas otak, Encephalopathy boleh menyebabkan sawan, koma dan kematian.

Umumnya Ivermectin sukar untuk menembusi selaput otak manusia yang normal tetapi terdapat keadaan tertentu di mana Ivermectin boleh masuk ke dalam otak seperti interaksi dengan ubat2 tertentu (ubat yang bertindak di otak, statin, ubat darah tinggi (Ca channel blocker) dan lain2), pesakit yang lebih tua lebih terdedah kepada kesan pada otak dan pesakit yang mengalami mutasi gene mdr-1.

KESIMPULAN

Ubat Ivermectin bukan sejenis ubat yang bebas daripada kesan sampingan. Di samping kesan sampingan yang ringan ianya boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius terhadap sistem saraf. Selama ini pakar perubatan menyangka kesan kerosakan otak hanya berlaku jika pesakit menggunakan Ivermectin untuk merawat parasit yang menjangkiti otak tetapi kini mereka mendapati terdapat golongan2 tertentu yang boleh mengalami kerosakan otak kerana Ivermectin lebih mudah masuk dan berkumpul di dalam otak golongan ini. Ada gejala-gejala kerosakan saraf ini yang sukar untuk dipantau dan dikesan kerana berlaku secara perlahan. Menggunakan Ivermectin tanpa indikasi yang betul boleh membawa lebih mudarat daripada manfaat, apatah lagi jika ianya digunakan untuk tujuan mencegah jangkitan.

Bukti tentang keberkesanan Ivermectin di dalam mencegah Covid-19 tidak kukuh, kajian yang dilakukan adalah sangat kecil dan berkualiti rendah jika dibandingkan dengan vaksin Covid-19. Jika vaksin hanya perlu diambil di dalam 2 suntikan dan boleh mencegah jangkitan untuk jangkamasa panjang, bagaimana pula dengan Ivermectin?. Adakah ianya perlu diambil berterusan. Banyak persoalan yang belum terjawab jika Ivermectin hendak digunakan untuk mencegah dan merawat Covid-19. Orang ramai hendaklah berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan pihak dan perawat yang mendakwa Ivermectin berkesan mencegah Covid-19 dan boleh menggantikan vaksin Covid-19.

Manakala untuk rawatan, kita masih menunggu hasil kajian yang dilakukan oleh KKM dan juga sebarang pindaan garispanduan oleh WHO dan lain-lain autoriti kesihatan antarabangsa.


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

22hb Jun 2021


Chandler RE. Serious Neurological Adverse Events after Ivermectin—Do They Occur beyond the Indication of Onchocerciasis? 2018 Feb; 98(2): 382–388.

https://www.researchgate.net/publication/318514041_Post-ivermectin_encephalopathy_in_Senegal_A_case_report

https://www.panafrican-med-journal.com/content/article/27/202/full/

https://journals.plos.org/plosntds/article?id=10.1371/journal.pntd.0009354

https://link.springer.com/article/10.1007/s40801-017-0110-0


No comments:

Post a Comment