Saturday 12 June 2021

DR.QUACK KANSER : ANCAMAN KEPADA PESAKIT KANSER


Seperti juga ubat2an dan vaksin, kaedah merawat kanser juga perlu melalui proses kajian klinikal bagi mengesahkan keselamatan dan keberkesanan. Inilah prinsip yang dipegang oleh pakar2 kanser yang beretika. Semuanya tidak lain untuk memberi pilihan paling baik kepada pesakit agar kanser mereka dapat disembuhkan, dipanjangkan hayat ataupun untuk tujuan meningkatkan kualiti hidup (dengan izin Allah). Setakat ini kaedah2 rawatan kanser yang diiktiraf oleh autoriti kesihatan dalam dan luar negara adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, terapi sasaran ("targeted therapy") dan terapi imun ("immunotherapy") ataupun gabungan antaranya. Rawatan2 ini pula hendaklah diberikan dan dipantau oleh pakar kanser/onkologi yang bertauliah. Semua kaedah rawatan ini sudah menjalani kajian klinikal menguji keberkesanan dan keselamatan. 

SIAPAKAH DR.QUACK KANSER 

Saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang wujudnya sekumpulan pengamal perubatan alternatif yang menjalankan aktiviti rawatan kanser di dalam pusat rawatan dan klinik. Mereka menggunakan rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser. Ada di antara mereka ini mempunyai sijil amalan tahunan (APC), maksudnya adalah doktor perubatan. 

Di samping itu ada juga yang bukan doktor perubatan tetapi mempunyai latarbelakang pendidikan di dalam bidang sains tulin yg lain. Jadi gelaran doktor yang diperolehi bukanlah doktor perubatan tapi boleh jadi doktor falsafah. Individu yang tidak ada latarbelakang sains pun ada yang merawat kanser. Apa-apa pun, satu perkara yang sama tentang mereka ini adalah mereka bukan Pakar Onkologi yang diiktiraf oleh KKM. Maksud Pakar onkologi yang diiktiraf adalah mereka2 yang terlatih, mendapat kredential dalam bidang kanser masing2 dan mengamalkan kaedah rawatan kanser yang standard. 

Golongan perawat kanser yang saya nyatakan di atas tadi saya gelar DR. QUACK KANSER yakni individu yang tidak berkelayakan/diiktiraf untuk merawat penyakit kanser tetapi melakukannya dengan menggunakan kaedah rawatan yang berbeza daripada rawatan2 konvensional/standard. Kaedah rawatan yang digunakan bukan sahaja TIDAK diiktiraf oleh KKM tetapi juga oleh semua pertubuhan dan institusi kanser antarabangsa yang berwibawa. 

Saya mengambil keputusan untuk mendedahkan perkara ini memandangkan aktiviti golongan ini semakin berleluasa hingga menyebabkan banyak kemudaratan ke atas pesakit kanser. Di samping kaedah rawatan yang meragukan, ada ubat2an yang digunakan pula tidak diketahui kandungannya, penggunaan bahan2 terlarang contohnya marijuana (hem) dan petua-petua yang tidak berasas. Kos rawatan yang diberikan oleh mereka pula bukanlah murah. Jadi pesakit yang menerima rawatan bukan sahaja berdepan dengan ancaman kesihatan tetapi juga kehilangan wang ringgit. 

Anda mungkin sukar mengenal mereka kerana mereka kelihatan seperti doktor perubatan, petah menyebut terma2 perubatan, memakai lencana, menggantung alat stetoskop di leher, ada yg memakai kot putih, boleh menyuntik jarum, boleh memasang branula, melakukan prosedur dan ada yang berkemahiran untuk membedah. Pendek kata di luar mereka kelihatan sama dengan doktor2 perubatan tetapi amalan mereka sudah menyimpang. 

BAGAIMANA PESAKIT KANSER BOLEH KENAL DR.QUACK KANSER 

Anda boleh mengenal mereka melalui jenis rawatan yang mereka tawarkan. Apa yang pasti kaedah2 rawatan yang ditawarkan tidak sama dengan senarai rawatan kanser konvensional yang saya sebutkan di atas walaupun ada yang mengunakan istilah yang sama tetapi sebenarnya merujuk kepada produk yang berbeza. Jika anda dirujuk kepada perawat yang mengaku boleh merawat kanser dengan ubat2, produk dan kaedah2 rawatan seperti di bawah, maka mereka ini Dr. Quack Kanser: 

1. Infusi Vitamin C 

2. Rawatan produk2 antioksidan
 
3. Vitamin2 dan suplemen (sebahagian dari cocktail rawatan)
 
4. Enema Teh Herba ( Pelawas teh), enema kopi 

5. Minyak Ganja/Marijuana (Hemp oil), Krim Ganja (Hemp cream), Ekstrak ganja 

6. Vitamin B17 ( sebenarnya bukan vitamin) ataupun Laetril/amygdalin, biji aprikot 

7. Jus durian belanda, jus peria , juice plus dan lain2 

8. Ramuan daun durian belanda dan daun jambu batu (direbus) 

9. Holy basil, Magic drop (tak pasti kandungan) 

10. Essential oil, minyak castol 

11. Minyak urut terapi imun ( Immunotherapy massage oil) 

12. Inflammatory control plus ( tak pasti apa bahan yang ada di dalam produk ini, boleh jadi steroid) 

13. Unicelullar powder, serbuk Moringa 

14. Rawan jerung (shark cartilage) 

15. Air beralkali 

16. Air cholophyll
 
17. Ubat-ubat herba, akar kayu, misai kucing, belalai gajah, daun rerama dan lain-lain
 
18. Terapi Ozone , terapi magnetik, terapi cahaya, terapi sel, terapi oksigen, hyperbaric oxygen therapy, chiropractic, bekam , homeopati, naturopati, dan lain-lain 

19.Diet khusus mengikut peringkat kanser , ketogenik diet, terapi metabolik , puasa, intermittent fasting, diet tanpa gula, diet alkali , Gerson therapy, diet makrobiotik, Gonzalez protocol dan lain-lain

20. Petua-petua seperti jangan ambil gula sebab gula ransang kanser, hanya ambil makanan organik sahaja, taksub air/makanan beralkali, jangan makan makanan berasid, tak boleh dibedah atau biopsi dan lain-lain nasihat yang pakar kanser tidak pernah lakukan. 

(Terima kasih kepada Dr. Mastura Md Yusof , Pakar Onkologi, Pantai Medical Centre yang menyumbang maklumat dan senarai amalan2 Dr.Quack di atas)

Senarai produk dan amalan yang dinyatakan di atas tidak semestinya untuk membunuh sel kanser (kata mereka), ada yang kononnya untuk memulihkan badan, meningkatkan sistem imun, memberi nutrient, merawat gejala dan lain-lain. Kebanyakannya adalah produk di bawah kategori herba, tradisional dan suplemen.

Jika ada yang tidak tersenarai di atas, anda boleh tanya pakar kanser/onkologi yang diiktiraf oleh KKM untuk kepastian, jangan pula tanya Dr.Quack. Kalau tanya Dr.Quack tentulah dia akan berkata inilah rawatan paling baik, semulajadi, kurang kesan sampingan dan lebih berkesan. Sebenarnya kaedah2 rawatan yang tersebut di atas bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai rawatan kanser utama tetapi ada di antaranya boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Apabila anda ditawarkan dengan mana-mana kaedah rawatan di atas, anda patut meragui kewibawaan dan kelayakan mereka.Tidak kisahlah apa saja gelaran yang mereka bawa (Prof, Dr, dll), mereka tetap Dr.Quack Kanser. Amalan merawat kanser menggunakan kaedah2 di atas juga dikenali sebagai "CANCER QUACKERY", kos kepada pesakit adalah tinggi sedangkan modalnya kecil sebab ubat2nya murah, jadi ia adalah satu bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan. MENGAPA ANDA PERLU TOLAK RAWATAN ALTERNATIF SEBAGAI RAWATAN UTAMA KANSER Kanser adalah penyakit yang boleh merebak jika tidak dirawat dengan betul. Jadi peluang paling baiik adalah rawatan pertama di mana jika menggunakan kaedah yang tidak terbukti berkesan dan selamat, kanser boleh bertukar dari peringkat awal kepada peringkat lewat. Apabila kanser bertukar jadi peringkat lewat, kita tak boleh nak kembalikannya balik ke peringkat awal. Rawatan jadi lebih susah dan peluang sembuh makin tipis, kadar kematian lebih tinggi. Sudah banyak kajian yang dilakukan mendapati pesakit-pesakit kanser yang dirawat dengan kaedah rawatan alternatif mempunyai peluang hidup dan sembuh yang lebih rendah. Hasil kajian yang disiarkan dalam Journal of NCI mendapati pesakit kanser yang dirawat dengan rawatan alternatif sebagai rawatan utama mempunyai kadar kematian 250% lebih tinggi daripada rawatan konvensional. Malahan ada yang sampai lebih 400% lebih tinggi kadar kematian. Joseph K et al menjalankan analisis ke atas pesakit kanser yang enggan dirawat dengan rawatan konvensional sebaliknya memilih rawatan alternatif mendapati kadar hidup selama 5 tahun hanya 43% berbanding dengan 82% pesakit yang dirawat dengan rawatan moden. Banyak lagi hasil kajian yang saya tidak nyatakan kerana panjang. Jika berlaku apa2 kesan sampingan serius, ianya tidak akan dilindungi oleh insuran. Kos rawatannya bukannya murah, malahan boleh menjangkau berpuluh ribu ringgit. Tidak sedikit cerita2 sedih yang disimpan oleh pakar-pakar kanser mengenai pesakit2 malang yang dirujuk kepada mereka setelah gagal dirawat oleh Dr.Quack, jika ada kesempatan saya akan kongsikan dengan anda satu hari nanti.



ADAKAH PAKAR ONKOLOGI MENOLAK TERUS RAWATAN ALTERNATIF? 

Jawapannya TIDAK tetapi BERSYARAT iaitu pesakit kanser hendaklah dirawat sepenuhnya dengan rawatan konvensional/standard dahulu. Untuk pesakit tertentu, sampai satu tahap pakar onkologi terpaksa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan apabila mendapati mudaratnya lebih besar dari manfaat dan kanser tidak dapat dipulihkan. Dalam keadaan ini barulah pesakit dibenarkan mencuba kaedah lain. Semasa memilih kaedah tersebut, dapatkan nasihat Pakar Onkologi terlebih dahulu samada kaedah itu selamat dan berbaloi utk diamalkan. Syarat kedua, ada beberapa jenis rawatan tradisional yang terpilih digunakan sebagai kaedah sampingan ataupun komplimentari bersama dengan rawatan utama. Ini dikenali sebagai "rawatan integratif" tapi hanya untuk tujuan mengurangkan gejala dan tekanan perasaan. 

KESIMPULAN 

Aktiviti (sindiket, perkataan yg lebih tepat) Dr.Quack Kanser yang memangsakan pesakit kanser sedang berleluasa dan mereka sangat licik. Saya berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan golongan ini yang pada saya adalah ancaman besar ke atas usaha KKM meningkatkan mutu rawatan pesakit kanser di negara kita. Peluang paling baik untuk anda pulih dari kanser adalah menerima rawatan awal dan rawatan yang pertama dari Pakar Kanser/Onkologi yang bertauliah. Jika anda tersilap pilih perawat dan kanser merebak, anda tidak akan dapat berundur ke belakang kerana nasi sudah menjadi bubur. Anda dan ahli keluarga anda mungkin akan menyesal seumur hidup. Berwaspada dan sentiasa peka dengan kewujudan satu "jenayah pengubatan kanser" yang sedang berkembang pesat di negara kita. Samada anda ingin percaya ataupun tidak, terpulang kepada anda, saya sudah menjalankan tanggungjawab menyampaikan maklumat. Saya juga bukan mengagung2kan rawatan konvensional kerana ia juga bukan sempurna tetapi adalah PILIHAN YANG LEBIH BAIK. 

 Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor 
 Pakar Perunding Ginekologi Onkologi 12hb Jun 2021


RUJUKAN 

1. Zulkifli AF, Islam T, Mohd Taib NA, et al. Use of Complementary and Alternative Medicine Among Newly Diagnosed Breast Cancer Patients In Malaysia: An Early Report from the MyBCC study. Integrative Cancer Therapy, 2018;17(2):312-321 

 2. Johnson SB, et al. Use of Alternatif Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published August 2017.

3. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.

4. Han E, et al. Alternatif therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12
5. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU

6. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k

7. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc

8. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/

9. https://www.minda2tinta.com/2020/06/pesakit-kanser-yang-dirawat-dengan.html?fbclid=IwAR1H7Jdk5D5UOM6tZBdMSrtxSE22rgaBndhO4gSLM7_HQddvbxN5iqFWhKc

1 comment:

  1. Assalamualaikum doktor, saya ada membaca yang biji aprikot, B17, amygdalin telah dilarang penggunaannya di US oleh FDA. Tetapi, carian di website NPRA dan farmasi - farmasi kelihatan banyak produk berasaskan aprikot ini diluluskan dan dijual. Bagaimanakah NPRA boleh meluluskan produk berasaskan biji aprikot ini di Malaysia?

    ReplyDelete