Thursday, 29 May 2025

APABILA KEMBAR ANDA BERADA DI DALAM TUBUH ANDA : FENOMENA CHIMERISM

 

Salah satu fenomena pelik dan unik adalah proses yang dinamakan CHIMERISME yakni percampuran gene atau DNA berlainan di dalam satu organisma. Organisma tersebut mungkin seekor haiwan ataupun seorang manusia. Organisma yang mempunyai percampuran DNA ini dikenali sebagai CHIMERA. Chimera adalah makhluk mitos orang Greek yang mempunyai kepala singa, badannya kambing dan ekornya ular. 

Jika kita mengambil mana2 tisu badan Chimera dan melakukan ujian DNA, kita akan dapati terdapat tisu yang sel2nya mempunyai DNA yang berbeza di mana seorang individu mempunyai sekurang2nya 2 set DNA. Individu yang normal sepatutnya mempunyai hanya satu set DNA, separuh dari ibu dan separuh lagi dari bapa. Set DNA inilah identiti kita. Individu chimera mempunyai dua set DNA yang berbeza, contohnya 1 set DNA di sel2 kulit, manakala satu lagi set DNA yang berbeza di tisu atau organ2 selainnya.

Bayangkan jika satu set DNA berbeza terdapat pada organ yang menghasilkan benih samada sperma untuk lelaki ataupun telur (ovum) untuk wanita. Manakala sel2 badan yang lain mempunyai set DNA yang berbeza, seolah2 individu ini  terdiri dari 2 individu berbeza di dalam tubuhnya. Individu ini adalah chimera. Apabila lelaki atau wanita chimera ini berkahwin dan benih mereka (yang berbeza DNA dengan lain2 bahagian badan) bersenyawa dengan benih pasangan mereka yang normal, anak yang dihasilkan nanti tentu tidak mempunyai DNA ibu atau ayah chimera ini, seolah2 bukan anak sebenar mereka. Sebaliknya, ujian DNA ini mengesahkan anak pasangan mereka yang normal.



BAGAIMANA DNA ASING BOLEH UJUD DI DALAM SESEORANG INDIVIDU

Persoalannya dari mana bahan genetik atau DNA asing ini boleh ujud di dalam tubuh seseorang? Salah satu mekanisma di mana bahan genetik asing ditemui dalam sel2 tubuh seseorang adalah apabila kembarnya yang sepatutnya terpisah bercantum dengannya ketika peringkat awal janin dinamakan zigot. Dua zigot yang bercantum ini membesar me jadi seorang individu yang di dalamnya mengandungi dua set DNA yang berbeza. Ini adalah salah satu mekanisma yang menyebabkan berlakunya Chimerism dikenali sebagai "Fusion Chimerism". Sel2 dan tisu2 yang berbeza bahan genetik ini boleh ujud di mana2 organ badan termasuk organ yang menghasilkan benih ataupun gonad.

Hanya kembar bukan seiras ("dizygotic twin") sahaja boleh menyebabkan chimerisme, tidak kira bilangan kembar. 

Jika DNA berbeza itu ujud pada tisu2 yang membentuk rupa fizikal luar seseorang, maka ianya boleh dilihat dari luar, contohnya warna mata, warna rambut , tompokan warna kulit yang berbeza dan lain2. Lihat gambar yang dikepilkan di bawah iaitu Chimera kucing yang berbeza warna bulu pada muka dan seorang kanak2 yang mempunyai warna mata berbeza. Ada juga kes di mana ujud campuran organ kemaluan lelaki dan wanita kepada seseorang akibat chimerisme. Terdapat juga individu yang mempunyai DNA yang berbeza dalam sel darah merah.

Selain dari chimerisme melalui cantuman kembar ini, ada beberapa lagi mekanisma bagaimana DNA asing boleh ujud dalam diri seseorang. Kadangkala satu kembar tidak dapat hidup dan sel2 dari badannya boleh berpindah kepada kembar yang hidup jika uri mereka bercantum. Ini dikenali sebagai "Twin Chimerisme". Sel2 fetus boleh masuk ke dalam aliran darah ibu semasa hamil, begitu juga sebaliknya. Mekanisma ini dikenali sebagai "Microchimerism". Saya telah menulis tentang tajuk ini di dalam posting yang lepas di mana sel2 fetus yang ditemui di dalam darah ibu ini boleh digunakan untuk kajian mengesan kecacatan atau kelainan genetik bayi dalam kandungan. 

Satu lagi kaedah berlakunya chimerisme adalah rawatan pemindahan sum2 tulang ke atas pesakit kanser yang sum2 tulangnya sudah dimusnahkan seperti yang dialami oleh pesakit leukemia. Sum2 tulang penderma ini mengandungi sel2 stem darah merah yang akan menghasilkan sel2 darah merah yang DNAnya sama seperti penderma tapi berbeza dengan pesakit. Pesakit ini akan terus membawa sel2 darah yang bukan dari bakanya sendiri sehingga akhir hayat.

Chimerism boleh berlaku secara semulajadi dan insiden kejadiannya tidak diketahui, tetapi berdasarkan kepada hipotesis, ianya mungkin agak tinggi sehingga 10% dari populasi. Mengikut National Society of Genetic Counselor, majoriti kes chimerism yang berlaku ke atas manusia tidak dikesan ataupun individu berkenaan tidak perasan.


KES-KES BENAR CHIMERISM YANG BERPROFIL TINGGI 

KES 1 : Seorang wanita bernama Karen sedang membuat persediaan untuk mendapatkan penderma buah pinggang. Ujian DNA dilakukan ke atas ahli keluarga serta anak2 beliau.  dan mendapati dua dari tiga anak beliau tidak mempunyai pertalian genetik dengan beliau. 

KES 2 : Seorang wanita bernama Lydia mengambil keputusan untuk berpisah dengan temannya. Mereka mempunyai 2 orang anak dan Lydia sedang mengandung anak ke-3. Untuk tujuan mendapatkan bantuan dan hak penjagaan anak2, mereka melakukan ujian DNA dan Lydia terkejut kerana kedua2 anak beliau tidak memiliki DNA Lydia, dengan kata lain bukan anak biologi beliau. Ujian ulangan sebanyak 3 kali dilakukan tetapi mendapat keputusan yang sama sehingga sampai ke perhatian hakim yang mengetahui kes Karen. Hakim mengarahkan seorang pemerhati mengikuti proses kehamilan dan kelahiran anak ketiga Lydia. Dia mengesahkan Lydia melahirkan anak itu tetapi bila ujian DNA dilakukan, keputusan yang sama diperolehi dan ujian lanjut ke atas  Lydia mengesahkan beliau mengalami Chimerism. (Video di ruangan komen).

KES 3 : Seorang pemuda dari California gagal ujian DNA sebagai bapa kepada anak yang kumpulan darahnya adalah AB sedangkan pemuda itu dan isterinya mempunyai darah kumpulan  A. 

KES 4 : Ujian DNA ke atas air mani dari satu kes jenayah seks pada tahun 2004 menunjukkan persamaan dengan DNA seorang banduan yang masih dipenjarakan semasa jenayah seks itu dilakukan. Rupa2nya banduan ini pernah menderma sum2 tulangnya kepada adiknya yang kemudiannya didapati penjenayah yang melakukan jenayah seks itu. 

KES 5 : Pada tahun 2008, seorang lelaki mati kemalangan jalanraya di Seoul, Korea. Ujian DNA untuk mengecam identiti mangsa dilakukan. Analisis DNA ke atas sel darah dan dari beberapa organ lain mendapati beliau adalah wanita. Kemudiannya pihak penyiasat mendapati mangsa pernah menerima pemindahan sum-sum tulang dari anak perempuannya. 


Dato' Dr Rushdan Noor

31hb Mei 2025





RUJUKAN


1.Britannica. Chimera. Retrieved 8 August 2022 from 

2. Cambridge Dictionary. Chimera. 

3. Anderson D et al. The use of skin grafting to distinguish between monozygotic and dizygotic twins in cattle. Heredity 5, 379–397 (1951). 

4. National Society of Genetic Counselors. Chimerism Explained: How One Person Can Unknowingly Have Two Sets of DNA. Retrieved 8 August 2022 from 

5. Wenk RE. A review of the biology and classification of human chimeras. Transfusion. 2018 Aug;58(8):2054-2067. doi: 10.1111/trf.14791. Epub 2018 Aug 28. PMID: 30153329. 

6.Madan K. Natural human chimeras: A review. Eur J Med Genet. 2020 Sep;63(9):103971. doi: 10.1016/j.ejmg.2020.103971. Epub 2020 Jun 18. PMID: 32565253. 

7. Boddy AM et al. Fetal microchimerism and maternal health: a review and evolutionary analysis of cooperation and conflict beyond the womb. Bioessays. 2015 Oct;37(10):1106-18. doi: 10.1002/bies.201500059. Epub 2015 Aug 28. PMID: 26316378; PMCID: PMC4712643. 

8.Fjeldstad HE et al. Fetal microchimerism and implications for maternal health. Obstet Med. 2020 Sep;13(3):112-119. doi: 10.1177/1753495X19884484. Epub 2019 Dec 6. PMID: 33093862; PMCID: PMC7543167. 

9.Bianchi DW and Robert E. Gross Lecture. Fetomaternal cell trafficking: a story that begins with prenatal diagnosis and may end with stem cell therapy. J Pediatr Surg. 2007 Jan;42(1):12-8. doi: 10.1016/j.jpedsurg.2006.09.047. PMID: 17208534. 

10. Kara RJ et al. Fetal cells traffic to injured maternal myocardium and undergo cardiac differentiation. Circ Res. 2012 Jan 6;110(1):82-93. doi: 10.1161/CIRCRESAHA.111.249037. Epub 2011 Nov 14. Erratum in: Circ Res. 2015 Nov 6;117(11):e91. PMID: 22082491; PMCID: PMC3365532. 

11.Landy HJ and Keith LG. The vanishing twin: a review. Hum Reprod Update. 1998 Mar-Apr;4(2):177-83. doi: 10.1093/humupd/4.2.177. PMID: 9683354. 

12.Healthline. What are the symptoms of chimerism? Retrieved 8 August 2022 from 

13.Blouin AG et al. A practical guide to chimerism analysis: Review of the literature and testing practices worldwide. Hum Immunol. 2021 Nov;82(11):838-849. doi: 10.1016/j.humimm.2021.07.013. Epub 2021 Aug 14. PMID: 34404545. 

14.Yu N et al. Disputed maternity leading to identification of tetragametic chimerism. N Engl J Med. 2002 May 16;346(20):1545-52. doi: 10.1056/NEJMoa013452. PMID: 12015394. 

15. ABC News. She’s her own twin. Retrieved 9 August 2022 from 

16. Sheets KM et al. A case of chimerism-induced paternity confusion: what ART practitioners can do to prevent future calamity for families. J Assist Reprod Genet. 2018 Feb;35(2):345-352. doi: 10.1007/s10815-017-1064-6. Epub 2017 Oct 23. PMID: 29063500; PMCID: PMC5845036.

Thursday, 22 May 2025

PERUBATAN FUNGSIONAL ("FUNCTIONAL MEDICINE") : ANTARA REALITI DAN KONTROVERSI



Dalam banyak kaedah rawatan alternatif, perubatan fungsional ("functional medicine") mungkin boleh dianggap agak baru dikembangkan, bermula sekitar tahun 1990an. Hingga ke hari ini perubatan fungsional (PF) masih dianggap satu bidang yang kontroversial.

Walaupun ada yang berpendapat idea pendekatan PF ini bermula pada tahun 1900an oleh James Mackenzie, pengasas atau yang mempopularkan perubatan fungsional masakini adalah Dr.Jeffrey Bland, seorang ahli biokimia tetapi bukan seorang doktor perubatan. Beliau mendapat ijazah sarjana dalam bidang kimia dan biologi, kemudian memperolehi PHD di dalam bidang kimia bio-organik dari Universiti of Oregon. Jeffrey juga mempunyai kecenderungan dalam bidang nutrisi klinikal dan perubatan molekular. Pada tahun 1991 beliau dan isteri menubuhkan IFM singkatan kepada Institute For Functional Medicine.

Berbeza dengan pengamal perubatan konvensional (PK), pengamal PF boleh terdiri dari pelbagai latarbelakang kerjaya seperti jururawat, pegawai dietetik, pengamal naturopati, pengamal kiropraktik, pegawai farmasi dan ada juga doktor perubatan, asalkan mereka telah melalui program latihan dan memiliki sijil.

Kita boleh mengenali individu2 yang cenderung kepada PF melalui pendirian mereka terhadap rawatan penyakit khususnya penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan lain-lain. Mereka seringkali mendakwa ubat2 hospital tidak merawat punca penyakit tetapi hanya melegakan gejala. Ubat hospital juga dianggap merbahaya dan boleh merosakkan organ. Mereka lebih cenderung mengambil pendekatan tanpa ubat, tetapi sanggup melakukan ujian2 canggih yang mahal dan menggantikan ubat dengan rawatan suplemen, herba dan produk kesihatan yang mereka percayai.

Pengamal PF mendakwa memilih pendekatan merawat punca penyakit ("root cause"), tumpuan kepada individu ("personalized care") dan bersifat holistik. Mereka menganggap pendekatan mereka lebih baik dan lebih berkesan dari PK. Persoalannya adakah dakwaan itu benar, jadi rencana ini akan mengupas isu ini dan membuat perbandingan amalan perubatan fungsional dan perubatan konvensional (moden).

MERAWAT PENYAKIT: MENGAPA AMALAN PERUBATAN KONVENSIONAL LEBIH BERKESAN, SELAMAT DAN PRAKTIKAL

Perubatan Konvensional atau moden (PK) telah ujud begitu lama dan melalui fasa perubahan menjadi bertambah baik dari masa ke semasa. Prinsip amalannya adalah berasaskan bukti saintifik ("Evidence based medicine (EBM"), di samping menerima beberapa amalan perubatan komplimentari yang terpilih. Walaupun PK tidak sempurna dan masih perlu penambahbaikan, namun jika dibandingkan dengan pendekatan2 lain ataupun rawatan alternatif yang lain (termasuk PF), pendekatan PK mempunyai lebih banyak kelebihan.

Penyakit kronik berlaku akibat dari banyak faktor melibatkan gayahidup, diet, genetik, alam sekitar, kesan toksin, keradangan kronik, sistem imun, masalah mikrobiom, hormon dan lain2. Apabila seseorang mengidap penyakit kronik, penyakit itu dianggap kekal dan tidak boleh kembali seperti sediakala. Kembali sediakala itu membawa maksud sudah tidak sakit dan tidak memerlukan apa2 intervensi (termasuk kaedah tanpa ubat). Jika penyakit berada di peringkat awal, ia mungkin boleh dikawal dengan kaedah tanpa ubat (untuk penyakit2 tertentu), tetapi jika pesakit kembali dengan tabiat lama atau terdedah kepada punca penyakit, manifestasi penyakit akan kembali. Malahan pesakit yang asalnya dirawat dengan ubat boleh berhenti mengambil ubat jika menjalani kaedah kawalan pemakanan dan ubahsuai gaya hidup yang konsisten. Istilah yang digunakan untuk keadaan ini adalah "remission". Tidak semua pesakit dan penyakit boleh dirawat dengan kaedah tanpa ubat kerana ada penyakit tertentu dan pada tahap2 tertentu, pesakit memerlukan kaedah tambahan yang lebih berkesan iaitu melalui ubat2an ataupun menjalani prosedur.

Tidak tepat kalau mendakwa semua amalan PK tidak merawat punca tetapi hanya mengurangkan gejala. Kajian2 praklinikal dan klinikal yang tidak terkira banyaknya memang mencari punca penyakit dan kaedah rawatan yang berkesan. Ini dibuktikan dengan ujudnya disiplin patologi (kaji penyakit) dan pengimejan diagnostik. Contohnya apabila mereka merawat jangkitan penyakit, mereka melakukan ujian mengesan organisma penyebab dan merawat dengan ubat yang dapat menghapuskan organisma itu.

Walau bagaimanapun, tidak semua penyakit diketahui puncanya. Penyakit kronik adalah kompleks dan sukar untuk mengesan punca2nya dengan tepat. Ada juga faktor2 yang awalnya disangkakan punca penyakit tetapi sebenarnya hanya kaitan tidak langsung ataupun assosiasi dan bukan hubungan sebab-akibat ("causal relationship").

Jadi mereka mengkaji manifestasi penyakit dan mencari petunjuk yang boleh dikaitkan dengan tahap kawalan penyakit dan kesan sampingan ke atas organ badan. Contohnya penyakit diabetes di mana kerosakan organ badan yang berlaku mempunyai hubungan dengan kandungan gula darah yang tidak terkawal. Jadi kaedah mengawal penyakit diabetes adalah memastikan kandungan gula darah sentiasa terkawal pada julat2 yang ditentukan. Melalui kajian klinikal, mereka mengenalpasti petunjuk2 ini dan kaedah2 yang berkesan, selamat, praktikal dan "cost-effective" untuk mengawal gula darah. Di samping perubahan gayahidup dan diet, kaedah yang terbukti berkesan mengawal gula darah adalah ubat seperti insulin dan metformin. Di samping gula darah, mereka juga mengesan lain2 petunjuk yang dijadikan kayu ukur untuk mengesan kerosakan organ badan pada peringkat awal agar boleh digunakan untuk memantau fungsi organ2 tersebut. Begitu juga dengan penyakit darah tinggi yang kadangkala sukar untuk mengesan punca sebenar secara tepat, maka tahap tekanan darah digunakan untuk menilai kawalan penyakit dan ujian fungsi organ2 digunakan untuk memantau penyakit. Ubat darah tinggi diberikan apabila ada alasan yang munasabah berdasarkan kepada garispanduan klinikal.

PK mempunyai rujukan yang standard di dalam amalan mereka iaitu garispanduan amalan klinikal (CPG). CPG dihasilkan oleh Pakar2 menggunakan hasil kajian klinikal yang terbaik di mana protokol penyiasatan dan rawatan akan disediakan. CPG ini akan menjadi rujukan pengamal PK dan dengan pendekatan yang standard, rawatan lebih seragam, sistematik dan mudah untuk dilakukan audit untuk tujuan penambahbaikan.

Ubat2 yang digunakan untuk mengawal penyakit sudah diuji keberkesanan dan keselamatannya. Hasil kajian juga telah mengesahkan dengan kawalan penyakit yang baik melalui ubat2an ini, kerosakan organ dapat dielakkan dan jangkahayat pesakit dapat dipanjangkan. Disamping ubat2 ini sudah terbukti berkesan, pendekatan menggunakan ubat ini juga lebih praktikal dan mendapat hasil yang lebih cepat. Untuk jangkapanjang ianya juga lebih murah dan mudah dipantau berbanding dengan kaedah yang lebih konservatif serta melibatkan ujian2 canggih yang mahal, proses yang lebih rumit dan kos yang lebih tinggil seperti yang dilakukan oleh pengamal PF.

Perubatan konvensional juga sangat berkesan untuk merawat kes2 kecemasan dan akut yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit seperti kes serangan jantung, jangkitan kuman yang serius, kemalangan dan lain2 kecemasan yang mengancam nyawa. Justeru, PK menyediakan perkhidmatan ke atas lebih banyak jenis penyakit dan juga masalah2 kesihatan samada fizikal mahupun mental.

PK juga tidak menolak pendekatan "patient-centred care" yang holistik kerana ini adalah sebahagian dari pakej rawatan yang sudah lama diamalkan. Prinsip merawat pesakit dan bukan penyakit. Pesakit yang berbeza mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza bergantung kepada jenis penyakit, tahap penyakit dan pengaruh dari aspek psikososial. Keputusan untuk merawat dan jenis rawatan juga melibatkan penglibatan pesakit di dalam membuat keputusan. Mungkin kaedah pemilihan dan intervensi ke atas pesakit berbeza dari yang diamalkan oleh pengamal PF

PK bersetuju dengan pendekatan tanpa ubat seperti menjaga makanan, gaya hidup sihat, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi, tidak merokok dan lain2 amalan yang terbukti berkesan dan selamat. Dari aspek ini, ada amalan dari PF yang selari dengan amalan pengamal PK. PK juga tidak menolak menggunakan pendekatan tanpa ubat untuk merawat penyakit kronik yang masih awal dan ringan dengan syarat2 tertentu. Walau bagaimanapun tidak semua pesakit dan penyakit sesuai ataupun mampu untuk dirawat dengan kaedah ini dan mereka memerlukan ikhtiar tambahan iaitu ubat2an ataupun menjalani prosedur rawatan.

MENGAPA AMALAN PERUBATAN FUNGSIONAL KONTROVERSI

Prinsip merawat punca penyakit memang sangat menarik dan alangkah baiknya jika kita dapat mengenalpasti dengan tepat punca semua jenis penyakit. Hakikatnya, semua penyakit2 terutama penyakit kronik berpunca dari interaksi banyak faktor dan banyak juga penyakit yang belum ditemui puncanya. Contohnya penyakit kanser, di mana 30% daripada kanser tidak diketahui puncanya. Tidak kurang juga faktor2 yang asalnya dianggap punca penyakit tetapi kemudiannya didapati tidak ada kaitan sebab dan akibat ("causal relationship"). Jika ditemui punca sekalipun, persoalan kedua adakah kaedah merawat itu benar2 berkesan? Maka prinsip merawat punca penyakit ini hanya sedap didengar tetapi sukar untuk dilaksanakan.

Di antara faktor2 yang dikaitkan dengan punca penyakit yang sering diwar2kan oleh pengamal PF adalah faktor genetik, gaya hidup, pemakanan, tekanan/stres, toksin persekitaran, keradangan, mikrobiom, hormon dan lain2. Jadi mereka melakukan ujian2 untuk mengukur petunjuk2 (markers) kepada punca2 ini. Ujian2 ini mahal dan terdapat isu jika dilakukan semberono kerana masalah ketepatan (sensitiviti, spesifisiti), tidak spesifik, nilai yang normal tidak semestinya petunjuk tidak ada penyakit, nilai yang tinggi pula boleh berlaku di dalam keadaan lain dan boleh menyebabkan tindakan lanjut yang berlebihan. Ada juga ujian2 ini lebih sesuai digunakan di dalam penyelidikan.

Perubatan fungsional mendakwa menggunakan pendekatan merawat punca penyakit tetapi disebabkan oleh limitasi dari segi pengetahuan tentang punca penyakit, maka banyak intervensi ataupun tindakan lanjut tidak berasaskan kepada prinsip EBM. Berlaku amalan2 pseudosains dibawa masuk dan menjadi sebahagian dari remedi untuk merawat penyakit.

Setakat ini WHO, KKM, NHS (UK), NIH (US), NCCIH dan beberapa lagi organisasi kesihatan berwibawa belum mengiktiraf perubatan fungsional secara resmi. Justeru, jika pun ada latihan atau sijil, ianya tidak terpakai untuk digunakan sebagai lesen melakukan amalan di bawah organisasi2 ini, walaupun terdapat amalan tertentu yang tidak ditolak. Di bawah akta 775 Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM), Malaysia, perubatan fungsional juga tidak tersenarai.

Kontroversi tentang perubatan fungsional memang wujud, dan ia kerap menjadi perdebatan di kalangan penyelidik dan tokoh perubatan. Berikut beberapa isu utama yang sering dibangkitkan:

1. Kurangnya Bukti Klinikal yang Kukuh

Banyak kritikan menyatakan bahawa beberapa pendekatan dan ujian dalam perubatan fungsional masih kurang disokong oleh bukti kajian saintifik berskala besar seperti mana yang dikehendaki oleh amalan berasaskan bukti ("evidence-based medicine" (EBM).

Sesetengah rawatan atau suplemen yang digunakan tidak melalui ujian klinikal terperinci dan saintifik yang cukup. Terdapat produk2 kesihatan yang didakwa untuk merawat punca dan gejala penyakit tidak melalui kajian klinikal sebagaimana ubat2 yang digunakan di dalam perubatan konvensional. Kajian klinikal bukan sahaja penting untuk menentukan keberkesanan tetapi juga keselamatan.

Terdapat kajian klinikal yang menggunakan makanan semulajadi dan suplemen tetapi kesan jangkapanjang terhadap risiko serangan jantung, angin ahmar dan kematian tidak diperolehi. Setakat mengurangkan kolesterol darah sahaja tidak memadai jika kajian itu tidak dapat membuktikan kesan jangkapanjang tadi. Rujuk kajian terhadap fitosterol di sini.

Beberapa istilah perubatan yang tidak diiktiraf oleh pengamal PK digunakan oleh sebahagian pengamal PF seperti suplemen detok, "leaky gut syndrome", adrenal fatique, ujian sensitiviti makanan IgG, "functional testing" dan lain-lain. Istilah2 ini tidak digunakan secara resmi oleh komuniti ahli sains serta penyelidik dari bidang PK.

2. Penggunaan Ujian Diagnostik yang meragukan

Ujian seperti sensitiviti makanan IgG, ujian mikrobiom komersial, ujian alahan, ujian toksikologi, ujian tahap insulin darah, hormon, ujian antioksidan, ujian tinja dan ujian genetik kadang-kadang dianggap kontroversi kerana ketepatan dan relevansinya (aplikasi klinikal) masih dipertikaikan oleh pakar perubatan konvensional. Ada yang menganggap ujian ini boleh menyebabkan diagnosis berlebihan atau rawatan tidak perlu, di samping kos yang tinggi dan membebankan pengguna. Ujian yang dilakukan semberono juga membazirkan wang jika hasil ujian itu tidak mempunyai aplikasi klinikal yang boleh memanfaatkan pesakit.

3. Risiko Overclaim dan Janji Melampau

Sesetengah produk perubatan fungsional didakwa memenuhi kriteria produk tuntutan berlebihan ("overclaim"), seperti menyembuhkan banyak penyakit kronik berat dengan berkesan atau tanpa rawatan konvensional. Meremeh2kan kaedah rawatan PK boleh menjatuhkan reputasi PK. Ini boleh menimbulkan risiko kesihatan jika pesakit meninggalkan rawatan perubatan yang standard. Ada pesakit disarankan untuk berhenti mengambil ubat dan berpindah kepada rawatan perubatan fungsional.

4. Kurangnya Pengiktirafan yang Formal dan Latihan yang standard

Perubatan fungsional belum diiktiraf secara rasmi sebagai satu cabang perubatan di banyak negara, termasuk Malaysia, menyebabkan kekurangan regulasi dan standard profesional. Ini membawa risiko variasi kualiti rawatan dan pengamal yang tidak bertauliah. Di samping itu amalan yang tidak mempunyai standard serta pemantauan ini akan mendedahkan pesakit kepada penipuan dari pengamal yang tidak bertanggungjawab. Berbeza dengan pengamal PK yang menerima latihan secara formal, standard dan sistematik, pengamal PF tidak mempunyai program latihan seumpama itu menyebabkan kaedah rawatan berbeza2. Yang lebih membimbangkan adalah jika ujudnya individu yang mendakwa pakar di dalam bidang perubatan fungsional sedangkan beliau tidak berkelayakan.

5. Isu Kos, Kebolehcapaian dan Praktikaliti

Rawatan perubatan fungsional memerlukan kos dan mungkin tidak ditanggung syarikat insurans, menjadikannya satu perkhidmatan yang mahal dan ramai pesakit yang tidak mampu. Tambahan pula pendekatan mengubah gaya hidup, mengurangkan stres, mengawal makanan dan menjaga kesihatan mental tanpa ubat ini memakan masa yang lebih panjang serta usaha yang lebih keras dan konsisten, maka kemungkinan pesakit tidak dapat meneruskan rawatan lebih tinggi. Pendekatan yang digunakan memerlukan lawatan susulan dan ulangan ujian2 yang lebih kerap. Jadi ujud isu kewangan, praktikaliti dan kebolehcapaian ("assesibility").

6. Terlalu taksub mencari punca penyakit adalah sukar kerana faktor2 yang telah dan akan diterangkan dengan lebih terperinci. Ikuti penerangan di bawah.

MENGAPA PENDEKATAN MERAWAT PUNCA PENYAKIT SUKAR DILAKSANAKAN DAN BUKAN UNTUK SEMUA PESAKIT

Sehingga kita mempunyai maklumat yang lengkap dan tepat tentang punca semua jenis penyakit serta kaedah2 yang berkesan merawatnya, pendekatan merawat punca penyakit, seperti yang dijadikan prinsip dalam perubatan fungsional (functional medicine), sukar dilaksanakan. Berikut adalah hujah-hujah yang melibatkan aspek praktikal, saintifik dan sistem kesihatan.

1. Punca penyakit sering bersifat kompleks, multifaktorial dan pengetahuan tentangnya masih terhad.

Banyak penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kanser atau kemurungan tidak mempunyai satu punca tunggal. Ia biasanya melibatkan gabungan faktor genetik, gaya hidup, pemakanan, tekanan, toksin persekitaran, keradangan, mikrobiom usus, dan faktor sosial. Oleh itu, mencari dan merawat "punca sebenar" seringkali menemui jalan buntu, sehingga "punca2" itu hanya andaian semata2. Banyak faktor2 yang dianggap punca penyakit sebenarnya tidak ada kaitan sebab dan akibat ("causal relationship") dengan penyakit, sebaliknya hanya assosiasi. Akibat dari masalah ini, kaedah2 atau intervensi yang digunakan tidak berkesan dan tidak kena pada sasarannya. Tambahan pula, tidak ada bukti kajian yang kukuh untuk menyokongnya.

Di antara intervensi yang dijalankan adalah melakukan ujian2 canggih (petunjuk keradangan, mikrobiom, ujian alahan, ujian sensitiviti makanan, ujian genetik, ujian tinja, antioksidan dll), dan merawat dengan suplemen, probiotik, vitamin, mineral, herba dan produk2 kesihatan yang dikategorikan sebagai makanan tambahan ataupun ubat tradisional. Produk2 ini tidak menjalani kajian klinikal seperti mana ubat2 yang digunakan oleh pengamal PK. PF juga mengiktiraf beberapa amalan perubatan alternatif seperti chiropraktik, akupunctur, homeopati dan lain2, di mana kewibawaan kaedah2 rawatan ini juga sering dipertikaikan.

2. Kekurangan ujian diagnostik yang tepat, praktikal dan berwibawa

Untuk tujuan diagnostik dan pemantauan, pengamal perubatan fungsional sering menggunakan ujian lanjutan seperti ujian sensitiviti makanan, analisis mikrobiota usus, petunjuk keradangan atau toksin dalam badan, ujian insulin darah, ujian antioksidan, ujian genetik, ujian alahan, ujian tinja, ujian mikronutrien dan lain-lain. Ujian ini mahal, tidak diluluskan secara luas, atau tidak mempunyai sokongan kukuh dari komuniti saintifik kerana limitasi ujian dan aplikasi klinikal. Ini juga sukar untuk digunakan secara meluas dalam sistem kesihatan awam.

3. Perubahan gaya hidup yang menyeluruh sukar dilakukan oleh pesakit

Perubatan fungsional banyak menekankan diet anti-keradangan, senaman berkala, berpuasa, tidur berkualiti dan pengurusan stres. Terlalu bergantung kepada pendekatan ini tanpa menggunakan ubat2an adalah sukar diaplikasikan kepada semua orang kerana ramai yang tidak mampu bertahan akibat kesibukan, kurang berpendidikan, kurang motivasi, kesukaran untuk memantau dan masalah ekonomi serta sosial.

4. Tidak semua punca boleh dikenal pasti atau dirawat

Kajian2 tentang punca penyakit masih terhad dan begitu juga ujian2 pengesanannya. Banyak punca penyakit yang tidak diketahui sepenuhnya, contohnya sebahagian penyakit kanser, penyakit autoimun, penyakit mental atau gangguan neurologi. Kadangkala, merawat simptom adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kualiti hidup sementara punca masih dalam kajian.

Perubatan fungsional menawarkan pendekatan yang nampak menarik dan holistik, tetapi menghadapi cabaran besar untuk dilaksanakan, sukar dibuktikan berkesan secara saintifik dan tidak mendapatkan pengiktirafan arus perdana.

Pesakit perlu berhati-hati dan sentiasa mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba rawatan alternatif yang berbeza dengan perubatan konvensional. Dikhuatiri ada pihak yang menggunakan rawatan alternatif ini untuk tujuan mengaut keuntungan peribadi.

IMPLIKASI TERHADAP PENGAMAL PERUBATAN FUNGSIONAL

Setakat tarikh rencana ini ditulis, bidang perubatan fungsional belum mendapat pengiktirafan secara resmi dari WHO, KKM dan banyak lagi badan kesihatan antarabangsa. Di bawah akta 775 TCM (Traditional dan Complimentary Medicine), bidang perubatan fungsional TIDAK tersenarai di dalam senarai amalan TCM.

Pada pandangan peribadi saya, berdasarkan kepada isu pengiktirafan di atas, terdapat beberapa implikasi yang bakal dihadapi oleh pengamal perubatan fungsional di negara kita melibatkan aspek undang-undang, etika, keselamatan dan profesionalisma. Berikut adalah penjelasan:

1. Tiada pengiktirafan rasmi oleh kerajaan

Pengamal tidak mempunyai lesen atau sijil pengiktirafan rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pengamal TCMP (PT&K). Mereka tidak boleh berdaftar secara sah di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari Malaysia (MPPTKM), yang diperlukan untuk amalan sah dalam bidang TCM.

2. Risiko dikenakan tindakan undang-undang jika melanggar peraturan kesihatan

Jika pengamal PF mengiklankan diri sebagai “doktor” atau membuat diagnosis perubatan secara klinikal, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yakni hanya pengamal perubatan berdaftar boleh memberi diagnosis atau rawatan perubatan. Mereka juga boleh didakwa di bawah Akta 775 TCM, jika seseorang mendakwa dirinya pengamal TCM tanpa pendaftaran, ia boleh dianggap satu kesalahan. Penggunaan ubat, suplemen atau intervensi rawatan dengan membuat tuntutan merawat beberapa jenis penyakit juga melanggar akta ubat (iklan dan penjualan) 1956 di bawah Lembaga Iklan Ubat.

3. Sukar membina kerjaya atau pengiktirafan profesional secara rasmi

Sepatutnya pengamal tidak boleh berkhidmat secara rasmi di klinik atau hospital kerajaan. Pesakit juga sukar mendapat sokongan insurans perubatan, kerana rawatan tidak diiktiraf.

4. Cabaran dari segi kepercayaan awam dan reputasi

Pesakit mungkin mempersoalkan kesahihan kelayakan dan kredibiliti pengamal perubatan fungsional. Tanpa peraturan atau piawaian rasmi, wujud risiko berlaku penyalahgunaan atau tuntutan palsu oleh pengamal tidak beretika.

5. Isu etika, profesionalisma dan salahlaku doktor perubatan yang mengamalkan PF

Jika pengamal PF itu adalah seorang doktor yang berdaftar dan memiliki sijil amalan dari MMC, mereka terikat dengan peraturan2 yang ditetapkan oleh badan tersebut. Mereka boleh diambil tindakan jika amalan mereka bercanggah dengan polisi dan prinsip yang ditetapkan oleh MMC. Mempromosikan satu pendekatan yang jauh berbeza dengan amalan perubatan konvensional adalah satu tindakan yang serius melibatkan isu etika, salahlaku dan profesionalisma. Lebih-lebih lagi jika mereka juga merendah2kan kaedah rawatan PK sehingga mengelirukan orang ramai.

AMALAN PERUBATAN FUNGSIONAL YANG SELARI DENGAN PERUBATAN KONVENSIONAL

Memandangkan PF ini ujud kemudian, terdapat beberapa amalan dari perubatan ini yang diambil dari PK. Malahan Dr. Jeffrey sendiri mengakui tentang kepentingan kaedah rawatan PK terutama untuk kes2 kecemasan dan akut. Terdapat pengamal PF yang lebih terbuka, mengambil sebahagian pendekatan PK , termasuk penggunaan ubat2an dan vaksin. Di antara amalan PF yang selari dengan PK adalah kepentingan prinsip "patient centred approach" di mana dititikberatkan hubungan dan komunikasi yang baik antara perawat dan pesakit, disamping menyesuaikan kaedah rawatan pesakit secara individu. Konsep ini diterima tetapi pendekatan yang diambil dan proses yang dilalui oleh pesakit berbeza. Pengambilan sejarah pesakit dan keluarga yang terperinci juga menjadi amalan pengamal PF yang boleh dicontohi oleh pengamal PK. Amalan diet yang seimbang, diet rendah kalori, mencegah kegemukan, diet Meditaraneun, pengurangan gula, elakkan makanan yang diproses, pengendalian stress, tidur yang cukup dan senaman yang tetap adalah antara amalan yang selari dengan PK. PK juga tidak menolak "intermittent fasting" jika dilakukan dengan alasan dan kaedah yang betul di bawah pengawasan pengamal yang bertauliah.

Dato' Dr.Rushdan Noor
23hb Mei 2025

TULISAN INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 INSTITUSI ATAUPUN ORGANISASI. PENULIS JUGA TIDAK BERNIAT UNTUK MENJATUHKAN REPUTASI MANA2 PIHAK SEBALIKNYA MENYATAKAN KEBENARAN. TULISAN INI TERBUKA KEPADA SEBARANG KRITIKAN DAN PENDAPAT YANG BERBEZA.

TIDAK DIBENARKAN MANA2 PIHAK MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI UNTUK APA2 TUJUAN TANPA KEBENARAN PENULIS.

RUJUKAN
















Sunday, 11 May 2025

SUPLEMEN DAN KEPERLUAN NUTRIEN : "MORE IS NOT ALWAYS BETTER"

 

Dalam era pemasaran agresif hari ini, kita sering melihat produk kesihatan yang didakwa mengandungi kandungan antioksidan atau asid lemak omega-3 yang berkali ganda lebih tinggi ataupun 1001 jenis nutrien berbanding produk lain. Walaupun tuntutan ini kedengaran mengujakan, ia sebenarnya boleh mengelirukan. Kuantiti nutrien yang tinggi bukanlah jaminan kepada mutu kesihatan yang lebih baik.

Tubuh badan yang sihat adalah hasil dari keseimbangan tindakbalas nutrien2 di dalam badan yang setiap satunya ujud dalam kuantiti yang optimum dan bukan maksimum. Kuantiti yang optimum bermaksud tahap yang mencukupi untuk menyokong semua fungsi tubuh dengan berkesan, tanpa kekurangan atau berlebihan. Apabila terlalu rendah atau terlalu tinggi, ia akan menganggu keseimbangan.

Antioksidan diperlukan oleh badan kita untuk banyak fungsi termasuk menghapuskan radikal bebas. Walaupun radikal bebas ini diketahui boleh memberi kesan yang negatif ke atas kesihatan, ia juga ada peranan yang penting. Antara kegunaan radikal bebas adalah menghapus sel2 yang rosak, sel2 yang boleh berpotensi menjadi kanser dan juga bakteria. Apabila antioksidan terlalu banyak, ia boleh menjejaskan fungsi baik radikal bebas dan menjejaskan ketahanan badan. 

Maka, badan yang sihat memerlukan kuantiti antioksidan dan radikal bebas yang optimum supaya berlaku keseimbangan. Mengambil antioksidan yang berlebihan terutama dalam bentuk suplemen boleh memudaratkan. Sama juga dengan asid lemak omega 3 dan lain2 nutrin di dalam tubuh badan kita.

Asid lemak omega 3 yang berlebihan boleh menyebabkan darah lebih sukar untuk membeku,  mudah perdarahan, masalah pencernaan, ketidakseimbangan asid lemak hingga mengurang asid lemak lain dan interaksi dengan ubat pencair darah. Ada juga kajian yang mendapati amalan mengambil suplemen minyak ikan meningkatkan risiko masalah denyutan jantung. Jika sumber asid lemak omega 3 ini diproses dari tumbuhan seperti sacha inchi dan buah zaitun contohnya akan ada risiko tambahan berkaitan dengan sumber2 tersebut. 

Pengambilan berlebihan suplemen vitamin terutama yang larut lemak (A,D,E,K) juga boleh menimbulkan  pelbagai masalah kesihatan. Begitu juga mineral seperti kalsium, besi, selenium dan lain2. Niat untuk sihat tapi sakit yang dapat, jika kuantiti nutrient yang diambil melebihi dari keperluan. Pengambilan secara berlebihan berlaku bila kuantiti nutrien dari makanan ditambah pula dari suplemen ataupun dos suplemen yang melebihi keperluan. Kebetulan pada masa sekarang semakin banyak makanan yang diperkayakan dengan nutrien ("fortified food") berada di pasaran negara kita.

Dalam konteks memelihara kesihatan dan mencegah penyakit, kaedah terbaik mendapatkan bahan2 nutrien ini adalah melalui sumber makanan dalam bentuk asal. Kesemua nutrien yang diperlukan oleh badan boleh diperolehi dari makanan. Contohnya antioksidan terdapat di dalam sayur2an, buah2an, telur dan kekacang, omega 3 boleh diperolehi dari ikan, kerang, produk soya, kekacang, telur omega-3 dan bijirin. Malahan tubuh kita boleh hasilkan sendiri beberapa nutrien seperti Vitamin D, sebahagian asid amino, beberapa asid lemak dan antioksidan semulajadi (Co-enzym Q10, Glutathione, Melatonin dll).

Walaupun ramai yang memberi alasan tak mampu untuk makan sayur dan buah2an, tidak ada masa, makanan banyak yang diproses, pencemaran dan lain2, namun bak kata pepatah "mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih". Semua alasan2 ini boleh diatasi, mungkin permulaannya agak sukar tetapi lama kelamaan menjadi mudah dan rutin. Ramai tidak sedar yang makanan mereka sudah seimbang dan mencukupi. Orang yang berduit dan cukup pengambilan nutrien yang menjadi pelanggan utama sedangkan sasaran sebenar tidak mampu ataupun terabai. Mereka terpengaruh dengan penjual produk suplemen yang menggunakan alasan yang sama untuk memancing pembeli. Menggunakan alasan ini untuk beraleh kepada suplemen sebenarnya hanya berpindah kepada satu masalah baru. 

Produk2 yang sepatutnya bersifat suplemen (makanan tambahan) diwar2kan pula sebagai penawar pelbagai jenis penyakit, hingga memenuhi ciri2 produk "overclaim".

Suplemen tidak boleh menggantikan makanan sebenar. Makanan semulajadi bukan sahaja mengandungi nutrien penting, tetapi juga serat, air, dan sebatian bioaktif lain yang berfungsi secara sinergistik untuk menyokong kesihatan. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditiru oleh suplemen dalam bentuk pil, serbuk dan lain2. 

Di samping tidak diketahui dos yang optimum (tidak tahu apa yang kurang dan berapa kekurangan), pengguna juga tidak dapat memastikan apakah ada bahan2 lain yang dimasukkan ke dalam produk2 ini serta apakah proses penyediaan yang telah dilalui. Kemungkinan berlakunya interaksi dengan ubat2 lain tidak boleh dipandang ringan. Tambahan pula, banyak kes2 campur-palsu dikesan ke atas produk2 kesihatan, walaupun telah mendapat kelulusan untuk dipasarkan. Tidak hairanlah mengapa laporan kesan sampingan dari pengambilan produk2 ini semakin meningkat.

Sepatutnya kita harus lebih berhati-hati dan kritikal terhadap produk yang didakwa mengandungi nutrien yang “berkali ganda lebih tinggi” (contoh: antioksidan 10 kali ganda, asid lemak omega-3, 20 kali ganda dll). Dalam konteks keperluan nutrien untuk sihat, prinsip yang betul adalah "CUKUP DAN SEIMBANG". Lebih tinggi kuantiti tidak semestinya lebih baik. "MORE IS NOT NECESSARILY BETTER". 

KESIMPULAN

Tubuh badan yang sihat adalah hasil dari keseimbangan tindakbalas nutrien2 di dalam badan yang setiap satunya ujud dalam kuantiti yang optimum dan bukan maksimum. Di samping tubuh badan kita sendiri boleh menghasilkan nutrien, kaedah terbaik memperolehi nutrien tambahan adalah melalui makanan yang asal dan bukan suplemen, melainkan jika kita tergolong dalam kategori tertentu yang suplemen tertentu disyorkan. Pengguna perlu berhati2 dengan kaedah mempromosi menggunakan pelbagai alasan untuk mengamalkan suplemen. Kandungan nutrien yang lebih tinggi bukan bermaksud lebih baik kerana tubuh badan yang sihat hanya memerlukan kuantiti yang mencukupi dan seimbang. Dapatkan nasihat dari doktor2 atau pakar2 pemakanan yang berkelayakan serta tidak berkepentingan sebelum berhajat untuk mengambil sebarang suplemen.

NOTA TAMBAHAN

1. Tulisan di atas adalah dalam konteks memelihara kesihatan dan mencegah penyakit. Apabila seseorang menghidap penyakit, pendekatannya berbeza.

2. Walaupun secara umumnya individu yang sihat tidak perlu mengamalkan pengambilan suplemen tetapi ada keadaan2 tertentu dan nutrien2 tertentu disyorkan seperti asid folik untuk wanita hamil, vitamin B12 untuk golongan yang diet mereka hanya sayuran, vitamin D kepada individu yang tidak terdedah kepada cahaya matahari atau berisiko tinggi mengalami osteoporosis dan beberapa lagi kumpulan (baca tulisan saya di pautan atas).

Dato'Dr.Rushdan Noor

12hb Mei 2025

RUJUKAN DAN BACAAN TAMBAHAN

Bacaan lanjut tentang suplemen antioksidan di pautan ini: 

https://www.facebook.com/share/p/18q7oHxxZS/

Bacaan lanjut tentang suplemen Omega-3 di pautan ini : https://www.facebook.com/share/p/16ChDw1j9r/

https://www.facebook.com/share/p/1LS7E9EaRe/

Perlukah ambil suplemen di pautan berikut: 

https://www.facebook.com/share/p/16AL95qugb/

NIH. Dietary supplements: What you need to know

https://ods.od.nih.gov/factsheets/WYNTK-Consumer/ttps://ods.od.nih.gov/factsheets/WYNTK-Consumer/

BMJ: Health effects of vitamins and mineral suplements

https://www.bmj.com/content/369/bmj.m2511

Kenyataan Pertubuhan Jantung Amerika mengenai suplement:

https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-eating/eat-smart/nutrition-basics/vitamin-supplements-hype-or-help-for-healthy-eating

Panduan diet untuk kesihatan jantung oleh AHA

https://www.ahajournals.org/doi/10.1161/cir.0000000000001031

Kenyataan American Cancer Society tentang suplemen:

https://www.cancer.org/cancer/managing-cancer/treatment-types/complementary-and-integrative-medicine/dietary-supplements/safety.html

Panduan dan informasi kesihatan untuk pengamal perubatan profesional oleh NIH

https://ods.od.nih.gov/factsheets/MVMS-HealthProfessional/

Pendirian British Dietetic Association tentang suplemen:

https://www.bda.uk.com/resource/supplements.html









Thursday, 8 May 2025

ORANG DULU-DULU MEROKOK TAPI UMUR PANJANG, BADAN SIHAT ????


Saya percaya tentu ramai yang pernah menemui individu yang suka menggunakan contoh diri sendiri ataupun pengalaman orang lain sebagai hujah untuk menyokong pendapat mereka. Kadang2 kalau kerap sangat cara berhujah ini digunakan, rasa menjengkelkan ("irritating") pula. Di bawah ini adalah contoh hujah2 yang saya maksudkan itu (berkaitan dengan isu kesihatan):
"Nenek aku dulu merokok juga, tapi boleh hidup lama, tak sakit apa2 pun".
"Orang yang tak merokok pun ada yang mati sakit jantung".
"Dulu2 mana ada rawatan canggih dan ubat2 moden, tapi orang boleh hidup panjang juga, tak sakit. Penyakit2 pelik pun tak banyak".
"Tok nenek kita dulu bersalin di rumah saja, bidan kampung saja yang sambut, tak ada masalah pun, anak pula ramai, OK saja".
"Anak saya tak seorang pun ambik vaksin, semua sihat2 belaka"
Banyak lagi contoh2 hujah simplistik untuk menafikan pendapat orang lain. Menggunakan kaedah membanding-banding tanpa mengambil kira faktor2 lain yang mempengaruhi.
Hujah seperti ini sangat ringkas dan memang berkesan jika yang mendengarnya tidak faham maksud kadar, keberangkalian dan risiko ataupun keupayaan berfikir mereka sangat terbatas. Tetapi kepada orang yang kritikal dan bersifat objektif, hujah seumpama ini tentulah sangat lemah.
Hujah seperti ini sama macam testimoni, mengambil contoh yang baik saja untuk dihebuh2kan, sedangkan terdapat lebih banyak contoh yang tidak baik, tetapi disembunyikan. Lebih kurang sama macam kaedah pemasaran produk "overclaim".
Maka, untuk berlaku adil, kita kena lihat sesuatu isu itu dari kedudukan mata burung helang, lebih luas, lebih menyeluruh. Faham maksud risiko, keberangkalian dan pengaruh faktor2 sampingan. Mari kita jawab hujah2 yang tersebut di atas, satu persatu.
Risiko orang yang merokok untuk mendapat sakit jantung adalah 4 kali ganda lebih tinggi daripada orang yang tidak merokok. Contohnya dalam 1000 orang perokok, 100-200 orang (10-20%) akan mengidap penyakit jantung. Risikonya lebih tinggi jika perokok itu menghidap diabetes, darah tinggi, obesiti dan ada keturunan. Memang ada perokok yang terselamat daripada sakit jantung, tetapi risiko untuk sakit itu lebih tinggi. Belum lagi mengambil kira lain2 kesan negatif merokok seperti angin ahmar, kanser paru2 dan lain2. Risiko mati akibat merokok pula 3 kali ganda lebih tinggi dan perokok mempunyai purata jangkahayat 10 tahun lebih pendek dari yang tidak merokok.
Jangkahayat manusia dikira melalui perkiraan purata dan unjuran. Purata jangkahayat penduduk Malaysia pada tahun 1957 adalah 57 tahun. Purata jangkahayat penduduk Malaysia pada tahun 2024 adalah 75.2 tahun. Jelas, peningkatan yang ketara.
Memang ada nenek moyang kita dahulu boleh hidup sampai 80-90 tahun, tetapi jika dibandingkan, pada masa sekarang, peratusan orang yang berusia 80-90 tahun jauh lebih besar. Pada masa dahulu, kebanyakan orang akan meninggal pada usia 50 an, tetapi sekarang cuba kita tengok rakan2 sekelas yang berusia 60an , berapa peratus yang sudah meninggal? Saya yakin, lebih besar peratusan yang masih hidup.
Peningkatan purata jangkahayat ini disebabkan oleh kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang lebih baik dan kadar kematian bayi serta ibu yang lebih rendah. Program2 kesihatan pada masa kini dan kaedah pencegahan serta kawalan wabak penyakit berjangkit yang lebih cekap turut menyumbang. Pada masa sekarang, sanitasi bertambah baik dan akses kepada rawatan juga lebih mudah.
Kadar kematian ibu pada tahun 1957 adalah 280 per 100,000 kelahiran hidup, tetapi pada tahun 2024 sudah menurun kepada 25.7 per 100,000. Kadar kematian bayi (infant) pada tahun 1957 dalam anggaran 75.5 per 1000 kelahiran hidup, pada tahun 2024 menurun kepada 6.7 per 1000 kelahiran hidup. Jadi lebih besar peratusan dan kadar ibu hamil serta bayi meninggal pada tahun 1957 berbanding sekarang.
Walaupun tidak ada kajian kesan kesihatan jangkapanjang, anak2 yang tidak menerima vaksin jauh lebih berisiko dijangkiti penyakit yang dilindungi oleh vaksin. Contohnya wabak demam campak di New York pada tahun 2019, liputan vaksinasi adalah 72.9% (sasaran 95%). Walaupun peratusan yang tidak menerima vaksin adalah 28.1%, lebih 85% dari mangsa jangkitan adalah kanak2 yang tidak menerima vaksin. Semua kes kematian semasa wabak campak terbaru 2025 adalah kanak2 yang tidak menerima vaksin.
Inilah kaedah perbandingan yang lebih tepat daripada mengambil contoh seorang dua anak, nenek moyang ataupun seorang dua pemberi testimoni.
Selepas ini kita tak mahu lagi dengar hujah2 simplistik seperti ini, sekurang2nya dari sahabat2 facebook saya. Anda semua dah duduk di tahap yang berbeza ("different level").

Dato' Dr.Rushdan Noor
8hb Mei 2025








Sunday, 4 May 2025

ANCAMAN GERAKAN ANTIVAKSIN

 



Perkataan antivaksin dan gerakan antivaksin bukan baru tetapi sudah dikenal keujudannya semenjak awal abad ke 18 lagi. Kalau kita menulis perkataan antivaksin di atas injin pencarian goggle, tidak terkira banyaknya perkataan ini digunakan di dalam rencana dan jurnal antarabangsa. Jadi tidak ada sebab untuk mempertikaikan keujudannya.

Terdapat sekurang2nya 3 kategori orang ramai yang mempunyai tanggapan berbeza terhadap vaksin. Pertama, golongan yang positif, menyahut tuntutan vaksinasi untuk diri mereka serta ahli keluarga. 

Kumpulan kedua adalah mereka yang was-was ataupun skeptik tetapi terbuka kepada pandangan mana2 pihak. Mereka mungkin bersetuju untuk ambil satu vaksin tetapi enggan mengambil vaksin lain dan pendirian ini boleh berubah bergantung kepada maklumat yang mereka terima. Inilah kumpulan atas pagar yang menjadi tumpuan pendidikan kesihatan dan memperbetulkan kefahaman.

Kumpulan ketiga adalah yang menolak vaksin secara total dan sangat tegar pegangan mereka walaupun sudah diberikan hujah2 yang menafikan pendirian mereka itu. Tidak ada apa2 kaedah yang boleh mengubah kepercayaan mereka.

Kumpulan ketiga di atas boleh dikategorikan sebagai golongan antivaksin tetapi saya membahagikannya kepada 2 lagi subkategori iaitu antivaksin yang pasif, di mana pendirian antivaksin itu bersifat peribadi dan diamalkan untuk diri mereka sahaja. Kategori pasif ini boleh diabaikan melainkan mereka bertukar menjadi subkategofi kedua. Subkategori kedua adalah antivaksin yang menyebarkan fahaman dan amalan mereka kepada ahli keluarga dan orang ramai. Mereka aktif di dalam kumpulan, menghasut atau mengumpul keahlian untuk membesarkan saiz organisasi mereka. Yang ini kita kenali sebagai antivaksin yang aktif. Subkategori kedua ini akan membentuk gerakan antivaksin ("antivaksin movement") dan gerakan inilah sebenarnya membawa masalah besar kepada sistem kesihatan negara. 

ANCAMAN GERAKAN ANTIVAKSIN

Gerakan antivaksin telah disenaraikan oleh WHO sebagai salah satu dari senarai teratas ancaman terhadap kesihatan global. Sedangkan bagi komuniti saintis dan pengamal perubatan moden, vaksinasi adalah salah satu kaedah paling "cost-effective" mencegah penyakit. Vaksin mencegah 2-3 juta kematian setiap tahun dan tambahan sebanyak 1.5 juta lagi kematian jika liputan vaksin dapat ditingkatkan. 

Vaksin bukan sahaja digunakan untuk mencegah penyakit berjangkit, tetapi penggunaannya sedang diperluaskan kepada pencegahan dan rawatan kanser. Vaksin terapeutik juga sedang diuji untuk merawat penyakit seperti HIV dan hepatitis.

Malangnya, salah satu faktor yang menghalang di dalam perlaksanaan program vaksinasi adalah keujudan gerakan yang menyebarkan salah faham dan menentang penggunaan vaksin. Ancaman gerakan antivaksin adalah seperti berikut: 

1. Penurunan Liputan Imunisasi. Apabila ramai menolak vaksin, kadar imunisasi populasi menurun. Ini mengurangkan herd immunity, iaitu perlindungan tidak langsung kepada mereka yang tidak boleh divaksin seperti bayi, warga emas, atau mereka yang sakit kronik. Apabila liputan rendah, wabak sukar dikawal dan akibatnya lebih besar.

2. Kemunculan Semula Penyakit Lama. Beberapa penyakit yang hampir pupus (seperti campak, difteria) mula muncul semula di kawasan dengan kadar vaksinasi rendah. Contoh: wabak campak di AS dan Eropah akibat penurunan vaksin MMR, kemunculan semula penyakit polio di Filipina dan banyak lagi.

3. Beban Sistem Kesihatan. Wabak akibat penolakan vaksin membebankan hospital, petugas kesihatan, dan bajet negara. Penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan vaksin meningkat dan bebannya terpaksa ditanggung oleh negara bukan sahaja dari aspek kewangan, tetapi sosial dan psikologi.

4. Ketegangan Sosial dan perpecahan. Perbezaan pendapat tentang vaksin boleh menimbulkan ketegangan antara keluarga, komuniti, dan pihak berkuasa.

5. Penyebaran fahaman dan ilmu perubatan yang palsu serta teori konspirasi. Golongan antivaksin ini membawa bersama mereka kefahaman yang salah tentang sains dan perubatan ataupun pseudosains/pseudoperubatan. Mereka juga menyebarkan teori2 konspirasi karut yang mengelirukan masyarakat, disamping mempromosikan produk2 overclaim dan pseudoperubatan yang tidak selari dengan prinsip amalan perubatan konvensional.

6. Terhakisnya kepercayaan terhadap perkhidmatan kesihatan arus perdana dan institusi2 kesihatan awam. Untuk meyakinkan pengikut mereka, serangan menjatuhkan reputasi dan fitnah ke atas petugas dan institusi kesihatan awam termasuk KKM, WHO dan lain-lain organisasi kesihatan. 

7. Antivaksin yang melampau boleh bersikap ganas, mencaci serta mengecam pihak yang tidak sealiran dengan mereka, menyerang peribadi seperti cyberbuli dan lain-lain tindakan tidak bermoral. 


PERKATAAN ANTIVAKSIN PUNCA PERPECAHAN ??

Ada yang berpendapat bahawa penggunaan istilah antivaksin akan memecahbelahkan masyarakat. Pendapat ini tidak tepat kerana antivaksin dan gerakan antivaksin adalah entiti yang benar2 ujud dan ancaman mereka adalah besar. Label ini bertujuan untuk mengenalpasti dan juga memudahkan perlaksanaan aktiviti kesihatan awam serta pendidikan kepada kumpulan sasaran yang tepat.Jika kita tidak termasuk di dalam golongan tersebut, apa yang perlu dirisaukan. 

Gerakan antivaksin bukan isu peribadi ataupun terpencil tetapi adalah satu bentuk gerakan terancang yang menentang arah perjuangan perkhidmatan kesihatan negara. Kesannya luas jika tidak dibendung.

Sama seperti kita memerangi ajaran sesat di dalam agama, kita perlu mengenal apakah nama ajaran sesat itu dan ideologi mereka supaya dapat dikenalpasti dan dibenteras. Adalah pelik jika ada pihak yang mencadangkan agar nama2 ajaran sesat ini tidak digunakan, kononnya tidak mahu umat Islam berpecah sedangkan ajaran sesat inilah yang memesongkan akidah dan memecahbelahkan ummah. Melainkan orang tersebut ada kepentingan di dalam ajaran sesat itu ataupun sebahagian dari mereka.

Data2 tentang tahap berkembangnya gerakan antivaksin sangat membimbangkan kerana media sosial tidak menyekat dan menapis kandungan2 antivaksin. Kajian dari Centre of Countering Digital Hate (CCDH) di Amerika telah mendapati akaun media sosial yang dimiliki oleh antivaksin mendapat peningkatan ketara  bilangan pengikut. Laporan itu juga mendapati 31 juta pengguna facebook menjadi pengikut kumpulan antivaksin dan 17 juta orang lagi menjadi pengikut saluran youtube yang dikendalikan oleh antivaksin.

KESIMPULAN

Gerakan antivaksin merupakan ancaman serius terhadap kesihatan awam kerana ia melemahkan usaha vaksinasi dan menjejaskan imuniti kelompok. Implikasinya lebih besar dari pencegahan penyakit berjangkit kerana vaksin juga digunakan untuk tujuan mencegah dan merawat kanser serta berpotensi digunakan untuk rawatan penyakit2 lain. Ancaman gerakan antivaksin bukan tertumpu kepada satu aspek sahaja tetapi kepada banyak lagi isu2 kesihatan, pengetahuan, kesedaran orang ramai dan juga imej institusi kesihatan awam. Menangani isu ini memerlukan pendekatan pelbagai aspek, termasuk pendidikan awam yang lebih berkesan, dasar kesihatan yang lebih kukuh, penguatkuasaan undang2 yang ketat, pemantauan dan kerjasama erat antara organisasi kesihatan serta kerajaan. Hanya dengan usaha bersama ini, kita dapat mengekang pengaruh gerakan antivaksin dan meningkatkan mutu kesihatan rakyat negara ini. 


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

2hb Mei 2025