Tuesday 9 March 2021

VAKSIN COVID-19 MANA YANG PALING BAIK UNTUK SAYA?

 


Malaysia akan menggunakan 5 jenis vaksin Covid-19 dari jenis yang berbeza iaitu satu vaksin mRNA, 3 vaksin vektor virus dan satu virus yang ternyahaktif. Walaupun kita tidak boleh memilih vaksin tetapi pertanyaan yang sering kita dengar adalah : "Daripada 5 jenis vaksin ini yang mana paling baik untuk saya?". 

Kelima-lima jenis vaksin yang dipilih oleh Malaysia telah melengkapkan kajian praklinikal, fasa 1,2 dan 3 kajian klinikal. Walaupun memang terdapat perbezaan daripada segi keberkesanan namun kita perlu faham bahawa angka-angka peratusan yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan kepada kajian yang berasingan. Kajian-kajian itu pula membandingkan penerima vaksin dengan penerima plasebo. Tidak ada kajian yang membandingkan antara satu vaksin dengan vaksin yang lain.

Setiap vaksin menjalani kajian klinikal ke atas populasi yang berbeza, tempat yang berbeza dan masa yang berbeza. Bilangan sampel juga berbeza dan profile peserta kajian juga berbeza daripada segi usia, ethnik dan sebagainya. Hatta masa kajian yang berbeza juga boleh mempengaruhi hasil kajian, Contohnya jika kajian itu dilakukan semasa wujudnya strain virus baru yang lebih rentan, maka peratus keberkesanan mungkin menurun. 

Apabila tidak ada kajian perbandingan di antara satu vaksin dengan vaksin yang lain, maka kita tidak boleh mendakwa sesatu vaksin itu lebih berkesan daripada vaksin yang lain.

Di dalam kajian vaksin Covid-19, terdapat beberapa kayu ukur (parameter) yang digunakan untuk menilai keberkesanan iaitu:

1. Risiko mendapat jangkitan, 

2. Risiko mengalami gejala ringan/sederhana/berat, 

3. Risiko dimasukkan ke wad/ICU dan 

4. Risiko kematian akibat Covid-19. 

Jika kita ambil kayu ukur pertama iaitu risiko mendapat jangkitan, kajian akan menentukan berapa orang peserta yang menerima vaksin telah dijangkiti dan ini dibandingkan dengan bilangan orang yang menerima plasebo mendapat jangkitan.  Melalui perbandingan inilah ditentukan peratus keberkesanan. Begitulah juga kayu-ukur2 yang lain.

Apabila angka2 peratusan itu dicatatkan di dalam lapuran, kita perlu pastikan kayu ukur yang manakah penulis maksudkan. Umumnya kajian-kajian klinikal semua vaksin Covid-19 memberi keputusan yang berbeza daripada segi keberkesanan mencegah jangkitan dan gejala ringan ("prevention of infection and mild symptoms"). 

Walau bagaimanapun, apa yang menarik adalah di dalam kesemua kajian ke atas 5 vaksin Covid-19 ini, penyelidik mendapati vaksin Covid-19 sangat SELAMAT, sangat berkesan mencegah GEJALA BERAT/PENYAKIT BERAT dan sangat berkesan mencegah KEMATIAN akibat daripada Covid-19. Malahan hampir tidak ada kes kematian akibat Covid-19 dilapurkan dalam kalangan peserta kajian yang menerima vaksin-vaksin ini (keberkesanan hampir 100% mencegah kematian).

Berdasarkan kepada hasil kajian, jika anda mengambil mana-mana jenis vaksin Covid-19 ini, 3 perkara yang anda boleh yakini iaitu: 

1. Vaksin ini sangat selamat, 

2. Jika dijangkiti, kemungkinan anda mengalami gejala berat Covid-19 adalah sangat rendah (keberkesanan mencegah gejala berat sebanyak 90-100%) dan 

3. Kemungkinan anda mati akibat Covid-19 adalah hampir sifar (hasil kajian setakat ini).  

Jadi jika anda sudah lulus saringan (tidak ada faktor yang tidak membolehkan anda mengambil vaksin) dan ditawarkan mana2 vaksin Covid-19, terimalah dan bertawakal, itulah vaksin yang telah ditakdirkan untuk anda. Ingat, setiap vaksin mempunyai kelebihan, kekurangan dan keunikan masing2. 

Tidak kira apa sahaja jenis vaksin yang akan digunakan (asalkan ianya sudah mendapat kelulusan), petunjuk akhir yang akan menentukan kejayaan program vaksinasi ini adalah liputan ataupun "coverage". Kalau kita mampu mencapai liputan vaksinasi sebanyak 70-80% rakyat Malaysia, inshallah kita akan berjaya menangani wabak ini secepat mungkin.

Dato' Dr.Rushdan Noor

9hb Mach 2021


https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMoa2101765

https://www.astrazeneca.com/media-centre/press-releases/2021/covid-19-vaccine-astrazeneca-confirms-protection-against-severe-disease-hospitalisation-and-death-in-the-primary-analysis-of-phase-iii-trials.html#:~:text=Results%20demonstrated%20vaccine%20efficacy%20of,%3A%2063%25%2C%2092%25).

https://www.businesswire.com/news/home/20210205005496/en/Sinovac-Announces-Phase-III-Results-of-Its-COVID-19-Vaccine

https://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(21)00234-8/fulltext

https://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(21)00234-8/fulltext

https://fortune.com/2021/02/09/china-covid-vaccine-single-dose-cansino-johnson-johnson/

INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 INSTITUSI

No comments:

Post a Comment