Saturday 27 March 2021

KESAN JANGKA PANJANG COVID-19 TERHADAP BEKAS PESAKIT (LONG COVID)

 

Kita sedia maklum tentang kesan jangkitan Covid-19 yang boleh menyebabkan kematian. Tetapi ramai yang  terlepas pandang tentang kesan jangka panjang yang dialami oleh bekas pesakit Covid-19. Mereka ini terselamat dari maut dan dibenarkan pulang ke rumah tetapi adakah ancamannya setakat itu sahaja? Apakah kesan jangka panjang penyakit ini. Penyelidik telah membuat kajian susulan terhadap bekas pesakit-pesakit ini dan berikut adalah beberapa penemuan yang memeranjatkan. 

Masalah kesihatan selepas jangkitan Covid-19 ini dikenali sebagai post Covid-19 syndrome. Ianya terbahagi kepada 3 kategori iaitu:

1. Acute Covid-19 ( dalam masa 3-4 minggu )

2. Post -Acute Covid-19 syndrome ( dari 3-4 minggu hingga 12 minggu selepas acute Covid-19)

3. Chronic Covid-19 syndrome (gejala kesihatan selepas 12 minggu )

Rupa-rupanya penderitaan pesakit Covid-19 bukan setakat di hospital ataupun ketika fasa acute sahaja tetapi boleh berpanjangan lebih daripada itu. Kesan jangkapanjang Covid-19 ini melibatkan banyak organ badan. Ini menunjukkan penyakit Covid-19 ini boleh meninggalkan kesan kecederaan yang panjang terhadap organ-organ manusia. Organ-organ yang terlibat adalah paru-paru, system darah (haematology), jantung (cardiovascular), otak (neuropsychiatry), buah pinggang, kilang hormone (endocrine), system pencernaan, hati dan kulit (sebahagian daripada gejala-gejala ditunjukkan di dalam geraf di bawah).

Di antara gejala-gejala jangkapanjang yang boleh dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah:

1.Keletihan/Tidak bermaya

2.Mutu kehidupan yang menurun

3.Lemah otot

4.Sakit sendi

5.Sesak nafas

6.Batuk

7.Keperluan bantuan oksigen yang berpanjangan

8.Kemurungan

9.Masalah tidur

10.Gangguan kognitif

11.Sakit kepala

12.Jantung berdebar

13.Sakit dada

14.Darah beku dalam saluran darah

15.Penyakit buah pinggang kronik

16.Keguguran rambut

Peratusan yang tinggi daripada mereka mengalami lebih dari satu gejala.

Banyak kajian telah dilakukan untuk mengenalpasti jenis organ terlibat, gejala2 dan menentukan kekerapan masalah ini terhadap bekas pesakit Covid-19. Salah satu dari kajian tersebut adalah kajian pemerhatian yang dilakukan ke atas bekas pesakit Covid-19 dari 38 hospital di Michigan, Amerika. Kajian ini melibatkan 1,250 orang pesakit yang telah dibenarkan keluar dari hospital. Kajian ini melihat masalah kesihatan bekas pesakit dalam masa 60 hari selepas keluar dari wad. Dalam tempoh masa tersebut, 6.7% meninggal dunia dan 15.1% perlu dimasukkan kembali ke dalam wad. Seramai 32.6% mengadu masalah kesihatan yang berterusan dan 18.9% mengatakan gejala bertambah teruk. Gejala yang paling kerap adalah mudah sesak nafas semasa melakukan aktiviti (22.9%), batuk (15.4%} dan kehilangan deria rasa/hidu (13.1%).

Kajian yang sama dilakukan  di Eropah membari gambaran yang lebih menakutkan, di mana 87.4% mengalami gejala yang berterusan, kelesuan/fatigue (53.1%), sesak nafas (43.4%), sakit sendi (27.3%) dan sakit dada (21.7%). Daripada kalangan mereka ini, 55% mengalami 3 atau lebih gejala yang tersenarai.

Kajian ke atas pesakit Covid-19 di Malaysia mendapati 66% dari pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 akan pengalami Long Covid.

Penemuan ini menunjukkan bahawa Covid-19 adalah lebih serius daripada yang disangkakan. Peratusan  tinggi bekas pesakit mengalami gejala jangka panjang yang melibatkan banyak organ dan kualiti kehidupan mereka terjejas. Kajian kualiti kehidupan (EuroQol visual analog scale) menunjukkan penurunan kualiti hidup sebanyak 44.1%. Ini menguatkan lagi alasan mengapa pencegahan perlu dilakukan dengan kaedah2 yang telah disarankan termasuk mengambil vaksin Covid-19. Ini juga menafikan saranan supaya jangkitan ini dibiarkan merebak secara semulajadi bagi mencapai imuniti berkelompok.


Dato' Dr.Rushdan Noor

27hb Mach 2021




https://www.nature.com/articles/s41591-021-01283-z?fbclid=IwAR0mbv6H9EpAQt1d2S-FVFNfSf-ZoM5n7MzwiSOg5sOmlX14TCRWJeCpmro#Sec3

https://codeblue.galencentre.org/2021/06/11/moh-study-66-of-severe-covid-19-cases-suffer-long-covid/

No comments:

Post a Comment