Wednesday 2 June 2021

IVERMECTIN BUKAN PUNCA KES COVID-19 DI INDIA MENJUNAM

Semenjak India dilanda gelombang ke-2 Covid-19, lebih 330,000 orang mati. Jumlah kes yang dilapurkan sehingga hari ini adalah 28.3 juta.Pada 8hb Mei 2021, India mencapai kemuncak bilangan kes di mana pada hari tersebut sejumlah 403,000 kes dilapurkan. Kemudian daripada itu, kes mula menurun dan pada 1hb Jun 2021, jumlah kes harian adalah 132,000. Jumlah harian kematian pada 1hb Jun 2021 adalah 3207.

Persoalan yang sedang berlegar di dalam minda ramai orang termasuk ahli sains adalah apakah puncanya bilangan kes menurun di India.

India melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani gelombang ke-2 ini seperti menguatkuasakan "lockdown", mewajibkan orang awam memakai topeng muka, amalan penjarakkan dan program vaksinasi Covid-19 yang dipergiatkan. Semua ini dilaksanakan pada peringkat awal gelombang ke-2 ini.

Dalam keadaan terdesak, kerajaan India juga mengeluarkan garispanduan rawatan Covid-19 yang dikemaskinikan pada 28hb April 2021. Di dalam dokumen garispanduan ini, ubat Ivermectin telah dimasukkan sebagai pilihan untuk digunakan ke atas pesakit Covid-19 yang diisolasikan di rumah, yang tidak bergejala dan juga mengalami gejala ringan. Jadi di mengikut garispanduan ini, ubat ini hanya digunakan untuk rawatan dan BUKAN untuk pencegahan.

Terdapat beberapa penganalisa yang selama ini mendesak penggunaan Ivermectin mendakwa penurunan kes Covid-19 di India berpunca daripada ubat ini. Ianya hanya berdasarkan kepada masa garispanduan dikemaskinikan dan juga masa penurunan kes Covid-19. Jadi mereka hanya berpandukan kepada geraf tanpa ada sebarang kajian ataupun analisa terperinci untuk menyokong dakwaan tersebut.


Revised Guidelines yang lengkap, klik di pautan ini.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi pendapat seorang Pakar Imunologi yang tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Berikut adalah hujah-hujahnya:

1. Garispanduan yang membenarkan penggunaan Ivermectin hanya dikeluarkan pada 28hb April 2021. Cuba perhatikan Geraf di bawah. Bilangan kes mula menurun pada 8hb Mei 2021 yakni 10 hari selepas Ivermectin dibenarkan. Adalah tidak munasabah dalam masa 10 hari itu, ubat ini digunakan oleh kebanyakan pesakit  memandangkan negara India yang sangat besar dan penduduknya yang begitu ramai (1.4 billion). 


2. Katakan India mampu mengedarkan ubat tersebut dalam masa 10 hari sekalipun, ia masih tidak dapat menjelaskan punca penurunan kes kerana Ivermectin diluluskan untuk tujuan MERAWAT kes Covid-19 dan bukan untuk mencegah. Apabila ubat ini digunakan untuk tujuan merawat, maka kesan ke atas penurunan kes adalah sangat kecil kerana tumpuannya lebih kepada menurunkan kadar kematian. Sedangkan kadar kematian akibat Covid-19 di India tidak turun begitu cepat dan pada kadar yang lebih perlahan. Kadar kematian mula menurun pada 20hb Mei, mungkin kesan dari penurunan bilangan kes. Kes hanya dapat diturunkan dengan melaksanakan langkah PENCEGAHAN ke atas orang yang belum dijangkiti.


3. Keberkesanan ubat Ivermectin sepatutnya dibuktikan dengan penurunan kadar kebolehjangkitan ataupun nombor reproduksi virus (R0). Cuba perhatikan gerak di bawah yang menunjukkan kedudukan R0  di India. Penurunan R0  sudah berlaku sebelum kerajaan India membenarkan penggunaan Ivermectin lagi iaitu semenjak 16hb April 2021. Ini memberi gambaran bahawa faktor2 yang menyebabkan penurunan tersebut adalah langkah2 pencegahan yang dilakukan sebelum tarikh ini ataupun apa2 faktor lain selain daripada Ivermectin.


4. Sebenarnya punca penurunan kes-kes di India bertitik tolak daripada banyak faktor dan di antaranya adalah langkah kerjaan menguatkuasakan "lockdown" yang ketat, mewajibkan penduduk India memakai topeng muka di mana mereka akan disaman jika tidak melakukannya, amalan penjarakkan yang dikuatkuasakan dengan tegas, SOP yang ketat, bilangan ujian yang dipertingkatkan untuk mengesan pembawa virus dan program vaksinasi yang dipergiatkan. 


Sejumlah 213 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk India dan peratusan yang menerima sekurang2nya satu dos adalah 12.4%. Walaupun angka ini tidak besar untuk mencapai Imuniti Berkelompok, namun ia tetap menyumbang di samping jangkitan semulajadi. Cuaca panas juga dikaitkan dengan penurunan kes. Pakar Epidemiologi juga berpendapat, faktor imuniti penduduk India yang kuat disebabkan oleh pendedahan mereka kepada pelbagai penyakit seperti malaria, TB, keracunan makanan, infestasi usus, jangkitan parasit dan lain-lain. Pendek kata tubuh badan mereka lebih lasak.

Kementerian Kesihatan India telah mengambil keputusan menarik-balik penggunaan Ivermectin untuk merawat Covid-19 pada awal bulan Jun 2021. Ini mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Ivermectin tidak ada kena mengena dengan penurunan kes Covid-19 di India.


5. Setakat ini walaupun kajian Ivermectin telah dijalankan dan terdapat banyak kertas kajian yang disiarkan di dalam jurnal, namun bukti keberkesananya masih diragui kerana kelemahan kajian-kajian tersebut. Rujuk tulisan saya mengenai perkara ini di pautan bawa:

Ivermectin dan Vitamin C untuk mencegah dan merawat Covid-19

Berdasarkan kepada kelemahan kajian2 tersebut, WHO, FDA dan juga KKM masih belum meluluskan Ivermectin untuk digunakan ke atas pesakit Covid. Ianya hanya boleh digunakan untuk tujuan kajian. KKM sedang menjalankan kajian ubat ini di negara kita dan kajian ini masih berjalan di mana Ivermectine diberikan kepada pesakit kategori 2  dan 3 untuk melihat kesannya di dalam menurunkan risiko berubah menjadi kategori yang lebih tinggi. Kajian ini dijangka tamat pada penghujung tahun ini. Rujuk pautan di bawah untuk membaca pendirian KKM, WHO, EMA dan FDA.

Kenyataan KKM tentang Ivermectin

Kenyataan FDA tentang Ivermectin

Pendirian EMA (European Medicine Agency)

Pendirian WHO tentang Ivermectin


Di samping organisasi di atas, NIH (National Institute of Health) juga tidak memasukkan Ivermectin di dalam garispanduan rawatan Covid-19 mereka dan ini disokong oleh CDC. Klik di pautan bawah:

Garispanduan rawatan Covid-19 oleh NIH

Pengalaman di Peru sebuah negara yang pernah menggunakan Ivermectin juga menunjukkan bahawa ubat ini tidak membantu negara mereka memerangi wabak Covid-19. Seperti geraf di bawah, Peru pernah meluluskan penggunaan Ivermectin tetapi gelombang Covid-19 terus berulang-ulang sehingga negara mereka memberhentikan penggunaan ubat ini.



Critical Appraisal yang dilakukan ke atas kajian2 yang telah dijalankan ke atas Ivermectin telah dilakukan oleh Pakar Penyelidik dan kesimpulan yang mereka buat adalah seperti berikut: 

"Research related to Ivermectin In Covid-19 HAS SERIOUS METHODOLOGICAL LIMITATION resulting in very low certainty of the evidence, and continues to grow"

Untuk membaca critical appraisal ini dengan lebih lanjut sila pergi ke pautan di bawah: 

Misleading clinical evidence and systemic reviews on ivermectin for Covid-19

Saya ada menulis mengenai Ivermectin dan rawatan Covid-19 di pautan bawah untuk maklumat lebih lanjut tentang apakah Ivermectin.

Ivermectin belum lagi diluluskan untuk tujuan mencegah dan merawat Covid-19

Berdasarkan kepada hujah-hujah di atas adalah tidak benar jika dikatakan bahawa penggunaan Ivermectin di negara India bertanggungjawab menurunkan bilangan kes Covid-19. Terdapat banyak faktor lain yang lebih penting di dalam mempengaruhi trend Covid-19 di India. Mendakwa Ivermectin sebagai puncanya bolehlah diumpamakan "lembu punya susu sapi dapat nama". Keadaan di India juga belum lagi terjamin kerana seperti yang berlaku sebelum tercetusnya gelombang kedua ini, India pernah dianggap berjaya mengawal Covid-19, tetapi disebabkan oleh kealpaan, gelombang kedua berlaku. Kita berharap program vaksinasi akan dapat dipertingkatkan lagi dan jika ianya dapat mencapai lebih daripada 50% liputan, peluang untuk menang di dalam perjuangan ini adalah tinggi.


Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

2hb Jun 2021


RUJUKAN

Revised Guidelines https://www.mohfw.gov.in/pdf/RevisedguidelinesforHomeIsolationofmildasymptomaticCOVID19cases.pdf https://healthfeedback.org/claimreview/no-data-available-to-suggest-a-link-between-indias-reduction-of-covid-19-cases-and-the-use-of-ivermectin-jim-hoft-gateway-pundit/?fbclid=IwAR24OAgMSnPcB8SXrI2lM0zShiFyG7DuwJg__JnEwZjDsaVVoBTyaDO7xkA Why Covid cases dropped in India https://www.npr.org/sections/goatsandsoda/2021/02/01/962821038/the-mystery-of-indias-plummeting-covid-19-cases https://www.straitstimes.com/asia/why-indias-coronavirus-cases-have-fallen-so-sharply https://edition.cnn.com/2021/02/24/asia/india-covid-decline-explainer-intl-hnk-scli/index.html

Kenyataan KKM tentang Ivermectin https://www.facebook.com/373560576236/posts/10157930788906237/ FDA dan KKM belum meluluskan Ivermectin https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10218759652850267 Pendirian FDA https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/why-you-should-not-use-ivermectin-treat-or-prevent-covid-19 Misleading clinical evidence and systematic reviews on ivermectin for COVID-19 https://ebm.bmj.com/content/early/2021/05/26/bmjebm-2021-111678 Vitamin C dan Zink untuk merawat Covid-19 https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/33576820/ https://www.minda2tinta.com/2019/05/perubatan-berasaskan-bukti-evidence.html

https://www.fda.gov/consumers/consumer-updates/why-you-should-not-use-ivermectin-treat-or-prevent-covid-19

https://www.facebook.com/373560576236/posts/10157930788906237/

https://www.ema.europa.eu/en/news/ema-advises-against-use-ivermectin-prevention-treatment-covid-19-outside-randomised-clinical-trials

https://www.who.int/news-room/feature-stories/detail/who-advises-that-ivermectin-only-be-used-to-treat-covid-19-within-clinical-trials

https://www.covid19treatmentguidelines.nih.gov/therapeutic-management/



1 comment:

  1. Assalammualaikum Yang Berbahagia Doktor Rushdan.
    Bolehkah saya mohon keizinan dr Ybhg Doktor utk berkongsi penulisan Doktor ini di dalam whatsapp group yg menolak vaksin dan mengagungkan ivermectin. Sy kerapkali berhujah dgn mereka ttg ivermectin ini dan setiap hujah saya disertakan dgn penulisan dr seluruh dunia ttg ivermectin. Saya rasa bertanggungjawab utk menerangkan kpd golongan ini ttg kelemahan/keburukan penggunaan ivermectin tanpa disokong oleh data yg lengkap dan valid. Terima kasih doktor.

    ReplyDelete