Sunday 30 May 2021

COVID-19 DAN HIPOKSIA SERONOK ("HAPPY HYPOXIA")

 


Hypoxia (sebutan haipoksia) adalah keadaan di mana kandungan oksigen dalam tisu dan organ menurun. Kandungan oksigen yang normal dalam darah (SaO2) adalah melebihi 95%. Jika oksigen dalam darah lebih rendah dari normal ianya dikenali sebagai hypoxaemia (sebutan haipoksimia). Umumnya hypoxaemia menyebabkan hypoxia yakni kurang oksigen dalam darah menyebabkan kurang darah dalam tisu/organ. 

Happy hypoxia ataupun hipoksia seronok adalah keadaan di mana seseorang yang sudah kekurangan oksigen nampak selesa dan tidak sesak nafas. Semakin banyak kes happy hypoxia dikesan ke atas pesakit Covid terutama yang agak muda. 

Happy hypoxia agak unik kepada Covid-19. Ada doktor yang bercerita di mana pesakit Covid-19 yang hendak dimasukkan tiub bantuan pernafasan masih boleh menjawab talipon dan berbual tidak sepadan dengan kandungan oksigen yang rendah. Begitu juga cerita dari orang ramai yang terkejut apabila nampak pesakit yang asalnya kelihatan sihat tapi dalam masa singkat menjadi tenat dan mati.

Apabila dijangkiti Covid-19, sasaran utama serangan adalah paru2 dan berlaku pembentukan darah beku di dalam saluran darah kecil dalam paru2 yang bertanggungjawab di dalam pemindahan oksigen. Dari sini darah akan dibawa keseluruh badan terutama organ2 penting seperti otak, jantung, hati, buah pinggang dan lain2. Akibat dari darah beku ini oksigen tidak dapat diambil dan dibawa ke seluruh badan dan inilah puncanya kandungan oksigen darah menurun ataupun hypoxaemia, jika bekalan oksigen ini menurun di organ2 utama tadi, organ itu mengalami hypoxia dan boleh gagal. 

Tindak balas yang normal apabila berlaku hypoxia adalah ransangan kemoreseptor dan juga ransangan saraf dari otak ke atas otot2 pernafasan. Otot2 pernafasan akan bekerja dengan lebih aktif dan pesakit nampak bernafas dengan kencang dan tercungap2 untuk mengambil lebih oksigen. Berbeza dengan segelintir pesakit Covid-19 mekanisma kawalan pernafasan ini tidak berlaku seperti yang sepatutnya, jadi mereka tidak merasa sesak nafas dan nafas mereka mungkin hanya meningkat sedikit sahaja. Mereka masih boleh berbual dan nampak biasa. Banyak teori yang dikemukakan oleh ahli sains tetapi punca utama belum dapat dipastikan. Ia adalah salah satu tanda2 luarbiasa yg dikesan ke atas pesakit Covid termasuk hilang deria hidu dan deria rasa.

Hypoxia happy ini mungkin salah satu punca pesakit lewat ke hospital ataupun perawat lambat mengesan keadaan pesakit lebih awal sehingga pesakit boleh meninggal sebelum sempat dirawat. Ada yang meninggal sebelum sempat sampai ke hospital. Fenomena orang jatuh dan pengsan ataupun mati secara tiba2 di tepi jalan mungkin merujuk kepada keadaan ini. 

Alat yang digunakan untuk mengesan kekurangan oksigen dalam darah dinamakan Pulse Oximeter. Ini bukan bermaksud semua orang kena beli alat ini. Seseorang yang mengalami kekurang oksigen boleh dikesan melalui pemeriksaan, kulit, bibir dan jari jadi unggu/kebiruan dan berpeluh tanpa sebab. Pesakit juga mengalami gejala lain seperti demam, hilang deria bau, letih dan batuk. Happy Hypoxia tidak berlaku kepada individu yang tidak dijangkiti dan yang mengalami jangkitan tidak bergejala (tak ada gejala langsung tapi PCR positif). Jangan sewenang2nya membeli alat pulse oximeter kerana tidak semuanya sama kualiti dan diluluskan oleh FDA. Jika salah kaedah penggunaannya, anda boleh mendapat bacaan yang salah dan risau tak pasal2.  


Dato' Dr.Rushdan Noor

31hb Mei 2021



No comments:

Post a Comment