Sunday 9 May 2021

COVID-19 DAN "HERD IMMUNITY" (IMUNITI BERKELOMPOK) : APA ORANG AWAM PERLU TAHU

Herd Immunity (H) ataupun dalam bahasa melayu Imuniti Berkelompok adalah peratusan populasi yang perlu menjadi kebal kepada jangkitan sebelum wabak dapat dihentikan. Dalam konteks vaksin yang dianggap senjata untuk menjadi kebal, maka liputan vaksin di dalam satu populasi itu akan dianggap bersamaan dengan peratusan orang menjadi kebal. Liputan vaksin adalah berapa peratus daripada populasi yang telah menerima vaksin dengan lengkap.  

Apabila populasi sudah mencapai herd immunity atau kebanyakan populasi sudah kebal maka virus yang ada di dalam populasi itu sukar untuk berpindah kepada orang2 yg tidak kebal. Lama kelamaan virus2 ini akan mati dan hilang.

Ada 2 faktor utama yang menentukan H iaitu :

1. Ro (R naught) merujuk kepada kebolehjangkitan virus 

2. Keberkesanan vaksin. 

Jika Ro adalah 2.0 bermaksud seorang yang dijangkiti akan menyebarkan virus itu kepada 2 orang lain. Lagi tinggi nilai Ro, lagi mudah virus itu berjangkit. Keberkesanan vaksin pula dinyatakan dalam peratusan samada 79%, 85%, 94% dan lain-lain. Lagi tinggi peratusan lagi berkesan vaksin tersebut.

Formula untuk menentukan H (Herd Immunity) adalah seperti berikut:

H = (1 - 1/Ro) x 1/E x 100

H : Herd Immunity

Ro : R naught

E : Keberkesanan (Efficacy)

Contoh:

Ro : 3.0

E : 95%

H = ( 1 - 1/3) x 1/95 x 100 = 2/3 x 100/95 = 0.7

H = 0.7 ataupun 70%

Jadi kita perlu pastikan sekurang2nya 70% daripada populasi menerima vaksin sebelum jangkitan dapat dihentikan dan kita boleh keluar dari pandemik. Angka 70% ini juga dikenali sebagai "herd immunity threshold" yakni peratusan minimum untuk dapat mengawal jangkitan. Sasaran kita adalah 70% dan lebih.

Lebih tinggi nilai H, lebih sukar untuk mengawal jangkitan. Dari formula di atas kita dapati lagi tinggi nilai Ro, lagi tinggi nilai H. Lagi tinggi keberkesanan vaksin, lagi rendah nilai H. Pematuhan SOP dan amalan pencegahan lain secara konsisten dapat membantu menurunkan nilai H kerana ianya bertindak menyokong pengambilan vaksin.

Ini adalah pengiraan yang mudah tetapi hakikat yang berlaku di lapangan tidak semudah itu kerana setiap individu mempunyai kemampuan melawan jangkitan yang berbeza serta tindakbalas ke atas vaksin yang berbeza. Populasi yang berbeza juga mempengaruhi, jika di kawasan padat dan pengudaraan yang tidak baik Ro boleh jadi lebih tinggi dan sebaliknya begitu juga di kawasan yang kurang padat. 

Herd immunity juga boleh jadi lebih sukar untuk dicapai jika wujud varian baru virus yang mempunyai Ro lebih tinggi. Jadi dengan keberkesanan vaksin yang sama, "herd immunity threshold" akan jadi lebih tinggi akibat varian virus baru yang mempunyai Ro lebih tinggi.

Wabak penyakit boleh juga diatasi tanpa menggunakan vaksin. Jika setiap orang boleh mengamalkan langkah pencegahan yang berkesan seperti yg disarankan, lama kelamaan virus sudah tidak ada peluang untuk menjangkiti orang lain. Tetapi kaedah ini hampir mustahil dilakukan dalam konteks populasi yang besar kerana sifat manusia yang bergerak dan sikap manusia yang sukar untuk mematuhi SOP dan terkongkong dengan peraturan.

Herd immunity juga boleh dicapai apabila sebahagian besar populasi sudah dijangkiti oleh virus dan menjadi kebal kepada jangkitan. Walau bagaimanapun, kaedah ini sangat berisiko tinggi kerana perlu dibayar dengan beban penyakit dan angka kematian yang tinggi. Lagipun jangkitan semulajadi tidak dapat memberi kekebalan yang panjang. 

Katakan kadar kematian 0.4% dan jumlah populasi yang perlu dijangkiti adalah 22 juta orang untuk mencapai herd immunity, ini bersamaan dengan 0.4/100 x 22 juta ataupun 88,000 orang mati. Ini belum mengambil kira kesan sampingan lain akibat jangkitan ini seperti masuk ke dalam wad, memerlukan rawatan, memerlukan bantuan pernafasan dan kesan Long Covid. Bayangkan apa akan terjadi kepada sistem perkhidmatan kesihatan dan ekonomi sesebuah negara pada ketika itu, semuanya akan runtuh.

Nampaknya dalam konteks pandemik Covid-19 yang sedang dialami dunia hari ini, peranan vaksin tersangat penting jika kita ingin kembali hidup seperti sedia kala dalam jangkamasa terdekat.

Dato' Dr.Rushdan Noor

11hb Mei 2021


         

https://www.quantamagazine.org/the-tricky-math-of-covid-19-herd-immunity-20200630/

No comments:

Post a Comment