Thursday 20 May 2021

CADANGAN UNTUK MENANGANI WABAK COVID-19 DI NEGARA KITA



Ketika saat rencana ini ditulis, keadaan Covid-19 di negara kita adalah sangat membimbangkan. Bilangan kes harian melebihi 6000 kes dan pada hari ini kes kematian melonjak kepada 59 orang. Angka2 ini tidak pernah dicapai sebelum ini dan Covid-19 sudah masuk ke dalam komuniti di mana majoriti kes adalah daripada kes sporadik. Contohnya di Selangor, seorang dalam 43 orang didapati positif Covid. Katil ICU sudah hampir penuh di banyak hospital Covid. Keadaan ini sangat membimbangkan.

Sebenarnya kalau semua orang patuh SOP dan amalkan langkah pencegahan secara konsisten, kita sudah dapat atasi pandemik ini tanpa PKP ataupun Lockdown, malahan vaksin pun kita tak perlukan. Tetapi hakikatnya mustahil untuk mendapat 100% komitmen dari masyarakat, hatta nak dapat 50% komitmen pun payah. Maka sebab itulah kita perlu mengambil langkah mempelbagaikan strategi. Saya ada beberapa cadangan, antaranya mungkin sedang dilaksanakan.

1. Saringan kes secara lebih besar dan agresif dengan menggunakan ujian RTK Ag dan RT PCR sebagai ujian pengesahan apabila RTK Ag positif. Ujian RTK Ag yang lebih cepat dapat mempercepatkan proses contact tracing, isolasi dan membendung penularan. Kaedah ini sedang dipraktikkan di Singapura. Jika tidak mampu untuk dilakukan dengan meluas, boleh mensasarkan kawasan2 yang menjadi tumpuan kes dahulu. Melalui kaedah ini individu yang membawa virus dapat dipisahkan daripada orang lain dan rantai jangkitan dapat diputuskan dengan cepat.

2. Dilaksanakan penguatkuasaan yang ketat SOP dan peraturan yang berkaitan dengan pencegahan Covid-19 di mana hukuman yang tegas dan tidak berat sebelah dikenakan. Sasaran utama adalah majikan jika berlaku jangkitan di tempat kerja dan premis ditutup untuk jangkamasa lebih panjang. Kesalahan kali kedua, terus masuk penjara. Di samping denda wang ringgit dan penjara, mereka ini wajar didenda dalam bentuk melakukan kerja amal membantu frontliners menyaring kes ataupun lain2 kerja di pusat2 rawatan/pemantauan pesakit Covid-19. Ini akan memberi pengajaran dan tidak langsung mengurangkan beban frontliners.

3. Jika langkah2 di atas gagal membendung wabak, kes makin meningkat "total lockdown" perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira kebajikan golongan yang paling terkesan. Perlu ada mekanisma menyalurkan bantuan kepada mereka supaya mereka mendapat keperluan hidup. Pihak kerajaan, swasta dan NGO bergabung tenaga di dalam menghadapi lockdown ini.

4. Kawalan sempadan perlu diperketatkan lagi. Wajib kuarantin untuk 21 hari kepada sesiapa saja yang masuk ke dalam negara kita. Tutup semua lorong2 tikus. Dalam keadaan darurat kesihatan ini, tidak ada tolak ansur dan timbang rasa apabila isu keselamatan dan kesihatan terancam.

5. Cadangan atau kempen "self lockdown" memang bagus dan patut disokong. Tetapi selama ini golongan yang patuh SOP dan berdisiplin memang sudah amalkan "self lockdown". Cumanya golongan yang memanjang "aku tak kisah" tu agak2 depa nak buat "self lockdown" ke? Jadi kempen ini hanya usaha sampingan dari usaha2 lain.

6. Percepatkan program vaksinasi Covid-19 di mana golongan yang berisiko dan tidak ada kontraindikasi diWAJIBkan ambil vaksin. Sesiapa yang tidak hadir untuk suntikan vaksin tanpa sebab munasabah dikenakan denda. Satu bentuk insentif perlu diberikan kepada individu yang mengambil vaksin yang lengkap contohnya kelonggaran untuk merentas negeri, hadiah, saguhati dan lain-lain. Mungkin insentif dalam bentuk bantuan makanan dan wang ringgit juga boleh dipertimbangkan. Kita perlu ingat, dalam keadaan pandemik, pengambilan vaksin adalah satu langkah melindungi diri sendiri dan juga orang lain. Pusat2 pemberian vaksin hendaklah diperbanyakkan termasuk melibatkan pusat kesihatan swasta. Aktif vaksinasi juga boleh dilakukan ke atas penduduk2 yang tinggal di pendalaman.

7. Kelemahan ketara yang dikesan pada masa ini adalah masalah komunikasi dan maklumat yang berubah2. Sebarang maklumat tentang apa sahaja perkara berkaitan dengan strategi menangani Covid-19 yang hendak disiarkan oleh media2 arus perdana perlu terlebih dahulu melalui lembaga penapis yang dapat memastikan maklumat itu tepat dan seragam (tidak bercanggahan).

8. Kita sudah sedia maklum bahawa tidak ramai yang berdaftar untuk mengambil vaksin dan dalam kalangan yang berdaftar pula tidak semua yang datang. Begitu juga amalan pencegahan dan pematuhan SOP yang sangat longgar, ramai yang tidak kisah. Salah satu sebab utama mengapa jadi begini adalah kerana rakyat dimomokkan dengan maklumat yang salah tentang Covid-19 dan puncanya adalah daripada mereka2 yang gemar berkongsi dan menceduk dari laman web ataupun media sosial antivaksin. Tindakan tegas ke atas individu atau pihak yang menyebarkan maklumat palsu tentang Covid-19 dan vaksin. Tangkap, denda atau penjarakan mereka jika bersalah, tanpa tolak ansur. Mereka adalah penyumbang besar kepada salah faham dan perubahan sikap orang ramai terhadap pandemik. Bentuk denda yang dikenakan termasuk melakukan kerja amal membantu frontliners menyaring kes ataupun lain2 kerja yg sesuai di pusat2 rawatan/pemantauan pesakit Covid-19. Pada waktu yang sama program, kempen dan aktiviti pendidikan kepada masyarakat perlu dipergiatkan lagi di mana semua pihak seperti kementerian kesihatan, kementerian pendidikan dan media2 bergabung tenaga menghasilkan bahan pendidikan yang lebih berkesan menyedarkan rakyat tentang kepentingan mencegah Covid-19.

Ini hanyalah pendapat peribadi saya dan tidak mewakili mana2 institusi ataupun pertubuhan. Saya juga bukan pakar penyakit berjangkit, pakar virologi, pakar epidemiologi atau pakar kesihatan awam yang lebih layak untuk beri pendapat.

Dato' Dr. Rushdan Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Gibekologi
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
20hb Mei 2021

No comments:

Post a Comment