Friday 21 May 2021

PENYEBARAN MAKLUMAT PALSU MENGHALANG USAHA MENANGANI WABAK COVID-19

Fitnah yang dilontarkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia baru2 ini adalah salah satu dari manifestasi infodemik yang tidak terkawal di negara kita. Apabila tidak ada langkah2 menangani infodemik ini dengan berkesan, kita akan dapati masyarakat menjadi keliru dan tidak tahu yang mana benar dan yang mana palsu.

Pihak yang menyebarkan maklumat palsu menggunakan semua jenis media terutama media sosial untuk melaksanakan agenda mereka . Hari ini pelbagai bentuk maklumat palsu disebarkan seperti tulisan, audio dan video. Dengan limpahan group media sosial yang begitu banyak, maklumat2 ini sangat cepat tersebar di bandar hingga ke pelusuk kampung dan desa.

Malaysia memang terkenal sebagai di antara negara yang mempunyai bil pengguna media sosial yang sangat tinggi di dunia. Mereka boleh bersatu menyerang media sosial sesebuah negara seperti mana yang kita lihat berlaku semasa krisis Israel-Palestin dan banyak lagi contoh. Dengan kesedaran ini, kita perlu lebih berwaspada kerana maklumat palsu juga boleh disebarkan begitu cepat. Alangkah baiknya jika keupayaan ini digunakan juga untuk tujuan menyebarkan maklumat yang sahih tentang ancaman kesihatan yang sedang kita alami hari ini.

Penyebaran maklumat palsu ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan rakyat biasa tetapi juga pemimpin masyarakat, pihak berkuasa dan tokoh2 agama. Ini sudah pasti memberi kesan yang besar kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengikut dan anak2 murid. Sikap tidak kisah dengan SOP, pandangan serong terhadap institusi kesihatan serta petugas2 kesihatan, penentangan terhadap perlaksanaan program pencegahan dan keengganan untuk mengambil vaksin berkemungkinan besar berpunca dari salah faham tentang Covid-19. Salah faham ini berpunca dari penyebaran maklumat yang salah. Jadi apakah tindakan kita sekarang? Sebagai orang awam, kita perlu mahir menapis maklumat dan merujuk kepada pakar di dalam bidangnya. Maklumat yang tidak diketahui sumbernya perlu ditolak. Kita patut membantu autoriti kesihatan menyebarkan maklumat yang betul. Malangnya tidak semua orang mampu melakukannya kerana mereka bukan daripada latarbelakang perubatan. Tarikan untuk mempercayai tokoh2 tertentu yang menjadi idola mereka lebih kuat sedangkan tokoh2 itu juga sudah termasuk ke dalam perangkap golongan antivaksin dan teori konspirasi. Nampaknya peranan pemerintah, autoriti kesihatan dan penguatkuasa adalah besar di dalam menangani serangan wabak infodemik ini. Di samping mempertingkatkan aktiviti pendidikan melalui semua bentuk media massa, penguatkuasaan undang2 patut berjalan serentak. Undang2 sudah wujud iaitu Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020 (Akta 825) yang diwartakan pada 30 Januari 2020 di mana sebarang berita palsu, laporan palsu dan penyalahgunaan media sosial ditangani oleh Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Manakala mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 juga telah diwartakan pada 11hb Mach 2021, di mana individu yang menyebarkan berita palsu 'dengan cara apa pun, dengan niat untuk menyebabkan, atau yang mungkin menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada awam' boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah. Malangnya hingga saat ini, saya jarang sekali mendengar berita penyebar maklumat palsu dihadapkan ke mahkamah dan dihukum. Mungkin saya terlepas pandang ataupun ianya berlaku secara diam2, namun apa yang pasti maklumat palsu khususnya berkenaan dengan Covid-19 ini nampaknya semakin rancak dan pihak yang melakukannya seperti tidak takut, boleh jadi mereka rasa kebal. Jika isu ini tidak dapat ditangani dengan berkesan, saya bimbang ia akan menjadi salah satu halangan yang besar untuk menangani pandemik Covid-19. Dato' Dr.Rushdan Noor 22hb Mei 2021
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-atasi-penyebaran-berita-palsu-melalui-undangundang-sedia-ada-268600

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2021/03/11/penjara-denda-rm100000-menanti-individu-sebar-berita-palsu-tentang-covid-19-darurat-berkuat-kuasa-esok-esok

No comments:

Post a Comment