Ramai orang pernah mendengar tentang “placebo”, iaitu keadaan apabila seseorang merasa lebih baik hanya kerana percaya sesuatu rawatan itu berkesan walaupun rawatan tersebut sebenarnya tidak mempunyai bahan aktif. Namun, tidak ramai yang mengetahui tentang satu lagi fenomena yang bertentangan dengannya, iaitu “kesan nocebo”.
Kesan nocebo ialah keadaan apabila seseorang mengalami gejala, kesan sampingan, atau rasa tidak sihat kerana percaya sesuatu itu memudaratkan, walaupun sebenarnya tiada perubahan fizikal sebenar yang berlaku akibat perkara tersebut. Dalam erti kata lain, jika placebo bermaksud “percaya sesuatu itu membantu”, nocebo pula bermaksud “percaya sesuatu itu membahayakan”.
Fenomena ini berlaku kerana minda manusia mempunyai pengaruh yang besar terhadap cara tubuh mentafsir sensasi, kesakitan, dan ketidakselesaan. Apabila seseorang terlalu takut, cemas, atau menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku, otak boleh menjadi lebih sensitif terhadap gejala biasa pada tubuh. Akibatnya, seseorang benar-benar merasakan dirinya semakin sakit walaupun tiada kerosakan sebenar berlaku.
Kesan nocebo sering berlaku dalam pelbagai bentuk semasa dan selepas rawatan alternatif. Contohnya dalam rawatan urutan, seseorang mungkin diberitahu bahawa “urat awak sangat teruk”, “badan awak banyak angin”, atau “kalau tak dirawat boleh jadi bahaya”. Selepas itu, individu tersebut mula merasa lebih sakit, lebih tegang, dan sentiasa risau tentang keadaan badannya walaupun sebelum ini gejalanya ringan sahaja. Ketakutan dan fokus berlebihan terhadap tubuh sendiri boleh menyebabkan seseorang menjadi lebih sensitif terhadap rasa sakit dan ketidakselesaan.
Fenomena yang sama juga boleh berlaku dalam rawatan “detox” atau nyahtoksin. Apabila seseorang diyakinkan bahawa tubuhnya penuh dengan toksin, dia mungkin mula mentafsir gejala biasa seperti pening, loya, keletihan, atau badan lemah sebagai tanda “toksin sedang keluar”. Sedangkan dalam banyak keadaan, tiada bukti saintifik bahawa toksin tersebut benar-benar wujud atau sedang disingkirkan daripada tubuh. Namun akibat jangkaan negatif dan kebimbangan yang kuat, mereka benar-benar merasakan diri semakin tidak sihat.
Dalam sesetengah keadaan, pengalaman “melihat hantu” boleh berkait dengan kesan nocebo atau fenomena psikologi yang hampir serupa, terutama apabila seseorang sudah terlalu takut, cemas, atau percaya kuat bahawa sesuatu tempat itu berhantu. Contohnya, apabila seseorang diberitahu bahawa sebuah rumah “keras”, dia menjadi sangat berjaga-jaga terhadap setiap bunyi, bayang, atau pergerakan kecil. Otak yang berada dalam keadaan takut dan tertekan boleh menyebabkan seseorang tersalah tafsir rangsangan biasa, seperti bayang langsir, bunyi paip, atau pantulan cahaya, lalu menyangka ia sesuatu yang menyeramkan. Gejala jantung berdebar, sesak nafas dan sakit dada boleh juga berlaku.
Kesan nocebo bukan sekadar teori psikologi semata-mata. Fenomena ini turut dikaji dalam dunia perubatan moden. Salah satu kajian yang terkenal ialah The SAMSON Trial (Self-Assessment Method for Statin Side-effects Or Nocebo), yang mengkaji kesan sampingan ubat statin.
Dalam kajian tersebut, peserta yang sebelum ini berhenti mengambil statin kerana mendakwa mengalami kesan sampingan diberikan tiga keadaan secara bergilir: mengambil statin sebenar, mengambil pil placebo, dan tidak mengambil sebarang pil. Menariknya, para penyelidik mendapati bahawa hampir 90% gejala yang dialami ketika mengambil statin juga berlaku ketika peserta mengambil placebo. Gejala seperti sakit otot dan rasa tidak selesa berlaku hampir sama walaupun pil placebo tersebut tidak mengandungi ubat sebenar.
Kajian ini menunjukkan bahawa sebahagian besar gejala yang disangkakan berpunca daripada ubat sebenarnya berkait dengan kesan nocebo, iaitu jangkaan negatif terhadap ubat tersebut. Lebih menarik, selepas peserta diberi penerangan tentang keputusan kajian mereka sendiri, sebahagian besar daripada mereka berjaya kembali mengambil statin tanpa masalah besar.
Kesan nocebo juga boleh berlaku apabila seseorang terlalu ditakutkan tentang sesuatu penyakit atau kesan sampingan rawatan. Apabila mereka mengambil rawatan tersebut, mereka menjadi terlalu peka terhadap setiap perubahan kecil pada tubuh lalu menganggapnya sebagai tanda penyakit atau kesan sampingan yang serius. Akhirnya, mereka benar-benar merasa keadaan mereka semakin teruk.
Fenomena ini menjelaskan mengapa cara sesuatu maklumat disampaikan amat penting dalam dunia kesihatan. Kata-kata yang terlalu menakutkan, dakwaan yang melampau, atau penerangan yang mengelirukan boleh memberi kesan psikologi yang akhirnya mempengaruhi keadaan fizikal seseorang. Dalam banyak keadaan, ketakutan itu sendiri boleh menjadi sebahagian daripada “penyakit”.
Oleh sebab itu, pendekatan yang lebih seimbang, berasaskan bukti, dan tidak menimbulkan ketakutan melampau sangat penting dalam apa juga bentuk rawatan. Memberi penerangan yang tepat tanpa menakut-nakutkan pesakit bukan sahaja membantu mengurangkan keresahan, malah boleh mengelakkan kesan nocebo yang membuat seseorang merasa lebih sakit walaupun tiada bahaya sebenar berlaku.
Dato' Dr. Rushdan Noor
Rujukan
Wood FA, Howard JP, Finegold JA, et al. N-of-1 Trial of a Statin, Placebo, or No Treatment to Assess Side Effects. New England Journal of Medicine. 2020;383:2182–2184.
Krishnamurthy A, Bradley C, Ascunce R, Kim SM. SAMSON and the Nocebo Effect: Management of Statin Intolerance. Current Cardiology Reports. 2022;24(9):1101–1108. (PubMed)
British Heart Foundation. SAMSON Trial – Impact of Clinical Trials. (bhf.org.uk)
Side Effect Patterns in a Crossover Trial of Statin, Placebo, and No Treatment. PubMed Central. (pmc.ncbi.nlm.nih.gov)

No comments:
Post a Comment