Ramai yang memperkatakan tentang pengaruh cuaca terhadap penularan jangkitan virus. Untuk menjawab soalan adakah Covid-19 lebih takut kepada cuaca panas dan lebih cepat merebak ketika cuaca sejuk, kita teliti dahulu 4 kenyataan berikut:
1. Apa yang berlaku semasa wabak SARS pada tahun 2003 bukanlah bukti bahawa wabak SARS terhenti dengan sendiri oleh perubahan cuaca dari sejuk kepada panas. Kejayaan mengawal wabak SARS adalah hasil daripada usaha yang gigih negara2 yang terlibat seperti isolasi kes, kuarantin kontak, kaedah pencegahan, "social distancing" (penjarakan sosial) dan lain2 ikhtiar yang intensif. Perubahan cuaca hanya kebetulan dan kejadian semula (gelombang kedua) wabak SARS di Kanada bukan disebabkan oleh cuaca tetapi akibat dari berhentinya amalan pencegahan yang dinyatakan di atas.
2. Walaupun jangkitan coronavirus lain yang sudah lama wujud adalah jangkitan yang bermusim ("seasonal") namun sifat ini tidak semestinya ada pada Covid-19. Covid-19 adalah virus yang baru dan manusia belum pernah terdedah dan belum lali dengan jangkitan virus ini. Jadi kita tidak boleh membuat andaian bahawa Covid-19 mempunyai ciri2 yang sama dengan jangkitan coronavirus yang lain.
3. Benarkah kadar jangkitan pernafasan oleh virus meningkat ketika cuaca sejuk disebabkan organisma ini bertukar menjadi lebih ganas ? Jawapannya adalah tidak ada bukti kukuh bahawa virus bertukar menjadi lebih ganas apabila cuaca berubah. Banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana virus ini merebak. Kadar jangkitan yang meningkat ketika musim sejuk dipercayai akibat daripada beberapa faktor berikut:
a. Faktor persekitaran. Kajian ke atas virus influenza menunjukkan virus ini lebih mudah merebak ketika suhu sejuk dan kering. Suhu yang sejuk sahaja tidak memadai tetapi perlu udara yang kering untuk meningkatkan jangkahayat virus di dalam droplet. Kandungan air di dalam udara juga penting. Kajian ini hanya tertumpu kepada virus influenza dan bukan coronavirus yang merupakan virus yang berbeza. Jadi pengaruh suhu ke atas Covid-19 belum diketahui. Kes Covid-19 di Singapura juga memberi gambaran yang cuaca panas dan lembap tidak menghalang penularan jangkitan.
b. Faktor manusia. Ketika musim sejuk, orang ramai lebih suka tinggal di dalam rumah yang tertutup dengan pengudaraan kurang baik. Ini menyebabkan jangkitan lebih mudah berlaku apabila ada ahli keluarga yang dijangkiti samada dari sekolah ataupun tempat kerja. Jangkitan lebih mudah berlaku kerana faktor manusia dan bukan faktor virus.
c. Faktor sistem pertahanan badan manusia. Ahli sains percaya kurang pendedahan kepada cahaya matahari ketika musim sejuk menyebabkan penghasilan pigmen kulit melatonin lebih rendah. Kurang pendedahan kepada cahaya matahari juga boleh mengurangkan vitamin D. Melatonin dan vitamin D mempunyai peranan di dalam sistem pertahanan badan. Walau bagaimanapun kesan ini mungkin kecil dan tidak cukup kuat untuk mencegah jangkitan secara bersendirian. Walaupun suhu panas, jika seseorang tidak menerima cukup cahaya matahari, maka cuaca yang panas tidak akan memberi kesan yang sama.
4. Sejarah telah menunjukkan banyak wabak2 jangkitan virus boleh berlaku di luar musim. Contohnya pandemik influenza yang berlaku pada tahun 2009 bermula pada bulan April-May yang merupakan cuaca panas di negara China. Manakala MERS pula mula merebak di Arab Saudi dalam bulan Ogos yang panas. Jadi adalah salah menganggap virus tidak boleh merebak ketika cuaca panas.
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada fakta2 di atas, boleh diandaikan bahawa cuaca mungkin mempengaruhi kadar jangkitan Covid-19 tetapi secara tidak langsung dan pada kadar yang sederhana. Disebabkan Covid-19 adalah virus yang baru, pandangan ini hanyalah andaian dan belum disahkan. Cuaca sahaja tidak cukup untuk menghalang penularan jangkitan virus ini. Mekanisma sebenar bagaimana cuaca mempengaruhi kadar jangkitan belum diketahui sepenuhnya. Pengaruh cuaca bukan ke atas tahap keganasan virus tetapi disebabkan oleh kesan tidak langsung yang diberikan oleh faktor-faktor lain yang tidak berkait dengan sifat virus tersebut. Langkah menangani penularan jangkitan Covid-19 yang paling berkesan adalah seperti mana yang disarankan oleh WHO dan dilaksanakan oleh negara kita iaitu melalui saringan, pengesanan kes, isolasi kes, kuarantin kontak, amalan pencegahan yang disyorkan, "social distancing" dan lain-lain langkah proaktif seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara yang telah berjaya mengekang penularan jangkitan virus ini. Setakat ini siapapun tidak dapat meramalkan apakah masa depan wabak jangkitan Covid-19 dengan perubahan cuaca dunia.
Dato' Dr Rushdan Noor
12hb Mach 2020
RUJUKAN
https://ccdd.hsph.harvard.edu/will-covid-19-go-away-on-its-own-in-warmer-weather/
https://www.scientificamerican.com/article/what-could-warming-mean-for-pathogens-like-coronavirus/
https://www.newscientist.com/article/2233249-will-the-covid-19-coronavirus-outbreak-die-out-in-the-summers-heat/
No comments:
Post a Comment