Wednesday, 4 March 2020

MENGAMBIL BUAH ATAUPUN SUPLEMEN ?

Mengambil suplemen vitamin dan mineral dalam bentuk pil/kapsul TIDAK SAMA dengan memakan buah-buahan dan sayuran. Ada LIMA sebab utama:

1. Suplemen vitamin/mineral kebanyakannya dihasilkan secara sintetik yang dipekatkan dan kemudian dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti pil dan kapsul. Buah2an dan sayuran pula adalah sumber makanan semulajadi yang mengandungi banyak nutrient. Selain daripada vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayuran mengandungi serat, air dan banyak lagi fitonutrient yang tidak terkandung di dalam suplemen.

2. Buah-buahan dan sayuran juga membekalkan tenaga melalui kandungan karbohidrat di dalamnya. Karbohidrat ini adalah daripada jenis yg kompleks dan indek glisemik yg rendah, sesuai untuk pesakit diabetes dan boleh membantu menurunkan berat badan. Serat juga membantu melancarkan fungsi usus dan mengurangkan risiko kanser usus besar. Suplemen hanya mengandungi vitamin dan mineral yang tertentu.

3. Suplemen di dalam bentuk pil/kapsul mengandungi bahan kimia pengawet, pewarna dan pemampat. Dos/kuantiti vitamin dan mineral dalam setiap pil/kapsul tidak semestinya sama, ia boleh kurang ataupun lebih. Risiko pengambilan dos yang berlebihan boleh berlaku terutama pil vitamin larut lemak (A,D,E,K) dan zat besi. Disebaliknya pula pil yang diambil mungkin tidak pecah sepenuhnya dan kadar penyerapan nutrient ini mungkin jauh lebih rendah daripada sepatutnya. Selalunya vitamin dalam bentuk sirap dan kunyah ("chewable") mempunyai kadar penyerapan yg lebih baik berbanding dengan pil atau kapsul.

4. Banyak kajian epidemiologi dan pemerhatian menunjukkan bahawa amalan mengambil buah-buahan dan sayuran dikaitkan dengan kadar penyakit jantung, darah tinggi dan kanser yang lebih rendah serta jangkahayat lebih panjang.

5. Alasan paling penting adalah belum ada lagi hasil kajian yang kukuh menunjukkan amalan mengambil suplemen secara rutin meningkatkan mutu kesihatan, menurunkan kadar penyakit jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit kronik. Malahan semakin banyak kajian menunjukkan amalan mengambil suplemen boleh memudaratkan kesihatan termasuk kadar kematian yang lebih tinggi. Produk suplemen yang dikeluarkan oleh syarikat tidak memerlukan kawalan yang ketat daripada pihak FDA jadi keselamatannya tidak terjamin. Hanya beberapa jenis suplemen sahaja yg bermanfaat utk golongan tertentu seperti asid folik utk wanita yg ingin hamil, kalsium, vitamin D utk wanita yg putus haid dan gantian nutrient untuk pesakit2 yang kekurangan zat makanan (contoh: zat besi untuk kurang darah, vitamin D/kalsium untuk pesakit rickets dll).

Lima sebab yang dinyatakan di atas adalah bukti bahawa pengambilan buah2an dan sayuran dalam bentuk mentah adalah lebih baik daripada mengambil pil ataupun kapsul yang mengandungi vitamin, mineral dan lain-lain makanan tambahan.

Meskipun dengan bukti-bukti di atas, golongan yang pro kepada pengambilan suplemen termasuk penjual suplemen akan menggunakan hujah mereka sendiri untuk mempertahankan pendirian mereka. Terdapa 3 hujah yang selalu digunakan.

Tiga hujah tersebut adalah:

A. Manusia hari ini kekurangan vitamin dan mineral kerana tabiat makanan dan jenis makanan yang diambil
B. Buah2an dan sayuran yang ada di pasaran sudah tercemar dengan pelbagai agen pencemar.
C. Buah2an dan sayuran hari ini banyak yang dihasilkan melalui GMO ("Genetic modified Organism"). Betul ke GMO tidak baik?

MENANGKIS HUJAH PENJUAL SUPLEMEN

Ramai peniaga suplemen menggunakan hujah berikut untuk mempengaruhi orang ramai mengamalkan suplemen:

HUJAH 1: Manusia hari ini tidak mengambil cukup vitamin dan mineral di dalam makanan kerana tabiat makan dan makanan yang diproses.
JAWAPAN: Kekurangan vitamin dan mineral hanya berlaku jika seseorang tidak mengambil cukup makanan seperti yang berlaku di negara-negara mundur yang kurang bekalan makanan ataupun disebabkan oleh masalah penyakit malnutrisi. Penduduk negara kita menghadapi masalah mengambil makanan terlalu banyak sehingga menghadapi masalah kegemukan. Kekurangan vitamin dan mineral mungkin berlaku jika mereka suka mengambil makanan segera dan diproses tapi kurang mengambil buah2an dan sayuran segar. Tidakkah dengan galakan mengambil buah2an dan sayuran segar ini merupakan jalan penyelesaian kepada masalah pemakanan ini?

HUJAH 2 : Buah-buahan dan sayuran yang ada pada hari ini tidak bersih dan tercemar.
JAWAPAN: Pencemaran ini dapat diatasi dengan membasuh buah-buahan dan sayuran dengan betul. Basuhan air biasa mengeluarkan sehingga 85% pencemar (termasuk racun serangga) dan jika membasuh dengan larutan soda, boleh mengeluarkan hampir kesemuanya.Sakit baki pencemar yang sedikit ini tidak memudaratkan kesihatan kerana di dalam buah2an dan sayuran itu sendiri terkandung penawarnya. Badan manusia mempunyai kaedah detok semulajadi yang sangat berkesan melalui hati, buah pinggang dan darah. Ada buah-buahan seperti betik, pisang, nenas dan lain-lain yang perlu dikupas kulitnya dan kesan pencemar ke atas isi buah-buahan ini sangat minima. Terdapat pula pilihan produk2 yang dihasilkan secara organik jika mampu, tetapi ini bukan kemestian. Pilihan seterusnya adalah TANAM SENDIRI.

HUJAH 3: Buah-buahan dan sayuran hari ini adalah hasil GMO.
JAWAPAN: GMO adalah proses memodifikasi gene yang dilakukan ke atas biji buah dan sayur melalui kejuruteraan genetik supaya hasilnya menjadi lebih berkualiti dan tahan serangan perosak. Hampir semua ahli sains dan WHO berpendapat bahawa makanan hasil GMO tidak memudaratkan kerana modifikasi gene sememangnya sentiasa berlaku secara semulajadi. Proses GMO yang dilakukkan di makmal hanya mempercepatkan proses pembaikan gene daripada satu generasi kepada generasi selanjutnya. Tidak ada sebab mengapa gene yang telah dimodifikasikan akan memudaratkan kesihatan apabila ianya diambil oleh manusia. Tambahan pula belum ada kajian yang menunjukkan bahawa produk hasil GMO memudaratkan kesihatan. Ia dianggap satu perkembangan teknologi yang lebih maju.


DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
19hb Disember 2018

No comments:

Post a Comment