Friday 13 March 2020

MENGAPA MEMBASUH TANGAN DENGAN SABUN PILIHAN UTAMA UNTUK MENGHAPUSKAN COVID-19 DARI TANGAN ANDA




Mengikut Professor Kimia, Palli Thordason dari Universiti NSW, sabun berkesan menghapuskan virus termasuk Covid-19 dan membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun lebih berkesan dari hand sanitizer yang mengandungi alkohol. Untuk memahami bagaimana sabun boleh menghapuskan Covid-19, anda kena tahu tentang struktur virus ini. Ringkasnya Covid-19 dibina oleh 3 komponen utama iaitu molekul RNA (molekul yang membawa gene virus) di tengah dan dilindungi oleh selaput luar yang terdiri dari molekul protein dan molekul lemak (lihat rajah). Ikatan di antara molekul protein dan lemak ini tidak kuat dan boleh dileraikan.
Sabun pula terdiri dari molekul yang dikenali sebagai "Amphiphiles" di mana di satu hujung ia menarik air (hidrofilik) dan di hujung yang satu lagi menolak air (hidrofobik) tetapi menarik lemak. Apabila kita masukkan minyak (mewakili lemak) ke dalam air, minyak akan timbul di permukaan kerana tidak boleh bercampur dengan air. Tetapi apabila dimasukkan sabun, bahagian molekul sabun yang suka lemak akan menarik molekul lemak di dalam minyak dan hujung satu lagi akan tertarik ke arah air. Akibatnya minyak akan tertarik dan terkumpul di dalam air. Inilah juga kaedah bagaimana sabun mencuci/menarik minyak dari pinggan dan kemudian laluan air dari paip akan membersihkannya. Jika kita umpamakan Virus Covid-19 dengan satu unit titisan minyak tadi maka molekul sabun akan mengelilinginya dan menarik molekul lemak pada dinding virus dan ia boleh menarik keluar virus dari permukaan kulit ataupun meleraikan selaput virus.

Aliran air yang dikenakan ke atas kulit tangan semasa membasuh juga akan mengeluarkan virus yang sudah dileraikan dari permukaan kulit untuk dinyahkan dari badan. Memandangkan Covid-19 adalah virus bersaiz nano yang tersangat kecil ataupun nanopartikel maka ia boleh masuk ke celah alur kulit yang sangat halus dan liang2 roma. Aliran air yang biasa tidak mampu untuk mengeluarkan virus ini dari kulit dan inilah sebabnya kita perlu membasuh tangan dengan sempurna seperti yang disyorkan oleh WHO melalui teknik yang betul seperti di dalam gambar rajah di bawah (sekurang2nya 20 saat). Tisu sanitizer tidak dapat menggantikan keberkesanan membasuh tangan kerana alasan yang sama.

Alkohol membunuh virus dengan merosakkan protein di selaput luar melalui proses yang dikenali sebagai denaturasi. Alkohol hanya berkesan jika kepekatannya melebihi 60-70%. Tetapi jika tangan anda basah dan berpeluh ia akan mencairkan alkohol dan menyebabkan ia kurang berkesan. Jika tangan anda berminyak, virus mungkin terperangkap di dalam minyak dan sanitizer alkohol tidak berkesan untuk memusnahkannya. Tangan yang kotor juga mengurangkan keberkesanan alkohol. Alkohol tidak berkesan ke atas spora, beberapa jenis bakteria (cth: Clostridium sp) dan virus yang tidak berselaput (non-anvelope). Kelebihan mencuci tangan dengan alkohol adalah ia mudah digunakan di mana-mana dan tidak memerlukan air. Alkohol sanitizer adalah selamat dan tidak masuk ke dalam aliran darah tetapi ia adalah bahan mudah terbakar dan perlu disimpan di tempat yang sesuai. Jadi kaedah paling berkesan menghapuskan virus termasuk Covid-19 dari permukaan kulit tangan adalah membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun. Kata kuncinya adalah membasuh dengan kaedah yang betul.

Dato' Dr Rushdan Noor
14hb March 2020




https://mobile.twitter.com/PalliThordarson/status/1236549305189597189

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/community/home/cleaning-disinfection.html

https://www.drcheputeh.com/post/siri-50-hand-sanitizer-beralkohol-dan-tanpa-alkohol

https://www.google.com/amp/s/www.livescience.com/amp/57044-science-of-soap.html

1 comment: