TULISAN DARIPADA BUAH FIKIRAN DATO' DR.RUSHDAN NOOR DALAM PELBAGAI ASPEK KEHIDUPAN KHUSUSNYA BIDANG PERUBATAN DAN ISU-ISU SEMASA
Tuesday, 29 August 2023
PENGARUH MEDIA SOSIAL DALAM MENCIPTA PERSEPSI DAN SENTIMEN SEMASA PILIHANRAYA
Monday, 28 August 2023
BANGKIT BERSAMA, KITA TANGANI PENULARAN MITOS KESIHATAN DAN PRODUK OVERCLAIM
Salah sebuah NGO yang mendidik masyarakat tentang kesihatan dan menyanggah mitos yang wujud khususnya di dalam media sosial adalah Medical Mythbusters Malaysia (M3). Anak2 muda di dalam Medical Mythbusters Malaysia ini memang berbakat, dedikasi dan bekerja keras mendidik masyarakat walaupun secara sukarela. Daya tahan mereka tinggi dan bukan calang-calang orang sanggup melakukan apa yang sedang mereka usahakan. Halatuju perjuangan mereka jelas dan cabaran yang dihadapi bukan sedikit termasuk ancaman saman dan tidak kurang tohmahan. Saya berharap KKM dapat membantu NGO seumpama ini kerana sumbangan mereka bukan sedikit dan sebenarnya mereka juga meringankan tugas KKM yang berkaitan dengan aktiviti pendidikan ini.
Ancaman kesihatan terhadap rakyat negara kita bukan sahaja akibat dari kesan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat tetapi yang lebih penting adalah tahap kesedaran dan pendidikan. Ilmu yang salah akan menyebabkan amalan yang dilakukan juga salah. Jadi peranan NGO menyanggah mitos kesihatan ini sebenarnya sangat besar. Apa sahaja aktiviti kempen gayahidup sihat dan pencegahan penyakit akan gagal jika kita gagal mendidik masyarakat tentang mitos kesihatan. Tarikan dari pihak yang menyebarkan mitos itu lebih kuat. Ianya umpama mengisi air dalam bekas yang bocor, apabila lubang kebocoran itu lebih besar, bekas akan sentiasa kosong.
Pandemik Covid-19 telah mengajar kita betapa sukarnya sesuatu wabak untuk ditangani tanpa pengetahuan dan amalan yang betul tentang wabak dan pencegahan penyakit berjangkit. Mitos-mitos dan produk-produk overclaim menjadi wabak tambahan yang memberi kesan terhadap usaha kerajaan dan KKM menangani wabak ini.
Saya ingin mencadangkan agar KKM dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan NGO seperti ini dan memberi sokongan dalam apa sahaja bentuk bagi mengukuhkan lagi hasil kerja mereka. Di antara sokongan yang boleh diberikan adalah peruntukan kewangan, pengiktirafan, kepakaran dan khidmat guaman. Mungkin KKM boleh wujudkan satu jawatankuasa bertindak yang mempunyai fungsi yang hampir sama seperti mereka dan jawatankuasa ini akan menjalinkan hubungan serta menjadi pelengkap antara satu sama lain.
Penguatkuasaan undang2 dan peraturan mencegah penularan mitos kesihatan dan promosi produk overclaim perlu dipertingkatkan lagi. Mendidik dan menyanggah mitos semata2 tidak memadai kerana ianya perlu disertakan dengan penguatkuasaan peraturan dan undang2 yang lebih proaktif dan lebih berkesan. Satu rangka modus operandi penguatkuasaan yang lebih berkesan perlu diwujudkan agar aktiviti penyebaran mitos kesihatan dan penjualan produk overclaim ini dapat dikekang di negara kita. Ini mungkin dapat dilaksanakan melalui penglibatan pihak berkuasa dan Bahagian Amalan Perubatan di dalam jawatankuasa yang saya cadangkan di atas.
Tindakan tegas juga patut diambil ke atas mana-mana petugas kesihatan yang terlibat di dalam penyebaran mitos kesihatan dan penjualan produk overclaim. Terdapat dalam kalangan mereka yang menyebarkan maklumat kesihatan yang mengelirukan dan berbeza dengan garispanduan klinikal yang dikeluarkan oleh KKM sedangkan mereka berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.
KKM juga perlu menggalakkan penglibatan kakitangan di dalam aktiviti melawan mitos kesihatan dengan diberikan insentif kepada mereka yang terlibat. Jika tidak ada insentif, sokongan moral pun sudah memadai. Salah satu faktor perencat yang menyebabkan kakitangan KKM kurang berminat untuk aktif di dalam usaha ini adalah kekangan masa dan tidak ada jaminan yang kebajikan mereka akan terjaga. Mereka juga takut dengan tindakan saman. Jadi KKM perlu mencari mekanisma bagaimana kakitangan yang terlibat dilindungi samada melalui khidmat nasihat perundangan, pembiayaan khidmat guaman dan juga perlindungan dari tindakan undang-undang.
Dengan mengukuhkan lagi usaha mendidik masyarakat dan membenteras penyebaran mitos kesihatan serta produk overclaim ini saya pasti Misi dan Visi Kementerian Kesihatan akan dapat dicapai dalam masa yang lebih singkat.
Syabas saya ucapkan kepada M3, NGO yang seumpama (e.g MedtweetMy dll) dan semua "social media influencers" yang bergerak secara solo ataupun berkumpulan. Anda semua hebat dan teruskan perjuangan. Saya tidak dapat untuk tag Dr. Sakinah Sulong dan bersyukur dengan perkembangan terkini kes beliau.
Dato' Dr Rushdan Noor
28hb Ogos 2023
Saturday, 26 August 2023
WAJARKAH TINDAKAN MENBOIKOT PENYOKONG POLITIK LAWAN
Monday, 21 August 2023
MENGAPA RAMAI ORANG MELAYU MASIH TAKUT KEPADA PARTI DAP
Negara kita sudah selesai menyaksikan satu pilihanraya negeri yang melibatkan 6 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan. Di dalam pilihanraya negeri atau PRN ini kita dapat melihat betapa hebatnya kempen di kedua-dua belah pihak dengan menggunakan pelbagai isu.
Keputusan PRN di semua negeri telah diumumkan dan keputusannya adalah status quo di mana pihak kerajaan berjaya mengekalkan penguasaan di 3 negeri dan pembangkang juga di 3 negeri. Walaupun kelihatan seperti seimbang, namun ada satu fenomena yang menarik untuk diberi perhatian iaitu peralehan yang besar undi orang melayu kepada pembangkang. Mungkin momentum dari PRU15 masih berterusan ke PRN dan pembangkang lebih berjaya di dalam strategi "perang saraf" untuk mempengaruhi khususnya pengundi melayu memilih mereka. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan trend pengundian ini dan saya cuma memilih satu daripadanya yang saya fikir menarik untuk dibincangkan. Salah satu faktor yang seringkali disebut-sebut mempunyai kaitan dengan keputusan PRN yang lalu adalah faktor parti DAP (Demokrat Action Party). Faktor-faktor lain tentu telah dikupas dengan mendalam oleh penulis yang lain, jadi saya tidak akan mengulanginya lagi di sini.
Sebelum menulis rencana ini, saya mengambil masa membuat pembacaan dan sedikit penyelidikan tentang politik negara khususnya berkaitan dengan kerjasama di antara parti-parti politik di negara kita. Tumpuan lebih diberikan terhadap sikap dan tanggapan parti2 politik melayu serta pengikut mereka terhadap parti DAP.
Melalui pembacaan saya, penolakkan dan kemarahan terhadap parti DAP ini sudah lama wujud dan mungkin ditanamkan oleh pemimpin-pemimpin melayu terdahulu, jadi ianya bukanlah perkara baru. Saya kurang pasti apakah asas kebencian tersebut. Saya mengenali parti DAP semenjak tercetusnya peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Walaupun DAP menjadi sasaran serangan politik sekian lama, namun sejarah politik kita menunjukkan wujudnya kerjasama antara parti orang melayu dengan DAP berkali-kali di atas pelbagai alasan. Di sekitar tahun 1990, sudah ada gabungan DAP dengan parti PAS di dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Dari tahun 1999 hingga 2002, mereka bersama dalam Barisan Alternatif. Kemudiannya parti ini telah menjadi salah satu komponen di dalam Pakatan Rakyat (ditubuhkan pada tahun 2008) dan pada ketika itu parti PKR yang diasaskan oleh DSAI bekerjasama dengan DAP dan PAS. DAP juga bekerjasama dengan parti PPBM membentuk kerajaan 22 bulan pada tahun 2018 di mana pengerusi PPBM pada masa itu adalah Tun Dr. Mahathir.
Pelbagai kemelut politik berlaku semenjak 1998 dan apa yang saya nampak PKR, Amanah dan DAP konsisten di dalam pakatan hingga ke hari ini. Manakala parti PAS telah keluar dari pakatan tersebut pada tahun 2015. Jadi gabungan PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat ini berlangsung selama 7 tahun. Parti Amanah Negara yang ditubuhkan pada bulan September 2015 menyertai PKR dan DAP di dalam pakatan baru dinamakan Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Jadi Pakatan Harapan tidak mengandungi parti PAS. Kemudian bermulalah era pergolakan politik yang hebat menyebabkan Malaysia mempunyai 4 orang Perdana Menteri dalam masa 4 tahun. DSAI dilantik menjadi perdana menteri pada tahun 2022 hingga pada tarikh rencana ini ditulis. Yang menariknya, selepas berpuluh-puluh tahun bermusuhan di dalam politik, UMNO dan DAP dapat bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan, betul lah tidak ada yang mustahil dalam.politik.
Menyingkap kembali punca parti PAS keluar dari Pakatan Rakyat, saya difahamkan akibat daripada keengganan kepimpinan DAP untuk menyokong perlaksanaan pemerintahan Islam versi yang dibawa oleh parti PAS. Sejauh mana kebenaran maklumat ini tidak dapat dipastikan tetapi jika itulah alasannya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana parti DAP itu dipimpin oleh orang bukan Islam sama seperti parti MIC, MCA dan Gerakan. Malahan tiga parti lain yang saya sebutkan itu adalah parti satu kaum, sedangkan DAP mempunyai ahli berbangsa melayu dan india. Parti Gerakan yang bersama PAS di dalam gabungan Perikatan National sekarang, pernah membawa isu perlaksanaan Hudud ke mahkamah Persekutuan (1). Parti Gerakan memfailkan notis usul perkara 4(3) dan 4(4) perlembagaan persekututan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud itu tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Parti Gerakan juga pernah mencabar keputusan mahkamah tinggi Pulau Pinang yang membenarkan tulisan jawi diajar di sekolah venakular Cina dan Tamil di negara ini (2). Kes terbaru adalah penentangan parti Gerakan terhadap cadangan memasukkan pengajian hadith 40 imam Nawawi kepada pelajar-pelajar melayu di sekolah agama dan sekolah kebangsaan (14). Terlintas juga di fikiran saya, mengapa selepas 7 tahun bersama dengan DAP, tiba-tiba memberikan alasan tersebut untuk berpisah. Mungkinkah ada alasan lain, saya tidak pasti. Hari ini parti PAS boleh pula bersama dengan parti Gerakan di dalam Perikatan National.
Bagi saya tindakan parti-parti yang pemimpinnya bukan beragama Islam ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana yang pertama, mereka bukan beragama Islam dan kedua, dalam kalangan pemimpin melayu sendiri pun perkara-perkara ini masih dibincangkan dan kata putus belum dibuat. Pemimpin PAS sendiri pernah mengakui bahawa hukum hudud masih sukar dilaksanakan sekarang kerana kekangan perlembagaan dan tidak mendapat sokongan yang kuat dari pemimpin melayu yang lain (3). Dari kenyataan pemimpin PAS ini jelas menunjukkan bahawa dalam kalangan pemimpin melayu pun ada yang tidak menyokong. Malahan terdapat agamawan yang beranggapan bahawa kita belum lagi bersedia untuk melaksanakan hukum hudud (4). Maksudnya dalam kalangan sarjana Islam pun berlaku perbezaan pendapat di dalam isu perlaksanaan hukum hudud. Walaupun mereka sebulat suara mengakui kewajipan untuk melaksanakannya tetapi faktor bila dan bagaimana masih diperdebatkan (5). Pemimpin tertinggi parti PAS sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hukum Hudud dan Qisas sukar untuk dilaksanakan jika keadaan rakyat belum stabil (6). Manakala pemimpin melayu islam yang paling lama memerintah negara kita iaitu Tun Mahathir pernah membuat kenyataan tidak setuju dengan hudud (15).
Bagaimana pula tanggapan yang menuduh parti DAP ini pro-komunis ? Saya dapati tuduhan pro-komunis yang dibuat oleh seorang pemimpin melayu tersebut adalah berdasarkan kepada alasan adanya ahli parti yang tidak percaya kepada tuhan dan yang menyokong supaya abu mayat bekas ketua komunis malaya , Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia. Ada beberapa lagi alasan yang tidak berapa jelas. Sekali lagi, jika inilah alasan yang diberikan, maka ianya bukanlah satu bukti yang kukuh dan mungkin setakat pendapat peribadi semata-mata. Malahan pemimpin parti Gerakan Pulau Pinang pernah memohon agar pemimpin parti komunis itu dibenarkan pulang ke Malaysia, pada ketika itu Chin Peng masih lagi hidup (7). Apa-apa pun, saya berpendapat alasan yang berkaitan dengan Chin Peng ini bukanlah bukti yang kuat untuk menuduh bahawa parti-parti ini membawa ideologi komunis. Samalah seperti pemimpin yang bertemu dengan pemimpin komunis China bukan bermakna menyokong ideologi komunis, bertemu dengan pemimpin syiah di Iran bukan bermaksud menyokong ideologi syiah. Pencarian maklumat yang saya buat menunjukkan bahawa penubuhan parti DAP ini diinspirasikan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew adalah seorang pemimpin yang diketahui sangat anti-komunis. Jadi tuduhan pro-komunis tidak mempunyai asas yang kukuh. Di dalam laman web DAP juga ada dinyatakan yang parti DAP ditubuhkan di atas ideologi sosial demokrasi dan bukan komunis (8).
Mungkin terdapat kenyataan-kenyataan yang agak keras dan mengguris perasaan orang melayu dilakukan oleh beberapa orang pemimpin parti DAP , namun ianya dilakukan oleh individu dan tidak mewakili pendirian parti. Jadi kita perlu bijak membezakan pendirian individu dengan prisip parti. Mana-mana parti sekalipun tentu ada beberapa orang pengikut dan pemimpin yang terlanjur perkataan ataupun bersikap keterlaluan, sedangkan ianya tidak direstui oleh parti mereka.
Parti-parti politik yang ditubuhkan di Malaysia perlu mendapat kelulusan ROS dan apa sahaja yang terkandung di dalam perlembagaan parti mestilah tidak bercanggah dengan Perlembagaan persekutuan. Maka kita bolehlah menyimpulkan bahawa semua parti politik yang telah diluluskan penubuhannya adalah parti politik yang sah dan tidak bercanggah dengan perlembagaan. Perlembagaan negara kita jelas meletakkan agama Islam, Raja-raja melayu, Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu pada kedudukan yang istimewa. Jadi semua parti-parti politik yang bertanding di dalam setiap pilihanraya negara kita akur dengan perkara-perkara tersebut. Jika tidak, tentulah parti mereka akan diharamkan.
Tuduhan anti-Islam adalah sangat berat dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya samada terhadap orang bukan Islam ataupun orang Islam yang lain. Mengikut pendapat Prof Madya Dr. Ruzman Md Noor, Pensyarah Akademi Islam , Universiti Malaysia, dakwaan anti-Islam tidak boleh diputuskan oleh individu ataupun kumpulan, sebaliknya ianya adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri-negeri atau Parlimen bagi Wilayah Persekutuan. Begitu juga dengan status kafir harbi dan kafir zimmi yang hanya boleh diputuskan oleh autoriti agama yang sama. Selagi tidak diputuskan ataupun difatwakan seseorang individu ataupun kumpulan itu sebagai anti-Islam ataupun kafir harbi, maka mereka itu bukanlah anti-Islam. Menuduh tanpa bukti yang kukuh adalah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak adil.
Begitu juga dengan perkataan Liberal yang seringkali disalah-erti dan diguna sewenang-wenangnya. Liberal bermaksud kebebasan, keterbukaan dan kesamarataan. Liberal di dalam bersosial (Liberalisme Sosial) merujuk kepada kebebasan untuk bersuara, mendapat pembelaan sama rata dan tidak ada diskriminasi. Liberalisme ekonomi yang membawa maksud suatu polisi yang mengurangkan regulasi dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara, bagi menarik penglibatan lebih aktif oleh pihak swasta. Liberal dalam makna yang dinyatakan ini tidak bertentangan dengan agama. Anda boleh membaca tulisan Dato Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri tentang tajuk ini secara lebih mendalam (9). Berbeza dengan istilah Islam Liberal iaitu suatu aliran pemikiran yang memberikan kebebasan mutlah kepada individu dalam menafsirkan ajaran Islam tanpa terikat dengan dasar dan sumber ajaran Islam yang telah disepakati oleh para ulama muktabar (10). Pengamal Islam Liberal ini menganggap semua agama itu benar belaka (pleuralisme), kebebasan berkahwin campur (berbeza agama), wanita boleh mengimami sembahyang lelaki, desakan menafsir semula quran dan lain-lain yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam. Sama seperti tuduhan anti-Islam, dakwaan fahaman Islam Liberal ini adalah juga di bawah bidang kuasa autoriti agama. Tuduhan tanpa bukti adalah berat dan zalim, apatah lagi jika tuduhan itu ditujukan kepada orang Islam yang lain kerana ianya boleh dianggap satu bentuk amalan takfiri.
Kita tidak nafikan tentang bahayanya ideologi Islam Liberal, tetapi pada waktu yang sama kita juga patut bimbang dengan keujudan kelompok yang mudah mengkafirkan serta menyesatkan orang Islam yang lain hanya kerana perbezaan fahaman politik. Kedua-dua golongan ini boleh membawa mudarat yang besar kepada masyarakat kita.
Salah satu lagi faktor kebimbangan orang melayu terhadap parti DAP adalah prinsip Malaysian Malaysia yang dibawa oleh parti ini. Kalau kita membaca perlembagaan parti ini, mendukung perlembagaan negara adalah perkara yang paling atas dan Malaysia Malaysia dinyatakan dalam perenggan penyatuan semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Malaysian Malaysia ini asalnya diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew di dalam parti PAP. Ia menekankan kesamarataan dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang. Maka ianya tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip kemanusiaan dan agama kerana tidak ada agama yang menyokong ketidakadilan dan diskriminasi. Tambahan pula, Setiausaha Agung DAP sendiri menegaskan yang DAP tetap mempertahankan perlembagaan negara, malahan di dalam kongres parti ini pada bulan September 2023, tiga daripada 9 resolusi yang diluluskan oleh parti ini adalah menyokong keistimewaan diberikan kepada Agama Islam, Bangsa melayu dan Bahasa Melayu (16). Dengan pendirian DAP ini, tidak salah kalau kita katakan konsep Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP bukan dicedok bulat-bulat dari apa yang dibawa oleh PAP.
Akhir sekali, saya ingin mengajukan satu soalan yang sangat penting iaitu adakah kebencian yang wujud di dalam kalangan orang melayu terhadap parti DAP adalah sesuatu yang berasas ataupun hanyalah prasangka semata-mata, akibat daripada doktrinisasi yang ditanam di dalam minda sekian lama. Adakah kebencian atau ketakutan ini sengaja dicipta untuk tujuan kepentingan politik, meraih sokongan dan menang pilihanraya? Saya serahkan jawapannya kepada pembaca-pembaca semua.
Secara peribadi setelah mengikuti perjalanan parti ini semenjak saya mula faham tentang politik dan melihat sendiri contoh pemimpin-pemimpin DAP yang menjadi menteri dalam kerajaan serta meneliti isi kandungan perlembagaan parti (11), saya mengambil pendirian untuk berbaik sangka. Beberapa orang menteri dari parti DAP adalah di antara menteri-menteri yang paling menonjol dan berkebolehan. Mereka berbudi bahasa, mempunyai penguasaan bahasa melayu yang sangat baik, menghormati agama Islam dan belum pernah saya mendengar mereka menghina raja-raja melayu kita. Saya percaya, ramai lagi orang melayu di Malaysia mempunyai pendirian yang sama. Lagipun, kesemua parti-parti politik utama melayu di Malaysia (PAS, PKR, PPBM, Amanah, UMNO) sudah pernah atau sedang bekerjasama dengan DAP di dalam gabungan parti. Mengapa semasa bersama, semuanya OK, tetapi bila berpisah, semuanya tak OK. Tak mustahil selepas ini parti melayu lain seperti PAS dan PPBM akan kembali bekerjasama dengan DAP.
Adakah mungkin faktor pengaruh DAP itu lebih besar berbanding dengan parti-parti bukan melayu yang lain menjadi salah satu punca DAP dianggap satu ancaman. Tetapi sebesar mana sekalipun DAP, parti orang melayu tetap majoriti, kita mempunyai Raja-Raja melayu dan perlembagaan memelihara hak kita. Alangkah baiknya jika orang-orang melayu bersatu dan ini tentulah tanggungjawab yang patut dipikul oleh pemimpin-pemimpin melayu sendiri.
Pilihanraya sudah selesai dan wakil-wakil rakyat sudah mengangkat sumpah untuk memulakan tanggungjawab dan melaksanakan janji yang telah dibuat sebelum pilihanraya. Sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia bersatu padu dan bekerjasama demi masa depan negara yang lebih baik, tidak kira apa latar belakang kita. Ketepikan sikap perkauman yang sempit dan jangan mudah terpedaya dengan fitnah serta propaganda. Satu perkara lagi , jangan mudah terpengaruh dengan tulisan-tulisan, klip video, tiktok dan ucapan-ucapan yang mengarah kepada kebencian sesama manusia. Selidiki dahulu semua maklumat dan jangan mudah termakan hasutan. Perpecahan dan ektremisme akan membantut usaha ke arah memajukan dan memakmurkan negara kita. Kepada ahli politik, berpolitiklah dengan penuh matang, beretika dan berakhlak agar menjadi contoh tauladan yang baik. Kerajaan dan pembangkang memainkan peranan masing-masing supaya ada semak dan imbang di dalam melayari bahtera untuk kemajuan negara tercinta.
Saya sarankan anda untuk membaca rencana tulisan Dato' Seri Dr.Zulkifli Al-Bakri mengenai panduan hidup bersama orang-orang bukan Islam dalam negara majmuk seperti Malaysia dengan apa yang dinamakan sebagai konsep Fiqh Al-Ta'ayush. (12)
Baca juga tulisan saya tentang Scammer di dalam politik untuk mengenali ciri-ciri ahli politik yang menggunakan platform politik untuk tujuan peribadi ataupun kumpulan mereka, sehingga rakyat menjadi mangsa.(13).
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
22hb Ogos 2023
RUJUKAN
1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gerakan-bawa-kes-hudud-ke-mahkamah-persekutuan-59547
2. https://malaysiagazette.com/2019/11/30/tulisan-jawi-gerakan-mahu-cabar-keputusan-mahkamah/
3.https://www.malaysiakini.com/news/613915
4.https://www.ukm.my/news/Latest_News/malaysia-belum-bersedia-laksanakan-hudud-bicara-persada/
6. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2008/12/28/hadi-situasi-tidak-stabil-sukar-laksana-hudud
7.https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/05/20/gerakan-harap-chin-peng-dibenar-kembali-ke-malaysia
8.https://dapmalaysia.org/en/about-dap/#history
9. https://zulkiflialbakri.com/al-bayan-siri-12-dari-liberalisme-ke-islam-liberal-satu-sorotan/
10. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15852
11. https://dl.dapmalaysia.org/repository/Eng_Constitution_july_2022.pdf
13. https://www.minda2tinta.com/2023/08/scammer-di-dalam-politik.html
14. https://harapandaily.com/gerakan-bantah-hadis-40-imam-nawawi-di-sekolah-mana-suara-pas/
TULISAN INI ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 ORGANISASI DAN INSTITUSI. MAAF JIKA ADA TULISAN SAYA INI YANG MENGGURIS PERASAAN MANA-MANA PIHAK ATAUPUN ADA FAKTA-FAKTA YANG TIDAK TEPAT.
Perlembagaan Parti DAP
Saturday, 19 August 2023
SCAMMER DI DALAM POLITIK
Dalam semua aspek kehidupan, terdapat individu ataupun kumpulan yang cuba mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri ataupun kumpulannya. Apabila cara yang digunakan itu melibatkan penipuan dan kerugian orang lain ianya boleh dianggap satu bentuk scam. Terdapat banyak jenis scam yang wujud di negara kita seperti Macau Scam, Scam E-Dagang, Keldai Akaun, Phishing, Love Scam, Pengubahan wang haram dan banyak lagi.
Untuk kali ini saya ingin mengupas satu lagi bentuk penipuan ataupun manipulasi yang jarang diperkatakan orang iaitu SCAM POLITIKAL ataupun scam yang dilakukan oleh orang politik.
Politik adalah satu ilmu berkenaan cara pemerintahan sesebuah negara dan hubungannya dengan negara lain (Kamus Dewan). Jadi politik adalah baik dan bertujuan memakmurkan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, politik boleh disalahgunakan untuk tujuan kepentingan diri sendiri. Apabila politik digunakan untuk habuan diri atau sesuatu kumpulan sehingga melibatkan kerugian, menjejaskan kepentingan rakyat dan kehilangan wang ringgit, maka ianya bolehlah dianggap satu bentuk scam. Imbuhan politik juga termasuk sesuatu yang bukan bersifat kebendaan seperti penguasaan ideologi dan kepercayaan. Ada ahli politik yang sebelum masuk politik sudah menanam niat untuk mendapat habuan dalam bentuk wang, harta dan kekuasaan. Mungkin ada juga yang asalnya berniat baik tetapi apabila sudah berada di dalamnya terikut2 dengan amalan yang telah menjadi budaya ataupun norma.
Penyalahgunaan wang rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh ahli politik boleh dianggap satu perbuatan scam. Menipu rakyat dengan janji-janji palsu juga dianggap scam politik. Adapun janji yang tidak mampu ditunaikan bukanlah satu bentuk penipuan. Menyalahgunakan isu 3R iaitu Raja-Raja (Royals), Kaum (Racial) dan Agama (Religion) untuk memancing undi adalah juga satu bentuk scam. Mengapi-apikan sentimen perkauman dan menunggang agama boleh dianggap satu bentuk penipuan yang bertujuan untuk mendapatkan undi dan sokongan. Ahli-ahli politik yang melakukan perkara di atas bolehlah dianggap scammer.
Mungkin ramai yang pertikai penggunaan istilah "Menunggang Agama", kerana perkataan ini agak kabur tetapi ingin saya jelaskan bahawa dalam konteks rencana ini, maksud "menunggang" adalah menggunakan elemen agama yang palsu ataupun bukan pada tempatnya bertujuan semata-mata untuk memancing undi dan menarik sokongan. Ini termasuklah menggunakan dalil quran atau hadith di luar konteks semata-mata untuk membenarkan apa yang diucap dan perbuatan yang dilakukan. Contoh menunggang agama adalah memberi janji palsu kepada pengundi bahawa mengundi partinya boleh masuk syurga dan mengundi parti lawan masuk neraka. Begitulah juga menganggap partinya memperjuangkan Islam dan parti lawan menentang Islam. Mengkafirkan orang Islam lain kerana perbezaan fahaman politik juga termasuk di dalam kategori menunggang agama untuk tujuan menarik sokongan kepada parti politiknya. Menanam ketaksuban kepada pengikut-pengikut juga termasuk dalam kategori menunggang agama kerana taksub adalah sifat yang dicela kerana taksub ataupun fanatik adalah salah satu ciri-ciri melampau dalam beragama.
Sabda Rasulullah saw bermaksud " Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana mereka melampau dalam agama".
Allah berfirman di dalam Surah Al Maidah ayat 77 bermaksud " Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul".
Scam politik yang saya sebutkan di atas kesemuanya boleh memberi kesan buruk kepada negara dan menjejaskan hubungan baik sesama Islam. Ianya juga boleh menyebabkan ketegangan antara kaum. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh menyebabkan ketidakadilan, negara menanggung hutang yang besar dan masalah ekonomi. Masalah ekonomi menjejaskan semua aktiviti dan usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara. Rasuah adalah umpama anai-anai yang memakan tiang dan dinding, luar nampak elok tetapi di dalam sudah hancur dan rumah menunggu masa untuk runtuh.
Menyalahgunakan isu 3R boleh menyebabkan perpecahan sesama Islam dan ketegangan antara kaum. Polarisasi kaum boleh berlaku akibat daripada sikap perkauman yang sempit. Institusi raja-raja dipandang rendah sedangkan inilah payung negara. Kesetiaan kepada raja-raja adalah salah satu rukun negara. Raja-raja di negara kita dianggap ketua agama dan juga pemerintah yang paling tinggi kedudukannya. Bayangkan jika Raja-Raja tidak dihormati dan dihina, negara boleh menjadi huru hara dan rakyatnya berpecah belah. Pasca PRU-15 baru-baru ini telah membuktikan betapa pentingnya peranan Yang Dipertuan Agung di dalam menentukan halatuju pemerintahan negara. Dengan kuasa yang baginda miliki, kerajaan perpaduan dapat ditubuhkan dan pemerintahan negara dapat berjalan walaupun tidak ada mana-mana parti politik yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Sikap taksub dan fanatik yang ditanamkan ke dalam diri pengikut boleh menjadi bibit-bibit ekstremisme. Orang yang taksub akan menganggap dirinya sahaja yang betul dan orang lain salah. Taksub kepada seseorang akan menyebabkan orang tersebut dianggap maksum, tidak melakukan kesalahan dan apa yang diperkatakan semuanya benar belaka. Taksub menyebabkan seseorang itu mudah menuduh orang lain dari parti politik lain sebagai tidak baik dan melabelkan mereka dengan pelbagai nama yang jelik. Jika eleman agama disalahgunakan, parti A menganggap parti B kurang keislamannya, kafir ataupun sesat. Taksub juga menyebabkan perasaan benci kepada orang lain yang tidak sependapat. Sedangkan politik hanya salah satu kaedah daripada banyak lagi pendekatan untuk berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam. Fahaman politik adalah ijtihad semata-mata. Akibat daripada sikap taksub, seseorang mudah membenci orang lain, bersikap kasar di dalam pertuturan, mudah memaki hamun orang lain, merendah-rendahkan orang lain dan tidak bertolak ansur. Jika penyakit taksub ini tidak ditangani, akhirnya boleh mencetuskan pergaduhan dan persengketaan dalam bentuk keganasan.
Sengaja memfitnah ataupun menyebarkan berita palsu tentang lawan politik juga dianggap satu bentuk penipuan yang bertujuan untuk mendapatkan laba politik. Fitnah menyebabkan salahfaham dan buruk sangka yang akan menjadi api kebencian sesama manusia. Suka memfitnah bolehlah dianggap salah satu ciri-ciri scammer politik.
Scam politik ini bukan mudah untuk ditangani dan tidak akan dibincangkan dengan mendalam di dalam rencana ini. Pemimpin politik asalnya rakyat biasa, jadi dari rakyat biasa mereka menjadi pemimpin. Pemimpin adalah bayangan rakyat yang memilih mereka. Pemimpin yang baik dipilih oleh rakyat yang baik, begitulah sebaliknya. Pendidikan agama dan moral perlu ditanamkan dari peringkat kanak-kanak oleh ibubapa. Ibubapa yang cemerlang selalunya akan menghasilkan anak-anak yang cemerlang. Anak-anak ini akan membesar dan menjadi individu dewasa yang kemudiannya membina keluarga. Individu yang cemerlang adalah mereka yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berintegriti. Jadi semuanya bermula dari institusi keluarga, bertitik tolak dari sistem pendidikan yang berkualiti dan berkesan. Apabila keluarga cemerlang, masyarakat pun cemerlang. Apabila masyarakat cemerlang, pemimpin yang bakal dihasilkan nanti tentu juga cemerlang. Ahli-ahli di dalam masyarakat yang terdidik ini juga tidak mudah menjadi mangsa scammer. Akhirnya scam politik hanya akan menjadi sejarah hitam yang tidak berulang.
Tulisan ini bukan bertujuan untuk membuat tuduhan secara pukal terhadap semua pemimpin-pemimpin politik. Kita tidak pasti berapa ramai yang boleh dikategorikan sebagai scammer politik. Ramai ahli-ahli politik yang ikhlas, yakin dengan perjuangan dan bekerja keras kerana ingin membantu rakyat tanpa mementingkan diri sendiri. Tidak kurang dalam kalangan mereka yang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berjuang bertahun-tahun lamanya. Pemimpin politik ini akan tetap dihargai dan diingati oleh rakyat dari dahulu, hari ini dan masa akan datang.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
19hb Ogos 2023
Tulisan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi ataupun institusi. Ianya adalah tulisan bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus.
Wednesday, 16 August 2023
PESANAN KEPADA PEMBERI TESTIMONI PRODUK KESIHATAN OVERCLAIM
PESANAN KEPADA PEMBERI TESTIMONI PRODUK KESIHATAN OVERCLAIM
Jika anda selalu membaca tulisan saya mengenai bagaimana membuktikan keberkesanan sesuatu produk kesihatan, tentu anda faham mengapa testimoni dianggap kaedah yang paling LEMAH untuk tujuan tersebut. Malangnya testimoni masih digunakan oleh ramai penjual dan pengedar produk kesihatan khususnya dalam kategori produk "overclaim". Mereka menggunakan khidmat beberapa orang pengguna sebagai subjek yang memberi testimoni.
Apabila saya melihat wajah2 pemberi testimoni ini, perasaan saya bercampur baur antara kasihan, sedih dan terkilan. Kasihan sebab mereka mungkin tidak sedar bahawa produk yang mereka ambil itu sebenarnya tidak berkesan dan kesan positif yang mereka alami itu tidak ada kaitan dengan produk tersebut ataupun mereka mengalami kesan plasebo semata2. Saya sedih kerana mereka mungkin dijadikan umpan untuk melariskan jualan produk.
Bagaimana pula individu yang sengaja memberi testimoni palsu ataupun menokok tambah fakta untuk tujuan mempromosi produk? Tindakan ini tentu akan memerangkap ramai orang dan boleh mengancam kesihatan serta pembaziran wang ringgit.
Justeru, menjadi seorang pemberi testimoni ini mempunyai tanggungjawab yang sgt besar kerana mereka mungkin boleh memudaratkan orang lain. Kesannya tentu lebih serius jika melibatkan penyakit yang berat seperti kanser, sakit buah pinggang, diabetes, jantung dan lain2. Kita belum lagi membicarakan isu kesan sampingan yang diakibatkan oleh pengambilan produk ini, lazimnya pengambilan produk ini tidak mempunyai sistem rawatan susulan dan pemantauan yang betul.
Mengapa testimoni boleh mengelirukan? Contohnya ada 100 orang yang mengambil produk tersebut dan hanya 5 orang sahaja yang berkesan (itu pun belum tentu ada kaitan dengan produk yg diambil, mungkin sembuh disebabkan faktor lain ataupun kesan plasebo), kadar keberkesanan hanya 5%. Maksudnya hanya 5% (5/100) BERKESAN dan 95% TIDAK BERKESAN. Pengguna yang 5% ini akan digunakan sebagai pemberi testimoni dan dakwaan mereka diviralkan, sedangkan baki 95% yang tidak berkesan itu akan dilupakan. Melalui kesan viral 5% inilah lebih ramai pengguna dapat ditarik sehingga mungkin berpuluh ribu orang. Bayangkan 5% daripada 100,000 pengguna, sudah ada seramai 5,000 orang, nampak besar bukan tetapi sebenarnya 95% pengguna yang lain iaitu 95,000 orang hanya membazirkan wang semata2. Seperkara lagi, 5% yang berkesan itupun belum tentu berpunca dari pengambilan produk tersebut. Penjual produk pula untung untuk kesemua 100,000 jualan. Kalau satu produk untung RM10 bersih, keuntungan bersih sudah mencecah RM1 juta.
Dengan kemudahan sistem penyampai maklumat hari ini, testimoni yg diberikan akan terus hidup selagi produk itu masih berada di pasaran. Ini bermaksud, jika testimoni itu adalah satu pembohongan ataupun maklumat yang tidak benar, kesan mudaratnya akan berterusan selagi produk itu dibeli dan digunakan. Mungkin ramai pemberi testimoni sudah meninggal dunia, tetapi testimoni mereka itu akan terus digunakan dan kesannya akan berlanjutan. Jadi sebelum mengambil keputusan untuk menjadi seorang pemberi testimoni, fikirkan masak2 kesannya kepada orang lain pada masa ini dan masa akan datang. Apabila anda mengalami masalah kesihatan, berjumpalah dengan doktor kerana doktor perubatan telah dilatih untuk memilih jenis ubat yang betul untuk anda.
Dato' Dr Rushdan Noor
17hb Ogos 2023
Friday, 4 August 2023
MAQASID SYARIAH: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU
MAQASID SYARIAH: APA YANG ORANG AWAM PERLU TAHU
Sebagai orang awam, kita patut mengetahui beberapa istilah yang sering digunakan oleh agamawan kita di dalam media sosial ataupun majlis perbincangan. Saya selalu terjumpa dengan perkataan Maqasid Syariah. Disebabkan perkataan ini seringkali digunakan, maka rasa rugi kalau saya terlepas daripada mengetahui tentangnya. Saya pun membuat pembacaan dan bertanya kepada ahlinya. Saya memberanikan diri untuk berkongsi maklumat mengenai maksud Maqasid Syariah supaya walaupun tidak mendalami, sekurang-kurangnya kita tidak terasa asing dengan perkataan ini. Jika saya salah, tolong perbetulkan.
Syariah adalah aturan hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk kemaslahatan umat manusia. Ia adalah peraturan yang telah ditetapkan Allah kepada manusia, samada berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah, mahupun hubungan manusia sesama manusia. Rujukan kepada hukum adalah bersumberkan Quran, Sunnah dan Ijmak Ulamak. Setiap syariat yang ditetapkan itu pasti ada matlamatnya iaitu untuk kebaikan umat dan mencegah kemudaratan.
Maqasid Syariah pula adalah TUJUAN ataupun MATLAMAT syariat tersebut. Maqasid Syariah boleh diumpamakan seperti “BUAH” yang dipetik hasil daripada perlaksanaan syariah (Al-Raysuniy). Apabila menanam pokok, ada peraturan dan teknik penjagaan yang betul untuk menghasilkan pokok yang subur supaya buah yang dihasilkan ranum dan sedap.
Ulamak berpendapat bahawa Maqasid Syariah tidak dianggap dalil perundangan Islam, namun ia adalah pendekatan untuk lebih mendalami dalil yang kuat dan fakta yang sahih.
Imam Al Ghazali menggariskan 5 Maqasid Syariah iaitu:
1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)
Kita ambil contoh mudah iaitu salah satu syariat Islam adalah mengeluarkan zakat. Apakah Maqasid Syariah amalan Zakat? Terdapat 10 matlamat amalan zakat termasuk membersihkan harta, membersihkan jiwa pemberi dan penerima, mencegah hasad dengki, meningkatkan ekonomi dan lain-lain. Matlamat inilah Maqasid Syariah. Tetapi untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan kaedah perlaksanaan yang cekap dan selari dengan syariah. Perlaksanaan terbaik (mengutip dan membahagikan zakat) akan membuahkan hasil terbaik. Perlaksanaan memerlukan buah fikiran, komitmen dan kerjasama golongan ulamak,pemerintah dan cendikiawan di dalam menghasilkan pelan tindakan yang terbaik. Pelan tindakan yang terbaik sahaja tidak cukup jika tidak ada komitmen yang jitu daripada golongan pelaksana.Jadi memang mudah untuk menetapkan Maqasid Syariah tetapi sangat sukar untuk mencapainya kerana ujudnya kelemahan semasa proses perlaksanaan.
Pendek kata Maqasid Syariah melibatkan semua aspek kehidupan daripada sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya. Saya tertarik dengan salah satu contoh kecil yang relevan di dalam masyarakat kita iaitu memakai tudung untuk menutup aurat. Memakai tudung itu adalah perlaksanaan, manakala Maqasih Syariahnya adalah kesopanan dan kepatuhan kepada hukum Allah. Tetapi jika pemakainya tidak bersopan, tidak tercapailah Maqasih Syariah. Begitu juga wanita yang tidak memakai tudung tetapi sopan juga tidak mencapai Maqasih Syariah kerana di dalam perlaksanaan, syariah tidak dipatuhi.
Perbincangan tentang Maqasid Syariah tentulah sangat panjang dan hanya layak diberikan oleh ilmuan-ilmuan Islam kerana sifatnya yang sangat luas merangkumi keseluruhan hidup manusia. Ianya dianggap perbincangan tahap tinggi dalam Islam dan memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap hukum (tekstual dan kontekstual). Orang awam seperti kita tidak layak untuk memberi pendapat apabila timbul isu-isu kontroversi mengenai Maqasid Syariah. Biarlah isu-isu ini dibincangkan oleh golongan yang berkelayakan seperti mufti, ulamak dan ahli akademik.
Untuk mencapai Maqasid Syariah ini kita memerlukan kepimpinan ulamak yang serba boleh, berpengetahuan luas bukan sahaja tentang hukum hakam agama, tetapi juga ilmu keduniaan. Inilah kelemahan yang dihadapi oleh Islam hari ini, kita masih ketandusan golongan ilmuan serba boleh seperti ini. Walau bagaimanapun ini boleh diatasi dengan kaedah kolaborasi yakni membawa kepakaran-kepakaran ini kepada satu meja perbincangan yang sama. Di dalam perlaksanaan mencapai Maqasih Shariah, satu lagi golongan yang penting dan tidak boleh disisihkan adalah pemimpin (umarak) kerana mereka memegang kuasa pemerintahan.
Menurut A.Prof Dr.Ruzman daripada Akademik Pengajian Islam, UM, tidak semua Maqasid Shariah itu dapat ditemui, maksudnya kita tidak tahu mengapa Allah menetapkan sesuatu Syariah, tidak tercapai akal manusia untuk mencarinya. Di dalam keadaan ini, kita hanya perlu meletakkan keabdian dan kepatuhan kepadaNya.
Disebabkan oleh masyarakat yang semakin kompleks dan teknologi berkembang dengan pesat, maka perlaksanaan untuk mencapai Maqasid Syariah juga berubah-ubah mengikut masa dan menjadi lebih kompleks berbanding dengan masa lampau. Pendek kata ianya bersifat dinamik walaupun prinsipnya sama. Kaedah perlaksanaan inilah yang seringkali menjadi perdebatan sehingga kadangkala menyebabkan berlakunya pertelingkahan. Dengan kompleksiti masyarakat dan kepesatan ilmu ini maka kita sebenarnya memerlukan golongan agama yang lebih tinggi darjat keilmuan dan kebijaksanaannya.
Saya kongsikan kebimbangan Prof Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi berkenaan dengan apa yang sedang berlaku di dalam dunia Islam hari ini iaitu sudahlah kita ketandusan ulamak yang serba boleh, ulamak-ulamak yang ada pada hari ini pula sedang berbalah sesama sendiri sehingga berlaku perpecahan. Punca perpecahan yang paling ketara adalah kegagalan untuk menangani perbezaan pendapat. Apa yang malang sekali adalah perpecahan ini disebabkan oleh berbalah mengenai isu-isu ranting sehingga isu-isu pokok tertinggal ke belakang. Jika ini berterusan, maka jauhlah lagi perjalanan kita untuk mencapai Maqasid Syariah seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali itu.
Prof Zuhdi juga menekankan mengenai betapa pentingnya perpaduan umat Islam sehingga beliau mencadangkan satu lagi Maqasid Syariah iaitu Memelihara Hubungan. Perpecahan boleh menyebabkan kita gagal mencapai Maqasid Syariah. Akibat perpecahan, sebuah tamadun boleh runtuh. Katanya, akibat perpecahan juga, majoriti menjadi minoriti kerana sudah terpecah kepada banyak kumpulan sehingga akhirnya golongan yang benar-benar minoriti boleh menguasai golongan yang asalnya majoriti.Jika kita masih lagi bersikap tidak kisah dan tidak mengambil berat isu perpecahan ini, maka bersedialah umat Islam untuk menghadapi masa depan yang gelap.
Dato' Dr. Rushdan Noor
5hb Ogos 2018