Wednesday, 29 October 2025

BAGAIMANA KITA MENYUMBANG SALAH FAHAM TANPA SEDAR : ALGORITHMA MEDIA SOSIAL


Jangan sesekali memperkecilkan tindakan sekelompok kecil manusia yang membawa ideologi songsang tetapi tahu menggunakan kuasa media sosial. Mereka tidak perlu menjadi majoriti untuk mempengaruhi masyarakat, cukup sekadar aktif, konsisten dan lantang di alam maya.

Algoritma media sosial tidak mengenal benar atau salah. Ia hanya mengangkat apa yang paling banyak dikongsi dan disukai. Bila yang benar diam, yang salah akan kelihatan menang. Bila majoriti hanya jadi pemerhati, lambat-laun suara minoriti akan kedengaran seolah2 suara rakyat terbanyak.
Inilah yang berlaku dalam isu antivaksin, mitos kesihatan dan lain2 ideologi songsang. Walaupun majoriti rakyat dan petugas kesihatan menyokong vaksin, gerakan antivaksin semakin menonjol kerana mereka agresif menggunakan ruang media sosial. Mereka menulis, berkongsi, membuat video, dan memanipulasi emosi.

Sedangkan ramai yang pro-vaksin, termasuk doktor, jururawat dan pakar perubatan hanya membaca tanpa menekan butang "like" atau "share". Menulis jarang sekali. Algoritma menyangka ideologi songsang lebih popular, lalu menolak ke hadapan lebih banyak kandungan seperti itu. Akhirnya ideologi itu berjaya mempengaruhi rakyat yang rapuh pengetahuannya.
Jangan salahkan kerajaan, jangan salahkan KKM. DALAM DUNIA DIGITAL, DIAM ITU BUKAN NEUTRAL, DIAM ITU MEMBERI RUANG KEPADA YANG SALAH DAN PALSU ITU MEMBESAR.
Lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat. Gerakan antivaksin dan anti-perubatan moden di sana berkembang sehingga mempengaruhi dasar politik dan kesihatan negara. Tokoh yang menolak sains dilantik ke jawatan penting. Semua ini bermula dari satu ekosistem yang dikuasai oleh suara minoriti yang lantang dan algoritma yang buta terhadap kebenaran.
Kita tidak boleh membiarkan perkara sama berlaku di Malaysia. Setiap daripada kita ada tanggungjawab untuk berkongsi yang benar, menyebar fakta, dan mempertahankan sains. Tidak perlu berdebat panjang, cukup dengan satu like, satu share, atau satu komen berfakta. Itu pun sudah cukup untuk menolak balik arus salah faham yang sedang cuba menular.
Saya tidak ada data yang tepat, tapi kita sudah boleh nampak. Terlalu banyak salah faham tentang kesihatan disebarkan. Media sosial penuh dengan “coach” kesihatan tanpa tauliah, doktor "serba tahu" dan tulisan2 pseudosains yang mengelirukan. Doktor2 di lapangan sudah mula melaporkan semakin banyak penyakit berjangkit yang sepatutnya boleh dicegah dengan vaksin, dirawat di wad2 mereka.

Kita bukan sedang berperang dengan manusia, tetapi dengan persepsi, algoritma, dan kelalaian kita sendiri. Jika yang tahu terus diam, maka yang palsu akan terus berbunyi dan akhirnya dipercayai. Jangan biarkan kebenaran kalah hanya kerana kita memilih untuk berdiam diri.

Dato' Dr.Rushdan Noor

31hb Okt 2025

Saturday, 25 October 2025

KESAN PLASEBO : ANTARA ETIKA DAN EKSPLOITASI PERNIAGAAN UNTUK KESIHATAN

 


Kesan plasebo ialah tindak balas positif yang dialami seseorang selepas menerima rawatan yang sebenarnya tidak mempunyai kesan terapeutik sebenar terhadap penyakitnya. Pesakit mungkin merasa lebih lega, kurang sakit, atau lebih bertenaga, bukan kerana ubat atau rawatan itu berkesan, tetapi kerana keyakinan dan kepercayaannya bahawa rawatan tersebut mampu menyembuhkan.

Fenomena ini sangat menarik dari sudut sains kerana ia menunjukkan bagaimana kuasa minda dan emosi boleh mempengaruhi tindak balas tubuh. Namun, dalam dunia perniagaan kesihatan, kesan plasebo bukan sekadar reaksi psikologi, ia juga telah menjadi sumber pendapatan besar bagi sesetengah pihak.

PERUBATAN MODEN : BERDASARKAN BUKTI DAN BUKAN KEPERCAYAAN 

Dalam perubatan moden, setiap ubat atau rawatan mesti melalui proses Evidence-Based Medicine (EBM), pendekatan berasaskan bukti saintifik, ujian klinikal, dan penilaian statistik yang ketat. Tujuannya ialah untuk memastikan bahawa sesuatu rawatan benar-benar berkesan merawat penyakit, dan bukan dari kesan plasebo semata-mata. Penyakit yang menjadi punca gejala itu turut dipulih atau dikurangkan. Rawatan hanya dianggap berkesan jika hasil kajian berjaya membuktikan kesan sembuh itu bukan dari kesan plasebo melalui kajian "placebo-controlled trial". 

Berbeza dengan banyak produk kesihatan dan kaedah rawatan alternatif di pasaran yang tidak menjalani kajian klinikal seperti ini. Kesan positif yang dilaporkan pengguna sering kali hanyalah kesan plasebo semata2, rasa sembuh yang datang daripada kepercayaan, bukan keberkesanan rawatan itu memulihkan proses penyakit yang sedang berjalan. Contohnya jika berlaku keradangan pada organ, kesan plasebo bukan bermaksud keradangan sudah dipulihkan. Kesan plasebo hanya mengurangkan sebahagian dari gejala sahaja.

KESAN PLACEBO DAN RAWATAN PENYAKIT

Gejala yang boleh memanfaatkan kesan plasebo adalah gejala ringan seperti sakit kepala, sakit sendi, lenguh badan, keletihan, sakit dada atau sesak nafas. Gejala sebegini mudah dipengaruhi oleh emosi dan tekanan psikologi. Seseorang yang tenang, disokong, dan diyakinkan akan lebih mudah merasai kelegaan, walaupun ubatnya hanya air kosong.

Sebagai contoh, jika ubat radang sendi mampu mengurangkan sakit sebanyak 70%, komunikasi positif dan empati doktor boleh menambah keberkesanan rawatan itu hingga 90% hasil daripada kesan plasebo 20%. Ubat asthma boleh melegakan serangan sebanyak 80% dan baki 10% kesan plasebo, menjadikan kesan lega keseluruhan 90%. Dalam konteks ini, plasebo membantu memperkukuh rawatan sebenar, bukan menggantikannya.

Ada juga pesakit yang tidak menghidap apa2 penyakit fizikal tetapi mengalami gejala2 fizikal dan keadaan ini dinamakan kelainan psikosomatik. Kesan plasebo sangat berkesan untuk memulihkan gejala individu seperti ini.

APABILA KESAN PLASEBO DIJADIKAN PERNIAGAAN 

Di sinilah bermulanya sisi gelap apabila kesan plasebo dijadikan alat mencari keuntungan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi “perawat” asalkan mampu menanam keyakinan dalam diri pesakit. Sebarang jenis atau teknik "rawatan" boleh memberi kesan plasebo, kaedahnya terbuka kepada kreativiti pengamal.Tidak perlu pengetahuan anatomi atau patofisiologi, tiada lesen perubatan, cukup dengan gaya meyakinkan, testimoni palsu, dan jenama yang sedap di telinga. 

Maka muncullah pelbagai produk dan rawatan yang kononnya menyembuhkan, air detoks, minyak aura, gelang tenaga, terapi magnet, suplemen ajaib, urutan mujarab, goresan ajaib dan jampi serapah. Kaedahnya tidak ada had, hatta ada pengamal yang menggunakan pistol laser mainan untuk hasilkan kesan plasebo.Walaupun bahan-bahannya tidak memberi kesan fisiologi sebenar, pelanggan tetap berasa lebih baik kerana percaya. Dari sinilah lahirnya industri yang modalnya kecil tetapi untungnya besar. 

BAHAYA DI SEBALIK UNTUNG 

Masalah timbul apabila pesakit menyangka dirinya telah sembuh lalu menangguhkan rawatan sebenar. Ramai pesakit menghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, atau darah tinggi yang semakin parah kerana bergantung kepada produk plasebo.

Ada pesakit yang mengalami kesan nosebo, iaitu tindak balas negatif akibat jangkaan buruk terhadap rawatan, seperti loya, muntah, sakit kepala, pening, sakit ulu hati atau cirit-birit, walaupun bahan yang diambil tidak berbahaya. Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh psikologi terhadap tubuh manusia. Nosebo adalah kesan sampingan plasebo.

Pesakit juga boleh mengalami kesan sampingan dari kaedah rawatan yang menggunakan kesan plasebo kerana ada di antaranya melibatkan prosedur yang berisiko seperti suntikan, torehan, manipulasi tulang serta sendi dan penggunaan ubat2an yang boleh mengancam kesihatan.

ANTARA ETIKA DAN KEUNTUNGAN 

Dalam perubatan moden, kesan plasebo digunakan secara etikal sebagai nilai tambah kepada kesan sembuh oleh rawatan sebenar. Doktor digalakkan berempati, berkomunikasi dengan baik, dan meyakinkan pesakit,  kerana faktor psikologi memang menyumbang kepada penyembuhan.

Namun, apabila kesan plasebo dimanipulasi untuk keuntungan, ia menjadi penipuan kesihatan. Pengguna diperdaya membeli produk yang tidak berkesan dengan harga tinggi, hanya kerana “rasa lega sementara” dianggap bukti keberkesanan.

KESIMPULAN

Kesan plasebo sememangnya unik,  lahir daripada kuasa minda dan dizahirkan melalui perubahan fizikal. Ia boleh memberi manfaat dalam rawatan sebenar, malah menjadi sumber pendapatan besar dalam industri “wellness”. Namun, apabila disalahgunakan, kesan plasebo berubah menjadi alat penipuan yang mengancam kesihatan dan kepercayaan masyarakat.

Percaya itu tidak salah, tetapi jangan membuta tuli. Setiap pengguna wajar bertanya:

“Adakah rawatan ini benar-benar terbukti berkesan, atau saya sebenarnya hanya membayar untuk kesan plasebo?”

Dalam dunia yang sarat dengan produk “menyembuh segala”, ilmu dan bukti saintifik ialah benteng terbaik untuk melindungi diri daripada tipu daya yang berselindung di sebalik senyuman manis dan kata-kata meyakinkan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

26hb Okt 2025

Tuesday, 21 October 2025

ANTARA “KURANG GULA TAMBAHAN”, “ZERO GULA TAMBAHAN” DAN “ZERO SEMUA GULA”: APA KATA SAINS?

 



ANTARA  DIET “KURANG GULA TAMBAHAN”, “ZERO GULA TAMBAHAN” DAN “ZERO SEMUA GULA”: APA KATA SAINS?

Dalam dunia pemakanan hari ini, semakin banyak ideologi muncul dengan pelbagai amalan dan dakwaan kesihatan. Ada yang menyarankan diet zero karbohidrat, rendah karbohidrat dan ada juga yang hanya ambil protein macam haiwan karnivor. Begitu juga dengan amalan mengambil gula, adakah gula benar-benar musuh utama kesihatan, dan adakah lebih baik jika kita hapuskan terus semua jenis gula dari diet harian?

Salah satu petua yang sering diwar2kan adalah jangan ambik gula atau diet zero gula ("zero sugar") yang dianggap kontroversi kerana beberapa faktor, antaranya adakah ianya disokong oleh sains dan apakah maksud perkataan "gula" yang digunakan. Mari kita belajar istilah yang asas dahulu dan kemudian baru kita bincang dengan lebih lanjut.

APAKAH KARBOHIDRAT DAN GULA

Karbohidrat ialah salah satu daripada tiga nutrien utama yang membekalkan tenaga kepada tubuh manusia. Karbohidrat terbahagi kepada karbohidrat ringkas dan kompleks. Apa sahaja jenis karbohidrat (kecuali serat), apabila dihadamkan akan bertukar kepada gula ringkas sebelum diserap ke dalam aliran darah.

Gula ialah unit asas yang membina karbohidrat di mana bentuk paling ringkas adalah glukosa, fruktosa, dan galaktosa, yang dikenali sebagai monosakarida. Glukosa ialah sumber tenaga utama bagi sel tubuh dan fruktosa banyak terdapat dalam buah-buahan dan madu. 

Bila dua monosakarida bergabung, ia menjadi disakarida seperti laktosa (glukosa + galaktosa), gula semulajadi dalam susu dan sukrosa (glukosa + fruktosa) yang membentuk gula pasir. Monosakarida dan disakarida adalah karbohidrat ringkas.

Kanji pula ialah satu contoh karbohidrat kompleks dengan rantai panjang molekul gula yang ditemui dalam makanan ruji seperti nasi, roti, dan ubi. Ia boleh dihadamkan kepada glukosa. Serat ialah karbohidrat kompleks yang tidak dapat dihadam tetapi penting untuk kesihatan usus dan kawalan gula darah. 

KARBOHIDRAT AKAN DIPECAHKAN KEPADA GULA

Karbohidrat akan dipecahkan kepada monosakarida yang kemudiannya diserap ke aliran darah dan digunakan oleh sel untuk menghasilkan tenaga. Glukosa akan terus digunakan, manakala galaktosa dan sebahagian besar fruktosa diproses di hati,  sama ada ditukar kepada glukosa, digunakan secara langsung untuk tenaga, disimpan sebagai glikogen, atau ditukar kepada lemak trigliserida apabila berlebihan. 

Pengambilan fruktosa yang berlebihan dalam jangkamasa panjang akan meningkatkan penghasilan trigliserida yang berkumpul dalam hati sehingga boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai hati berlemak (fatty liver). Namun, pengambilan fruktosa berlebihan hanyalah salah satu faktor dari beberapa faktor lain yang menyumbang kepada hati berlemak.

DUA JENIS GULA 

Setiap jenis gula mempunyai rasa manis walaupun tahap manisnya berbeza. Fruktosa adalah paling manis, diikuti oleh glukosa dan paling kurang manis galaktosa. 

Dalam konteks diet dan tajuk rencana ini, gula boleh dibahagikan kepada dua jenis:

1. Gula tambahan (Added sugar) – ditambah semasa pemprosesan seperti gula pasir, madu, sirap jagung, atau jus buah pekat. Ia tinggi tenaga tetapi tiada nutrien penting dan dikaitkan dengan obesiti, diabetes serta penyakit jantung. Walaupun madu dihasilkan semulajadi, namun disebabkan gula di dalamnya (glukosa, fruktosa dan sukrosa) boleh menyerap dengan cepat, kesannya sama seperti gula tambahan.

2. Gula semula jadi (Natural sugar) – terdapat dalam buah, sayur, bijirin dan susu. Ia hadir bersama serat, vitamin dan antioksidan yang melambatkan penyerapan gula serta menyediakan nutrien tambahan. Disebabkan ujudnya serat dan nutrien bersama dengan gula semulajadi ini, sumber makanan ini dianggap sihat, berbanding dengan gula tambahan, khususnya gula pasir yang hanya mengandungi gula (sukrosa) tanpa nutrien lain. Pengambilan buah2an dan sayuran dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan termasuk boleh mencegah penyakit, walaupun di dalamnya ujud gula.

Terdapat beberapa lagi jenis gula yang tidak disenaraikan seperti gula alkohol dan pemanis tanpa kalori. Saya tidak masukkan kerana dalam konteks tajuk perbincangan ini, dua jenis gula di atas sudah memadai.

DIET “KURANG GULA TAMBAHAN” – PALING PRAKTIKAL

Dalam konteks pemakanan moden, gula tambahan digunakan secara meluas dan hampir semua jenis makanan komersial mengandungi bentuk gula tambahan tertentu. Ia hadir bukan sahaja dalam minuman manis, tetapi juga dalam sos, kicap, perasa seperti Mionis, serta bahan perapan dan marinade BBQ.

Dari sudut keperluan fisiologi dan kesihatan, manusia sebenarnya tidak memerlukan gula tambahan kerana gula semula jadi daripada buah, susu, dan karbohidrat kompleks sudah mencukupi. Namun begitu, dalam budaya makan hari ini, gula tambahan sering dianggap sebagai elemen yang menambah rasa nikmat dan kepuasan makan, walaupun ia bukan keperluan nutrisi.

WHO dan KKM menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% tenaga harian (lebih baik <5%).Contohnya, bagi keperluan 2000 kcal, hadnya sekitar 25–50g (6–12 sudu teh). Kajian juga menunjukkan pengambilan >10% gula tambahan meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 38%. Risiko meningkat 2-3 kali ganda jika melebihi 25%. Pengambilan ke tahap 5%, ada sedikit manfaat tambahan kepada kesihatan gigi, tetapi tidak ada manfaat tambahan yang bermakna jika dikurangkan lagi hingga ke sifar. 

Justeru, dari aspek praktikal, pendekatan mengurangkan gula tambahan ini lebih realistik untuk kebanyakan orang. Pendek kata, boleh ambil tapi jangan berlebihan. Prinsip ini terpakai walaupun ke atas gula dari jenis fruktosa dan sukrosa (gula pasir).

DIET “ZERO GULA TAMBAHAN” – TERBAIK TAPI SUKAR DIPRAKTIKKAN

Menghapuskan semua gula tambahan hampir mustahil kerana kebanyakan makanan komersial mengandungi sedikit gula, melainkan kita sendiri yang memasak makanan tersebut dan pastikan tidak ada langsung gula tambahan. Kajian mendapati manfaat kesihatan utama berlaku apabila gula tambahan <10% tenaga, menjadi sifar tidak beri kelebihan tambahan. Selain itu, ramai menggantikan gula dengan pemanis tiruan yang boleh mengganggu mikrobiota usus dan metabolisma.

Jika dapat dilakukan diet "zero gula tambahan" memang baik tetapi untuk dijadikan satu garispanduan umum dan sasaran polisi kesihatan, memang sangat sukar dilaksanakan. Jadi dalam diet jenis ini, buah2an, sayuran dan lain2 gula semulajadi boleh diambil.

DIET "ZERO SEMUA GULA” DAN 'ZERO-KARB" – IDEOLOGI EKSTREM

Pendekatan menghapuskan semua gula termasuk daripada buah, sayur dan susu bertentangan dengan sains. Kajian yang disiarkan dalam The Lancet menunjukkan pengambilan buah segar mengurangkan risiko jantung, strok dan diabetes. Tidak hairanlah mengapa buah2an dan sayuran adalah juga salah satu komponen diet Meditarenean. Menolak semua gula boleh menyebabkan kekurangan tenaga, serat, vitamin serta gangguan hormon dan mood. 

Fruktosa bukan musuh jika diambil secara semulajadi melalui buah, tetapi menjadi toksik apabila diambil berlebihan melalui gula tambahan. Sukrosa juga boleh ditemui dalam buah serta sayuran contohnya mangga, nenas dan lobak merah. Sukrosa dalam buah atau sayur  tidak berbahaya kerana datang bersama serat dan nutrien. Berbanding dengan sukrosa dalam gula pasir atau minuman manis, jika diambil berlebihan berisiko tinggi kerana cepat diserap, menyebabkan lonjakan glukosa dan fruktosa dalam darah. Inilah yang dimaksudkan gula dalam bentuk berbeza memberi kesan berbeza kepada kesihatan.

Diet tanpa karbohidrat (zero-carb atau karnivor) dan diet ketogenik hanya sesuai jangka pendek untuk golongan terpilih dan boleh menjejaskan kesihatan jika diamalkan dalam jangkamasa panjang. Diet ekstrem seumpama ini jika diamalkan hendaklah dengan nasihat dan pemantauan doktor serta pakar pemakanan yang bertauliah. Pendek kata diet ini bukan amalan biasa dan rutin untuk semua orang. Suplemen vitamin tidak mungkin dapat menggantikan khasiat buah2an dan sayuran.

Diet ekstrem sukar dilakukan dan tidak dapat bertahan lama. Kajian jangka panjang menunjukkan kadar penarikan diri diet ekstrem sangat tinggi (>80%) dalam tempoh 6–12 bulan. Tambahan pula, pengamal boleh mengalami kesan sampingan dan kajian2 terkini mendapati ujudnya kesan sampingan jangka panjang terhadap kesihatan. Diet Ketogenik terutama yang ekstrem: boleh menyebabkan sembelit, kekurangan mikronutrien (vitamin B, kalsium, magnesium), peningkatan LDL-C dan risiko batu karang. Manakala Diet Karnivor atau Diet Zero-carb boleh menyebabkan kekurangan serat, gangguan mikrobiota usus, sembelit, dan peningkatan risiko jantung jangka panjang.

Meta-analisis menunjukkan tiada kelebihan jangka panjang diet ekstrem terhadap kadar kematian berbanding diet seimbang seperti Mediterranean atau DASH.

DIET BUKAN RAWATAN UTAMA PENYAKIT

Dalam perubatan moden, rawatan penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung berasaskan gabungan ubat serta perubahan gaya hidup, termasuk diet yang sihat dan aktiviti fizikal. Ubat berfungsi menstabilkan keadaan dan mencegah komplikasi, manakala diet membantu meningkatkan kawalan penyakit dan mengurangkan keperluan ubat dalam jangka panjang. Ubat lebih berkesan mencantikkan bacaan darah, mencegah komplikasi penyakit dan memanjangkan hayat. Ia dapat mengurangkan keradangan, memulihkan kerintangan insulin dan membantu mengawal berat badan. Justeru, memang ada penyakit tertentu yang boleh disembuhkan oleh ubat.

Namun, ada segelintir pengamal rawatan alternatif yang mengesyorkan pelangan mereka menolak ubat dan menggantikannya dengan diet ekstrem serta suplemen atau produk kesihatan yang meragukan, tindakan ini boleh membahayakan. Bukan sahaja diet ekstrem itu berisiko, suplemen dan produk2 yang meragukan juga boleh menambah masalah kesihatan. 

Diet memang penting, tetapi tidak boleh menggantikan ubat tanpa pemantauan perubatan. Prinsipnya jelas, diet dan ubat saling melengkapi, bukan saling menggantikan.

Tidak dinafikan, dalam keadaan tertentu dan terkawal, diet dan perubahan gaya hidup sahaja tanpa ubat mungkin mencukupi untuk mengawal penyakit hingga ke peringkat remisi ("remision"), namun hal ini perlu diputuskan oleh pakar perubatan berdasarkan penilaian klinikal yang teliti. Pengawasan dan pemantauan doktor masih perlu diteruskan.

KESIMPULAN

Pilihan diet terbaik bagi kebanyakan orang ialah diet seimbang dengan pengambilan gula tambahan yang minimum, bukannya diet ekstrem yang menolak semua jenis gula atau karbohidrat. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada makanan segar dan semula jadi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, ikan, ayam tanpa lemak serta sumber lemak sihat daripada minyak zaitun dan kekacang.

Prinsip yang paling praktikal ialah “kurangkan, bukan hapuskan”, kurangkan gula tambahan, makanan terproses dan minuman manis, sambil mengekalkan sumber gula semula jadi yang kaya dengan serat dan nutrien. Gula bukan musuh, asalkan diambil dalam bentuk dan jumlah yang betul. Kunci sebenar bukan pada mengehadkan satu jenis makronutrien semata-mata, tetapi pada keseimbangan antara karbohidrat, protein, dan lemak, disertai pengawalan jumlah kalori yang diambil dan dibakar mengikut matlamat kesihatan individu.

Di samping itu, amalan gaya hidup sihat, tidur yang cukup, senaman berkala, tidak merokok, mengekalkan berat badan ideal dan mengurus stres turut memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit kronik serta memanjangkan usia dengan kualiti hidup yang lebih baik. Hidup lebih ceria dan sihat dengan amalan pemakanan yang sederhana, seimbang dan praktikal.

Dato' Dr.Rushdan Noor

21hb Okt 2025


RUJUKAN

1. World Health Organization. Guideline: Sugars intake for adults and children. Geneva: WHO; 2015 (updated 2023).

2. Yang Q, Zhang Z, Gregg EW, et al. Added sugar intake and cardiovascular diseases mortality among US adults. JAMA Intern Med. 2014;174(4):516–524.

3. Fiolet T, et al. Consumption of ultra-processed foods and risk of mortality: umbrella review. BMJ. 2023;381:e071609.

4. Du H, et al. Fresh fruit consumption and major cardiovascular disease in China. Lancet. 2019;393:1958–1972.

5. Suez J, et al. Artificial sweeteners induce glucose intolerance by altering the gut microbiota. Nature. 2022;610:583–589.

6. Malaysian Dietary Guidelines 2020. Ministry of Health Malaysia. Chapter 5: Limit intake of sugar and sugary foods.

7. Te Morenga L, Mallard S, Mann J. Dietary sugars and body weight: systematic review and meta-analyses. BMJ. 2013;346:e7492.

8. Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Obesity. 3rd Edition, 2023.

9. Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus. 6th Edition, 2022.

10. Evert AB, Dennison M, Gardner CD, et al. Nutrition therapy for adults with diabetes or prediabetes: Consensus report. Diabetes Care. 2019;42(5):731–754.

11. Kossoff EH, Zupec-Kania BA, Auvin S, et al. Optimal clinical management of children receiving ketogenic diet: recommendations of the International Ketogenic Diet Study Group. Epilepsia Open. 2018;3(2):175–192.

12. Paoli A, Rubini A, Volek JS, Grimaldi KA. Beyond weight loss: a review of the therapeutic uses of ketogenic diets. Eur J Clin Nutr. 2013;67:789–796.

13. O’Hearn A, Ludwig DS. The carnivore diet for metabolic health: benefits and risks. Curr Opin Endocrinol Diabetes Obes. 2023;30(1):23–32.

14. Harvard Health Publishing. Ketogenic diet: Is the ultimate low-carb diet good for you? Harvard Medical School, 2023.

15. Rother KI, et al. Non-nutritive sweeteners and human health: a systematic review and meta-analysis. Cell Metabolism. 2023;35(1):26–42.

16. Hu T. et al. (2020). Effects of low-carbohydrate diets on mortality: systematic review and meta-analysis. BMJ, 367:l4744.

17. Choi Y. et al. (2021). Long-term effects of ketogenic diets on health: a systematic review. Front Nutr, 8:702157.

18.  Noto H. et al. (2013). Low-carbohydrate diets and all-cause mortality: a meta-analysis of observational studies. PLoS One, 8(1):e55030.


Saturday, 18 October 2025

PROTEIN TUMBUHAN VERSUS PROTEIN HAIWAN: YANG MANA LEBIH BAIK

 


APAKAH ITU PROTEIN

Protein ialah salah satu daripada tiga nutrien utama selain karbohidrat dan lemak. Ia terdiri daripada unit kecil yang dipanggil asid amino. Terdapat 20 jenis asid amino, di mana 11 boleh dihasilkan oleh tubuh manakala 9 lagi (asid amino essential) hanya boleh diperoleh daripada makanan.

FUNGSI PROTEIN DALAM TUBUH

Protein membina dan membaiki tisu seperti otot, kulit, rambut, kuku serta organ dalaman. Ia juga membentuk hormon dan enzim penting seperti insulin dan enzim pencernaan, serta menjadi asas kepada antibodi sistem imun.

Selain berperanan utama dalam struktur badan, protein boleh dijadikan sumber tenaga apabila karbohidrat dan lemak tidak mencukupi. Ia turut mengekalkan keseimbangan cecair dan asid-alkali darah, memastikan tubuh berfungsi secara stabil.

JENIS PROTEIN

Secara umum, protein terbahagi kepada dua kategori utama: PROTEIN HAIWAN dan PROTEIN TUMBUHAN

PROTEIN HAIWAN

Protein haiwan diperoleh daripada daging, ayam, ikan, telur, susu dan produk tenusu seperti yogurt dan keju. Ia dianggap protein lengkap kerana mengandungi kesemua asid amino, serta mudah diserap dan digunakan oleh tubuh.

Namun, pengambilan berlebihan, terutamanya daging merah berlemak dan daging diproses boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok akibat kandungan lemak tepu dan kolesterol yang tinggi. Kaedah memasak yang tidak sihat seperti menggoreng atau memanggang hingga hangus juga boleh menghasilkan bahan karsinogenik. Oleh itu, pengambilan protein haiwan perlu sederhana dan dimasak dengan cara lebih sihat seperti merebus, membakar ringan atau mengukus.

PROTEIN TUMBUHAN

Protein tumbuhan pula datang daripada sayur, kekacang, lentil, tempe, tauhu, bijirin penuh, quinoa, dan biji-bijian. Kandungan protein di dalamnya biasanya tidak lengkap (tidak mengandungi semua asid amino essential), tetapi gabungan pelbagai makanan seperti nasi dan kacang atau roti dan mentega boleh melengkapkan profil asid amino.

Kelebihan utama protein tumbuhan ialah rendah lemak tepu, bebas kolesterol, serta kaya dengan serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang membantu memelihara kesihatan dan  mencegah penyakit kronik. Kekurangannya ialah kadar penyerapan yang lebih rendah serta kehadiran antinutrien seperti fitat dan tanin yang boleh menjejaskan penyerapan zat besi dan zink. Oleh itu, diet berasaskan tumbuhan memerlukan perancangan yang teliti untuk memastikan keperluan asid amino dan mineral mencukupi.

PENTING UNTUK AMBIL CUKUP ASID AMINO ESSENTIAL

Daripada 20 jenis asid amino, 9 daripadanya dianggap “essential” kerana tubuh tidak boleh menghasilkannya sendiri dan mesti diperoleh melalui makanan. Sembilan asid amino essential ialah histidine, isoleucine, leucine, lysine, methionine, phenylalanine, threonine, tryptophan, dan valine.

Asid amino essential amat penting kerana tanpa bekalannya, tubuh tidak dapat membina atau membaiki tisu, menghasilkan hormon penting, mahupun mengekalkan kesihatan mental dan fizikal. Setiap satunya mempunyai peranan tertentu seperti pembinaan otot, kolagen, keratin, penghasilan hormon seperti dopamin, melatonin dll, menghasilkan histamin dan lain-lain. Maka, kekurangan asid amino ini boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan bergantung kepada jenis asid amino yang terkurang. 

BOLEHKAH HANYA AMBIL PROTEIN TUMBUHAN?

Ya, seseorang boleh mendapat semua keperluan protein daripada sumber tumbuhan jika dietnya seimbang dan dipelbagaikan. Kajian menunjukkan gabungan makanan tumbuhan yang betul boleh membekalkan semua 9 asid amino essential.

Contohnya, kekurangan lysine dalam bijirin boleh digantikan dengan kekacang, manakala kekurangan methionine dalam kekacang boleh dilengkapkan melalui bijirin. Hidangan seperti nasi dengan dhal, tempe dengan nasi perang, atau roti gandum dengan mentega kacang merupakan kombinasi lengkap melengkapi.

Namun, individu vegetarian atau vegan perlu peka terhadap nutrien seperti vitamin B12, zat besi, zink dan kalsium, yang lebih mudah diperoleh daripada produk haiwan, jadi mereka lebih berisiko kekurangan nutrien ini jika diet terlalu ketat. Dengan perancangan rapi dan pilihan makanan diperkaya, diet tumbuhan mampu mencukupi keperluan protein dan asid amino sambil menyokong kesihatan jangka panjang.

KESIMPULAN

Kedua-dua protein haiwan dan tumbuhan penting untuk diet seimbang. Protein haiwan membekalkan asid amino lengkap dan mudah diserap, manakala protein tumbuhan menawarkan manfaat tambahan melalui serat dan antioksidan. Kuncinya ialah kepelbagaian dan keseimbangan, menggabungkan kedua-duanya dalam corak pemakanan harian memberi manfaat optimum tanpa menjejaskan kesihatan jantung dan metabolisma.


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Okt 2025

Thursday, 9 October 2025

KEBANYAKAN SUPLEMEN YANG DIAMBIL JAUH DARI DOS OPTIMA



PRODUK SUPLEMEN : ADAKAH BAHAN AKTIF YANG DIAMBIL ITU MENCUKUPI DAN ADAKAH MAKLUMAT PADA LABEL ITU BETUL
Salah satu perkara yang seringkali menjadi persoalan kepada kita apabila mengambil suplemen adalah apakah kuantiti bahan aktif yang diambil itu mencukupi. Ini berbeza dengan ubat2an moden yang dikawal ketat dan ditentukan kuantiti bahan aktif dan dos yang perlu diambil.
Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat (Assadourian JN, et al., 2023) menilai 255 suplement minyak ikan dari 16 pengedar yang dijual di pasaran. Penyelidik mengenalpasti berapakah dos bahan aktif yang diambil oleh pengguna mengikut arahan yang dicatatkan pada label produk. Dua bahan aktif itu adalah dua jenis asid lemak Omega-3 iaitu DHA (Docosahexaenoic Acid) dan EPA (Eicosapentaenoic Acid). Hasil daripada penyelidikan ini mendapati dos yang disarankan untuk sehari adalah seperti berikut:
Median EPA: ~340 mg sehari
Median DHA: ~270 mg sehari
Jumlah EPA+DHA: ~600 mg sehari
Berdasarkan kepada kajian klinikal besar, dos suplemen Omega-3 yang memberi manfaat ke atas individu yang mengalami masalah lemak trigliserida yang tinggi adalah 2,000–4,000 mg sehari. AHA pula mencadangkan suplemen 1000 mg EPA dan DHA bagi individu yang menghidap penyakit jantung.
Malangnya hasil kajian ini mendapati lebih 90% pengguna akan mengambil dos harian EPA dan DHA yang jauh lebih rendah dari yang disyorkan.
APA MAKSUDNYA KEPADA PENGGUNA ?
1. Label tidak semestinya telus dan betul, walaupun banyak produk membuat tuntutan seperti “baik untuk jantung” atau “sokong otak”, dos sebenarnya sering terlalu rendah untuk memberi kesan yang positif
2. Jurang bukti vs realiti , ujud perbezaan besar antara apa yang dikaji dalam ujian klinikal (dos tinggi, terkawal) dengan apa yang kita beli di farmasi atau kedai dalam talian.
3. Ini baru satu contoh iaitu produk suplemen minyak ikan. Banyak lagi suplemen lain (vitamin, herba, “superfood capsules”) mungkin menghadapi isu yang sama. Itu belum lagi mengukur kuantiti sebenar bahan aktif di dalam setiap unit produk suplemen.
ADAKAH SUPLEMEN INI HANYA PLASEBO ?
Dalam kajian ini didapati ada produk suplemen yang tidak ada salah satu asid lemak omega-3. Jika hanya satu sahaja yang tinggal dan itupun diambil dalam dos yang rendah, kesannya sangat minima ataupun mungkin sampai ke tahap kesan plasebo.
KESAN SAMPINGAN SUPLEMEN ASID LEMAK OMEGA-3
Dua ujian utama, REDUCE-IT dan STRENGTH melaporkan peningkatan kejadian atrial fibrilasi (gangguan degutan jantung) pada peserta yang mengambil dos tinggi EPA atau gabungan EPA+DHA. Selain itu, omega-3 dos tinggi mempunyai kesan anti-platelet yang boleh meningkatkan risiko pendarahan, terutamanya jika diambil bersama ubat pencair darah, serta dalam sesetengah formulasi gabungan EPA+DHA turut menyebabkan kenaikan LDL-kolesterol. Oleh itu, dos tinggi omega-3 hanya wajar digunakan di bawah pemantauan doktor, kerana risiko serius ini menjadikan ia tidak sesuai sebagai suplemen harian.
NASIHAT UNTUK PENGGUNA
1. Utamakan makanan sebenar, ikan berlemak seperti salmon, sardin, dan kembung terbukti sumber terbaik omega-3 untuk mencegah penyakit. Makanan sebenar ini mengandungi lain-lain nutrien dan sumber protein yang baik..
2. Semak bukti, bukan iklan, jangan mudah percaya pada label produk atau testimoni.
3. Dapatkan nasihat doktor yang bertauliah apabila ingin mencuba suplemen, lebih2 lagi jika anda tergolong di dalam individu yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit saluran darah ataupun sudahpun mengalami serangan jantung dan angin ahmar.
4. Suplemen adalah suplemen dan bukan ubat, ia hanya membantu rawatan utama (ubat) yang disyorkan oleh pengamal perubatan. Jangan tinggalkan ubat untuk mengambil suplemen.
5. Berhati-hati dengan “suplemen ajaib”, kalau ia kedengaran terlalu hebat, besar kemungkinan ia hanyalah gimik pemasaran.
6. Apa2 jenis suplemen tidak bebas daripada kesan sampingan.
KESIMPULAN
Kajian ke atas produk suplemen minyak ikan ini mengingatkan kita bahawa tidak semua suplemen sama seperti yang diiklankan. Sebelum membelanjakan wang, fahami betul2 maksud suplemen, siapa yang sesuai mengambilnya dan selalu berfikiran kritikal bertanya dalam hati tentang isu ketulinan dan isi kandungan suplemen itu.
Dato' Dr.Rushdan Noor
RUJUKAN
1. Assadourian, J. N., Madenci, A. L., Chiu, C. H., Kim, D. H., Tucker, C. A., Cannon, C. P., & Vaduganathan, M. Health Claims and Doses of Fish Oil Supplements in the US. JAMA Cardiology, 2023 8(9), 935–941.
2. Siscovick, D. S., et al. Omega-3 polyunsaturated fatty acid (fish oil) supplementation and the prevention of clinical cardiovascular disease: A science advisory from the American Heart Association. Circulation, 2017, 135(15), e867–e884.
3. Skulas-Ray, et al. Omega-3 fatty acids for the management of hypertriglyceridemia: A science advisory from the American Heart Association. Circulation, 2019, 140(12), e673–e691.
4. Skulas-Ray, et al. Dose-response effects of omega-3 fatty acids on triglycerides, inflammation, and endothelial function in healthy persons with moderate hypertriglyceridemia. American Journal of Clinical Nutrition, 2011, 93(2), 243–252
5. Bernasconi, A. A., et al. Effect of omega-3 dosage on cardiovascular outcomes: An updated meta-analysis and meta-regression of interventional trials. Mayo Clinic Proceedings, 2021, 96(2), 304–313.
6. National Institutes of Health, Office of Dietary Supplements. (2022). Omega-3 fatty acids – Fact sheet for health professionals.
7. Bhatt DL, et al. Cardiovascular risk reduction with icosapent ethyl for hypertriglyceridemia. NEJM, 2019, 380(1), 11–22
8. Nicholls SJ, et al. Effect of high-dose omega-3 fatty acids vs corn oil on major adverse cardiovascular events (STRENGTH trial). JAMA, 2020, 324(22), 2268–2280
9. Bernasconi AA, et al. Effect of omega-3 dosage on cardiovascular outcomes. Mayo Clin Proc, 2021, 96(2), 304–313
Keterangan geraf yang dikepilkan: Dos asid lemak omega-3 iaitu DHA dan EPA dalam sehari mengikut arahan yang tercatit pada label produk. Axis X mewakili dos EPA dan axis Y pula DHA yang diambil dalam sehari. Lebih 90% produk2 ini jatuh pada dos rendah yang berkumpul dekat dengan pangkal kedua2 axis. Sepatutnya mereka berkumpul di luar pada dos 1000-2000 mg sehari.

YANG TOKSIK ITU BUKAN NAMA, TETAPI DOS DAN YANG SEMULAJADI ITU TIDAK SEMESTINYA SELAMAT


 

Salah satu taktik utama golongan anti-Vx dan antiperubatan moden ialah menakut-nakutkan orang ramai dengan menyebut nama bahan kimia dalam ubat atau vaksin. Mereka sengaja mengasingkan satu bahan, seperti formaldehyde di dalam vaksin contohnya, lalu menyebarkan naratif seolah-olah ia sangat berbahaya. Kaedah ini mudah mengelirukan kerana masyarakat awam sangat peka dengan sesuatu yang didakwa mengancam mereka, apatah lagi apabila mendengar istilah saintifik. Mencari keburukan sesuatu memang sangat mudah dilakukan dan memang berkesan menakut2kan orang ramai.
FOMALDEHYDE : MUSUH ATAU SAHABAT ?
Hakikatnya, formaldehyde wujud secara semulajadi dalam tubuh manusia. Malah, badan kita menghasilkan puluhan ribu miligram formaldehyde setiap hari sebagai sebahagian daripada metabolisme normal. Bayi yang baru lahir juga sudah mempunyai formaldehyde dalam badan mereka sebelum menerima sebarang vaksin.
Sebagai perbandingan (rujuk infografik di bawah):
Tubuh orang dewasa menghasilkan ±42,500 mg formaldehyde setiap hari dalam proses pemecahan asid amino dan DNA.
Sebiji buah pir mengandungi ±12 mg formaldehyde
Bayi secara semula jadi ada ±1.1 mg formaldehyde dalam badan
Kandungan maksimum formaldehyde dalam mana-mana vaksin hanyalah ±0.1 mg
Jelas bahawa jumlah dalam vaksin amat kecil jika dibandingkan dengan apa yang dihasilkan tubuh atau dimakan setiap hari melalui makanan.



PRINSIP TOKSIKOLOGI : "THE DOSE MAKES THE POISON"
Dalam sains toksikologi, racun bukan ditentukan oleh nama bahan, tetapi oleh dos pendedahan. Air, oksigen, vitamin A, dan vitamin D, semuanya penting untuk hidup, tetapi boleh menjadi toksik jika diambil dalam dos berlebihan. Formaldehyde tidak terkecuali.
Oleh itu, menyebut “vaksin ada formaldehyde” tanpa menjelaskan kuantiti adalah manipulasi fakta yang bertujuan menakut-nakutkan masyarakat.
Malahan ada "racun" pada dos tertentu menjadi ubat contoh digoksin, toksin botulinum, Nitrate dalam Nitroglycerin, Arsenik, Platinum, atropine dan banyak lagi.
SALAH FAHAM " SEMULAJADI VERSUS SINTETIK"
Satu lagi mitos yang sering digunakan ialah kepercayaan bahawa “semulajadi” sentiasa lebih baik daripada “sintetik”. Ini dipanggil "fallacy appeal to nature". Hakikatnya:
1. Cyanida ialah bahan semulajadi yang terdapat dalam biji buah tertentu (biji badam, ubi kayu, biji apel dan lain2), tetapi ia boleh membawa maut jika diambil dalam dos yang tinggi.
2. Aspirin pula ialah ubat sintetik yang terbukti memberi manfaat besar dalam rawatan sakit, pencegahan tekanan darah tinggi semasa hamil (PE) dan pencegahan penyakit kardiovaskular.
Jadi, bukan status “semulajadi” atau “sintetik” yang menentukan keselamatan atau keberkesanan, tetapi kajian saintifik, dos, dan cara penggunaan. Banyak lagi contoh2 yang menyokong pendapat ini.
KESIMPULAN
Prinsip asas toksikologi ialah dos yang menentukan racun, bukannya nama bahan. Setiap bahan boleh menjadi toksik jika berlebihan. Produk yang dilabel “semulajadi” tidak semestinya selamat, dan bahan “sintetik” tidak semestinya berbahaya kerana keselamatan hanya boleh dipastikan melalui bukti kajian saintifik, bukan testimoni atau andaian. Taktik menakut-nakutkan dengan istilah “bahan kimia” atau “racun” hanyalah strategi pihak yang ketandusan hujah untuk menolak perubatan moden, maka masyarakat perlu lebih berhati2 dan bersikap kritikal agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Sep 2025
RUJUKAN
1. Agency for Toxic Substances and Disease Registry (ATSDR). Toxicological Profile for Formaldehyde. U.S. Department of Health and Human Services. 1999
2. World Health Organization (WHO). Formaldehyde in Drinking-water: Background document for development of WHO Guidelines for Drinking-water Quality. 2005
3. U.S. Food and Drug Administration (FDA).Common Ingredients in U.S. Licensed Vaccines. 2021.
4. Love, A. Every human has been exposed to formaldehyde since birth. 2023
5. Lichtenstein, D., & MacIntyre, C. R. Vaccine safety: Myths and facts. Internal Medicine Journal, 2021; 51(11), 1774–1780.
6. UK Prospective Diabetes Study (UKPDS) Group. Effect of intensive blood-glucose control with metformin on complications in overweight patients with type 2 diabetes (UKPDS 34). 1998,The Lancet, 352(9131), 854–865.
7. Zinman, B., Wanner, C., Lachin, J. et al. EMPA-REG OUTCOME Investigators. Empagliflozin, Cardiovascular Outcomes, and Mortality in Type 2 Diabetes. New England Journal of Medicine, 2015, 373(22), 2117–2128.
8. Marso, S. P., Daniels, G. H., Brown-Frandsen, et al. LEADER Trial Investigators. Liraglutide and Cardiovascular Outcomes in Type 2 Diabetes. New England Journal of Medicine, 2016, 375(4), 311–322.

SINDROM KEBOCORAN USUS ('LEAKY GUT SYNDROME") : FAKTA ATAU AUTA ?


SINDROM KEBOCORAN USUS ('LEAKY GUT SYNDROME") : FAKTA ATAU AUTA ? 

Semakin ramai yang bercakap tentang Leaky Gut Syndrome (LGS) atau kalau diterjemahkan berbunyi  Sindrom Kebocoran Usus. Ia dikatakan punca kepada pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit2 kronik. Malah, ada yang mendakwa ia boleh dirawat dengan suplemen, probiotik, produk detok, herba dan diet khusus. Namun, adakah semua ini benar atau sekadar mitos semata-mata ?

ASAL USUL ISTILAH "LEAKY GUT" 

Istilah ini bukan diperkenalkan oleh pakar usus atau gastroenterologi dari disiplin perubatan moden. Istilah ini mungkin dipopularkan oleh pengamal rawatan alternatif yang menolak rawatan hospital sebaliknya menggunakan pendekatan rawatan tanpa suntikan, ubat dan pembedahan. Mereka mengaitkan pelbagai faktor sebagai penyebab LGS termasuk ubat, stres, toksin, hormon, kekurangan vitamin, keradangan dan lain2. Tetapi pada waktu yang sama, LGS pula dianggap punca pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit kronik yang bilangannya bertambah dari hari ke hari.

Istilah ini telah merebak dalam kalangan pengamal rawatan alternatif lain termasuk perubatan fungsional. Malahan, bukan sedikit doktor2 perubatan yang terikut-ikut dengan istilah LGS ini termasuk doktor selebriti yang dikenali , salah seorang darinya adalah Dr.Oz yang terkenal dengan pendapat yang kontroversi. 

Jadi istilah ini tidak akan ditemui di dalam mana-mana buku teks perubatan. Berdasarkan semakan saya, istilah ini juga tidak digunakan secara resmi sebagai entiti diagnosis serta rawatan di dalam CPG (Garispanduan Amalan Klinikal) di dalam dan luar negara (ACG, NICE, AGA). 

APA SEBENARNYA BERLAKU ?

Secara fisiologi, usus manusia memang mempunyai “penapis halus” yang dinamakan "tight junction", berfungsi menapis nutrien dan air untuk diserap ke dalam darah. Dalam keadaan tertentu seperti keradangan, jangkitan, atau kesan pengambilan beberapa jenis ubat (contoh: ubat sitotoksik, NSAIDs)  penapis ini boleh menjadi sedikit longgar. Fenomena ini dikenali sebagai “increased intestinal permeability” ataupun peningkatan ketelapan urus. Fenomena ketelapan usus ini sememangnya diakui ujud oleh sains moden. 

Namun konsep pemahamannya berbeza, molekul yang terlepas masih kecil dan tidak cukup untuk menyebabkan kesan sistemik yang menyeluruh sehingga menjadi punca berlakunya pelbagai jenis penyakit seperti yang didakwa. Nampaknya pihak yang mempromosikan istilah ini telah membesar2kan kesannya secara berlebihan tanpa bukti yang kukuh.

PANDANGAN PERUBATAN MODEN

Pakar perubatan arus perdana tidak mengiktiraf istilah "Leaky Gut Syndrome" sebagai penyakit sebenar. Fenomena “ketelapan usus” adalah proses patofisiologi yang mungkin berlaku sebagai kesan dari penyakit seperti penyakit celiac, IBD atau radang usus, bukan punca kepada pelbagai penyakit seperti yang didakwa. Kaitannya hanya bersifat korelasi dan bukan hubungan sebab-akibat ("causal relationship"). Peningkatan ketelapan dinding usus bukan satu entiti penyakit yang tersendiri tetapi hanya satu komponen kecil dalam banyak gangguan sistem pencernaan. 

Gejala yang dikaitkan dengan "sindrom" ini terlalu umum dan tiada ujian pengesahan (ujian darah, urin dan tinja) yang standard. Banyak ujian komersial yang dijual  tidak mempunyai nilai diagnostik yang disahkan oleh badan profesional. 

Apabila entiti itu diragui, begitulah juga rawatan yang disyorkan. Tidak ada bukti kukuh bahawa suplemen, agen detok, probiotik atau apa2 protokol rawatan alternatif boleh “menutup kebocoran usus”. Kesan kelegaan mungkin disebabkan oleh rawatan ke atas penyakit yang telah disahkan, kesan plasebo ataupun kesan amalan gaya hidup sihat serta diet yang betul.

LEAKY GUT SYNDROME TIDAK TERSENARAI DALAM ICD

Istilah "Leaky Gut Syndrome" tidak tersenarai dalam sistem klasifikasi penyakit antarabangsa (ICD-10 atau ICD-11) yang digunakan oleh WHO. Ini bermakna ia bukan diagnosis yang diiktiraf oleh amalan perubatan moden. Jika ada pengamal perubatan moden menggunakan istilah "Leaky Gut Syndrome" berkemungkinan mereka terikut2 dengan trend, terpengaruh dengan perubatan alternatif ataupun tidak menyedari bahawa nama ini tidak pernah diiktiraf oleh pakar perubatan moden dan institusi kesihatan antarabangsa.

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

Masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati apabila berdepan dengan istilah “leaky gut” serta tawaran melakukan ujian dan produk yang tidak diiktiraf. Lebih2 lagi jika diarahkan untuk meninggalkan rawatan yang diberikan oleh doktor di hospital.

Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, sebaiknya berjumpalah dengan doktor perubatan bertauliah atau pakar yang sesuai dengan penyakit anda. Contohnya, bagi masalah berkaitan usus atau perut, pakar yang tepat ialah Pakar Gastroenterologi.

Usus manusia tidak mudah “bocor” seperti yang sering digambarkan, sebaliknya, yang berisiko bocor ialah dompet anda. Jangan terpedaya dengan mitos yang dibalut dengan istilah saintifik. 


Dato' Dr.Rushdan Noor

11hb Okt 2025


RUJUKAN

1. Lacy BE, Wise JL, Cangemi DJ. Leaky Gut Syndrome: Myths and Management. J Neurogastroenterol Motil. 2024

2. Camilleri M. Leaky gut: mechanisms, measurement and clinical implications. (Major review) 2019. 

3. Odenwald MA, Turner JR. Intestinal permeability defects: is it time to treat? Clin Gastroenterol Hepatol. 2013. 

4. Cleveland Clinic. Leaky Gut Syndrome: Symptoms, Diet, Tests & Treatment 

5. Canadian Society of Intestinal Research (BadGut). Debunking the Myth of “Leaky Gut Syndrome”. 

6. WHO. ICD-11 Database

7. Crislip M. Leaky Bowel. Science-Based Medicine.

8. Farré R, Vicario M. Intestinal permeability in functional gastrointestinal disorders. Neurogastroenterology & Motility 2020; 32:e13715.



Saturday, 4 October 2025

BENARKAH GULA SAMA BAHAYA DENGAN ROKOK ??

 


Baru beberapa hari lepas, terlintas satu video ceramah seorang penceramah yang bertanya kepada pendengar, antara rokok dan gula, yang mana lebih bahaya ?. Beliau sendiri yang menjawab bahawa kedua2 rokok dan gula sama bahaya. Kenyataan seperti ini bukan baru tetapi banyak kali disuarakan oleh pihak tertentu yang mungkin salah faham terhadap gula. Mari kita ikuti penjelasan di bawah dan di akhir tulisan ini, diharap anda boleh membuat kesimpulan.

ROKOK : TIADA TAHAP SELAMAT

Rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia beracun, termasuk lebih 70 karsinogen (agen penyebab kanser) yang terbukti menyebabkan kanser. Merokok dikategorikan dalam kumpulan 1 (Group 1) agen penyebab kanser dalam Monograph IARC. Malah, walaupun seseorang merokok sedikit sahaja, risiko kanser paru-paru, penyakit jantung, angin ahmar, dan COPD tetap meningkat. Tiada "paras selamat" untuk merokok, ia berbahaya dari hisapan pertama. Merokok juga boleh menyebabkan masalah kemandulan, mati pucuk ("disfungsi erektil") dan lain2.

Di samping mudarat kesihatan ke atas perokok, ia juga mendatangkan masalah kesihatan ke atas perokok pasif dan anak dalam kandungan.

GULA : BAHAYA JIKA BERLEBIHAN

Tidak dapat dinafikan bahawa gula dikaitkan dengan banyak masalah kesihatan. Walau bagaimana pun, gula bukan karsinogen. Tubuh kita memerlukan gula dalam bentuk glukosa untuk fungsi asas sel termasuk otak dan otot. Masalah timbul apabila gula diambil secara berlebihan: ia menyumbang kepada obesiti, diabetes jenis 2, kerosakan gigi, dan risiko penyakit kardiovaskular. 

Gula adalah nutrien penting dalam kuantiti optimum, tanpa glukosa, kita tidak boleh hidup dan tubuh kita boleh hasilkan glukosa apabila keadaan memerlukan. Apa yang tidak diperlukan adalah gula tambahan. Berbeza dengan rokok, gula tidak bertindak seperti rokok yang secara langsung merosakkan DNA dan mencetuskan kanser. 

Pengambilan gula berlebihan menyumbang kepada lebihan kalori dalam tubuh. Namun, jika kalori tersebut dibakar semula sehingga berlaku defisit tenaga, kesan pengambilan gula itu boleh diimbangi. Sebaliknya, tiada cara untuk “menawarkan” semula rokok yang asapnya telah disedut masuk ke dalam paru-paru, kerosakannya kekal.

ROKOK : BAHAYA KEPADA PEROKOK PASIF DAN ANAK DALAM KANDUNGAN

Bahaya rokok tidak hanya terhenti pada perokok.

Perokok pasif: Menghidu asap rokok orang lain meningkatkan risiko kanser paru-paru, penyakit jantung, dan asma. Kajian menunjukkan bahawa perokok pasif mempunyai risiko kanser paru-paru meningkat sebanyak 20–30% berbanding individu yang tidak terdedah, di samping bukti kaitan dengan kanser payudara, tekak, dan hidung. Malahan perokok pasif juga diletakkan bawah kumpulan 1 karsinogen IARC.

Kanak-kanak yang terdedah lebih mudah mendapat jangkitan telinga, pneumonia, dan bronkitis.

Ibu mengandung: Rokok menjejaskan aliran oksigen kepada janin, meningkatkan risiko bayi lahir pramatang, berat lahir rendah, keguguran, dan kematian neonatal. Pendedahan asap rokok di rumah juga terbukti menjejaskan kesihatan bayi selepas kelahiran.

SALAH FAHAM : “GULA MERANSANG SEL KANSER"

Ada naratif popular kononnya sel kanser “makan gula” lalu gula dianggap punca atau peransang  kanser, sedangkan dalam kalangan pakar kanser dan pertubuhan2 kanser dalam serta luar negara  (contoh ACS dan NCSM), ini adalah satu mitos. Maka salah faham ini dijadikan salah satu alasan gula sama bahaya dengan rokok. Hakikatnya, semua sel dalam tubuh, sel normal dan kanser menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga. Fenomena yang dikenali sebagai “Warburg effect” menunjukkan bahawa sel kanser menggunakan lebih banyak glukosa kerana ia membiak lebih cepat, tetapi:

Gula tidak menyebabkan sel normal menjadi kanser dan glukosa tidak meransang sel kanser kembali berulang.

Kanser terjadi akibat mutasi genetik dan faktor risiko seperti merokok, radiasi, jangkitan (contohnya HPV, hepatitis B/C), obesiti, dan keradangan kronik. Malahan ada beberapa jenis kanser yang lebih memerlukan asid lemak untuk hidup berbanding dengan gula.

Mengawal gula dalam darah penting untuk kesihatan, tetapi mengurangkan gula tidak bermakna sel kanser akan “mati kelaparan” kerana tubuh tetap menghasilkan glukosa daripada protein dan lemak melalui proses glukoneogenesis. Kaitan gula dan kanser adalah secara tidak langsung iaitu melalui kegemukan/obesiti akibat pengambilan gula ataupun kalori yang berlebihan. Tambahan pula, terdapat beberapa jenis kanser yang menggunakan asid lemak sebagai nutrein utama berbanding dengan gula. Apa sahaja jenis gula (glukosa, fruktosa, sukrosa dll) tidak tersenarai sebagai agen kanser (karsinogen) dalam monograph IARC.

FATWA MEROKOK

Majoriti ulama dan badan berautoriti Islam kontemporari telah sepakat bahawa merokok adalah haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia pada tahun 1995 memutuskan bahawa merokok haram kerana memudaratkan kesihatan dan membazirkan harta. Fatwa sama turut dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ Mesir, Lajnah Daimah Arab Saudi, dan Majlis Ulama Indonesia.

KESIMPULAN

Rokok adalah karsinogen kumpulan pertama (WHO/IARC) dan penyebab langsung kepada pelbagai jenis kanser. Ia juga membahayakan orang sekeliling (perokok pasif) dan bayi dalam kandungan. Selain dari kanser, merokok juga meningkatkan risiko penyakit2 lain seperti penyakit paru2 kronik, sakit jantung, angin ahmar dan lain2.

Gula pula bukan karsinogen. Bahayanya datang daripada pengambilan berlebihan yang meningkatkan risiko obesiti dan penyakit metabolik.

Menyamakan gula dengan rokok adalah salah faham dan boleh mengelirukan masyarakat.

Nasihat kesihatan: Jauhi rokok sepenuhnya, dan kawal pengambilan gula bebas mengikut saranan WHO (kurang daripada 10% daripada jumlah kalori harian).

Dato' Dr.Rushdan Noor

4hb Okt 2025


RUJUKAN

1. World Health Organization. (2020). Tobacco. 

2. World Health Organization. (2015). Guideline: Sugars intake for adults and children. Geneva: WHO.

3. Hanahan, D., & Weinberg, R. A. (2011). Hallmarks of cancer: the next generation. Cell, 144(5), 646–674. 

4. Vander Heiden, M. G., Cantley, L. C., & Thompson, C. B. (2009). Understanding the Warburg effect: the metabolic requirements of cell proliferation. Science, 324(5930), 1029–1033. 

5. U.S. Department of Health and Human Services. (2014). The Health Consequences of Smoking—50 Years of Progress. A Report of the Surgeon General. Atlanta: Centers for Disease Control and Prevention.

6. Centers for Disease Control and Prevention. (2020). Health Effects of Secondhand Smoke

7. International Agency for Research on Cancer (IARC). (2004). Tobacco smoke and involuntary smoking. IARC Monographs on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans, Volume 83. Lyon: WHO/IARC.

8. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). (1995). Fatwa merokok: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-37. Putrajaya: JAKIM.

9. Majlis Ulama Indonesia (MUI). (2009). Fatwa tentang hukum merokok. Jakarta: Majlis Ulama Indonesia.

10. U.S. Department of Health and Human Services. (2014). The health consequences of smoking—50 years of progress: A report of the Surgeon General. Atlanta, GA: Centers for Disease Control and Prevention.

11. Yusuf al-Qaradawi. (1994). Halal dan haram dalam Islam. Kaherah: Maktabah Wahbah.