Thursday, 15 January 2026

10 TIP MENAPIS MAKLUMAT PALSU TENTANG PEMAKANAN DAN DIET DALAM MEDIA SOSIAL

 


PENDAHULUAN

Media sosial kini menjadi sumber utama maklumat pemakanan bagi masyarakat awam. Malangnya, sebahagian besar kandungan yang tular tidak disaring melalui kaedah saintifik, sebaliknya dibina atas naratif emosi, ketakutan dan janji kesihatan yang melampau. Akibatnya, ramai yang keliru, takut untuk makan secara normal, dan akhirnya mengamalkan diet yang tidak seimbang. 

Artikel ini menghuraikan sepuluh tip berfikir yang boleh membantu masyarakat menilai dan menapis maklumat palsu berkaitan pemakanan dan diet.

TIP 1: DOS MENENTUKAN KESAN, BUKAN LABEL "BAIK" ATAU "BURUK" 

Dalam sains pemakanan, sesuatu makanan tidak boleh dinilai sebagai berbahaya atau bermanfaat tanpa melihat jumlah dan kekerapan pengambilannya. Contohnya, daging yang dibakar hangus boleh menghasilkan sebatian seperti heterocyclic amines (HCA) dan polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) yang dikaitkan dengan risiko kanser dalam kajian makmal. Namun, pengambilan sekali-sekala dalam diet seimbang tidak membawa makna risiko yang sama berbanding pengambilan hampir setiap hari, dalam kuantiti besar dan tanpa variasi makanan lain. Begitu juga santan, gula dan garam, ia bukan racun, tetapi boleh memberi kesan buruk jika diambil secara berlebihan dan berterusan.Hatta, dalam setiap bahan makanan ujud sebatian2 kimia dan kompoun2 yang toksik tetapi dalam kuantiti yang kecil dan dineutralkan oleh bahan2 lain yang diambil bersama ataupun oleh sistem perkumuhan tubuh seseorang.

TIP 2: CORAK PEMAKANAN JANGKA PANJANG LEBIH PENTING DARIPADA "SUPERFOOD".

Kesihatan tidak ditentukan oleh satu makanan tertentu, sebaliknya oleh corak pemakanan keseluruhan. 

Dalam konteks Malaysia, pengambilan nasi bersama sayur, ulam, ikan, ayam, tempe atau tauhu secara konsisten seperti dalam garispanduan diet (Separuh-Suku-Suku) jauh lebih bermakna daripada mengejar makanan yang digelar superfood atau amalan popular seperti suplemen, diet ekstrem, teh detok, dakwaan makan X  boleh cegah atau rawat penyakit  A, B dan C, makanan reset usus dan hati, dan lain2 yang tidak disokong oleh kajian saintifik. 

Kajian menunjukkan corak pemakanan yang seimbang dan berterusan memberi kesan jauh lebih besar terhadap kesihatan berbanding amalan pemakanan jangka pendek yang tular di media sosial.

TIP 3: RUJUK KONSENSUS PAKAR TENTANG ASAS PEMAKANAN YANG SEBENAR 

Garispanduan diet yang dikeluarkan oleh badan2 kesihatan berautoriti telah diteliti dan dihasilkan oleh konsensus pakar2 yang berwibawa. Walaupun pemakanan sering dipersembahkan sebagai bidang yang kompleks, terdapat konsensus yang hampir universal. Pakar2 bersetuju tentang kepentingan makanan segar yang sebenar dan minimumkan makanan diproses, pengambilan protein mencukupi, serat yang tinggi, meminimakan lemak trans, dan kawalan gula tambahan, lemak tepu serta garam. Di luar prinsip asas ini, banyak dakwaan diet yang kedengaran hebat sebenarnya masih kurang bukti kukuh dan sering bersifat pendapat peribadi atau strategi pemasaran.

Contoh: Konsensus pakar menyarankan minima atau elak lemak trans, hadkan lemak tepu kurang dari 10% kalori, gula tambahan kurang dari 5-10% kalori dan hadkan garam kurang dari 5 gram sehari. Tetapi ada pihak mendakwa "diet keto, diet karnivore selamat dan boleh makan banyak lemak tepu dan garam atau mendakwa buah2an dan sayur tidak baik untuk kesihatan", ini berlawanan dengan konsensus pakar. Testimoni dijadikan bukti, tanpa menimbang risiko kardiovaskular dan metabolik.

TIP 4: DAKWAAN LUAR BIASA MEMERLUKAN BUKTI YANG LUAR BIASA. 

("EXTRAORDINARY CLAIMS NEED EXTRAORDINARY EVIDENCE") 

Jika sesuatu dakwaan bercanggah dengan garis panduan pemakanan atau keselamatan makanan negara, ia perlu disokong dengan bukti yang sangat kukuh. Contoh dakwaan luar biasa adalah "diet karnivor adalah diet terbaik untuk manusia" , "puasa dan diet zero gula boleh rawat kanser", "diet ketogenik boleh rawat sakit jantung dan Alzheimers", "Herba ini dan jus itu boleh merawat kanser". Contoh lain, suplemen herba ini boleh ganti ubat moden. Produk ini, makan itu dan kaedah ini boleh "boost performance", reset usus, reset hati, stabilkan hormon dan detoks tubuh badan. Hakikatnya, tiada bukti saintifik yang kukuh menyokong dakwaan2 ini. Jika sudah ada bukti yang kukuh, sudah tentu pakar2 di dalam bidang penyakit2 ini akan menggunakannya.

Ciri-Ciri Dakwaan Luar Biasa (Red Flags)

a. Bertentangan dengan garis panduan rasmi

b. Melibatkan tuduhan konspirasi industri atau kerajaan

c. Tiada rujukan kajian manusia berkualiti

d. Menggunakan istilah2 yang bunyinya saintifik tetapi kabur dan asing kepada komuniti perubatan arus perdana. (Contoh reset, detoks, leaky gut, badan berasid, keradangan senyap, bioenergi makanan, mitokondria lemah dan lain2) 

e. Menggunakan logik emosi, bukan data

f. Selalunya diikuti dengan jualan produk atau program coaching

TIP 5: FAHAMI TAHAP RISIKO, BUKAN SEKADAR TAJUK SENSASI

Media sosial sering memetik peningkatan risiko penyakit tanpa menjelaskan risiko sebenar. Contohnya makan itu dan ini boleh sebabkan penyakit itu dan ini, sedangkan tidak disebut oleh pakar2 di dalam bidang tersebut. 

Jika pun ada risiko, perlu teliti data2 dan tahap risiko itu. Apabila risiko asal sesuatu penyakit sangat rendah, peningkatan kecil secara statistik mungkin kelihatan besar tetapi tidak bermakna ianya praktikal atau relevan kepada individu. Contohnya risiko asal 0.001% untuk dapat kesan atau penyakit tertentu,  peningkatan kepada 0.002% boleh dianggap tinggi (peningkatan 100%) dari segi statistik tetapi realitinya masih rendah kesannya (tambahan 1 kes dalam 100,000). Ada juga risiko itu diambil dari hasil kajian makmal yang tidak dibuktikan ke atas manusia, mitos yang diulang2 dan ada juga salah tafsir hasil kajian. Pernah tak terlintas ayat2 berikut ? " Microwave menyebabkan Kanser" , "Gula Meransang Sel Kanser", "Susu dan Soya Menyebabkan Kanser Payudara" dan lain2.

Tanpa konteks risiko mutlak, maklumat sebegini mudah menimbulkan ketakutan, panik dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sedangkan penyebarnya hanya mengejar populariti dan mengumpul pengikut 

TIP 6: MEKANISMA BIOLOGI TANPA HASIL KLINIKAL, BUKAN NASIHAT PERUBATAN. ("MECHANISM WITHOUT OUTCOME IS NOT HEALTH ADVISE")

Banyak dakwaan pemakanan menggunakan istilah saintifik seperti “lonjakan insulin”, “kerintangan insulin”, “keradangan ringan”, “gangguan hormon”, dan lain2,  istilah yang tidak kelihatan, tetapi kedengaran meyakinkan. Namun, mekanisma biologi semata-mata tidak membuktikan kesan kesihatan sebenar ke atas manusia. Ia hanya menerangkan apa yang mungkin berlaku di peringkat sel dan tisu, bukan apa yang benar-benar dialami oleh tubuh manusia. Tidak sedikit hujah yang kelihatan kukuh kerana sarat teori, tetapi gagal disokong bukti klinikal tentang manfaat atau keselamatan sebenar kepada manusia.

Sebagai contoh, hakikat bahawa nasi putih menaikkan paras gula darah tidak bermakna semua pemakan nasi akan menghidap diabetes. Fruktosa boleh merangsang lipogenesis (penghasilan lemak), namun fruktosa dalam buah datang bersama serat, air dan fitokimia, dan kajian tidak menunjukkan pengambilan buah menyebabkan hati berlemak. Begitu juga omega-6 sering dikaitkan dengan keradangan secara teori, sedangkan kajian klinikal ke atas manusia tidak menyokong dakwaan tersebut, malah menunjukkan manfaat kesihatan.

Tip ke-6 ini termasuk juga dakwaan ekstrak daun, akar dan buah yang boleh merawat kanser hasil dari kajian makmal ke atas lapisan sel dan tikus makmal. Dapatan daripada kajian di dalam makmal ini tidak semestinya menghasilkan keputusan yang sama ke atas manusia. Walaupun ada penjelasan biologi dan mekanisma mematikan sel kanser di dalam makmal, ia tidak menunjukkan kesan yang sama apabila diberikan pada manusia, jadi dakwaan itu terhenti setakat spekulasi sahaja.

Apa yang berlaku dalam sel, makmal atau haiwan tidak semestinya mencerminkan realiti manusia, sebab itu dakwaan pemakanan perlu dibuktikan melalui kajian klinikal ke atas manusia.

TIP 7: ELAK TERPEDAYA ATAU TERPENGARUH DENGAN SATU KAJIAN SAHAJA ("SINGLE STUDY SENSATION")

Dalam dunia penyelidikan, satu kajian boleh menyokong hampir apa sahaja. Konsensus sains hanya terbina apabila banyak kajian berkualiti tinggi menunjukkan hasil yang konsisten. 

Oleh itu, nasihat pemakanan yang benar-benar kukuh biasanya tidak berubah mengikut trend atau kajian tunggal yang tular di media sosial. Contoh satu kajian menunjukkan kopi meningkatkan risiko kanser tetapi bila diteliti, ada isu metodologi dan konteks, apabila lebih banyak kajian dirujuk dan dilakukan, pendapat awal itu ditolak. Rupa2nya kopi yang diambil pada kadar yang tertentu adalah selamat dan memanfaatkan kesihatan. 

Dalam sains pemakanan, kebenaran tidak ditentukan oleh kajian paling tular, tetapi oleh keseluruhan bukti yang konsisten merentas masa dan populasi.

TIP 8: TANYA APA YANG DIGANTIKAN DALAM DIET

Soalan yang lebih penting daripada “makanan ini baik atau buruk” ialah makanan tersebut menggantikan apa dalam diet. Menggantikan minyak tinggi  lemak tepu dengan minyak yang tinggi lemak tidak tepu boleh memberi manfaat kardiovaskular, tetapi menggantikan sayur dan protein dengan makanan bergoreng akan bermasalah. Menggantikan roti putih halus dengan roti bijirin penuh ("wholemeal"), membekalkan serat lebih tinggi, kawalan gula darah lebih baik. Tetapi jika protein, sayur dan buah2an digantikan dengan roti bijirin penuh, diet jadi tidak seimbang dan kalori boleh jadi berlebihan.

Konteks penggantian ini sering diabaikan dalam perbincangan popular tentang diet.

TIP 9: BEZAKAN NASIHAT UMUM DAN KEPERLUAN INDIVIDU

Nasihat pemakanan awam bertujuan memberi panduan umum, bukan amalan peribadi. Apa yang sesuai untuk atlet, pesakit diabetes, warga emas dan kanak2 tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Contoh mendakwa "intermittent fasting" baik untuk kesihatan semua orang adalah tidak benar kerana ia boleh memudaratkan pesakit diabetes yang dirawat dengan insulin, wanita hamil, menyusu, masalah gangguan pemakanan ("eating disorders") dan lain2. Mengamalkan nasihat diet tanpa mengambil kira keadaan individu boleh membawa kepada amalan pemakanan yang tidak sesuai dan berisiko.

TIP 10: BERHATI-HATI DENGAN NARATIF TAKUT DAN JANJI MUDAH 

Jika sesuatu kandungan/konten menggunakan bahasa ekstrem, menyalahkan satu bahan sebagai punca semua penyakit, dan menawarkan satu penyelesaian mudah, ia biasanya lebih dekat kepada pemasaran daripada sains. Contoh, "gula membunuh senyap-senyap dan semua penyakit berpunca daripada gula". Realitinya dos, konteks dan pola diet keseluruhan lebih penting. 

Ciri-Ciri utama naratif takut dan janji mudah adalah:

a. Bahasa ekstrem: racun, membunuh, punca semua penyakit

b. Satu punca kepada banyak penyakit

c. Satu solusi untuk semua masalah

d. Tiada perbincangan dos, konteks, atau bukti klinikal

e. Selalunya diakhiri dengan jualan produk atau program coaching.

Pendidikan pemakanan yang baik tidak berasaskan ketakutan, tetapi kefahaman yang seimbang dan berlandaskan bukti.

KESIMPULAN 

Dalam menilai maklumat pemakanan di media sosial, persoalan yang lebih jujur bukanlah sama ada sesuatu makanan itu baik atau buruk, tetapi berapa banyak, berapa kerap, dalam diet siapa, dan berbanding apa. Dengan menggunakan sepuluh panduan ini, masyarakat boleh menapis maklumat pemakanan yang lebih rasional, seimbang dan berasaskan sains, tanpa terperangkap dalam kitaran mitos dan sensasi yang tidak berkesudahan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

16hb Jan 2026

No comments:

Post a Comment