Monday, 12 January 2026

MITOS "SEED OIL" MUDARAT UNTUK KESIHATAN : SATU LAGI MAKLUMAT KESIHATAN PALSU ("MEDICAL MISINFORMATION").


 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seed oil, iaitu minyak bijian seperti minyak soya, kanola, bunga matahari, jagung, biji rami dan safflower sering dituduh sebagai punca utama keradangan, obesiti, penyakit jantung, diabetes malah kanser. Di media sosial, ia dilabel sebagai “toxic”, “industrial oil”, atau “racun moden” yang kononnya merosakkan kesihatan manusia secara senyap.

Namun, seperti banyak isu pemakanan lain, persoalannya adakah dakwaan itu disokong oleh bukti saintifik yang kukuh ataupun salah satu lagi maklumat palsu ("misinformation"). 

Apabila dakwaan ini dinilai melalui kajian klinikal, kajian kohort besar dan analisis sistematik, gambaran yang muncul berbeza dari apa yang popular di media sosial. Ikuti penjelasan tentang isu ini di bawah.

ASID LEMAK OMEGA-6 DAN KERADANGAN : TEORI MUDAH, REALITI KOMPLEKS

Asas utama mitos seed oil ialah dakwaan bahawa kandungan omega-6 (linoleic acid) bersifat “pro-inflamasi”. Hujah ini biasanya berpunca daripada laluan biokimia,  linoleic acid boleh ditukar kepada arachidonic acid, iaitu prekursor kepada beberapa mediator keradangan. Daripada sini, kesimpulan mudah dibuat bahawa pengambilan omega-6 yang tinggi pasti meningkatkan keradangan.

Namun, biokimia tidak boleh diterjemah secara langsung kepada kesihatan manusia. Tubuh manusia mengawal metabolisma asid lemak secara ketat, dengan pengaruh imbangan omega-3, keperluan fisiologi dan konteks diet keseluruhan. 

Meta-analisis kajian rawak terkawal (RCT) mendapati bahawa peningkatan pengambilan linoleic acid tidak meningkatkan penanda keradangan sistemik seperti C-reactive protein (CRP) dan sitokin inflamasi dalam kalangan manusia sihat atau berisiko sederhana.

Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa asid lemak omega-6, melalui metabolisma kepada arachidonic acid, bukan sahaja terlibat dalam penghasilan mediator pro-radang, tetapi juga menghasilkan molekul seperti lipoksin, yang mempunyai kesan anti-radang dan membantu melawan proses keradangan dalam tubuh.

Penyelidik juga telah mengkaji corak pemakanan dan kesihatan lebih daripada 200,000 orang di Amerika Syarikat selama kira-kira 30 tahun. Mereka mendapati bahawa individu yang mengambil lebih banyak minyak berasaskan tumbuhan (termasuk minyak biji/seed oil) mempunyai risiko kematian yang lebih rendah akibat penyakit kardiovaskular atau kanser sepanjang tempoh kajian. Sebaliknya, mereka yang mempunyai pengambilan mentega yang lebih tinggi didapati lebih berisiko untuk meninggal dunia dalam tempoh yang sama.

SEED OIL DAN PENYAKIT JANTUNG : APA YANG DIGANTIKAN ITU LEBIH PENTING 

Dalam sains pemakanan kardiovaskular, persoalan paling penting bukan “minyak ini baik atau buruk”, tetapi “minyak ini menggantikan apa?”. Bukti konsisten menunjukkan bahawa apabila lemak tepu digantikan dengan lemak tidak tepu, termasuk lemak politaktepu (PUFA) daripada seed oil, paras LDL-kolesterol menurun dan risiko penyakit jantung koronari berkurang.

Analisis sistematik oleh Cochrane Collaboration menunjukkan bahawa pengurangan lemak tepu memberi manfaat kardiovaskular apabila digantikan dengan lemak tidak tepu. American Heart Association (AHA) turut mengesahkan bahawa penggantian lemak tepu dengan PUFA, termasuk omega-6, mengurangkan risiko penyakit jantung dan serangan jantung.

Kajian kohort berskala besar mendapati pengambilan linoleic acid yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko penyakit jantung koronari yang lebih rendah, bercanggah dengan dakwaan bahawa seed oil merupakan punca penyakit jantung.

DIABETES DAN KESIHATAN METABOLIK 

Seed oil juga sering dituduh menyumbang kepada diabetes jenis 2. Namun bukti manusia tidak menyokong dakwaan ini. Meta-analisis dose-response terkini menunjukkan bahawa pengambilan linoleic acid yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko diabetes jenis 2 yang lebih rendah, atau sekurang-kurangnya neutral dari sudut metabolik.

Ini tidak bermaksud seed oil adalah “rawatan” diabetes, tetapi ia menolak dakwaan bahawa minyak ini secara intrinsik merosakkan kawalan glukosa. Faktor dominan diabetes kekal lebihan kalori, obesiti viseral, gaya hidup sedentari dan kualiti diet keseluruhan.

SEED OIL DAN RISIKO KANSER

Terdapat kajian ke atas tikus yang mendapati sel kanser payudara yang dipindahkan ke atas tikus membiak lebih cepat. Kajian ini bagaimanapun adalah kajian pra-klinikal ke atas haiwan di dalam makmal, dan kesannya ke atas manusia belum dapat disimpulkan. Lagipun sel kanser payudara yang dikaji itu sememangnya dari jenis yang agresif dan tanpa ransangan pun boleh membiak dengan cepat. Walaupun kajian tersebut mencadangkan mekanisme biologi tertentu dalam keadaan eksperimen, bukti klinikal dan data populasi manusia setakat ini tidak menyokong dakwaan bahawa pengambilan seed oil menyebabkan kanser pada manusia. 

Banyak faktor2 lain yang mungkin terlibat kerana kanser adalah penyakit yang kompleks.

Ahli sains berpendapat bahawa pemanasan minyak secara keterlaluan atau penggunaan berulang kali boleh menghasilkan produk degradasi dan pengoksidaan yang berpotensi memudaratkan kesihatan, dan sebarang peningkatan risiko yang dikaitkan lebih berkait dengan kaedah memasak dan corak pemakanan keseluruhan, bukan minyak tersebut sebagai agen penyebab kanser secara langsung.

Tambahan pula, seed oil ataupun asid lemak omega 6, TIDAK tersenarai sebagai salah satu agen penyebab kanser dalam IARC monograph.

KAITAN SEED OIL DENGAN PENYAKIT ALZHEIMER'S

Setakat bukti saintifik semasa, tiada bukti kukuh bahawa seed oils menyebabkan penyakit Alzheimer. Kebanyakan dakwaan datang daripada kajian haiwan atau teori biologi, sedangkan kajian manusia dan ulasan sistematik tidak menunjukkan hubungan kausal yang jelas. Malahan ada kajian menunjukkan seed oil tertentu mempunyai ciri2 antioksidan dan pelindung sistem saraf ("neuroprotevtive").

Kajian populasi manusia menunjukkan jenis dan keseimbangan lemak lebih penting daripada label “seed oil”. Lemak tepu berlebihan lebih konsisten dikaitkan dengan risiko demensia (nyanyok), manakala lemak tidak tepu daripada sumber tumbuhan dan ikan sering bersifat neutral atau pelindung. Kesimpulannya, tuntutan bahawa seed oils menyebabkan Alzheimer tidak disokong oleh bukti klinikal manusia yang kukuh.

ISU "DIPROSES", HEXANE DAN BAHAN KIMIA

Satu lagi hujah popular ialah seed oil “terlalu diproses” dan tercemar dengan bahan kimia seperti hexane. Realitinya, pelarut seperti hexane digunakan secara terkawal dalam industri makanan, dengan had residu maksimum yang ditetapkan oleh badan regulatori antarabangsa. Paras residu dalam minyak komersial berada jauh di bawah tahap yang diketahui memberi kesan toksik.

European Food Safety Authority (EFSA) dan badan kawal selia lain secara berkala menilai keselamatan pelarut industri dan pendedahan pengguna, menunjukkan isu ini dipantau secara berterusan dan bukan diabaikan.

ASID LEMAK DALAM SUSU FORMULA ADALAH DARI "SEED OIL

Hampir 50% tenaga dalam susu ibu datang daripada lemak, termasuk asid linoleik (omega-6) dan asid alfa-linolenik (omega-3) yang bayi tidak mampu hasilkan sendiri. Oleh kerana susu lembu tidak mempunyai profil asid lemak yang menyerupai susu ibu, susu formula menggunakan minyak tumbuhan sebagai sumber terkawal untuk membekalkan asid lemak tersebut dalam nisbah yang sesuai.

Asid lemak ini penting untuk perkembangan otak, sistem saraf dan penglihatan, serta menjadi prekursor kepada DHA dan ARA yang lazimnya ditambah dalam formula moden. Selama beberapa dekad penggunaan global, tiada bukti klinikal atau data populasi yang menunjukkan minyak tumbuhan atau asid lemak daripadanya dalam susu formula menyebabkan kesan toksik atau mudarat metabolik. Ini juga salah satu bukti seed oil tidak memudaratkan kesihatan.

DARI MANA DATANGNYA MITOS SEED OIL DAN APAKAH AGENDA DISEBALIKNYA? 

Mitos seed oil tidak lahir daripada penemuan saintifik baharu, tetapi daripada gabungan salah tafsir sains, emosi, ideologi dan kepentingan tertentu. Ini adalah salah satu pendekatan "reductionism", yakni menilai kesihatan manusia hanya berdasarkan satu laluan biokimia, mengabaikan bukti klinikal manusia yang lebih relevan.

Mitos ini juga diperkukuh oleh reaksi balas terhadap garis panduan pemakanan moden. Peningkatan obesiti dan penyakit kronik sering disalahkan kepada minyak sayuran, walaupun data jelas menunjukkan peranan utama dimainkan oleh lebihan kalori, gula tambahan, makanan ultra-processed dan perubahan gaya hidup.

Media sosial mempercepatkan penyebaran naratif ini kerana ia ringkas, sensasi dan mudah dikomersialkan. Dalam ruang ini wujud agenda ideologi diet ekstrem, agenda komersial yang memasarkan produk “seed-oil-free”, serta agenda anti-institusi yang menolak sains arus perdana dan mengangkat pengalaman peribadi atau anekdot sebagai bukti tertinggi. Maklumat palsu ini seringkali disebarkan oleh pengamal perubatan alternatif yang mempunyai agenda mereka sendiri.

KESIMPULAN 

Seed oil bukanlah makanan ajaib, tetapi ia juga bukan racun. Bukti kukuh daripada kajian ke atas manusia menunjukkan bahawa asid lemak omega-6 daripada minyak tumbuhan atau minyak bijian tidak menyebabkan keradangan kronik, dan tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, diabetes atau kanser dalam populasi umum.

Sebaliknya, penggunaan seed oil sebagai pengganti lemak tepu secara konsisten dikaitkan dengan penurunan paras LDL-kolesterol serta sokongan terhadap kesihatan kardiovaskular dan metabolik. Walaupun manfaatnya mungkin tidak setara dengan minyak zaitun yang kaya komponen bioaktif, seed oil secara amnya lebih bermanfaat berbanding minyak kelapa dan minyak kelapa sawit kerana kandungan lemak tidak tepu (PUFA) yang lebih tinggi serta sokongan bukti klinikal manusia yang lebih kukuh.

Risiko kesihatan sebenar tidak ditentukan oleh demonisasi satu bahan makanan, tetapi oleh jumlah kalori keseluruhan, kualiti diet secara menyeluruh, dan gaya hidup. Dalam sains pemakanan, soalan yang lebih jujur dan relevan bukanlah sama ada sesuatu minyak itu “baik” atau “buruk”, tetapi minyak tersebut menggantikan apa, dalam diet siapa, dan bagaimana ia digunakan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Jan 2025

RUJUKAN 

1. Harris WS, Mozaffarian D, Rimm E, Kris-Etherton P, Rudel LL, Appel LJ, et al. Omega-6 fatty acids and risk for cardiovascular disease: A science advisory from the American Heart Association Nutrition Subcommittee. Circulation. 2009;119(6):902–7.

2. Sacks FM, Lichtenstein AH, Wu JHY, Appel LJ, Creager MA, Kris-Etherton PM, et al. Dietary fats and cardiovascular disease: A presidential advisory from the American Heart Association. Circulation. 2017;136(3):e1–23.

3. Farvid MS, Ding M, Pan A, Sun Q, Chiuve SE, Steffen LM, et al. Dietary linoleic acid and risk of coronary heart disease: A systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. Circulation. 2014;130(18):1568–78.

4. Hooper L, Martin N, Abdelhamid A, Smith GD. Reduction in saturated fat intake for cardiovascular disease. Cochrane Database Syst Rev. 2020;8:CD011737.

5. Johnson GH, Fritsche K. Effect of dietary linoleic acid on markers of inflammation in healthy persons: A systematic review of randomized controlled trials. J Acad Nutr Diet. 2012;112(7):1029–41.

6. Mozaffarian D, Micha R, Wallace S. Effects on coronary heart disease of increasing polyunsaturated fat in place of saturated fat: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. PLoS Med. 2010;7(3):e1000252.

7. Mousavi SM, Jalilpiran Y, Karimi E, Bagheri A, Kord-Varkaneh H, Larijani B. Dietary intake of linoleic acid and risk of type 2 diabetes: A systematic review and dose–response meta-analysis of prospective cohort studies. Diabetes Care. 2021;44(9):2173–81.

8. Monteiro CA, Cannon G, Levy RB, Moubarac JC, Louzada MLC, Rauber F, et al. Ultra-processed foods: What they are and how to identify them. Public Health Nutr. 2019;22(5):936–41.

9. World Health Organization, Food and Agriculture Organization of the United Nations. Evaluation of certain food additives and contaminants: Sixty-ninth report of the Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA). WHO Technical Report Series No. 952. Geneva: WHO; 2009.

10. European Parliament, Council of the European Union. Directive 2009/32/EC on extraction solvents used in the production of foodstuffs and food ingredients. Off J Eur Union. 2009;L141:3–11.

11. European Food Safety Authority (EFSA). Outcome of the public consultation on the draft protocol for the re-evaluation of hexane as an extraction solvent. EFSA Supporting Publications. 2024;21(1):EN-9001.

No comments:

Post a Comment