MENGAPA KITA PATUT KEKAL DENGAN GARISPANDUAN DIET WHO ("WHO DIETARY GUIDELINE") DAN KKM.
KRITIKAN KE ATAS "DIETARY GUIDELINES FOR AMERICA 2025-2030" YANG TERBARU.
Perdebatan mengenai pemakanan sihat kembali hangat apabila Amerika Syarikat memperkenalkan garis panduan diet terbaharu yang diluluskan di bawah pentadbiran Robert F. Kennedy Jr, dikenali sebagai Dietary Guidelines for America (DGA) 2025-2030.
Perubahan ini, termasuk bentuk piramid makanan yang terbalik dan penekanan tinggi terhadap protein haiwan serta “makanan sebenar”, mencetuskan perbincangan global tentang hala tuju dasar pemakanan moden.
Namun apabila dinilai secara objektif dan saintifik, garispanduan diet Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih kekal sebagai rujukan yang lebih kukuh, konsisten dan sesuai untuk kesihatan awam jangka panjang.
Komuniti saintifik di Amerika yang selama ini tidak yakin dengan kewibawaan RFK Jr kerana pendiriannya yang sering bercanggah dengan konsensus saintifik arus perdana, meluahkan kebimbangan terhadap DGA 2025-2030 yang baru ini. Kebanyakan mereka berpendapat garispanduan diet Amerika yang terdahulu (Myplate) sudah baik dan berasaskan bukti saintifik. Masalah kesihatan yang dialami oleh orang ramai bukan disebabkan oleh garispanduan tetapi kerana amalan diet dan gayahidup yang tidak sihat bertentangan dengan saranan dari garispanduan tersebut.
GARISPANDUAN DIET WHO BERASASKAN BUKTI SAINTIFIK GLOBAL
Garis panduan diet WHO dibangunkan melalui konsensus pakar antarabangsa, merangkumi data epidemiologi, kajian kohort jangka panjang dan ujian klinikal dari pelbagai rantau dunia.
Fokus utamanya ialah pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, strok dan kanser, penyebab utama kematian global.
Garispanduan itu juga selari dengan amalan diet Mediteranean yang telah diiktiraf sebagai salah satu faktor penting di dalam mencegah penyakit dan memanjangkan hayat.
Sebaliknya, DGA 2025-2030 tidak dapat dipisahkan daripada naratif politik domestik seperti “reset pemakanan nasional” dan slogan “kembali kepada makanan sebenar”. Walaupun mesej ini menarik tetapi melihat kepada komponen makanan dalam piramid terbalik itu, ia berisiko menjadi sekadar alat ideologi, bukan sepenuhnya berteraskan konsensus sains global.
WHO MENEKANKAN KESEIMBANGAN, BUKAN PENONJOLAN NUTRIEN TERTENTU.
WHO secara konsisten menekankan diet yang seimbang merangkumi karbohidrat kompleks daripada bijian penuh, protein daripada pelbagai sumber (haiwan dan tumbuhan), lemak tak tepu serta pengambilan tinggi buah dan sayur.
DGA 2025-2030 pula memberi penekanan kuat kepada protein dan makanan bersumberkan haiwan, termasuk daging merah, mentega dan produk tenusu berlemak penuh.
Walaupun masih menyebut had lemak tepu (<10% dari kalori), pendekatan ini mewujudkan percanggahan mesej yang mudah disalah tafsir oleh masyarakat awam. Had lemak tepu ini sama seperti garispanduan lama tetapi bagaimana untuk capai had ini jika sumbernya fokus kepada sumber haiwan?
WHO lebih jelas dan konsisten iaitu kurangkan lemak tepu dan gantikan dengan lemak tak tepu, satu prinsip yang disokong bukti kukuh penurunan risiko penyakit saluran darah (jantung dan otak).
Garis Panduan diet WHO jauh lebih tegas dan praktikal kerana menetapkan had kuantitatif yang jelas dan konsisten, seperti pengambilan gula bebas kurang daripada 10% tenaga (ideal <5%), garam kurang daripada 5 gram sehari, dan lemak tepu kurang daripada 10% tenaga. Kejelasan angka ini menjadikan garis panduan WHO lebih mudah digunakan dalam pendidikan kesihatan, penggubalan dasar, serta pemantauan kesihatan awam secara sistematik.
Sebaliknya, DGA 2025–2030 walaupun masih mengekalkan had numerik dalam dokumen saintifiknya, memilih pendekatan komunikasi yang lebih bersifat visual dan naratif. Penekanan terhadap corak pemakanan tanpa had kuantitatif yang jelas kepada orang awam menjadikan panduan ini kurang tegas dan lebih sukar diterjemahkan secara konsisten dalam program kesihatan awam berskala besar
APA YANG SAMA DENGAN WHO
Terdapat persamaan antara DGA 2025-2030 yang baru berbanding dengan yang terdahulu serta garispanduan diet WHO. Jadi, banyak cadangan yang dinyatakan bukan perkara baru dalam DGA 2025-2030. Di antara persamaan2 tersebut adalah:
1. Fokus kepada makanan sebenar ("real food")
2. Buah-buahan dan sayur-sayuran masih diiktiraf sebagai komponen penting diet sihat.
3. Kedua-duanya bersetuju bahawa makanan yang diproses dan gula tambahan perlu dikurangkan.
4. Pengambilan lemak tepu kurang dari 10% nilai kalori sehari (cadangan ini juga sama seperti garispanduan diet Amerika yang terdahulu)
KELEMAHAN KETARA GARISPANDUAN DIET AMERIKA YANG BARU (DGA 2025-2030)
1. Penekanan berlebihan kepada protein haiwan dan tenusu penuh lemak, berbanding dengan protein tumbuhan. Ini berisiko meningkatkan pengambilan lemak tepu dan kolesterol (sedangkan dalam garispanduan yang sama lemak tepu perlu kurang dari 10% nilai kalori) jika tidak dikawal dengan jelas. Kedua-dua cadangan ini sukar dipenuhi bersama dalam diet harian yang biasa. Ini berpotensi memudaratkan kesihatan.
2. Lebih longgar terhadap lemak tepu dari makanan “sebenar” (tenusu penuh lemak, daging). Istilah “lemak sihat” menjadi kabur dan mengelirukan orang awam. Cadangan mengambil 3 sajian tenusu penuh lemak ("full fat diary") berpotensi meningkatkan pengambilan lemak tepu. Penekanan tidak diberikan ke atas sumber lemak sihat ("unsaturated fat") dan minyak sayuran.
3. Pengurangan peranan bijian penuh. Sedangkan bukti kukuh menunjukkan bijian penuh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan kanser kolorektal.
4. Kekaburan mesej kesihatan awam. Apabila visual piramid terbalik mempromosikan daging dan tenusu berlemak, mesej had lemak tepu menjadi tidak konsisten dan mengelirukan.
5. Istilah “highly processed” diperkenalkan dalam DGA 2025-2030 yang tidak ada definisi jelas seperti "Ultra-Processed Foods" yang telah diiktiraf dalam sistem klasifikasi NOVA. Jadi, istilah kabur seperti "highly processed foods" ini menyukarkan penguatkuasaan dasar, pelabelan dan pemantauan populasi.
6. Menasihati orang ramai “eat real food” tanpa mengambil kira faktor kos, waktu memasak, akses kepada makanan segar, kaedah memasak dan sistem makanan yang rosak dianggap sebagai meletakkan beban pada individu sahaja tanpa menyelesaikan masalah struktur.
7. Kurang sesuai untuk populasi rentan. Diet tinggi daging dan tenusu tidak praktikal untuk golongan berpendapatan rendah, warga emas, atau negara membangun dari sudut kos dan kelestarian.
8. Lebih bersifat individualistik berbanding populasi. Ia mungkin sesuai untuk individu tertentu, tetapi kurang sesuai sebagai dasar pemakanan nasional atau global.
9. Ahli fakulti Harvard T.H. Chan, School of Public Health berpendapat tiada ketelusan tentang siapa yang menulis DGA 2025-2030. Walaupun ada dokumen lampiran oleh saintis tertentu, metodologi, tahap ketelitian dan rasional pemilihan topik tidak dijelaskan. Proses semakan dan pembentangan ini menyimpang daripada piawaian ketat HHS yang sepatutnya memastikan bukti dan kesimpulan adalah telus, bebas bias dan berasaskan sains
10. Garispanduan diet Amerika yang baharu juga dikritik kerana kemungkinan wujud "conflict of interest", di mana dikatakan majoriti penyelidik yang menulis laporan justifikasi saintifik mempunyai konflik kepentingan dengan syarikat daging, tenusu, dan/atau suplemen yang berpotensi mendapat keuntungan daripada garis panduan baru ini.
KEBIMBANGAN INSTITUT KANSER AMERIKA (AICR) TERHADAP DGA 2025-2030
American Institute for Cancer Research (AICR) turut menyuarakan kebimbangan bahawa garispanduan diet Amerika yang baharu ini meningkatkan penekanan terhadap daging merah dan protein haiwan, serta hanya menyatakan “hadkan” alkohol tanpa mengiktiraf bahawa tiada tahap alkohol yang benar-benar selamat dari segi risiko kanser.
AICR menegaskan bahawa penekanan ini bertentangan dengan bukti saintifik yang menunjukkan hubungan antara pengambilan daging merah dan risiko kanser tertentu, dan garis panduan itu sepatutnya memberi prioriti yang lebih jelas kepada protein berasaskan tumbuhan, mengecualikan daging yang diproses, serta menawarkan dasar yang lebih kuat untuk akses dan kebolehcapaian diet sihat untuk pencegahan penyakit jangka panjang.
KENYATAAN PERTUBUHAN JANTUNG AMERIKA (AHA) BERKENAAN DENGAN DGA 2025-2030
American Heart Association menyambut baik beberapa elemen positif dalam DGA 2025-2030, khususnya penekanan terhadap pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijian penuh serta usaha mengurangkan gula tambahan dan makanan ultra-proses.
Namun, AHA turut menyuarakan kebimbangan serius bahawa penekanan yang lebih besar terhadap daging merah, produk tenusu berlemak penuh dan protein haiwan boleh membawa kepada peningkatan pengambilan lemak tepu dan natrium, yang terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
AHA menegaskan bahawa untuk kesihatan jantung jangka panjang, pilihan protein seharusnya lebih memfokuskan kepada sumber berasaskan tumbuhan, ikan dan daging tanpa lemak, serta penggunaan lemak tak tepu berbanding lemak tepu.
WHO mengambil kira:
a. Kemampuan ekonomi,
b. Akses makanan,
c. Budaya setempat dan
d. Kelestarian alam sekitar.
Pendekatan ini menjadikan garispanduan WHO lebih inklusif dan praktikal untuk digunakan merentas negara dan lapisan masyarakat, berbanding pendekatan Amerika yang cenderung kepada konteks sosioekonomi tertentu.
KKM berpandukan WHO dari segi prinsip dan bukti saintifik. Namun KKM mengadaptasi garis panduan tersebut kepada konteks Malaysia. Pendekatan KKM lebih berorientasikan kesihatan populasi dan pencegahan NCD, selari dengan mandat WHO. Konsep makan separuh-suku-suku yang disarankan oleh KKM juga selari dengan saranan WHO (di Amerika, guna konsep Myplate). Di Amerika dan di Malaydia konsep piramid makanan tahun 201, sudah lama diganti dengan konsep separuh-suku-suku dan Myplate.
KESIMPULAN
Garis panduan diet bukan sekadar panduan individu, tetapi juga instrumen dasar kesihatan awam. Dalam perbandingan ini, WHO jelas mendahului kerana pendekatannya yang neutral, konsisten dengan bukti saintifik, jelas dari segi had nutrien, dan berorientasikan pencegahan penyakit jangka panjang. Ia turut mengambil kira faktor akses makanan, kemampuan ekonomi, budaya setempat, dan realiti masyarakat.
Walaupun DGA 2025-2030 mengekalkan beberapa cadangan positif, ia masih menghadapi kelemahan struktural dan saintifik yang ketara. Beberapa cadangan juga mengelirukan, kontradiksi dan berpotensi memudaratkan. Diet terbaik bukan yang ekstrem atau mengikut trend politik, tetapi yang seimbang, sederhana, dan berasaskan bukti, inilah kekuatan utama garispanduan WHO.
Masalah kesihatan masyarakat hari ini lebih berpunca daripada tabiat makan dan gaya hidup yang tidak mematuhi garispanduan, bukannya kelemahan garispanduan itu sendiri. Ramai yang tidak merujuk atau mengamalkan garispanduan yang sedia ada, menjadikan kesihatan awam terjejas walaupun panduan telah disediakan. Di samping itu isu akses kepada makanan berkhasiat mempengaruhi diet golongan kurang bernasib baik.
Dato' Dr.Rushdan Noor
11hb Jan 2025
RUJUKAN
1. World Health Organization (WHO).
Healthy Diet.
World Health Organization.
https://www.who.int/health-topics/healthy-diet
2.World Health Organization (WHO).
Healthy Diet – Fact Sheet.
World Health Organization.
https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/healthy-diet
3. U.S. Department of Agriculture (USDA) & U.S. Department of Health and Human Services (HHS).
Dietary Guidelines for Americans.
4. USDA Food and Nutrition Service.
Dietary Guidelines for Americans – Overview and Updates.
https://www.fns.usda.gov/cnpp/dietary-guidelines-americans
5. Office of Disease Prevention and Health Promotion (ODPHP), HHS.
Dietary Guidelines for Americans: Development Process (2025–2030).
https://odphp.health.gov/dietaryguidelines/
Science News.
6. New dietary guidelines flip the food pyramid.
https://www.sciencenews.org/article/new-dietary-guidelines-food-pyramid
7. AHA Newsroom. New dietary guidelines underscore importance of healthy eating.
https://newsroom.heart.org/news/releases-20260107-6915862
8. AICR’s Reaction to the Launch of the New Dietary Guidelines for Americans.
https://www.aicr.org/resources/blog/aicrs-reaction-to-the-launch-of-the-new-dietary-guidelines-for-americans/?fbclid=IwdGRjcAPPAFdleHRuA2FlbQIxMQBzcnRjBmFwcF9pZAwzNTA2ODU1MzE3MjgAAR4i_KUiwB6HnUs5ySCc5RZe19ggnPN7vDMxU_N9DcOVPBqOoV6obRFou2GNcw_aem_Vbs4aFvdqdwHA-lp1f8eJQ





No comments:
Post a Comment